Thursday, September 2, 2021

DIARI KEHIDUPAN 1 : PERKEMBANGAN SEMASA POLITIK DAN KESELAMATAN DI AFGHANISTAN

 

Sebahagian dari kelompok Taliban yang berjaya masuk ke kawasan kota Kabul 

Afghanistan kembali bergolak setelah negara itu dikuasai sepenuhnya oleh kelompok Taliban pada pertengahan Ogos 2021 lalu. Sebagaimana dilaporkan oleh pihak media antarabangsa, kelompok Taliban bersenjata menguasai seluruh kawasan ibu kota Kabul dan memasuki istana presiden. Seorang jurucakap dari kelompok Taliban, Suhail Shaheen dilaporkan mengatakan, para militan akan mengadakan perbincangan untuk membentuk “pemerintahan Islam yang terbuka dan inklusif.”

Di Kabul, keadaan keselamatan dilaporkan agak tegang tetapi terkawal. Deruan bunyi helikopter yang membawa keluar kakitangan kedutaan Amerika Syarikat (AS) tidak putus-putus kedengaran sementara langit Kabul di kawasan kedutaan AS dilitupi asap tebal ketika staf memusnahkan dokumen penting dan menurunkan bendera AS. 

Warga Afghanistan pula dilaporkan bergegas meninggalkan negara itu kerana bimbang Taliban akan menerapkan kembali peraturan keras yang menafikan hak kaum perempuan. Ramai juga antara mereka yang berbaris di mesin ATM untuk mengeluarkan simpanan masing-masing sementara orang-orang miskin yang sebelumnya meninggalkan rumah di pedesaan demi keamanan tetap berada di taman dan ruang terbuka di seluruh kota. 

Dalam usaha untuk meredakan kegawatan yang timbul, pemimpin Taliban mengumumkan akan melakukan transisi pemerintahan yang aman, terbuka dan inklusif. Pejuang Taliban telah dikerahkan di Kabul, mengambil alih pos-pos polis serta berjanji tetap menjaga hukum dan ketertiban selama masa transisi. 

Bagaimanapun, Kedutaan Besar AS tetap memperingatkan warga Amerika untuk berlindung di tempat yang aman. Menurut laporan, beberapa bahagian di kota-kota besar juga mengalami penjarahan, termasuk di kawasan penempatan warga asing dan diplomatik. Media sosial pula dikatakan menyarankan agar orang-orang awam untuk tetap berada di dalam rumah dan mengunci pintu rumah mereka.

Taliban menguasai hampir seluruh Afghanistan hanya dalam tempoh seminggu, di sebalik adanya usaha AS dan NATO untuk memperkuatkan pasukan keselamatan Afghanistan yang menelan belanja jutaan dolar selama hampir 20 tahun. 

Berikutan perkembangan yang berlaku di Afghanistan itu, lebih dari 60 negara dilaporkan telah mengeluarkan pernyataan bersama yang menegaskan bahawa pihak berkuasa Taliban harus memikul tanggung jawab dan akauntabili untuk menjamin perlindungan kehidupan dan harta benda manusia, dan untuk pemulihan segera keamanan dan ketenteraman awam. 

Kenyataan itu juga turut mendesak supaya jalan-jalan, akses dan penyeberangan perbatasan harus tetap dibuka di samping  ketenangan masyarakat terus dipelihara. 

Ramai yang tidak percaya dengan apa yang terjadi. Lebih-lebih lagi tatkala menyaksikan helikopter mendarat di kompleks Kedutaan Besar AS untuk membawa keluar Duta Besar Amerika, para diplomat AS dan juga sebahagian dari diplomat dan warga asing yang dievakuasi. 

Ketika pemberontak mulai mendekati kota Kabul, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, dilaporkan terbang ke luar negeri. 

“Dia meninggalkan Afghanistan, meninggalkan negaranya dalam situasi sulit ini,” kata Abdullah Abdullah, Ketua Dewan Rekonsiliasi Nasional Afghanistan, juga saingan lama Ghani. “Tuhan harus meminta pertanggungjawabannya.” 

Ekoran kepergiannya, Ashraf Ghani kemudian dikatakan telah memberikan klarifikasi di Facebook beliau dengan mengatakan dia pergi untuk mencegah pertumpahan darah di ibu kota. Namun dia tidak memberitahu di mana keberadaannya.



Kelompok Taliban, dari sudut asal usul kemunculannya,  bermula pada awal tahun 1990-an di Pakistan utara setelah penarikan keluar pasukan Soviet dari Afghanistan. Gerakan yang didominasi oleh suku Pashtun ini dikatakan muncul di seminar-seminar keagamaan, yang mengajarkan bentuk pelaksanaan sepenuhnya peraturan dan hukum-hukum Islam Sunni. Janji yang dibuat Taliban setelah berjaya mengusai daerah Pashtun yang meliputi Pakistan dan Afghanistan adalah memulihkan perdamaian dan keamanan serta menegakkan Syariah berdasarkan versi mereka sendiri yang bertunjangkan kepada hukum-hukum Islam. 

Kemunculan Taliban disambut baik ketika awal kemunculan mereka. Populariti mereka terus meningkat ekoran kejayaan mereka dalam  membenteras rasuah, mengurangkan pelanggaran hukum dan membina jalan-jalan serta daerah-daerah di bawah kendali mereka yang aman untuk berkembangnya perdagangan. 

Taliban juga memperkenalkan hukuman sesuai dengan interpretasi ketat mereka terhadap hukum Syariah, seperti eksekusi di hadapan orang awam terhadap pembunuh dan pezina yang dihukum, dan amputasi bagi mereka yang terbukti bersalah melakukan pencurian. Selain itu, kaum lelaki diharuskan untuk menumbuhkan janggut dan kaum perempuan harus mengenakan burka yang menutupi seluruh tubuh. Taliban juga melarang television, musik dan bioskop, dan tidak menyetujui anak perempuan berusia 10 tahun ke sekolah. 

Atas tindakan itu, mereka dituduh melakukan berbagai pelanggaran hak asasi manusia dan budaya. Pada tahun 2001, Taliban digulingkan dari kekuasaannya di Afghanistan oleh pasukan tentera pimpinan AS. Bagaimanapun, pada tahun 2008 kelompok tersebut mula terlibat dalam rundingan secara langsung dengan AS. Dalam bulan Februari 2020, kedua belah pihak mencapai kesepakatan damai di Doha di mana AS bersetuju untuk tenteranya keluar dari Afghanistan selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2021 dan Taliban pula menghentikan sebarang bentuk serangan terhadap pasukan AS.

Terkini, kumpulan Taliban mengumumkan yang pihaknya sedang mengadakan rundingan bertujuan membentuk kerajaan inklusif di Afghanistan. Kenyataan tersebut dibuat oleh Jurucakap dan perunding Taliban, Suhail Shaheen, yang berkata demikian kepada The agensi berita Associated Press (AP) selepas mereka menguasai sebahagian besar negara itu, termasuk ibu kota, Kabul.

Kenyataan di pihak Suhail juga menyebutkan bahawa kerajaan inklusif Afghan adalah apa yang diminta dan dimahukan oleh rakyat Afghanistan. 

"Dan anda mungkin pernah lihat, setiap kali kami memasuki bandar, orang ramai berkumpul dan beratur di sepanjang jalan raya serta menyambut pasukan kami.

"Jadi, ini adalah kebangkitan yang disukai ramai. Dan hasilnya, semua wilayah jatuh kepada kami, kerana sokongan orang ramai kita dapat bertahan selama 20 tahun menentang penaklukan," katanya.

Kata Shaheen, Taliban tidak bimbang kerana mendapat sokongan rakyat Afghanistan dan tidak timbul isu kesahihan kerana pengiktirafan ialah hak mereka.

"Kami tidak bimbang kerana kami mendapat sokongan rakyat Afghanistan. Jadi, saya rasa, kesahihan dan pengiktirafan adalah hak kami.

"Jika orang lain tidak mempedulikan kehendak rakyat Afghanistan, terserah kepada mereka. Tetapi saya fikir, ia tidak adil, itulah yang saya fikirkan," katanya.

Sebelum ini, seorang pegawai Taliban menyatakan kumpulan itu akan mengumumkan kerajaan baharu dari Istana Presiden dalam masa terdekat. Bagaimanapun, setakat ini pelan itu dikatakan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Demikianlah apa yang berlaku di negara saudara kita, Afghanistan yang tidak putus-putus, dilanda dengan pelbagai cubaan dan dugaan dari berbagai kuasa besar yang bercita-cita mahu meng’acuan’kan perjalanan politik negara itu. Alhamdulillah, semua itu tidak menjadi, tidak mampu bertahan, selain pengunduran diri dengan menanggung kerugian ratusan jutaan dollar dan kerosakan harta benda serta kemusnahan jiwa yang tak ternilai harganya.

Cuma satu harapan kita; kerajaan baru Taliban yang akan dibentuk nanti benar-benar merupakan kerajaan yang berjiwa rakyat, dengan erti kata mampu memenuhi hasrat serta kehendak sebenar rakyat Afghanistan yang mahukan kedamaian, perlaksanaan peraturan serta undang-undang yang berlandaskan Islam tetapi dibuat secara memenuhi syariat sebenar - bukan disalahgunakan, lebih-lebih lagi dari sudut hak asasi dan kemanusiaan seseorang individu. Yang lain, termasuklah harapan rakyat yang ingin melihat keamanan dan kemajuan Afghanistan, khususnya dari sudut ekonomi dan jaminan perkerjaan, dan tidak kurang, hubungan antarabangsa Afghanistan dengan negara-negara kuasa besar AS dan Eropah khususnya dari sudut pengiktirafan dan penerimaan mereka terhadap kerajaan baru yang bakal dibentuk nanti.


Wallahu 'alam (MMO)


No comments:

Post a Comment