Monday, September 17, 2018

LAGI UNSUR UGUTAN DAN BALAS DENDAM AMERIKA SYARIKAT TERHADAP PALESTIN


Penduduk Palestin mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan AS menghentikan
sumbangan kewangan kepada UNRWA di Tebing Barat

Baru saja kita memperkatakan tentang isu cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk memasukkan Palestin di bawah Persekutuan dengan Jordan sebagai helah untuk mengelakkan Palestin diberikan kemerdekaan penuh, kita terus diasak dengan beberapa lagi gelagat AS yang nampaknya bertujuan untuk mengugut dan membalas dendam terhadap Palestin.

Sebabnya – kerana Palestin kini tidak lagi dapat menerima peranan AS sebagai perantara bagi proses rundingan damai Palestin-Israel ekoran tindakan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota baharu bagi Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke bandar suci tersebut. Bagi Palestin, tindakan AS itu dilihat sebagai amat bercanggah dengan kehendak antarabangsa seperti yang termaktub dalam beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), khususnya dalam hal berkaitan jaminan terhadap kedudukan serta kesucian kota Baitulmaqdis. Palestin selain itu, turut melihat tindakan AS tersebut sebagai tindakan yang berpihak kepada Israel serta menekan Palestin dalam konteks penyelesaian isu rundingan damainya dengan Israel.

Gelagat terbaharu AS yang mengundang rasa kecewa dan marah, bukan sahaja di kalangan pemimpin dan rakyat Palestin, malah juga dunia antarabangsa ialah tindakan negara itu dalam menghentikan pemberian dana kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sebagai mengotakan kata dua yang dibuatnya pada awal tahun ini. Malah, AS ketika mengumumkan pemberhentian bantuan berkenaan telah melabelkan UNRWA sebagai organisasi ‘bermasalah yang merugikan’ sebagai alasan baginya untuk menamatkan bantuan kepada agensi berkenaan.

AS sebelum ini merupakan penyumbang terbesar UNRWA, tidak akan lagi memberikan sumbangan tambahan selepas bantuan AS$60 juta dibuat pada Januari lalu. Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert dalam satu kenyataan menyentuh pemberhentian bantuan kepada UNRWA itu telah menyatakan bahawa Washington tidak akan lagi memberikan sumbangan kepada operasi (UNRWA) yang merugikan itu.

Kenyataan di pihak AS itu dikatakan dibuat beberapa jam selepas rakyat Palestin memberi amaran bahawa langkah pemberhentian bantuan AS kepada UNRWA, jika dibuat, akan bakal menjejaskan peluang rundingan damai selanjutnya antara Palestin dengan Israel.

Sebelum ini banyak amaran yang telah disuarakan, bukan sahaja oleh Palestin, malah dunia antarabangsa, terhadap kesan pemberhentian dana AS kepada bajet UNRWA yang berjumlah sebanyak AS$350 juta pada tahun lepas. Agensi bantuan itu membantu kira-kira lima juta pelarian Palestin yang berdaftar selain menyediakan sekolah untuk pendidikan 526,000 kanak-kanak di wilayah Palestin dan di kem-kem pelarian di Lubnan, Syria dan Jordan. UNRWA sebelum ini memberikan amaran bahawa masalah kekurangan dana akan menyebabkan pihaknya terpaksa menutup terus semua 711 sekolah kendalian UNRWA selepas ditutup sementara baru-baru ini.

Awal bulan ini Pengarah UNRWA, Pierre Krahenbuhl telah mengeluarkan kenyataan bahawa agensi itu memerlukan lebih AS$200 juta untuk meneruskan operasi sehingga akhir tahun ini. Berikutan itu, beberapa buah negara Eropah telah membayangkan kesediaan untuk membantu. Bagaimanapun jumlah bantuan sebenar masih belum jelas, menyebabkan pengurusan UNRWA masih menaruh rasa curiga terhadap kemampuan badan itu untuk menggerakkan aktivitinya buat beberapa bulan akan datang.

Sayugia dinyatakan, disamping menghentikan bantuan kepada UNRWA, AS pada minggu lepas juga turut mengumumkan pembatalan pemberian dana lebih AS$200 juta dalam bentuk bantuan dua hala kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Nauert berkata, AS akan ‘mengiatkan’ dialog dengan PBB dan mereka yang berkaitan mengenai model serta pendekatan baharu untuk mengurangkan kesan kepada kanak-kanak Palestin.

Beliau mendakwa AS sangat prihatin tentang kesan kegagalan UNRWA terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah, terutamanya kanak-kanak sekolah. Sehubungan ini, beliau menggesa ahli utama komuniti penderma serantau dan antarabangsa untuk melakukan pembaharuan dan menetapkan semula cara dan hala tuju UNRWA dalam menjalankan operasinya.

Sementara itu, jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeina mengutuk tindakan AS yang bertentangan dengan resolusi PBB dan menyifatkannya sebagai satu bentuk serangan terhadap rakyat Palestin selain mempertahankan peranan serta sumbangan yang dilakukan UNRWA sejauh ini. Beliau menolak kritikan terhadap UNRWA dan mempertahankan  program yang dikendalikan oleh agensi itu sebagai terbukti mampu mewujudkan salah satu proses pembangunan manusia paling berjaya di Asia Barat. 

Penduduk Palestin secara keseluruhannya bangun melahirkan kemarahan dan kekecewaan mereka dengan keputusan AS itu sambil menyifatkan ianya hanya mendorong kepada peningkatan kemiskinan dan ketidakstabilan di Asia Barat. Ianya juga disifatkan sebagai boleh meningkatkan lagi ketegangan antara pemimpin Palestin dengan Israel lebih-lebih lagi berikutan adanya kenyataan Perdana Menteri Israel dalam menyambut baik langkah AS itu.

Dalam satu perkembangan lain, pemimpin dan rakyat Palestin melahirkan rasa bimbang mereka terhadap wujudnya kata dua AS baru-baru ini untuk menghentikan bantuan berjumlah AS$ 25 juta kepada enam buah hospital di Palestin. Hal ini jika berlaku, akan bakal memberi kesan terhadap pesakit yang menghidap penyakit kritikal termasuk kanser dan kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan yang serius.


Pengumuman tersebut telah mendapat kritikan hebat di kalangan pemimpin Palestin dan pegawai-pegawai kesihatan yang menyifatkannya sebagai langkah kejam, tidak adil serta berunsur peras ugut politik terhadap Palestin. 

Di samping dua tindakan yang berkait rapat dengan isu kemanusiaan rakyat Palestin itu, AS dalam satu tindakan terbaharunya pada 10 September lalu telah mengumumkan keputusan untuk menutup pejabat perwakilan Palestin di Washington dalam apa yang disifatkan oleh pemimpin dan rakyat Palestin sebagai tindakan terdesak Presiden Donald Trump untuk memaksa pemimpin Palestin berunding dengan Israel.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin, Saeb Erekat dalam kenyataan beliau bagi mengulas langkah AS itu telah menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu lagi dasar terdesak pentadbiran Trump untuk menghukum rakyat Palestin secara kolektif bagi memaksa pemimpin mereka akur untuk hadir di meja rundingan dengan Israel di sebalik adanya tindakan-tindakan di pihak AS dan Israel yang membelakangi hak-hak serta aspirasi rakyat Palestin sebagai  warga yang bebas serta berhak di wilayah dan tanah air mereka.

Menyingkap akan beberapa tindakan Trump berkaitan isu Palestin-Israel sejak mengambil alih kepimpinan Rumah Putih, jelas kepada kita bahawa pentadbiran AS kini cuba melaksanakan satu pendekatan baharu dalam penyelesaian konflik Palestin-Israel itu. Pendekatan baharu itu adalah dengan memaksa Palestin supaya bersetuju menerima plan AS berkaitan penyelesaian masalahnya dengan Israel sebagai pra-syarat bagi Palestin untuk terus mendapat apa jua bantuan kewangan dari AS baik dalam apa jua bidang, termasuk pendidikan, kesihatan mahu pun kemanusiaan. Selagi Palestin enggan menerima peranan serta pendekatan yang dibawa oleh AS itu maka selagi itulah Palestin dijangka akan terus ditindas, dipencilkan, malah diperangi melalui tindakan-tindakan ketenteraan rejim Yahudi yang disokong oleh AS.


Wallahua’alam (MMO).

 

No comments:

Post a Comment