Tuesday, December 26, 2017

RESOLUSI-RESOLUSI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BERKAITAN BAITULMAQDIS


Penolakan Amerika Syarikat (AS) terhadap deraf Resolusi yang dibawa oleh Turki dan Yaman dalam menentang pendirian negara itu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baru pada 21 Disember 2017 lalu bukanlah merupakan suatu tindakan yang pertama kali pernah dibuat. Malah, boleh dikatakan hampir setiap kali berlakunya pengundian terhadap sesuatu resolusi yang melibatkan tindakan dunia ke atas kepentingan Israel, AS sama ada akan mengundi menentangnya atau bersikap memejam mata terhadap pelanggaran Israel ke atas setiap resolusi yang diluluskan. 

Berikut adalah senarai resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berkaitan Baitulmaqdis yang dibuat dalam tempoh 50 tahun terakhir tetapi dicemari dengan tindakan-tindakan yang bertentangan dengannya di pihak Israel berikutan adanya campur tangan dan sikap berpihak AS terhadap Israel:

1.       Resolusi 242 (22 November 1967)

Israel diperintahkan supaya menarik balik tenteranya dari wilayah Palestin yang diduduki melalui perang 1967. Ini termasuk bahagian Timur Baitulmaqdis.

2.       Resolusi 252 (21 Mei 1968)

Israel diminta supaya menghentikan tindakan-tindakan yang bertujuan untuk mengubah status Baitulmaqdis. Ini termasuklah tindakan mengambil alih hasil semula jadi dan harta milik rakyat Palestin.

3.       Resolusi 465 (1 March 1980)

Israel diperingatkan agar menghentikan pembangunan pemukiman dan membongkar semua pemukiman di daerah yang diduduki melalui perang 1967, termasuk Baitulmaqdis. Resolusi PBB menilai tindakan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap Geneva Convention mengenai perlindungan orang awam selama masa perang.

4.       Resolusi 478 (20 Ogos 1980)

Israel dilarang membuat undang-undang yang menyatakan perubahan pada status Baitulmaqdis. Perubahan status itu dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa. Semua negara yang membuka perwakilan diplomatik di Baitulmaqdis diminta agar menutupnya.

5.       Resolusi 672 (12 Oktober 1990)

Israel didakwa sebagai pihak yang melaksanakan kekerasan selama berlangsungnya Intifada pertama (penentangan rakyat Palestin terhadap kekejaman Israel) di Baitulmaqdis. Israel dikecam kerana terkorbannya 20 rakyat Palestin dalam tindakan kekerasan mereka di Baitulmaqdis pada 8 Oktober.

6.       Resolusi 1073 (28 September 1996)

Israel dipersoalkan mengenai tindakan membina terowong bagi kerja-kerja ekskavasi arkeologi di bawah Masjid Al-Aqsa yang menjangkau ke bahagian tembok di sebelah Israel yang dikenali sebagai tembok ratapan bagi warga Yahudi. Palestin menilai tindakan Israel ini sebagai suatu tindakan pelecehan dan boleh membahayakan struktur bangunan Masjid Al-Aqsa.

7.       Resolusi 1322 (7 Oktober 2000)

Israel dikecam karena dianggap punca terjadinya tindak kekerasan berikutan kunjungan Ariel Sharon ke Masjid Al-Aqsa. Tindakan Sharon ini, yang ketika itu adalah pemimpin pembangkang Israel, dianggap sebagai suatu bentuk provokasi yang menyebabkan terkorbannya 80 rakyat Palestin.

8.       Resolusi 1397 (12 March 2002)

Kedua belah pihak, Israel dan Palestin, diminta menghentikan tindakan kekerasan dan memulai proses perdamaian untuk mendirikan dua negara yang berdampingan dalam sempadan yang diakui. Kedua pihak diminta memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Pencarian Fakta yang diketuai oleh senator George J. Mitchell. Resolusi ini turut meminta pembekuan kerja-kerja pembinaan penempatan haram Israel dan berkerjasama untuk melindungi tempat suci Baitulmaqdis.

9.       Resolusi 2334 ( 23 Disember 2016)

Israel dikutuk karena meneruskan kerja-kerja pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki mereka termasuk di Baitulmaqdis. Israel dilihat sebagai tidak mempunyai hak bagi membangunkan penempatan haram itu yang mana ianya juga jelas melanggar undang-undang antarabangsa. Pembangunan penempatan haram Israel itu juga dilihat sebagai penghalang bagi tercapainya matlamat penyelesaian krisis Palestin-Israel melalui pendekatan pembentukan dua negara yang berdaulat dan saling menghormati di antara satu sama lain.

Dalam isu yang ada di hadapan kita sekarang, pendirian AS dalam mengiktiraf  Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baharu dan cadangan AS untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, ia ternyata bercanggah dengan Resolusi 478 UNSC yang melarang dilakukan perubahan ke atas status Baitulmaqdis. Sebarang pelanggaran terhadapnya, sepertimana yang termaktub dalam resolusi berkenaan, dianggap merupakan tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Atas prinsip inilah 128 negara di PBB bangun menolak usaha AS untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baharu dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis kerana ia secara terang-terangan akan merubah status Baitulmaqdis serta berupa pelanggaran kepada undang-undang antarabangsa seperti yang digariskan melalui Resolusi 478 itu. Ia dengan itu dianggap tidak sah dan terbatal dengan sendirinya.

*****


No comments:

Post a Comment