Monday, August 6, 2018

LGBT & HIV




  
Menerusi entri saya yang lalu, saya ada membincangkan secara ringkas fakta mengenai hubungan antara gejala LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dengan penularan virus HIV. 

Lanjutan daripada perbincangan itu, saya tertarik dan ingin berkongsi melalui entri saya kali ini satu laporan yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini yang merumuskan bahawa golongan LGBT adalah merupakan kelompok tertinggi yang dijangkiti penyakit HIV. Ianya dikatakan mewakili 50 peratus kes baharu HIV yang dilaporkan berlaku di Malaysia sepanjang tahun 2017.
 
Laporan tersebut menyebutkan bahawa daripada 3,347 kes HIV baharu dicatatkan pada tahun lepas, sebanyak 1,697 kes adalah melibatkan individu yang mengamalkan tabiat seks songsang seperti homoseksual dan biseksual. 

Jumlah tersebut dikatakan adalah 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu yang mengambil dadah melalui perkongsian jarum suntikan yang se­ring diperkatakan sebagai punca utama penyebaran virus HIV ber­ke­naan.

Laporan tersebut juga turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penyakit HIV dari tahun ke setahun, khususnya dari kalangan golongan homoseksual dan biseksual. Pada tahun 2000 bilangan kes yang dicatatkan adalah sebanyak 63 kes sahaja. Namun, pada tahun 2016 bilangan kes yang dicatatkan meningkat dengan mendadak iaitu sebanyak 1,553 kes, dan terus berlanjutan pada tahun lepas, sebanyak 1,697 kes.

Di sebalik peningkatan tersebut, laporan berkenaan menyebutkan bahawa jumlah mereka yang disahkan positif HIV melalui aktiviti menagih dadah dengan berkongsi jarum suntikan terus menurun. Bagaimanapun, apa yang menjadi kebimbangan sekarang ialah wujudnya trend peningkatan ketara kes HIV yang berpunca melalui hubungan seks di luar tabii. 

Perincian data pada rekod 2017 itu turut menyenaraikan dapatan-dapatan lain yang dapat dirumuskan seperti berikut; 
  • Sebanyak 1,800 kes daripada keseluruhan 3,347 kes yang dicatatkan pada tahun 2017 adalah terdiri daripada orang Melayu!. Mereka dua kali ganda lebih tinggi berbanding kaum Cina (sebanyak 725 kes) dan tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding kaum India (sebanyak 240 kes). Kaum-kaum lain yang terlibat adalah, bangsa asing (226 kes), Bumiputera Sabah (165 kes), Bumiputera Sarawak (154 kes), kaum-kaum lain (25 kes) dan orang asli (12 kes).

  • Dari sudut jantina pula, bagi kes yang melibatkan orang Melayu, gender lelaki adalah seramai 1,600 orang dan gender perempuan, 200 orang.

  • Bagi keseluruhan 3,347 kes itu, seramai 2,890 mereka yang terlibat adalah terdiri daripada gender lelaki dan bakinya, 457 lagi gender perempuan.

  • Bagi pecahan pekerjaan pula, kakitangan swasta merupakan kelompok terbesar yang terlibat iaitu seramai 1,085 orang, manakala penjawat awam pula seramai 213 orang.

  • Kumpulan pelajar turut mencatatkan kes yang ketara iaitu sebanyak 247 kes baharu, sementara penganggur seba­nyak 241 kes dan suri rumah tangga 145 kes.

  • Bagi kategori umur pula, mereka yang berusia di antara 20-29 tahun merupakan kumpulan umur paling ramai menghidap HIV, diikuti mereka yang berumur antara 30 hingga 39 tahun.

  • Dalam tempoh 30 tahun (1986-2016), catatan keseluruhan kes HIV di Malaysia adalah sebanyak 111,916 kes. Daripada jumlah itu, 93,083 pengidap masih lagi hidup. Daripada keseluruhan kes itu juga, didapati seramai 1,146 orang adalah terdiri daripada kanak-kanak berumur di bawah 13 tahun.

Itu adalah antara senario terkini musibah yang melanda negara jiran terdekat kita, Malaysia. Di peringkat antarabangsa, tidak kurang, kita dihadapkan dengan data-data yang tidak kurang, membangkitkan kerisauan kita terhadap masa depan generasi kita seandainya gajala yang merosakkan ini tidak cuba dikawal dan dicegah daripada mengambil tempatnya dalam masyarakat kita.

Menurut laporan HIV/AIDS Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNAIDS), golongan gay (lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis) berhadapan dengan risiko jangkitan virus HIV 27 kali lebih tinggi berbanding dengan punca penularan HIV yang lain. Sementara itu, golongan transgender pula dicatatkan sebagai kumpulan yang 12 kali ganda  lebih mudah untuk dijangkiti virus HIV melalui hubungan seks bebas antara sesama lelaki dan perempuan.

Berpandukan analisis data khas yang dikeluarkan oleh UNAIDS itu juga, dicatatkan sebanyak 1.8 juta kes jangkitan HIV terbaharu berlaku di seluruh dunia pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, 504,000 kes adalah melibatkan golongan LGBT!

Amerika Syarikat dan Eropah Tengah mencatatkan peratusan HIV tertinggi dengan 59 peratus kes baharu dicatatkan. Ini diikuti oleh kawasan-kawasan lain membabitkan negara-negara di Amerika Latin, Asia Pasifik, Kepulauan Caribbean, Eropah Timur, Afrika dan Asia Tengah. 

Di sebuah lagi negara jiran kita, Indonesia, daripada 48,000 kes HIV terbaharu yang dicatatkan, 50.6 peratus daripadanya dilaporkan adalah berpunca dari mereka yang mengamalkan gaya hidup homoseksual dan biseksual.

Demikianlah, betapa buruknya akibat yang dilalui oleh mereka yang mengamalkan tabiat seks yang dilarang dalam Islam itu sepertimana yang digambarkan dalam kitab suci Al-Quran melalui peristiwa kemusnahan pengikut Nabi Luth a.s. Dan dengan melihat kepada trend yang berlaku sekarang, baik di rantau sebelah kita, apa lagi di negara-negara maju di barat, kita harus merasa bimbang gejala yang dimurkai Allah ini akan bakal menular kembali seiring dengan kehadiran nilai-nilai pemikiran dan peradaban moden yang cuba meminggirkan Islam.

Buat mengakhiri bicara, sama-samalah kita menghayati dan mengambil iktibar dari kisah umat Nabi Luth a.s khususnya menerusi beberapa ayat berikut;

"Dan (ingatlah kisah) Luth, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu melihat(nya). Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) nafsu(mu), bukan mendatangi wanita? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak dapat mengetahui (akibat perbuatanmu)." (QS an-Naml: 54-55)

“Maka tidak lain jawapan kaumnya melainkan mengatakan: Usirlah Luth beserta keluarganya dari negerimu; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang (mendakwa dirinya) bersih." (QS an-Naml: 56)

"Datangkanlah kepada kami azab Allah (wahai Luth), jika kamu termasuk orang- orang yang benar." (QS al-'Ankabut: 29)

"Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang- orang yang zalim." (QS Hud: 82-83)

Kisah Nabi Luth dalam Al-Quran terdapat pada 85 ayat dalam 12 surah. Antaranya surah Al-Anbiyaa ayat 74 dan 75 , surah Asy-Syu'ara ayat 160 sehingga ayat 175 , surah Hud ayat 77 sehingga ayat 83 , surah Al-Qamar ayat 33 sehingga 39 dan surah At-Tahrim, ayat 10. Sama-samalah kita baca dan mengambil pengajaran darinya.


Wallahua’alam (MMO).




No comments:

Post a Comment