Monday, July 2, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : CHAD




PETA



 

 GEOGRAFI

Chad terletak di Afrika tengah dengan berkongsi sempadan dengan negara Libya, Sudan, Niger, Nigeria, Cameroon dan Republik Afrika Tengah. Chad terkenal di Afrika tengah, barat dan utara kerana keberadaan Danau Chad, tempat berdirinya kerajaan Kanem-Bornu pada abad ke-11 yang kejayaannya meluas sampai ke Nigeria, Niger, dan Mali. 

Negara ini mempunyai wilayah seluas 1,284,000 km persegi dengan 1,259,200 km persegi terdiri daripada daratan dan 24,800 km persegi air. Keadaan muka buminya secara keseluruhannya  lapang dengan kawasan bukit beralun terdapat di bahagian tengah, padang pasir di utara, gunung di barat laut dan dataran rendah di selatan.

Iklim negara Chad adalah dari jenis tropika dengan cuaca lembab di selatan dan kering di utara.
  

 PROFAIL PENDUDUK

Jumlah penduduk Chad adalah seramai 12,075,985 (Anggaran Julai 2017). Mereka terdiri daripada pelbagai etnik seperti Sara yang merupakan kumpulan etnik terbesar iaitu sekitar 30 peratus, diikuti etnik-etnik kecil yang lain seperti Kanembu/Bornu/Buduma (10 peratus), Arab/Gorane (10 peratus), Wadai/Maba/Masalit/Mimi (7 peratus),  dan lebih dari 100 etnik yang lain dengan purata 1.5-5.0 peratus.

Agama Islam adalah merupakan agama anutan terbesar penduduk Chad iaitu sekitar 53 peratus, diikuti oleh agama Kristian/Protestan 24 peratus, Roman Katolik 20 peratus, agama asal/pagan 0.5 peratus, dan bakinya terdiri daripada agama/kepercayaan lain dan tidak beragama.

Bahasa pertuturan utama adalah Perancis, diikuti oleh bahasa Arab (yang banyak dituturkan oleh etnik Arab dan Gorane di bahagian utara Chad) dan bahasa Sara yang dituturkan secara meluas di bahagian selatan negara itu. Ketiga-tiga Bahasa ini diiktiraf sebagai bahasa rasmi Chad. Dalam pada itu terdapat lebih 120 bahasa daerah/loghat turut dituturkan di pelbagai daerah dan kawasan pedalaman di negara ini.


 SEJARAH RINGKAS

Nama lengkap Chad adalah Republic of Chad, dengan ibu kotanya N’Djemena. Chad memperoleh kemerdekaan dari Perancis pada 11 Ogos 1960. Sejarah awal Chad dikatakan bermula di sekitar Danau Chad yang telah dihuni manusia sekitar 500 sebelum masehi. 

Pada abad ke-8, suku Berber dari utara memulai migrasi yang pertama ke Chad. Pada abad ke-7 dan 8 kerajaan pertama didirikan di sebelah timur laut Danau Chad iaitu kerajaan Kanem dan akhirnya berkembang menjadi kerajaan Kanem-Bornou. Kerajaan Kanem-Bornou mempunyai peranan dan pengaruh yang kuat di Nigeria, Niger mahupun Mali. Pada abad ke-16 muncul pesaing kepada kerajaan Kanem-Bornou, iaitu Baguirini dan Ouaddai (Wadai). Ketiga kerajaan ini menguasai Chad hingga abad ke-19. 

Perjuangan memperoleh kemerderkaan dari Perancis dilakukan sejak Perancis menginjakkan kakinya di Chad, antara lain dilakukan oleh Rabah Zobeir, yang terbunuh di Kousseri Kamerun pada tanggal 22 April 1900. Chad akhirnya dalam pengawasan Perancis, dan pada tahun 1905 secara administrative diletakkan di bawah pemerintahan gabenor jendral Perancis yang berpengkalan di Brazzaville, Congo. 

Selama perang dunia kedua Chad menjadi koloni Perancis yang pertama dipimpin oleh gabenor jendral berkulit hitam iaitu Felix Eboue. Pada tanggal 28 November 1958, Chad memperoleh status otonomi, dan pada 11 Ogos 1960, Chad memperoleh kemerdekaannya dari Perancis. Presiden pertama Chad selepas merdeka ialah Francois (Ngarta) Tumbalbaye.

Selepas merdeka, Chad melalui beberapa siri perang saudara dan peristiwa rampasan kuasa. Pada tahun 1965 perang saudara tercetus antara suku Muslim di utara dengan suku Kristian di selatan. Pada tahun 1975 terjadi kudeta yang dilakukan oleh Jendral Felix Malloum. Pertikaian dengan pihak utara semakin gawat ketika Perdana Menteri Hissene Habre yang berasal dari utara Chad menguasai N’Djamena pada Februari 1979. Akhirnya Organisasi Kesatuan Afrika (OAU) campur tangan bagi menyelesaikan persengketaan. 

Pada Ogos 1979 satu perjanjian damai diadakan bagi meletakkan Goukouni Oueddei sebagai presiden dan Hisine Habre sebagai Menteri Pertahanan. Pemerintahan ala kerajaan campuran ini bagaimanapun tidak bertahan lama kerana pada tahun 1980 terjadi pertikaian antara Goukouni Oueddei dengan Hissene Habre. Pertikaian ini berlanjut sehingga Libya ikut campur tangan dan ingin menjadikan Chad sebagai sebahagian dari Libya. Rencana ini digagalkan Perancis pada tahun 1987 dengan dikembalikan Aouzou sebagai garis batas antara Chad dan Libya.

Pada April 1989, Idriss Deby salah seorang jendral pemerintahan Hissine Habre yang berasal dari suku Zaghawa membelot dan berada di Darfur Sudan untuk memulai penyerangan ke atas N’Djamena. Akhirnya setelah tiga bulan berjuang dengan dibantu pemerintah Libya, Idris Deby dapat menguasai Chad dan menggulingkan Hissene Habre. Pada tanggal 28 Februari 1991 beliau dilantik menjadi Presiden dan terpilih semula bagi jawatan yang sama pada tahun 1996 dan 2001. Saat ini, pemerintahan Chad dipegang oleh Muslim, namun bentuk pemerintahan tetap sekular yang membebaskan semua agama berkembang di Chad. Dan sebagai bentuk kepedulian terhadap penderitaan sesama muslim, pemerintah Chad bersedia menerima pengungsi muslim dari Darfur Sudan.
  
  
PERKEMBANGAN ISLAM

Islam masuk ke Chad pada abad ke-11, tepatnya ketika Kerajaan Kanem-Bornou di bawah pemerintahan Umme-Jilmi pada tahun 1085-1097. Orang yang berjasa mengenalkan Islam di Chad adalah Muhammad B. Mani, sehingga raja Umme-Jilmi masuk Islam. Kerajaan Kanem-Bornou mengalami masa kejayaannya ketika Mai Idris Aluma (Alooma) berkuasa pada tahun 1571-1603. Beliau ahli dalam berbagai hal, meliputi ketenteraan, pentadbiran negara dan ahli dalam pelbagai ilmu Islam. Beliau berjaya menyatukan semua suku, iaitu Hausa di barat, Tuareg dan Toubou di utara dan Bulala di timur. Beliau juga aktif dalam urusan diplomasi dengan negara tetangga, antara lain Libya, Mesir dan Kerajaaan Ottoman Turki. Di bawah pemerintahan Alooma, Kanem-Bornou semakin kuat dan disegani. Kekuasaan Kerajaan Kanem-Bornou meredup sejak tahun 1700. Namun pada abad ke-19, Kerajaan Kanem-Bornou hidup kembali, setelah Muhammad al-Kanem berkuasa, dan diteruskan oleh Umar dan selanjutnya oleh Rabih Fadlallah, yang pada tahun 1893 berhasil mengusir Sudan dari Bornou.

Bagaimanapu Islam di Chad melalui tempoh yang tertekan dan malap sepanjang tempoh Chad berada di bawah Penjajahan Perancis lebih-lebih lagi selepas agama Kristian mulai masuk ke Chad pada tahun 1920 – 1970.

Islam mulai bangkit ketika Chad memperoleh kemerdekaan dari Perancis. Umat Islam Chad yang majoritinya (53 peratus) berada di utara serentak bangkit untuk merebut kekuasaan dari tangan Kristian yang dikuasai oleh suku-suku selatan Chad (35%). Apalagi Presiden Tombalbaye sangat kejam terhadap orang Islam di Utara. 

Kebangkitan Islam dimulai pada tahun 1979 ketika Perdana Menteri Hissene Habre bangun melancarkan pemberontakan. Kekuatan Islam tidak dapat dibendung, apalagi ketika Libya mulai masuk ke Chad pada tahun 1981-1987. Pada tahun 1990, kejayaan Islam di Chad kembali memudar ketika Idris Deby yang berasal dari suku Zaghawa dilantik sebagai Presiden Chad. Ketika itu aliran fahaman sekular meresapi pemikiran agama Islam di negara itu. 

Bagaimanapun, meskipun Chad menjadi negara sekular di bawah Idris Deby , Islam di Chad telah memperoleh segalanya. Mereka menguasai bidang ketenteraan, politik, sosial dan ekonomi. Hubungan dengan negara-negara Islam terbina dengan semakin baik. Dengan demikian, perjuangan kerajaan Islam Kanem-Bornou yang telah ratusan tahun menancapkan pengaruhnya di Chad tidaklah menjadi sesuatu yang sia-sia. 
  

 EKONOMI

Dianggarkan kira-kira 80 peratus penduduk Chad terlibat dalam kegiatan pertanian. Ini menjadikan sektor pertanian sebagai sektor terpenting di Chad. 

Pada tahun 2000 Chad telah memulakan pengeluaran minyaknya yang dianggarkan mempunyai simpanan sebanyak 1 bilion tong.  Bagi tujuan itu, Chad telah membangunkan pelaburan sebanyak US $ 3.7 bilion dalam rangka mengeksplorasi cadangan miyak tersebut. 

Angka pertumbuhan ekonomi Chad pada masa ini berada pada purata 7.4 peratus dengan kadar inflasi  sebanyak 6 peratus dan pendapatan perkapita sebanyak US $ 1,200 setahun. 

Produk pertanian Chad meliputi kapas, bjirin, kacang tanah, beras, ubi kayu,  biri-biri, kambing dan unta. 

Komoditi eksport Chad meliputi minyak, kapas, hasil ternak, bijirin, lemak kacang dan gam arab dengan negara destinasi eksport utama terdiri daripada Portugal, Jerman, Perancis, Nigeria, Poland dan Spanyol. Jumlah pendapatan eksport Chad pada tahun 2017 dianggarkan sekitar US$ 2.438 bilion.

Komoditi import Chad pula terdiri daripada mesin dan peralatan pengangkutan, produk tekstil dan produk minyak dengan nilai keseluruhan pada tahun 2017 dianggarkan sebanyak US $ 2.124 bilion. Negara import terdiri daripada Perancis, Amerika Serikat, Jerman dan Nigeria. 



Wallahua’alam (MMO).




No comments:

Post a Comment