Pernaungan Itu Adalah Penjajahan
Kendatipun bendera Brunei kuning, putih, hitam,
kuning boleh dikibarkan di mana-mana dalam kesultanan yang secebis itu, tetapi
Sultan Brunei tidak pula berkuasa untuk mentadbirkan sendiri negerinya malah
terpaksa bertindak atas nasihat British yang diketuai oleh seorang Residen.
Realitinya, kuasa Residen melangkaui kuasa Sultan
meliputi bidang eksekutif dan kehakiman. Sebagai contoh, Residen Mc Arthur lah
yang memutuskan siapa bakal pengganti Sultan Hashim setelah baginda mangkat.
Residen jugalah yang mengeluarkan dikri melantik Pengiran Muda Muhammad Jamalul
‘Alam menjadi Sultan Brunei ke-26 tanpa
merundinginya dengan pembesar negeri.
Residen British bernama J.F. Owen pula pernah
mengugut dan berkira-kira untuk menurunkan Sultan Muhammad Jamalul Alam dari tahta semata-mata kerana baginda tidak
bersetuju dengan undang-undang tanah yang baru diperkenalkan Kuasa Penjajah
British ketika itu. Demi menjaga tahta, baginda akur dengan keputusan Residen
British itu.
Begitu juga, sebelum Sultan Omar Ali Saifuddein III
ditabalkan menjadi Sultan Dan Yang Dipertuan Negeri Brunei ke 28, pihak istana
terlebih dahulu mesti mendapatkan perkenan kuasa penjajah British melalui
Residen. Demikianlah, pada hakikatnya, Sultan tidak mempunyai sebarang kuasa
kecuali yang berkaitan dengan Agama Islam,
itupun di bawah kekangan Residen.
Atas premis inilah ramai kalangan sejarawan
berpendapat betapa liciknya penjajah British mengadu dumbakan Istana dan PRB
yang kononnya segala keputusan yang dibuat kerajaan negeri adalah atas kehendak
Sultan, walhal ia adalah datangnya dari nasihat Residen yang nasihatnya mesti
dituruti. Itulah sebenarnya hakikat penjajahan yang berlindung di sebalik
istilah pernaungan atau protected state. Itulah intipati dan semangat perjanjian persahabatan 1888/1905/1906.
Era Pasca
Pendudukan Jepun.
Apabila Majlis Negeri (State Council) dipulihkan
semula dan pentadbiran British Military Administration (BMA) digantikan dengan
kerajaan awam pada 6 Julai 1946, maka ketika itulah Residen British mengambil
kesempatan memasukkan ramai pegawai berbangsa Cina dan menempatkan pegawai
British untuk mengetuai jabatan
kerajaan.
Rata-rata orang Melayu yang bekerja dengan kerajaan
dipinggirkan atas alasan tidak mempunyai kelayakan sehingga mengundang rasa
tidak puas hati penduduk tempatan. Helah penjajah ini adalah suatu yang
sememangnya dirancang justeru dengan sengaja melambatkan pembangunan
pendidikan.
Penjajah British sebenarnya tidak mahu melihat
rakyat tempatan maju di bidang pendidikan kerana bimbang rakyat yang
berpendidikan itu akan menggugat kepentingan penjajahannya. Walaupun Brunei
telah mengikat “perjanjian persahabatan” dengan British pada 1888 dan
perjanjian pernaungan pada 1905/1906, namun sekolah Melayu kerajaan yang
pertama hanya didirikan pada 1912, sekolah Inggeris pertama kerajaan pula
dibina pada tahun 1954. Rumah sakit pertama kerajaan pula didirikan pada tahun
1929.
Demikianlah ironisnya betapa kita dibohongi oleh
kebanyakan sajarawan dan cendikiawan
tempatan yang mengatakan Brunei tidak pernah dijajah!
Cerita
Malang
Kemerdekaan bagi satu bangsa ibarat nyawa bagi
sebuah jasad manusia. Apabila ruh ditiupkan ke jasad yang terbujur, maka jasad
pun hidup. Jika bangsa Brunei dikira sebagai satu bangsa, yang menghidupkan
Brunei yang raya dan memberi erti hidup kepadanya, ialah kemerdekaan.
Kedatangan Islam ke Brunei telah menyempurnakan kemerdekaannya sebagai sebuah kesultanan Melayu Islam yang berdaulat dan bermaruah yang meliputi wilayah seluas lebih sejuta batu persegi, diperintah oleh seorang Raja yang berdaulat bernama Sultan Muhammad pada kurun ke 13.
Sebahagaian Kesultanan itulah yang cuba ditegakkan
semula oleh A.M. Azahari bin Sheikh Mahmud dan partinya PRB, malangnya ia
ditentang oleh warga sendiri sehingga beliau tersungkur bersama cita-cita besarnya itu.
Amat malang bagi bangsa Brunei yang dari segi
sejarahnya mempunyai kedaulatan wilayah yang luas sebelum ketibaan penjajah
British ke rantau Asia Tenggara, tetapi apabila British meninggalkan rantau
ini, raja dan rakyat Brunei hanya ditinggalkan dengan sebuah wilayah yang terlalu
kecil. Selebihnya diwariskan penjajah kepada orang lain.
Kalaupun Singapura juga dijual kepada British,
tetapi zuriat raja Singapura hingga sekarang masih ada yang mendapat saraan
dari kerajaan Singapura. Begitu juga keturunan Sultan Sulu, masih ada yang
mendapat pengiktirafan dari pihak berkuasa Filipina dan menerima saraan
tahunan, tetapi bagi Brunei, raja dan rakyatnya tidak mendapat apa-apa ganjaran
berbentuk pencen atau sebagiannya atas kehilangan wilayah Sarawak dan Sabah
untuk selama-lamanya. Tidakkah penjajah itu jahat ?
Tabek Buat
Genarasi Dahulu
Wira bangsa menginsafi betapa lebih setengah abad
Brunei yang kecil itu berada dalam gengaman penjajah, namun tiada apa kemajuan
yang dicapai. Kehidupan rakyat rata-rata tetap dalam keadaan miskin dan dhaif.
Justeru dalam keadaan apapun, Brunei mesti dimerdekakan terlebih dahulu dan
tiada masa untuk menunggu lebih lama lagi.
Pandangan umum
di era PRB rata-rata menuntut, biarpun susah asalkan kita diperintah
oleh bangsa sendiri, biarlah orang Brunei sendiri yang menentukan nasib masa
depan bangsa dan negaranya.
Brunei merdeka boleh saja menjalin kerjasama dua
hala atau berbagai hala dengan negara di
dunia ini justeru ia tidak terikat lagi dengan Kuasa Penjajah. Brunei
mesti membebaskan diri dari
kebergantungan total kepada penjajah British pada kadar segeranya.
Warga Brunei ketika itu sudah punya jatidiri dan
keyakinan amat tinggi, bahawa mereka bukan sahaja mahukan merdeka tetapi mereka
boleh memerintah negara Brunei Merdeka. Alasan Brunei belum bersedia untuk
merdeka tidak ada dalam kamus perjuangan mereka. Istilah itu adalah ciptaan
penjajah semata-mata bertujuan untuk menakut dan melambatkan proses kemerdekaan
Brunei.
Begitulah kuatnya azam dan semangat genarasi
terdahulu untuk membebaskan tanah airnya dari belenggu penjajahan, justeru
tergamakkah kita untuk memperlekeh perjuangan kemerdekaan mereka sedang nikmat
kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan generasi terdahulu.
Wallaha'alam. (MMO).
Wallaha'alam. (MMO).
*******
No comments:
Post a Comment