Monday, September 20, 2021

DIARI KEHIDUPAN II - CABARAN-CABARAN TERDEKAT KERAJAAN BAHARU AFGHANISTAN

 

Kepimpinan baharu Taliban di satu perbincangan politik di Kabul 
   

Melalui artikel yang lepas, kita telah membicarakan tentang peralihan kuasa yang berlaku di Afghanistan di mana kerajaan sebelum ini yang dipimpin oleh Ashraf Ghani telah berjaya ditumbangkan melalui kekuatan senjata kumpulan pejuang Taliban.

Sejak itu, berita yang tersebar menyatakan sebuah kerajaan baharu yang berpaksikan pemerintahan Islam, tetapi terbuka dan inklusif akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi membawa Afghanistan kembali ke landasan yang betul dari sudut politik, pembangunan dan juga sosio-ekonominya.

Selepas itu kita ada mendengar berita pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada telah dilantik untuk menerajui kerajaan sementara Taliban.

Hibatullah dalam satu kenyataan ringkas yang dibaca oleh Jurucakap Taliban antara lain menyatakan, "Memandangkan kerajaan sementara dan kabinet telah diumumkan, pihak berkuasa Islamic Emirate akan mulai berfungsi secepat mungkin untuk mengawal dan menjalankan urusan negara”.

Beliau kemudiannya menyatakan, “Saya meyakinkan semua rakyat bahawa kami akan bekerja keras untuk mematuhi peraturan Islam dan undang-undang Syariah."

"Kami mahukan kedamaian dan kemakmuran di Afghanistan dan negara yang tidak bergantung kepada orang lain. Kami akan berusaha untuk menghapuskan semua penyebab peperangan dan perselisihan di negara ini dan rakyat hidup aman serta damai," katanya.

Kenyataan media yang  dibaca oleh Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid itu juga turut mengumumkan barisan pemerintahan baharu yang menyaksikan Mullah Hassan Akhund dilantik sebagai Perdana Menteri sementara, manakala Mullah Abdul Ghani Baradar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jawatan-jawatan lain yang diisi adalah Menteri Pertahanan yang disandang oleh Mullah Mohammad Yaqoub, Menteri Dalam Negeri  diterajui oleh Serajuddin Haqqani, dan jawatan Menteri Kewangan yang disandang oleh Hedayatullah Badri. Senarai penuh Kabinet sementara ini bagaimanapun belum diumumkan.

Dilihat dari sudut pengiktirafan dunia khususnya dari negara-negara Islam terhadap kerajaan baharu ini,  setakat ini beberapa buah negara telah tampil menunjukkan sokongan mereka terhadap penubuhan kerajaan Taliban ini. Antara yang paling menyerlah adalah Qatar, Turki dan Pakistan.

Malah Qatar sejak di awal peralihan kuasa di Afghanistan, telah muncul antara negara yang paling aktif dalam membantu memulihkan Afghanistan khususnya dari sudut infrastruktur perhubungan, kebajikan dan kemanusiaan. Dalam hubungan ini, kerajaan Qatar telah menghantar pasukan juruteranya bagi membaikpulih lapangan terbang Kabul supaya ianya sesuai dan bersedia pada bila-bila masa untuk menerima bantuan kemanusiaan dari dunia luar.

Demikian juga dengan Turki dan Pakistan, turut mengorak langkah yang serupa dengan menyumbangkan bantuan kemanusiaan berupa makanan, ubat-ubatan dan pakaian bagi meredakan masalah yang memuncak yang dihadapi oleh rakyat umum Afghanistan di saat mereka melalui era peralihan kuasa tersebut.

Qatar, malah menghantar Menteri Luarnya, Mohammed Abdulrahman Al Thani melawat Afghanistan pada 13 September lalu bagi mempamerkan sokongan politik dan moral Qatar terhadap kerajaan baharu yang ditubuhkan di negara itu. Lawatan itu adalah  merupakan lawatan pemimpin luar yang pertama ke Afghanistan sejak kerajaan Taliban mengambil alih pentadbiran negara itu.

Di Kabul, beliau dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sementara kerajaan Taliban, Mullah Mohammad Hassan Akhund dan juga dengan bekas presiden Afghanistan, Hamid Karzai.

Dalam satu perkembangan lain, PBB telah mengambil inisiatif mengadakan sidang tergempar secara maya itu bagi membincangkan urusan bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada Afghanistan.

Sidang itu yang dikelolakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres antara lain telah dimaklumkan bahawa sejumlah AS$606 juta (RM2.5 bilion) diperlukan oleh badan dunia itu bagi tujuan membantu Afghanistan pasca peralihan kuasa ke tangan pemerintahan Taliban.

Jumlah itu adalah berdasarkan unjuran dibuat oleh Program Makanan Dunia PBB untuk 11 juta rakyat Afghanistan bagi mengelakkan mereka dari bencana kebuluran dalam tempoh empat bulan akan datang.

Sehubungan ini, beberapa negara Barat sudah pun berikrar sedia menyumbang bantuan dengan Amerika Syarikat sebanyak AS$64 juta manakala Denmark mengumumkan derma berjumlah AS$38 juta.

Pakistan dan Iran pula dikatakan telah menghantar bekalan ubat serta makanan sejak awal September lalu, sementara China berjanji untuk menghulurkan bantuan bernilai AS$31 juta selain tiga juta dos vaksin Sinovac.

Namun, di sebalik adanya kesungguhan dan jaminan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak ke arah membantu pemulihan politik, keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat Afghanistan,  kita merasa agak sedikit bimbang dengan penegasan yang dibuat oleh jentera perisikan AS yang meramalkan kemungkinan berlaku perang saudara di Afghanistan jika Taliban terus gagal mengawal keadaan.

Malah, kata Pengerusi Ketua Staf Bersama AS, Jeneral Mark Milley, keadaan huru-hara itu mungkin menyaksikan kemunculan kumpulan pengganas di negara terbabit. Ini dapat dilihat apabila lembah Panjshir masih lagi dikuasai pemberontak, sebahagian besarnya kumpulan Mujahidin, ketika seluruh Afghanistan dikuasai Taliban.

"Pada pandangan ketenteraan saya... ini adalah keadaan yang cukup sesuai bagi iklim politik dan keselamatan di Afghanistan untuk berubah dari keadaan yang tidak menentu menjadi perang saudara,"

"Saya rasa wujud kemungkinan besar bahawa perang saudara akan berlaku dan seterusnya mendorong kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda atau Daesh menyelinap masuk.” katanya kepada Fox News.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Taliban, yang belum membentuk kerajaan yang ampuh, akan mampu bergabung tenaga bagi mewujudkan pentadbiran yang kukuh.

"Walaupun tidak dapat meramalkan dengan tepat, penilaian saya adalah Afghanistan kini berdepan dengan masa depan yang suram dan perkembangan semasa menjurus ke arah itu... mungkin dalam 12, 24 atau 36 bulan lagi," katanya.

AS menyerang Afghanistan dan menggulingkan regim Taliban buat pertama kali pada 2001 melalui satu operasi khas selepas serangan 9/11 oleh Al-Qaeda, yang diberi perlindungan di negara itu.

Kini kerajaan Barat secara umumnya, khuatir Afghanistan mungkin kembali menjadi syurga bagi pengganas yang mahu menyerang kepentingan mereka.

AS pula, walau pun sudah meninggalkan Afghanistan sepenuhnya, tetap menegaskan akan terus 'memantau dari jauh' sebarang ancaman atau cubaan untuk menyerang sebarang aspek yang berkaitan dengan kepentingannya.

Kebimbangan AS ini dari satu sudut ternampak seolah-olah ada asasnya berikutan adanya kenyataan pemimpin gerakan anti Taliban, Ahmad Wali Massoud baru-baru ini dalam menggesa ribuan pejuang yang menentang Taliban agar bersedia kembali 'pada bila-bila masa' ke Lembah Panjshir.

Massoud dikatakan telah membuat gesaan itu ketika berucap di satu simposium di Geneve, Switzerland, sehari selepas Taliban mengaku menguasai Afghanistan sepenuhnya, termasuk memenangi pertempuran di Lembah Panjshir, timur laut Kabul.

Massoud adalah adik Allahyarham Ahmad Shah Massoud, komandan anti-Soviet dan anti-Taliban yang dibunuh Al-Qaeda beberapa hari sebelum serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat (AS).

Anak lelaki Shah Massoud, Ahmad Massoud, kini memimpin pertempuran menentang Taliban di Lembah Panjshir.

Barisan Penentang Nasional (NRF) di Panjshir, yang merangkumi kumpulan anti-Taliban dan bekas pasukan keselamatan Afghanistan, Ahad lalu mengakui mengalami kekalahan besar di medan perang menggesa gencatan senjata. Namun, Isnin lalu, kumpulan itu menerusi ciapan di Twitter, mendakwa pejuangnya masih ada dalam 'kedudukan strategik' di lembah terbabit.

Demikianlah keadaan yang berlaku di Afghanistan tatkala ini, tatkala sebuah kerajaan baharu Taliban yang berazam menegakkan pemerintahan Islam tetapi akan bersikap terbuka dan inklusif cuba dibangunkan, tatkala kerajaan baharu ini sedang memberi tumpuan bagi membaikpulih kehidupan sosio-ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyatnya, dan tatkala iklim politik dan keselamatan Afghanistan yang belum menentu ekoran adanya penentangan dari beberapa pihak yang tidak dapat menerima penguasaan politik Taliban.

Semua ini dijangka akan lebih jelas terjelma dalam beberapa bulan lagi membawa ke penghujung tahun ini. Apa yang jelas setakat ini, pucuk pimpinan politik baharu Taliban harus mengotakan apa yang dijanjikannya, khususnya dari sudut mewujudkan sebuah pemerintahan yang adil, lagi terbuka dan inklusif, termasuklah terhadap kaum wanita khususnya dari aspek hak asasi dan kesaksamaan.

Dalam masa yang sama kita berharap seluruh dunia, khususnya negara-negara Islam sendiri, mempamirkan sokongan dan menunaikan kewajipan yang sewajarnya bagi membantu negara sahabat kita yang miskin ini daripada kelak terjerumus disenaraikan sebagai “negara gagal” (failed states) disebabkan ketidakmampuan kerajaan yang ada untuk mengurus-tadbirkan negara itu dari segala sudut.


Wallahu a’alam (MMO)



No comments:

Post a Comment