![]() |
Pemimpin Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas |
Helah dan penipuan serta sepak terajang politik dan keselamatan Amerika
Syarikat (AS) dan Israel tidak pernah terhenti daripada mengambil tempatnya di
bumi Palestin daripada dahulu, kini, dan mungkin selamanya.
Terbaharu, AS dikatakan telah membuat tawaran kepada Pihak Berkuasa Palestin
(PA), iaitu pihak yang memegang authoriti pentadbiran di Palestin, untuk
bergabung di bawah Persekutuan Jordan-Palestin sebagai ganti kepada usaha
mengistyharkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Tawaran tersebut yang dilaporkan telah dibuat awal September lalu telah
ditolak oleh PA. Portal berita Press TV melaporkan, Ketua PA, Mahmoud Abbas
telah mengadakan perbincangan dengan pergerakan Israel, “Peace Now” dan anggota Parlimen Israel di Ramallah pada 2 September
lalu berhubung ‘pelan politik’ berkenaan.
Dalam perbincangan itu, Mahmoud Abbas dikatakan telah memaklumkan bahawa
pihaknya telah ditawarkan sebuah ‘pelan politik’ oleh pasukan pengantara AS bagi
pembentukan persekutuan tersebut. Beliau
dikatakan telah memberitahu pasukan itu, termasuk Penasihat Presiden AS, Jared
Kushner dan Duta AS ke Asia Barat, Jason Greenblatt, yang beliau akan bersetuju
dengan tawaran itu hanya jika Israel juga menjadi sebahagian daripada
persekutuan berkenaan.
“Saya ditanya sama ada saya percaya persekutuan dengan Jordan. Saya
menjawab ya, saya mahu persekutuan dengan Jordan dan Israel. Saya juga bertanya
kepada rakyat Israel jika mereka bersetuju dengan tawaran sedemikian,” katanya.
AS dilaporkan bakal membentangkan cadangan membabitkan konflik Palestin-Israel,
yang disifatkan Presiden AS, Donald Trump sebagai ‘kesepakatan abad ini’. Teras
kepada cadangan tersebut dikatakan tertumpu kepada usaha bagi mendapatkan
persetujuan Palestin untuk duduk di bawah Persekutuan dengan Jordan sebagai
ganti kepada tuntutan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Palestin.
Dalam bulan Mei lalu, laman web perisikan Israel “DEBKAfile” dikatakan
ada melaporkan bahawa rancangan itu bakal memberi rakyat Palestin kedaulatan
terhad kepada kira-kira separuh daripada Tebing Barat yang diduduki Tel Aviv
dan menetapkan Abu Dis, di timur Baitulmuqaddis sebagai ibu negara mereka. Pelan
AS itu bagaimanapun dikatakan dibuat dengan bersyarat, iaitu pergerakan Hamas perlu
meletakkan senjata mereka.
Tahun lepas, Trump mengumumkan pengiktirafan AS terhadap kedudukan Baitulmuqaddis
sebagai ibu negara Israel dan berikutan itu, menyatakan pendirian AS untuk
memindahkan Kedutaannya ke bandar itu. Ini menyebabkan PA berhenti mengiktiraf
peranan AS sebagai perantara rundingan damai degan Israel. Mahmoud Abbas kemudian
menegaskan pihaknya tidak lagi boleh mempercayai Washington dan mendakwa AS
bertindak kejam terhadap rakyat Palestin.
Laporan beberapa agensi berita antarabangsa telah memetik kenyataan Duta AS ke Israel, David Friedman, bahawa Washington tidak mempunyai tarikh akhir yang tepat untuk mendedahkan rancangannya itu dan tidak akan membentangkan hal ini pada sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang akan datang.
Tawaran
yang dibuat oleh AS kepada PA ini dipercayai penuh dengan strategi yang
bertujuan untuk memelihara kepentingan dan masa depan Israel dalam
penyelesaian masalahnya dengan Palestin. Trump boleh bermegah dengan
menganggap cadangannya itu sebagai plan "Kesepakatan Abad ini". Namun,
apakah boleh dianggap sebagai suatu "kesepakatan" sekiranya sesuatu tindakan yang hendak dilakukan itu tidak mendapat persetujuan semua pihak yang terlibat dalam sesuatu perundingan?.
Dalam isu yang ada di hadapan kita, ternampak seolah-olah AS sedang cuba menekan Palestin supaya bersetuju dengan plan penyelesaian yang cuba dibawa oleh Pentadbiran Trump sebagai ganti kepada kemerdekaan penuh sepertimana yang diperjuangkan oleh Palestin selama ini. Persoalannya, mengapa AS tidak memasukkan Israel bersama-sama Palestin dalam Persekutuan dengan Jordan sepertimana yang 'dipaksakan' kepada Palestin sebagai syarat penyelesaian isu Palestin-Israel itu?.
Adakah ini bermaksud
untuk tidak akan memberikan peluang kepada Palestin untuk membentuk sebuah
negara yang “merdeka penuh” sedangkan di satu pihak lain, sekiranya
Palestin bersetuju dengan syarat ini, Israel tidak akan berdepan dengan saingan
untuk akhirnya membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat di atas bumi
Palestin yang diduduki secara haram oleh kuasa tersebut!
Maka itulah logiknya
mengapa Mahmoud Abbas menyatakan pendiriannya bahawa beliau hanya akan bersetuju
dengan plan AS tersebut sekiranya Israel juga dimasukkan bersama di bawah
Persekutuan dengan Jordan itu. Dengan itu, Israel tidak akan dibiarkan untuk
bertindak dan bergerak sebagai sebuah negara yang merdeka secara berseorangan, dan
setiap atur langkahnya akan menjadi sama panjangnya dengan atur langkah pemimpin
dan rakyat Palestin.
Di satu sudut lain, jika
direnung dan diperhalusi, plan yang cuba ditawarkan oleh AS itu tidak lebih,
adalah bertujuan untuk mengenepikan semua resolusi yang pernah dikuatkuasakan
oleh PBB ke atas Israel dalam konteks penyelesaian secara tuntas konflik
Palestin-Israel. Dengan kata lain, AS cuba membawa pendekatan baru dengan membelakangkan
sama sekali kehendak antarabangsa bagi penyelesaian konflik Palestin-Israel, secara
yang bakal menguntungkan Israel, dan mengkhianati kehendak antarabangsa dalam penyelesaian
isu yang ada.
Sehubungan ini, adalah
amat wajar bagi pemimpin Palestin bertegas bahawa tidak akan ada plan
penyelesaian lain yang boleh diterima dalam konteks penyelesaian secara
berkekalan konflik Palestin-Israel selain berbalik kepada perlaksanaan semua
ketetapan antarabangsa yang pernah dibuat selama ini. Itulah sebenarnya “Ketetapan
Abadi” yang perlu dihormati dan dikotai dengan sebaiknya oleh AS, apa lagi
Israel.
Terutama sekali terhadap
ketetapan-ketetapan seperti berikut;
1. Resolusi
1397 (12 March 2002)
Kedua
belah pihak, Israel dan Palestin, diminta menghentikan tindakan kekerasan dan
memulai proses perdamaian untuk mendirikan dua negara yang berdampingan dalam
sempadan yang diakui. Resolusi ini turut meminta pembekuan kerja-kerja
pembinaan penempatan haram Israel dan berkerjasama untuk melindungi tempat suci
Baitulmaqdis.
2. Resolusi
252 (21 Mei 1968)
Israel
diminta supaya menghentikan tindakan-tindakan yang bertujuan untuk mengubah
status Baitulmaqdis. Ini termasuklah tindakan mengambil alih hasil semula jadi
dan harta milik rakyat Palestin.
3. Resolusi
465 (1 March 1980)
Israel
diperingatkan agar menghentikan pembangunan pemukiman dan membongkar semua
pemukiman di daerah yang diduduki melalui perang 1967, termasuk Baitulmaqdis.
Resolusi PBB menilai tindakan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap
Geneva Convention mengenai perlindungan orang awam selama masa perang.
4. Resolusi
478 (20 Ogos 1980)
Israel
dilarang membuat undang-undang yang menyatakan perubahan pada status
Baitulmaqdis. Perubahan status itu dianggap sebagai pelanggaran undang-undang
antarabangsa. Semua negara yang membuka perwakilan diplomatik di Baitulmaqdis
diminta agar menutupnya.
5. Resolusi
2334 ( 23 Disember 2016)
Israel
dikutuk karena meneruskan kerja-kerja pembinaan penempatan haram di wilayah
Palestin yang diduduki mereka termasuk di Baitulmaqdis. Israel dilihat sebagai
tidak mempunyai hak bagi membangunkan penempatan haram itu yang mana ianya juga
jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Pembangunan penempatan haram Israel
itu juga dilihat sebagai penghalang bagi tercapainya matlamat penyelesaian
krisis Palestin-Israel melalui pendekatan pembentukan dua negara yang berdaulat
dan saling menghormati di antara satu sama lain.
Wallahua’alam (MMO).
No comments:
Post a Comment