Monday, August 13, 2018

ISU ISRAEL–PALESTIN: 10 LANGKAH TINDAKAN


Penduduk Yahudi Menceroboh Perkarangan Al-Aqsa

Sepanjang separuh tahun pertama tahun ini, kita diperlihatkan dengan pelbagai gelagat serta tindakan di luar batasan undang-undang dan hak asasi kemanusiaan yang telah dicetuskan oleh rejim Israel ke atas penduduk Palestin.  

Kemuncak kepada tindakan Israel itu adalah tindakan untuk memindahkan ibu kota negara itu dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis - satu tindakan yang telah mendapat sokongan padu di pihak pentadbiran Trump dalam bulan Disember tahun lepas. Berikutan pengisytiharan itu juga, Amerika Syarikat (AS) telah melaksanakan perpindahan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dalam bulan Mei lalu sebagai langkah menunjukkan solidariti AS terhadap Israel.

Terbaharu, dalam bulan Julai lalu, Parlimen Israel (Knesset) telah meluluskan undang-undang dalam menjadikan Israel sebuah negara bagi bangsa Yahudi. Di bawah undang-undang tersebut, hak kerakyatan penduduk berbangsa Palestin yang telah tinggal di Israel buat kesekian lamanya telah dinafikan. Malah, mereka kini terdedah kepada pengusiran dalam usaha kerajaan Israel untuk merealisasikan impian mereka itu, termasuk usaha untuk membawa pulang dispora Yahudi dari serata pelosok dunia.

Amat mendukacitakan, kesemua tindak tanduk dan gelagat Israel yang bercanggah dengan undang-undang ini -  termasuk berpuluh-puluh ketetapan resolusi PBB yang menuntut keakuran Israel dalam mematuhi ketetapan-ketetapan yang dibuat berkaitan hubungannya dengan Palestin -  tiada satu pun nampaknya yang berjaya menyekat apa yang mahu dilakukan oleh rejim Zionis tersebut.   Nampak benar, istilah rundingan damai yang sejak sekian lama cuba ditaja oleh dunia itu tidak memberi apa-apa erti buat Israel selain sesuatu yang telah dipersendakan sahaja.  

Dalam pada itu, tindakan Israel di Palestin dalam sebulan dua kebelakangan memperlihatkan betapa rakusnya kuasa Zionis Israel dalam usaha mereka untuk meningkatkan provokasi ke atas penduduk Palestin, dipercayai bertujuan untuk mencetuskan peluang bagi perluasan pengaruh serta wilayah Israel.

Dalam isu paling sensitif iaitu pencerobohan penduduk Yahudi ke atas Masjid Al-Aqsa misalnya, pentadbiran Netanyahu dalam bulan Julai lalu telah membuat keputusan membenarkan menteri dan ahli parlimen Israel  masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa. Tindakan Netanyahu dalam menarik balik larangan lawatan menteri dan ahli parlimen Israel ke Masjid Al-Aqsa yang dikuatkuasakan sejak tiga tahun lalu itu telah merangsang pencerobohan yang lebih banyak dari kalangan penduduk Yahudi sehingga menimbulkan keresahan dan penentangan dari kalangan penduduk Palestin. 

Dilaporkan juga, penafian hak untuk beribadat telah dikenakan ke atas penduduk Palestin pada setiap kali pencerobohan dilakukan bertujuan untuk membolehkan penduduk Yahudi yang menceroboh melakukan ritual agama mereka di dalam masjid berkenaan. 

Dalam usaha bagi melindungi keselamatan dan keselesaan penceroboh dari ancaman penduduk Palestin, pihak berkuasa Israel biasanya akan menyediakan pasukan kawalan polis bagi melindungi pergerakan penceroboh, termasuk memastikan mereka selamat ketika melakukan aktiviti keagamaan mereka. Berikutan itu, seringkali juga masjid Al-Aqsa ditutup kepada penduduk Palestin atas alasan keselamatan yang direka bertujuan untuk melindungi aktiviti para penceroboh semasa berada dalam perkarangan masjid Al-Aqsa. 

Demikian juga dalam satu lagi isu besar yang terus menghantui pemikiran pemimpin dan penduduk awam Palestin - pembinaan penempatan haram yang baharu – tidak menampakkan sebarang tanda penyelesaian, malah kian memburukkan keadaan. Dalam bulan Julai lalu juga, rejim Zionis meluluskan pembinaan dua buah penempatan haram baharu Yahudi di Gurun Naqab, di sebelah selatan Palestin yang terjajah. Di bawah projek baharu itu, sebanyak 2,100 buah rumah dikatakan akan dibina di penempatan yang dikenali sebagai Daniel dan Nitesnit itu. 

Selari dengan usaha untuk meningkatkan pembinaan penempatan haram, tentera rejim Zionis juga sering melakukan tindakan pencerobohan dan pemusnahan ke atas kediaman serta kemudahan asas penduduk Palestin. 

Pada bulan lepas dua warga Palestin cedera ketika menyekat tindakan perobohan oleh tentera Zionis ke atas sebuah rumah penduduk Palestin di bandar Sakhnin di utara Wilayah Palestin 1948 yang terjajah. Tindakan tersebut dilihat oleh Palestin sebagai berpunca daripada keterujaan bagi permulaan kepada pelaksanaan undang-undang negara Yahudi yang diluluskan oleh parlimen Zionis beberapa minggu sebelum itu. 

Di samping insiden tersebut, beberapa lagi insiden yang hampir sama dilaporkan berlaku di perkampungan Susiya di wilayah al-Khalil dengan penceroboh Yahudi melakukan ritual Talmud sebagai alasan bagi mereka untuk masuk ke kawasan itu. Dalam satu insiden lain pula, pihak berkuasa Zionis meroboh empat buah rumah penduduk Palestin di kota Lod, di wilayah tengah Palestin 1948 yang terjajah. Polis Zionis mengawal jentera buldozer yang dibawa masuk pada awal pagi sebelum empat buah rumah milik penduduk Palestin dirobohkan.

Lebih menggusarkan, tentera penjajah Zionis juga giat melakukan kegiatan penculikan ke atas penduduk Palestin dengan mengemukakan pelbagai sebab dan alasan, terutamanya ancaman keselamatan ke atas Israel. Ini menyebabkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, seramai lebih 3,000 penduduk Palestin telah diculik dan di tahan di penjara Israel. Dari bilangan tersebut, dianggarkan seramai 500 orang terdiri daripada kanak-kanak dan 90 orang kaum wanita. 

Demikianlah nasib yang menimpa saudara seagama kita di Palestin, yang sejauh ini - di sebalik adanya penentangan masyarakat dan pertubuhan-pertubuhan Islam antarabangsa, juga pertubuhan-pertubuhan keamanan sedunia seperti PBB – terus diganyang dan diinayai oleh kuasa zionis yang tidak pernah kenal erti keluhuran undang-undang mahupun hak asasi kemanusiaan. Justeru itu, timbul persoalan di benak kita, apakah kita harus terus bergantung kepada cara penyelesaian yang ada sebagai model yang boleh diharapkan bagi menyelesaikan isu yang sangat bermasalah ini?. 

Sehubungan ini, penulis tertarik untuk berkongsi secara ringkas di sini pandangan yang dibawa oleh Prof. Dr. Raghib As-Sirjani dalam bukunya “Filisthîn Wâjibât al-Ummah” yang menggariskan sepuluh kewajiban umat Islam terhadap permasalahan yang menimpa saudara kita di Palestin.

Pertama, umat Islam harus kembali secara total kepada Allah. Bila dilihat dari sepanjang perjalanan sejarah umat Islam, Palestin menjadi barometer kekuatan umat Islam. Selama mana umat Islam kuat, maka Palestin akan terjaga dengan baik. Namun ketika Islam lemah, kaum lain dapat merebutnya dengan mudah sekali. Maka, kembali berpegang teguh kepada nilai-nilai yang digariskan Allah secara total adalah kuncinya. Dan itu sudah dibuktikan oleh Umar bin Khattab RA dan Shalahuddin Al-Ayyubi, serta pejuang muslim ternama yang lain.

Kedua, memahami permasalahan sebenar Palestin dari sisi hukum fekah serta perundangan mengenai berbagai hal yang berkaitan dengannya. Jika ia tidak difahami, para pejuang boleh tersalah langkah dan arah. Mungkin mereka sangkakan sedang berjuang, padahal ianya tersasar jauh dari nilai perjuangan yang sebenarnya.

Ketiga, ikut bergerak secara aktif. Sekurang-kurangnya bergerak menyampaikan urgensi permasalahan Palestin kepada keluarga, masyarakat, negara dan jika mampu, menjangkau luas ke jaringan ukwah antarabangsa.

Keempat, menjaga kesatuan dan menghindari perpecahan. Tanpa kesatuan yang kekal dan mantap tidak mungkin Palestin akan dapat ditegakkan kembali. Sejarah membuktikan bahawa Palestin dapat direbut oleh kaum bukan Islam kerana keadaan umat Islam yang berpecah dan bertelagah. 

Kelima, benar-benar menghidupkan roh jihad. Umat Islam harus sedar akan nilai ini dengan memanfaatkan waktu sebaik-baiknya, dan tidak menghabiskannya untuk perkara sia-sia. Roh jihad ini harus terus menyala dan digelorakan.

Keenam, jihad dengan harta. Jika jihad dengan jiwa tidak mampu dilakukan, maka umat Islam harus membantu Palestin dengan harta. Jihad dengan harta ini adalah sumbangan besar yang boleh membantu mereka yang sangat memerlukan. Betapa pentingnya jihad harta, sehinggakan al-Quran mendahulukannya dari jihad dengan jiwa raga.

Ketujuh, boikot. Memboikot produk-produk Zionis serta negara yang mendukungnya adalah langkah yang sangat srategik untuk membantu rakyat Palestin. Boikot pernah terjadi di zaman Rasulullah SAW sendiri. Sahabat Tsumamah bin Utsal RA pernah melakukannya. Pada tahun ketujuh Hijrah, dia memboikot gandum kepada orang kafir Quraiys akibat perlakuan zalim mereka kepada Rasulullah SAW (dari hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Akibatnya, orang kafir Quraiys kesusahan sampai mengirim Abu Sufyan untuk meminta izin kepada Rasulullah SAW agar boikot dihentikan segera, kerana memberi kesan sangat buruk bagi ekonomi mereka.

Kelapan, memupuk harapan. Hal ini sangat penting kerana tanpa ada harapan, mana mungkin Palestin dapat kembali dimerdekakan. Umat Islam harus menanamkan harapan umat yang positif dan menghindarkan mereka dari rasa pesimistik dan putus asa.

Kesembilan, menanamkan kesabaran. Kesabaran yang berdasarkan ilmu dan amal yang nyata. Sabar dalam Islam mengandungi unsur-unsur kemuliaan, kekuatan, kehormatan dan harapan. Di samping itu, sabar juga sebagai persiapan untuk memperoleh kepemimpinan dan kekuasaan. Tanpa sabar dalam perjuangan, mustahil maruah dan keutuhan Palestin akan dapat dikembalikan.

Dan akhir sekali, kesepuluh, keperluan bagi mengkaji sejarah Palestin. Sejarah adalah cerminan umat. Tidak mungkin kita dapat membantu Palestin dengan baik tanpa kita memahami perjalanan sejarahnya. Dari sejarah Palestin, umat Islam akan dapat menjejaki  apa jua faktor yang membawa kepada kebangkitannya dan juga kejatuhannya.

 Wallahua’alam (MMO).


 

No comments:

Post a Comment