Monday, July 30, 2018

PERMANTAPKAN ISLAM, ELAKKAN PENYELEWENGAN




Islam adalah agama yang benar. Islam adalah agama Ilmu dan Islam adalah agama perpaduan. Namun, di sebalik adanya pernyataan tersebut kita seharusnya sedar dan bangit untuk melakukan sesuatu bagi memelihara kesyumulan agama ini daripada sebarang ancaman penyelewengan dan kesesatan, kejahilan dan ketaksuban, perpecahan dan permusuhan;  yang tercetus dan dicetuskan dalam kalangan umat Islam sendiri.

Memetik sebuah hadis daripada Abdullah Bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Kaum Yahudi telah berpecah kepada 72 golongan, sedang umatku kepada 73 golongan. Semua akan masuk neraka kecuali satu. Mereka pun bertanya, siapa  yang  satu itu ya  Rasulullah?  Baginda  menjawab, sesiapa yang berada pada apa yang aku dan para sahabatku jalani kehidupan”. (Riwayat al-Tirmizi).

Berdasarkan hadis ini, apa yang dapat ditekankan ialah bahawa golongan umat Muhammad (SAW) yang dijamin selamat hanyalah mereka yang mengikuti  jalan kehidupan Rasulullah  SAW dan  para  sahabatnya. Mereka dikenali sebagai ahli Sunnah wal Jamaah.

Golongan  Ahli  Sunnah Wal Jamaah adalah  mereka  yang  beriktikad seperti  Iktikad   Rasulullah   SAW   dan para   sahabatnya,  seperti   yang terkandung  di  dalam  al-Quran  dan  al-Sunnah. Sehubungan ini, dua orang  tokoh ulama  Usuluddin, Imam Abu  Hasan al Asy’ari dan Imam  Abu Mansur  al-Maturidi telah mengumpul  dan  menyusun  prinsip-prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berasaskan al-Quran dan al-Sunnah yang dianggap soheh lagi mendapat jaminan keselamatan sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-‘Irbad bin Sariah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda;

“Dan  sesungguhnya sesiapa  yang  masih  hidup dalam  kalangan kamu selepasku, dia   akan   melihat   perselisihan  yang  banyak,  maka berpegang  teguhlah  dengan  sunnah-Ku  dan  Sunnah  Khulafah  ar-Rasyidin yang  mendapat  petunjuk. Gigitlah  dengan  gigi  geraham (pegang  sunnah dengan kuat).” (Riwayat al-Baihaqi ).

Secara ringkas, antara prinsip-prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah:

1. Berpegang teguh kepada 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam.

2. Berpegang teguh kepada  pengertian Iman  yang sebenar  iaitu  mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mengamalkan dengan anggota.

3. Tidak  menyamakan  Allah  dengan  makhluk seperti  beranggota dan  bertempat. Ini  kerana  Allah  berlainan  dan  tidak  sama  dengan  semua makhluk sebagaimana firman Allah SWT dalam surah asy-Syura ayat 11: 

“...Tiada sesuatupun yang menyamai-Nya (zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.

4. Tidak mengkafirkan seseorang Muslim selagi ia tidak melakukan atau menuturkan perkara yang menafikan akidah sebagai seorang Muslim.

5. Wajib patuh kepada pemerintah kaum Muslim, selagi mereka tidak menyuruh ke arah melakukan maksiat atau kemungkaran.

6. Tidak sesekali mencerca dan mengkafirkan para sahabat. Amaran ini dijelaskan melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Said al-Khudri Radiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jangan kamu sekali-kali mencela sahabat-sahabatku, jikalau seseorang mendermakan emas sebesar gunung Uhud sekalipun, nescaya ia tidak dapat menyamai dengan segenggam atau separuh genggam (emas yang didermakan oleh para sahabat)”. (Riwayat al-Bukhari).

Di sebalik adanya peringatan-peringatan ini, malangnya, umat Islam di kebanyakan negara, termasuklah di rantau  sebelah kita khususnya seperti Indonesia dan Malaysia, kini giat dilanda dengan pengaruh fahaman Syiah yang bertentangan sama sekali dengan akidah yang menjadi pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Sebagaimana yang kita sedia maklum,  Syiah sejak dari dahulu lagi telah dianggap sebagai ajaran yang menyimpang dari pegangan kita, ahli Sunnah wal Jamaah. Di antara penyimpangan yang mereka bawa ialah dengan mendakwa bahawa malaikat Jibril telah tersalah menghantar wahyu kepada Nabi Muhammad yang sepatutnya diutus kepada Saidina Ali RA. Subhanallah!

Malahan, ulama’  mereka sanggup hingga ke tahap mendakwa bahawa al-Quran yang ada di sisi kita (Ahli Sunnah) pada hari ini adalah palsu dan telah diselewengkan sedang al-Quran yang benar adalah yang berada di sisi mereka, dikenali sebagai “Mushaf Fatimah”. Kandungan mushaf ini didakwa tiga kali ganda lebih lengkap daripada al-Quran kita. 

Mereka mendustakan al-Quran yang menjadi pedoman ahli Sunnah kerana mereka berpegang kepada tafsiran bahawa beberapa perawi hadis di kalangan sahabat Nabi seperti Abu Hurairah dan Amru bin Ash adalah pendusta lagi kafir. Mereka sebaliknya hanya beriman dengan perawi hadis di kalangan pengikut mereka sahaja dan dengan itu menjadikan kitab “Ushul al-Kafi” sebagai antara rujukan terbesar golongan Syiah. Mereka mempertahankan bahawa yang benar wahyu Allah adalah apa yang terkandung dalam ‘Mushaf Fatimah’.

Dalam usaha bagi menyebarluas akan fahaman mereka, lazimnya terdapat dua pendekatan yang mereka usahakan iaitu pertama, pendekatan “Taqiyah”, dan kedua, pendekatan "Mut’ah". Taqiyah bermaksud satu ucapan atau perbuatan yang dilakukan yang tidak selari dengan keyakinan, untuk menghindari bahaya yang boleh mengancam jiwa, harta, atau untuk menjaga kehormatan diri.

Mesejnya, apabila berhadapan dengan ahli Sunnah maka mereka perlu berpura-pura seperti berakidah dengan Ahli Sunnah wal Jamaah supaya dapat berbaik-baik dengan ahli Sunnah. Namun, apabila mempunyai peluang mereka akan berusaha untuk menyebarkan ajaran mereka terhadap pengikut ahli Sunnah.

Mut’ah pula adalah suatu bentuk penzinaan yang diselindungkan di bawah nama nikah bagi mengaburi mata masyarakat awam yang kurang arif dalam hal-hal pernikahan dan agama. Mut’ah adalah satu bentuk “nikah kontrak” sama ada mengikut tahun, bulan, minggu atau hari, atau malah beberapa jam sahaja -  tanpa saksi atau wali . Nafkah memadai dalam bentuk beberapa bayaran tertentu – ianya sudah mencukupi. Pernikahan ini di sisi Islam adalah dikira haram, tetapi di sisi Syiah ia dianggap pernikahan yang mulia dan anak yang lahir daripada pernikahan ini dianggap anak yang paling mulia.

Selain daripada penyelewengan-penyelewengan ini, penganut ajaran Syiah juga mempunyai amalan perayaan atau ritual mereka sendiri yang menyaksikan sambutan hari Asyura 10 Muharam disambut secara besar-besaran bagi memperingati hari terbunuhnya Saidina Husin, cucu Rasulullah SAW. Ritual ini melibatkan tindakan mencederakan diri dengan menumbuk dada, menampar pipi dan memukul-mukul belakang badan sehingga berdarah sebagai lambang kesedihan dan ketaatan mereka pada agama.

Secara umum, ajaran Syiah ini terbahagi kepada beberapa kumpulan, terdiri daripada Al-`Adliyah Al-Qadariyah, Jabariyah,  Imamiah (Rafidhah),  Ismailiyah,  Ja'fariyyah, dan Zaidiyah.  Kebanyakan punca perbezaan dan perbalahan di antara kumpulan-kumpulan Syiah tersebut adalah berhubung dengan pegangan terhadap bilangan Imam iaitu perkara terpenting yang menjadi asas dalam akidah Syiah.

Sepintas lalu,  buat makluman latar belakang bagi kita, Syiah diasaskan oleh Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi dari San’aa, Yaman. Beliau datang ke Madinah semasa zaman Saidina Uthman RA dengan berpura-pura memeluk Islam (munafik) dan berlagak alim untuk menyebarkan dakwah bahawa Ali RA adalah pengganti Nabi SAW manakala Khalifah sebelumnya merampas kuasa dari Ali dan Ahlul Bait. Di kalangan ulamanya, wujud kecenderungan di antara mereka untuk membuat fatwa dan tafsiran yang menyimpang dari agama seperti beriktikad bahawa semua para sahabat telah murtad setelah kewafatan Nabi SAW kecuali beberapa orang seperti Ali, Miqdad bin Aswad, Abu Dzar al-Ghifari, Salman al-Farisi dan beberapa orang sahaja yang tidak murtad. Bahkan Khalifah-khalifah Islam seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman RA turut dikafirkan oleh ulama mereka.

Buat pengakhir qalam, sama-samalah kita renungi maksud ayat dari kitab suci al-Quran berikut buat panduan dalam memperteguhkan lagi keimanan kita di sebalik adanya cabaran yang melanda umat dan agama Islam dewasa ini.

“Sesungguhnya  orang-orang yang  kufur  ingkar  kepada  Allah  dan Rasul-rasul-Nya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka  di  antara  Allah  dan  Rasul-rasul-Nya,  dan  (orang-orang  yang) berkata: “Kami  beriman kepada setengah  Rasul-rasul  itu  dan kufur  ingkar kepada  setengahnya yang  lain",  serta  bertujuan  hendak  mengambil  jalan lain  antara  iman  dan  kufur  itu. Mereka  itulah  orang-orang yang  kafir dengan sebenar-benarnya dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina”. (QS An-Nisa’ : 150-151).


Wallahua’alam (MMO).



No comments:

Post a Comment