Friday, March 9, 2018

ANTARA TITAH DAN MANIFESTO NDP 2006-2016


Komitmen terserlah..KeBawah DYMM mencemar Duli turun ke sawah..

Kita sesungguhnya amat  teruja dengan beberapa perkara yang dititahkan oleh Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, di Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-14, Majlis Mesyuarat Negara 2018 pada 5 Mac 2018 lalu dan terpanggil di sini untuk sama-sama mengulas mengenainya.

 

Antara lain, baginda bertitah menyentuh mengenai status ekonomi Brunei yang masih terkesan dari kejatuhan harga minyak dunia.  Sepertimana negara lain, Brunei juga perlu mengemaskinikan lagi pengurusan ekonomi negara. Sebagai sebuah negara yang ekonominya bergantung kepada minyak, Brunei menurut Kebawah DYMM, perlu mengorak langkah bagi mempelbagaikan lagi ekonomi negara dalam usaha untuk mengurangkan pergantungan kepada minyak. 

 

Betapa tidaknya, kira-kira 65 peratus daripada GDP kita adalah disumbangkan oleh sektor minyak dan gas. Justeru, sekiranya apa-apa yang tidak diingini berlaku terhadap industri minyak dunia, Brunei juga sudah pasti akan terdedah secara langsung kepada tempiasnya.

 

Justeru itulah Kebawah DYMM berkali-kali menitahkan supaya kita jangan merasa selesa dengan keadaan harga minyak yang sedikit terkawal sekarang, sebaliknya cuba memikirkan apakah langkah lain yang boleh dilaksanakan dalam usaha untuk mempelbagaikan sumber ekonomi bagi Brunei.

 

Makanan Saradiri

 

Kita turut  terpanggil untuk melihat terlaksananya titah keinginan Baginda untuk melihat adanya kenaikan dalam GDP negara, khususnya melalui sumbangan bidang baru ekonomi. 

 

Di antara bidang yang Baginda tekankan itu adalah pertanian, khususnya penanaman padi yang bukan sahaja boleh menyumbang kepada hasil negara, tetapi juga dari sudut kepentingan strategik dan survival negara pada masa hadapan.

 

Kita mengambil maklum seperti yang telah diuar-uarkan, bahawa antara usaha yang telah dijalankan ke arah menjayakan matlamat tersebut ialah melalui penganjuran Kursus Teknologi Peningkatan Pengeluaran Menggunakan Padi Hibrid yang telah diadakan di Brunei pada tahun lepas. 

 

Kursus tersebut dianjurkan bersama antara Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan Yuan Longping High-Tech Agriculture Co. Ltd. dengan sokongan daripada Kementerian Perdagangan Republik Rakyat China. Cumanya, kita amat berharap rakyat kita cepat mempelajari setiap teknik dan amalan yang diperturunkan kepada kita itu dan tidak pula sampai terlalu bergantung kepada khidmat asing itu untuk suatu tempoh yang panjang. 

 

Di sebalik inisiatif pihak berkenaan itu, persoalan keselamatan permakanan ini  masih dibangkitkan buat kesekian kalinya dalam titah Kebawah DYMM sempena pembukaan rasmi Majlis Mesyuarat Negara 2018 beberapa hari lepas. Justeru isu ini berkait rapat dengan isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang sentiasa terpahat di hati baginda.  

 

Saran NDP 13 Tahun Dahulu 

 

Kita bersyukur, isu permakanan asasi dan kaitannya dengan keselamatan negara  yang dibangkitkan oleh Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sejak 13 tahun dahulu masih kekal releven. Alhamdulillah, rupanya isu ini tersemat di dalam benak pemerhatian Baginda Sultan walaupun ianya sudah 13 tahun berlalu.

 

Isu ini acap kali diucapkan oleh pimpinan NDP apatah lagi ianya termaktub di dalam Manifesto NDP seawal 2006. Manifesto NDP 2006-2016 menyeru kerajaan agar mengambil langkah  seperti berikut:

 

  • Merangka dan membangunkan dasar pertanian makanan bagi menjamin pengeluaran bahan-bahan makanan terutama sekali makanan asas yang mencukupi, berkhasiat, bersih dan halal bagi menjamin kesihatan rakyat dan keperluan negara semasa aman mahupun krisis dan memastikan rakyat sentiasa mendapat bekalan makanan yang berkhasiat, bersih dan halal;

 

  • Membangunkan industri asas tani bagi pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan secara komersial dan sekaligus mengurangkan pergantungan negara kepada produk-produk import.

 

Sementara dari segi amalinya pula, NDP telah berusaha secara sendirian dengan melancarkan benih padi marhani, yang dibawa masuk dari Filipina, di samping memperkenalkan jentera pembajak untuk kegunaan para pesawah tempatan.

 

Langkah positif yang diambil oleh NDP  ini bukannya bertujuan memberi saingan kepada agensi kerajaan, tetapi sebagai suatu usaha murni menyuntik semangat tani ke arah mencapai matlamat sara diri negara.

 

Saran dan usaha ini tidak pernah diiktiraf, malah sebaliknya usaha NDP tersebut telah disabotaj oleh pihak-pihak tertentu. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya usaha kecil ini telah memberi kejutan yang besar (wake up call) kepada agensi yang berkaitan.

 

Perancangan Tanpa Iltizam

 

Sama ada diakui atau tidak, kita percaya pelancaran padi “laila” pada 2009 oleh Jabatan Pertanian Brunei adalah sebagai reaksi kepada usaha NDP itu. Namun yang mendukacitakan kita ialah kegagalan dari aspek pelaksanaannya.

 

Padi laila sudah tidak kedengaran lagi. Perancangan yang dibuat oleh agensi kerajaan bak melepas batuk di tangga dan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Setelah hampir satu dekad,  penghasilan sara diri beras negara masih jauh tersasar daripada objektif yang ditetapkan.

 

Sikap atau ‘budaya kegagalan’ ini bukanlah suatu yang mengejutkan. Ini boleh kita fahami dengan apa yang berlaku dalam MMN pada tahun 2014. Sehubungan itu, dalam ucapan dasar presiden NDP di Kongres ke Sembilan parti itu pada tahun yang sama, beliau telah mengulas dengan jelas tentang hal ini:

 

“Semasa melancarkan benih padi LAILA pada tahun 2009 kerajaan telah merancang untuk meningkatkan pengeluaran beras daripada 3.15% sara diri kepada 20% pada tahun 2010; dan seterusnya ke tahap 60% pada tahun 2015. Bagaimanapun statistik pada tahun 2011 menunjukkan pencapaian hanya setakat 4.4% sahaja. Ini jauh tersasar daripada objektif 20% yang ditetapkan pada tahun 2010.

 

Dengan prestasi yang begitu rendah, boleh saya simpulkan bahawa objektif 60% pada 2015 tidak lebih dari sebuah angan-angan kosong sahaja. Mana mungkin kita capai sasaran yang diharapkan jika beginilah prestasi dan sikap yang ditunjukkan oleh agensi yang bertanggungjawab.

 

Andaikata proses pengauditan tahunan dibuat, agensi berkenaan mungkin dapat mengesan dan membaiki strategi pelaksanaan yang memungkinkan tahap pencapaian yang lebih munasabah. Walaupun tidak mencapai objektif yang disasarkan, tetapi tidaklah meleset dengan begitu teruk.

 

Meskipun tahap kegagalan yang begitu besar sudah terbukti secara statistik, kita tidak pernah mendengar sebarang pengakuan dari pihak yang bertanggungjawab atas kegagalan mereka. Sebaliknya, semacam ada kecenderungan untuk merendahkan pemikiran rakyat dengan mengemukakan pelbagai alasan dan dalih demi menutup kelemahan dan kegagalan mereka.”

 

Ini mengingatkan saya kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;

 

“Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.” (Riwayat Muslim)”

 

Kecewa

 

Kita amat kecewa kerana selepas hampir satu dekad, perkara yang begitu kritikal terpaksa lagi diungkit oleh Kebawah DYMM. Jadi benarlah titah baginda baru-baru ini bahawa negara berhajat kepada generasi muda untuk merintis pendekatan baru dalam perancangan pembangunan negara.

 

Jelas sekali negara tidak boleh lagi bergantung kepada pemimpin yang tidak bertanggung jawab dan tidak berwawasn untuk merealisasikan harapan dan cita-cita Baginda dan bangsa.

 

Sementara itu, dalam usaha pihak kerajaan untuk  membawa masuk generasi muda yang mempunyai idea-idea baru yang bernas lagi berkesan ke dalam arus pembuatan keputusan, maka penjawat-penjawat awam ini hendaklah disemai dengan nilai kebertangungjawaban yang tinggi dan seimbang, bahawa mereka bukan hanya  answerable kepada baginda Sultan, tetapi juga kepada rakyat.

 

Kita percaya, hanya dengan memiliki nilai ini, Insya-Allah tidak lagi akan berbangkit perancangan dan program yang sekadar bersifat apple polishing semata-mata tanpa mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat.

 

Menjadikan Brunei Halal Hub

 

Soal mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak dan gas juga telah disentuh di dalam manifesto NDP yang  mencadangkan agar dilakukan:

 

  • Perancangan dan perlaksanaan pembangunan negara yang efektif yang mengarah kepada mempelbagaikan kegiatan ekonomi bagi mempertingkatkan produktiviti negara dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas.

 

Dalam konteks yang sama selaras dengan saran mempelbagaikan ekonomi dan mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak dan gas, kita cadangkan supaya kerajaan menumpukan usaha ke arah menjadikan negara Brunei sebagai Halal Hub. Kita melihat pasaran halal global yang dijangka mencecah USD 3.7 trilion pada tahun 2019 sebagai satu potensi yang cukup besar untuk kita abaikan begitu sahaja.

 

Sebagai sebuah negara yang menampilkan imej Islam, yang bukan sahaja sekadar slogan, tetapi Islam dari semua aspek, termasuk pentadbiran dan perundangan, justeru kita sepatutnya menjadi peneraju dalam bidang penghasilan dan pensijilan produk halal global. Walaupun saran ini nampaknya kecil, tetapi potensi impaknya kepada pertumbuhan ekonomi negara dan imej Brunei sebagai negara Islam adalah begitu besar.

 

Selain itu, kita juga berpandangan bahawa dengan mengambil kira senario semasa, harapan dan cita-cita baginda hanya boleh dicapai sekiranya negara sanggup melakukan transformasi politik yang drastik melalui sebuah parlimen yang representative dan berwibawa sesuai peranannya mewakili aspirasi rakyat.

 

Disamping itu, apa jua perancangan yang telah disepakati di dalam kabinet hendaklah diungkayahkan bersama dengan penuh iltizam dan kebertanggung jawaban kerana Allah. Semoga dengan itu harapan dan cita-cita baginda sultan dan rakyat tidak sekadar tinggal harapan dan angan-angan. 

 

Wallahu a’alam (MMO).

   

*******

   

No comments:

Post a Comment