Wednesday, February 28, 2018

ISRAEL MEMULAKAN PENGUASAAN KE ATAS BAITULMAQDIS


Papan tanda pemberitahuan kerja-kerja pembinaan di pintu masuk utama ke Baitulmaqdis

Kira-kira seminggu selepas Presiden Donald Trump membuat pengisytiharan bahawa Baitulmaqdis akan menjadi ibu negara baharu bagi Israel pada penghujung tahun lepas, regim Israel dikatakan telah mula mengatur langkah dan strategi bagi memastikan impian mereka untuk menguasai sepenuhnya Baitulmaqdis akan tercapai.

Strategi yang dimaksudkan itu ialah tindakan rejim pengganas Israel yang mula membina pusat pemeriksaan kekal daripada konkrit di pintu masuk utama Baitulmaqdis. Pembinaan bangunan konkrit di Pintu Damascus – salah satu pintu masuk yang popular di kalangan rakyat Palestin dibuat bagi mengehadkan lagi kemasukan rakyat Palestin ke bandar suci itu. 

Rakyat Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis dilaporkan berkata, pusat pemeriksaan baharu itu bertujuan mewujudkan ‘fakta sejarah atas tanah’ bagi mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai bandar yang diduduki. Menurut mereka, dengan pembinaan pusat pemeriksaan kekal daripada konkrit di Pintu Damascus itu rejim Israel akan mempunyai kelebihan dalam usahanya bagi melumpuhkan pergerakan sosial, keagamaan dan belia rakyat Palestin di kawasan itu.

Pembinaan itu juga dilakukan setelah askar rejim pengganas Israel berjaya mendominasi dan mengawal hampir sepenuhnya Baitulmaqdis. Dengan bangunan konkerit itu juga askar rejim bebas memeriksa rakyat Palestin yang hendak masuk ke Baitulmaqdis, tanpa dapat dirakam oleh kamera sepertimana yang banyak berlaku sebelum ini.

Semua ini dikatakan berlaku dengan mudah, dipercayai ekoran adanya lampu hijau daripada Washington dan sikap membisu beberapa buah negara Arab yang berjiran yang mendiamkan diri demi untuk menjaga kepentingan ekonomi dan survivaliti masing-masing. 

Kawasan sekitar Pintu Damascus – rakyat Palestin memanggilnya Bab al-Amound – adalah lokasi popular di mana rakyat Palestin berkumpul, minum kopi dan menyanyikan lagu kebangsaan mereka sebagai suatu manifestasi bantahan terhadap penjajahan di tanah air mereka. Ia juga menjadi tapak demonstrasi yang lebih formal dan lokasi di mana pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dengan polis rejim pengganas Israel kerap berlaku. 

Di kawasan pintu inilah juga beberapa orang pemuda Palestin menikam mati seorang anggota polis tentera rejim itu dalam bukan Oktober 2015 iaitu tatkala gelombang kebangkitan tunjuk perasaan dan ketegangan politik berlaku di Baitulmaqdis. Sejak itu, rejim pengganas Israel membina pusat pemeriksaan sementara daripada plastik dan kayu untuk menahan dan memeriksa rakyat Palestin yang menggunakan pintu itu.

Pembinaan tembok konkrit yang kini masih berada di peringkat awal itu juga dikatakan telah mula dipropagandakan oleh pihak berkuasa rejim pengganas Israel untuk menakut-nakutkan penduduk Palestin dengan tindakan untuk membogelkan mereka ketika pemeriksaan keselamatan dilakukan dalam bangunan konkrit itu setiap kali mereka melalui Pintu Damascus. Sebagai tambahan kepada pembinaan bangunan itu juga, rejim pengganas Zionis dikatakan telah mula memasang kamera litar tertutup yang dilengkapi alat pengesan bunyi di pintu berkenaan.

Cuma pada peringkat ini, rakyat Palestin amat menaruh harapan pihak rejim pengganas Israel tidak akan menaikkan bendera mereka di pintu masuk itu. Sekiranya rejim pengganas Israel berbuat demikian ia amat dibimbangi boleh mengubah sejarah kawasan berkenaan, sekaligus melanggar resolusi UNESCO yang memberi jaminan kepentingan Baitulmaqdis kepada Islam, Kristian dan Yahudi.

Sementara itu, ada yang berpendapat walaupun terdapat pintu masuk lain yang boleh digunakan oleh rakyat Palestin untuk masuk ke Baitulmaqdis, peningkatan kawalan ketat di Pintu Damascus yang menjadi lambang untuk memasuki kota suci itu sudah pasti akan menambah kesedihan dan mengundang kemarahan rakyat Palestin yang sering terdedah kepada permainan taktik dan agenda rejim pengganas Israel dalam mempamirkan penguasaan mereka ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Rakyat Palestin, terutama dari Tebing Barat, tidak dibenar melawat Baitulmaqdis dengan bebas sejak Intifada Kedua pada September 2000. Bagi rakyat Palestin yang mempunyai kad pengenalan Baitulmaqdis tetapi berusia di bawah 50 tahun pula mereka akan dihalang daripada memasuki Masjid Al-Aqsa bagi menunaikan solat Jumaat.

Selain tindakan membina tembok konkrit, rejim pengganas Israel sejak adanya pengumuman Trump berkaitan status Baitulmaqdis itu juga dikatakan telah mempertingkatkan lagi pemeriksaan keselamatan terhadap rakyat Palestin yang ingin masuk ke Baitulmaqdis, termasuk memeriksa kad pengenalan dan beg yang dibawa. Pihak berkuasa Israel juga baru-baru ini dikatakan telah mengenakan cukai yang tinggi terhadap hartanah yang dimiliki Jabatan Wakaf Baitulmaqdis, selain menggalakkan parti politik, sekolah dan pertubuhan Yahudi berpindah ke bandar suci berkenaan.

Justeru, dengan melihat apa yang berlaku, dapat dirumuskan bahawa ,rejim pengganas Israel sejak dari adanya pengumuman Trump berkaitan status Baitulmaqdis, telah secara tersusun merancang dan melaksanakan strategi bagi menguasai sepenuhnya Baitulmaqdis yang sekian lama menjadi impian dan agenda besar di pihak mereka itu. 

Strategi yang cuba dilakukan itu ialah, pertama, rejim pengganas Israel menterjemahkan melalui tindakan deklarasi Trump bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara Israel; kedua, mereka mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai bandar yang diduduki secara haram dan meminggirkan penjagaan Raja Jordan ke atas tanah suci itu dengan menambah kehadiran tentera; dan ketiga, menyediakan peta baharu Israel yang mengetepikan kawasan sekitar Baitulmaqdis.

Demikianlah cara bangsa yang dilaknat oleh Allah s.w.t. ini melaksanakan strategi bagi meneruskan survival hidup mereka yang tidak pernah mendapat keberkatan di dunia, apatah lagi di akhirat kelak. Mereka melanggar apa sahaja peraturan dan undang-undang yang tidak menguntungkan mereka dan cuba memaksa dunia untuk tunduk kepada ketuanan mereka yang konon didakwa sebagai bangsa pilihan Allah. Maka itulah, tidak menghairankan, berpuluh-puluh resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikenakan ke atas mereka tiada satupun yang terpakai dan mampu dikuatkuasakan sepenuhnya. Dan dalam perkembangan yang berlaku sekarang, ternampak jelas, tiada mana-mana kuasa yang berupaya untuk menyekat rejim pengganas Israel ini daripada melaksanakan impian mereka menguasai sepenuhnya kota suci Baitulmaqdis dengan bantuan tali barut seumur hayat mereka, Amerika Syarikat. Sebagai umat yang berpegang teguh pada agama, hanya doa yang dapat kita panjatkan kepada Yang Maha Esa agar bantuan daripada-Nya diturunkan jua bagi memulihkan situasi yang ada. 

Wallahu a'alam (MMO).

*******

No comments:

Post a Comment