![]() |
Tentera India berkawal di sebatang jalan raya di Kashmir selepas pengumuman pemansuhan autonomi Kashmir dibuat |
Pada 5 Ogos 2019, seluruh dunia khususnya dunia
Islam dikejutkan dengan tindakan kerajaan India dalam mengumumkan pembatalan
status khas Kashmir sebagai sebuah wilayah berautonomi sendiri di India dalam
usaha yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai bertujuan untuk
mengintegrasikan kawasan itu dengan negeri lain di negara itu.
Channel News Asia memetik Menteri Dalam Negeri
India, Amit Shah sebagai berkata, kerajaan persekutuan akan memansuhkan Artikel
370, peruntukan Perlembagaan yang memberi status istimewa Kashmir dan
membenarkan negeri Jammu dan Kashmir menggubal undang-undang sendiri.
Dengan pemansuhan Artikel 370 itu bermakna Jammu
dan Kashmir selepas ini tidak lagi boleh menggubal undang-undang mereka
sendiri. Demikian juga dengan larangan kepada orang luar untuk membeli tanah di
Kashmir dan jaminan hak pekerjaan hanya kepada penduduk di wilayah itu sahaja,
kini tidak lagi akan terpakai.
Pengumuman di pihak kerajaan India itu dibuat
selepas pihak berkuasa Kashmir yang ditadbir India mengisytiharkan perintah
berkurung di sebahagian besar wilayah tersebut manakala kerajaan India
menghantar kira-kira 70,000 anggota tentera tambahan sebagai langkah berjaga-jaga
menghadapi kemungkinan ancaman dari Pakistan.
Perintah berkurung itu juga menyaksikan sistem
komunikasi disekat, termasuk rangkaian telefon persendirian, perkhidmatan
internet dan talian telefon awam.
Arahan itu juga meliputi semua sekolah serta institusi
pengajian ditutup buat sementara waktu di beberapa daerah termasuk Jammu yang
majoriti penduduknya beragama Hindu.
Terdahulu, pemimpin politik Kashmir menerusi Twitter masing-masing memaklumkan mereka dikenakan tahanan dalam rumah dan tidak dibenarkan keluar sehingga notis pemberitahuan dikeluarkan.
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menyelar
tindakan India menarik balik status khas tersebut serta menempatkan lebih
banyak tentera di Kashmir. Beliau mengajak pemimpin dunia dan badan antarabangsa
mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab pemimpinan India itu. Beliau juga
menyifatkan tindakan tersebut sebagai boleh memburukkan lagi ketegangan yang
berlaku di wilayah itu.
Buat memahamkan kita akan latar belakang
keseluruhan isu ini, bersama-sama ini penulis ingin berkongsi maklumat berikut
agar ianya dapat memudahkan kita dalam memahami perkembangan selanjutnya
isu-isu di wilayah itu pada waktu yang mendatang.
Sejarah Isu Kashmir
Isu Kashmir bermula apabila Parlimen British
mengeluarkan undang-undang Kemerdekaan India pada 17 Julai 1947 yang menamatkan
pemerintahan British.
Selepas sebulan, dikeluarkan pula ketetapan
pembahagian benua India. Maka lahirlah isu Kashmir sebagai simpulan di antara
dua negara iaitu India dan Pakistan yang terbentuk selepas British keluar
daripadanya.
Ketetapan pembahagian tersebut adalah wilayah yang mempunyai majoriti Muslim akan bergabung dengan Pakistan. Manakala wilayah yang majoriti Hindu akan bergabung dengan India berdasarkan suara rakyat yang berpaksikan sistem demokrasi, hak dan kebebasan serta mengambil kira kedudukan geografi setiap wilayah.
Ketetapan ini berjalan lancar tanpa sebarang
kesulitan pada setiap wilayah kecuali tiga sahaja iaitu Hyderabad, Junagadh dan
Kashmir.
Pemerintah Muslim wilayah Junagadh mengambil
keputusan untuk bergabung dengan Pakistan walaupun majoriti penduduknya adalah
Hindu. Keputusan ini bagaimanapun berhadapan penentangan daripada rakyat
majoriti, dan tentera India masuk melaksanakan referendum yang berakhir dengan
wilayah ini bergabung dengan India.
Perkara yang sama juga berlaku di Hyderabad,
tentera India telah masuk pada 13 September 1948 dan menyaksikan Hyderbad
akhirnya bergabung dengan India.
Isu Kashmir agak berbeza dengan dua wilayah tersebut.
Pemerintahnya ialah Hari Singh, seorang bukan Islam yang dilindungi oleh
penjajah sepanjang pemerintahannya, telah membuat keputusan untuk bergabung
dengan India tanpa mempedulikan suara majoriti rakyat beragama Islam yang ingin
bergabung dengan Pakistan dan menyalahi kaedah pembahagian yang ditetapkan oleh
British sendiri.
Peristiwa-peristiwa selepas itu berlaku dengan
pantas. Tercetusnya peperangan pertama di antara rakyat Kashmir dan tentera
India pada tahun 1947, yang menyebabkan dua pertiga wilayah Kashmir dijajah
oleh India. Kemudian PBB campurtangan dalam pertelingkahan ini dengan Majlis
Keamanan PBB telah mengeluarkan arahan pada 18 Ogos 1948 agar dilaksanakan
gencatan senjata dan melakukan referendum untuk mencari penyelesaian di wilayah
tersebut. Namun arahan hanya sekadar di atas kertas tanpa apa-apa tindakan.
Pada tahun 1965, berlaku ketegangan semula antara
dua pihak. Pakistan membantu kumpulan gerila Kashmir. Tetapi beberapa peristiwa
berlaku di luar kawalan apabila berlaku tembak-menembak di antara tentera
bersenjata Pakistan dan India pada bulan September 1965 di sepanjang sempadan
dua negara tersebut. Tiada pihak yang menang dalam peristiwa ini. Akhirnya
hasil usaha antarabangsa, kedua-dua pihak bersetuju untuk gencatan senjata.
Pada tahun berikutnya, Soviet Union berusaha untuk
campurtangan dalam pertelingkahan ini dan mengatur Persidangan Damai pada bulan
Januari 1966 di Tashkent. Bagaimanapun, ia berakhir dengan kegagalan.
Peperangan kembali tercetus antara dua negara jiran
ini sekitar awal tahun 1970-an selepas Pakistan mendakwa India membantu
Pakistan Timur (Bangladesh) dalam cubaan untuk memisahkannya.
Berlaku peperangan pada tahun 1971 berdasarkan
pertimbangan ketenteraan untuk kepentingan India. Ia berakhir dengan kemenangan
India yang membawa kepada pemisahan Pakistan Timur dari Pakistan dan membentuk
negara Republik Bangladesh.
Kebangkitan Kashmir
Isu ini berterusan antara tegang dan reda
sehinggalah bulan April 1987 apabila tercetusnya kebangkitan bersenjata di Kashmir
selepas berlaku “penipuan” oleh India dalam pilihan raya tahun 1987. Dengan
pantas kebangkitan ini membawa kepada tindakan persenjataan.
Pada tahun 1990 menyaksikan permulaan pemberontakan
menentang kerajaan India oleh mujahidin Kashmir. Mereka telah melakukan
pelbagai bentuk operasi penentangan terhadap tentera India yang bertindak balas
secara melampau terhadap orang awam.
Sejak sedekad kebelakangan, Kashmir terus berada
dalam kedudukan terpinggir dari kerajaan pusat yang memerintah. Keadaan hidup
penduduknya terus terabai dengan peluang ekonomi dan pekerjaan yang terhad,
penyediaan kemudahan kesihatan dan pendidikan yang terbatas dan terkebelakang
dari sudut permodenan dan tahap keselamatan dan ketenteraman awam yang tidak
menjaminkan.
Kemuncak dari segala permasalahan ini adalah
pengumuman kerajaan pusat India untuk memansuhkan keistimewaan status autonomi
Kashmir – sesuatu yang sebenarnya bakal meletakkan Kashmir dalam situasi yang
amat sukar pada masa hadapan, khususnya dalam berhadapan dengan tekanan dari
kerajaan pusat dan pelampau dari kalangan penganut Hindu yang sejak sekian lama
bercita-cita untuk menduduki dan menjarahkan kekayaan bumi Kashmir.
Dalam pada itu, wujud pandangan bahawa apa yang
berlaku di bumi Kashmir itu sememangnya sesuatu yang sudah dijangka,
mengambilkira pendekatan politik parti pusat yang memerintah, Bharatiya Janata
Party (BJP) yang bersifat ekstrim bagi penganut Hindu yang dikatakan turut
mempunyai perancangan bagi mengubah lanskap demografi Kashmir dari negeri
majoriti Islam kepada negeri majoriti Hindu.
Wallahu’alam (MMO)
(Nota: Pada terbitan akan datang, insya-Allah, kita
akan cuba perincikan tindakan-tindakan yang cuba dilakukan di antara kedua-dua
pihak, kerajaan BJP dan pemimpin-pemimpin Islam Kashmir, juga pemimpin dunia
Islam dalam menanggani isu pemansuhan autonomi Kashmir tersebut).
No comments:
Post a Comment