Thursday, September 13, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : JORDAN


 

PETA
 


 

  

GEOGRAFI

Jordan terletak di kawasan Timur Tengah benua Asia dengan bersempadankan negara Arab Saudi di sebelah Timur dan Tenggara iaitu sepanjang 731 km, Iraq di sebelah Timur laut (sepanjang 179 km), Syria di sebelah Utara (sepanjang 379 km), dan Israel serta Tebing Barat di sebelah Baratnya (masing-masing sepanjang 307 km dan 148 km).

Keluasan wilayah negara ini menjangkau 89,342 km persegi dengan 88,802 km persegi merupakan kawasan daratan dan baki 540 km persegi lagi terdiri daripada air.
                                                        

PROFAIL PENDUDUK




Jumlah penduduk Jordan adalah seramai 10,248,069 orang  (anggaran tahun 2017), terdiri daripada beberapa etnik iaitu Jordan 69.3%, Syria 13.3%, Palestin 6.7%, Mesir 6.7%, Iraq 1.4%, dan lain-lain, 2.6%.

Tumpuan kependudukan adalah di kawasan sebelah Barat Laut Jordan, terutama di sekitar Bandar Amman manakala kawasan Barat Daya khususnya di sekitar Teluk Aqaba mempunyai kepadatan penduduk yang sedikit rendah.

Kadar pertumbuhan penduduk Jordan berada pada kadar 2.05% (2017) dengan angka kelahiran adalah sebanyak 23.9 orang setahun bagi setiap 1,000 penduduk, dan angka kematian, 3.4 orang setahun bagi setiap 1,000 penduduk.

Jumlah penduduk yang mendiami kawasan bandar pula dianggarkan sebanyak 91% dengan pengembangan perbandaran yang tumbuh pada kadar  2.43%.

Pada masa ini Jordan merupakan antara negara yang mempunyai sistem pendidikan yang terbaik serta kadar celik huruf yang tertinggi di Timur Tengah.


SEJARAH RINGKAS


Nama lengkap bagi negara Jordan adalah Kerajaan Hasyimiyah Jordan (al-Mamlakah al-Urduniyah al-Hāsyimiyah). Pemimpin ulungnya, Amir Abdullah dikatakan bersusun galur secara terus dengan Nabi Muhammad s.a.w dan telah mendapat mandat dari pihak Inggeris untuk mendirikan kerajaan awal di Jordan. 

Kerajaan pimpinan Amir Abdullah dibentuk pada tahun 1922 berdasarkan mandat yang diberikan oleh penjajah Inggeris yang menguasai sebahagian besar kawasan Timur Tengah pada awal abad ke-19 setelah berhasil mengalahkan Kekaisaran Turki Usmani bersama kekuatan sekutu Eropah lainnya seperti Perancis yang menguasai wilayah ini selama berabad-abad.

Dari sudut sejarah, Jordan tidak memiliki keunikan pensejarahan yang memungkinkannya untuk membentuk sebuah negara, kecuali sekadar bersandarkan hubungan rapat Amir Abdullah dengan pihak Inggeris yang menguasai wilayah tersebut ketika itu. 

Komposisi awal masyarakat Jordan terdiri dari warga asli setempat (Baduwi) yang kebanyakannya merupakan  masyarakat petani dan penggembala serta warga Palestin yang terdiri dari para pelarian yang diusir oleh Israel dari kampung halaman mereka di Palestin dan warga Tepi Barat, Palestin. Komposisi penduduk inilah yang kemudiannya membentuk masyarakat baru di Jordan.

Meskipun telah mampu berdiri sebagai sebuah negara, Jordan buat beberapa ketika terus berada di bawah telunjuk Inggeris, terutama di bidang hubungan luar negara dan keselamatan. Jordan mendapatkan kemerdekaan penuh dari Inggeris pada tahun 1946 dan mencipta era kegemilangannya semasa di bawah pemerintahan Raja Husein bin Talal. Raja Husein merupakan salah seorang pemerintah yang mempunyai tempoh pemerintahan terpanjang di dunia, iaitu sejak tahun 1952 hingga tahun 1999. 

Pada 7 Februari 1999 Raja Husein meninggal dunia dan tempatnya telah diganti oleh putera tertuanya, iaitu Raja Abdullah II. Pendidikan Raja Abdullah II bermula di Islamic Educational College Jordan dan diteruskan di St. Edmund’s School, Eaglebook School dan Akademi Deerfield, Amerika Syarikat. Raja Abdullah II kemudiannya memasuki Royal Military Academy Sandhurst di UK untuk mendapatkan pendidikan ketenteraan. Karier ketenteraan yang dilalui oleh Raja Abdullah II termasuklah dengan menjadi Komandan, Batalion Kereta Perisai ke-17, Komandan, Angkatan Khusus Kerajaan Jordan, dan Komandan, Komando Operasi Khusus.


POLITIK & PENTADBIRAN

              

Sistem Pemerintahan yang diamalkan oleh Jordan adalah sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan iaitu sistem pemerintahan yang Ketua Negaranya adalah Raja manakala Ketua Pentadbirannya adalah Perdana Menteri. 

Pemilihan umum legislatif diselenggarakan setiap 4 tahun sekali untuk memilih wakil-wakil rakyat bagi menduduki kerusi di Parlimen. Parlimen Jordan atau Dewan Perwakilan Rakyat Jordan disebut dalam Bahasa Arab sebagai “Majlis al-Nuwaab”.


EKONOMI



Ekonomi Jordan adalah antara yang terkecil di Timur Tengah berbanding dengan beberapa negara jirannya yang lain. Dengan bekalan air, minyak dan sumber semula jadi yang tidak mencukupi menyebabkan ekonomi Jordan terpaksa bergantung kepada bantuan asing. Cabaran semasa ekonomi Jordan yang lain termasuklah kadar pengangguran yang tinggi, defisit belanjawan dan akaun semasa yang tidak seimbang, di samping hutang kerajaan yang meningkat.

Raja Abdullah II, pada dekad pertama tahun 2000, telah melaksanakan pembaharuan ekonomi yang signifikan seperti memperluaskan perdagangan asing dan menswastakan syarikat-syarikat milik negara bagi menarik pelaburan asing. Inisiatif tersebut menampakkan sedikit kejayaan dengan mencatatkan pertumbuhan purata ekonomi tahunan sebanyak 8% untuk tahun 2004 hingga 2008. 

Bagaimanapun, kelembapan ekonomi global dan pergolakan politik dan keselamatan serantau telah menyebabkan pertumbuhan ekonomi Jordan berada pada fasa yang perlahan antara tahun 2010 hingga 2017 dengan pertumbuhan purata ekonomi hanya berada di sekitar 2.5% setahun.  Kelembapan ekonomi ini telah memberi kesan yang negatif terhadap sektor yang berorientasikan eksport, pembinaan, hartanah, dan pelancongan. 

Perang saudara yang tercetus di Syria kemudiannya menyebabkan berlakunya krisis pelarian yang memaksa Jordan mengorbankan kelebihan sosio-ekonominya bagi menanggani kemasukan kira-kira  660,000 pelarian Syria yang berdaftar di bawah Program Pelarian PBB. Dianggarkan lebih daripada 80% daripada pelarian tersebut tinggal di kawasan bandar di Jordan. Banci rasmi Jordan sendiri menganggarkan jumlah pelarian Syria di Jordan pada awal tahun 2016 adalah seramai 1.3 juta orang.

Jordan juga hampir bergantung sepenuhnya pada sumber tenaga yang diimport, kebanyakannya berupa gas asli dan bahan tenaga yang secara konsisten membentuk 25-30% daripada import Jordan. Justeru bagi mempelbagaikan sumber tenaganya, Jordan telah memperoleh beberapa kontrak untuk pengeluaran gas asli cecair dan  membangunkan beberapa projek pembaharuan utama di sektor tenaga. Untuk itu, Jordan dikatakan sedang mengusahakan  penjanaan kuasa nuklear dan eksploitasi rizab serpihan minyak sebagai inisiatif peningkatan tenaga negara. Pada bulan Ogos 2016, IMF bersetuju membantu Jordan menerusi Kemudahan Dana Lanjutan sebanyak AS$ 723 juta daripada pakej keseluruhan AS$ 2.1 bilion dalam tempoh tiga tahun bermatlamat bagi membantu Jordan membetulkan ketidakseimbangan belanjawan dan imbangan pembayarannya.


HUBUNGAN ANTARABANGSA





Dari sudut hubungan luar negara, Jordan merupakan salah satu negara Arab yang pendekatan politik luar negaranya adalah bersifat pro-Barat. Jordan memiliki hubungan yang sangat rapat dengan Amerika Syarikat dan Britain di samping muncul antara segelintir  negara Arab yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel. 

Sebagai negara berdaulat dan merdeka, Jordan juga bergabung sebagai negara anggota PBB dan turut menyertai berbagai lembaga yang berada di bawah naungan PBB. Di samping itu, Jordan juga merupakan negara anggota Liga Arab dan Organisasi Kerjasama Islam (OIC).

Dilihat secara sepintas lalu akan kedudukan politik dan geo-strategiknya, Jordan memiliki keunikan dan kepentingan yang tersendiri di Timur Tengah. Letak geografinya yang berada di tengah-tengah negara Timur Tengah, dengan berbatasan secara langsung dengan Israel, Syria dan Arab Saudi, membuat negara ini menjadi antara pusat perhatian dunia. 

Secara politis juga Jordan tidak dapat diketepikan dalam kebanyakan perbincangan berkaitan Timur Tengah, terutama mengambilkira adanya hubungan diplomatik negara itu dengan Israel. Jordan merupakan negara Arab kedua yang memiliki hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir. Dalam konteks ini, seringkali peranan Jordan diperlukan bagi membantu menyelesaikan sesuatu isu yang timbul dalam hubungan antara negara Arab dengan Israel.



Wallahua’alam (MMO).



No comments:

Post a Comment