Thursday, December 26, 2019

DIARI KEHIDUPAN VII : PALESTIN


Kubur bawah tanah pertama di dunia yang di bina di al-Quds

Tempoh sepanjang bulan November 2019 terus menyaksikan pelbagai peristiwa yang menyesakkan nafas kita dari sudut penyaksian tindak-tanduk rejim Yahudi ke atas umat Islam Palestin. Tindakan-tindakan angkuh seperti penahanan dan penculikan ke atas kanak-kanak dan remaja Palestin, pencerobohan ke atas tanah dan kebun-kebun milik rakyat Palestin, gangguan terhadap perjalanan dan usaha mencari nafkah di kalangan mereka dan berbagai lagi tindakan yang bertujuan untuk mempamirkan ketuanan Israel ke atas Palestin terus mengambil tempat dan menghantui kehidupan seharian umat Islam Palestin.

Berikut saksikan beberapa lagi peristiwa yang berlaku di Palestin sepanjang bulan November lalu buat kita menyedari dan menginsafi akan nasib yang menimpa saudara seagama kita itu.

1 November 2019

Israel buka kawasan perkuburan bawah tanah pertama di al-Quds

Penjajah Israel pada malam 30 Oktober lalu telah membuka sebuah kawasan perkuburan bawah tanah yang dipecayai merupakan yang pertama di dunia di al-Quds (Jerusalem) yang diduduki penjajah Israel. Demikian menurut laman sesawang berbahasa Ibrani “Kibah”.
Laman sesawang ini menyebutkan bahawa perkuburan tersebut didirikan di pinggiran al-Quds. 
Pembukaan perkuburan bawah tanah tersebut telah dihadiri oleh Datuk Bandar Israel di kota suci tersebut, para pemuka rabi Yahudi, dan pemimpin-pemimpin tempatan Yahudi. Demikian dipetik oleh pejabat berita Arab “Quds Press”.
Quds Press menjelaskan bahawa projek pembangunan perkuburan ini mencakupi pembinaan sekitar 24 ribu liang kubur pada kedalaman 50 meter di bawah tanah.”
Disebutkan, pada fasa pertama, sekitar 8,000 kubur akan disediakan yang djangka akan dapat digunakan pada akhir tahun 2019.
Selain itu Quds Press menyiarkan berita berkaitan penggalian terowong sepanjang 1,600 meter dan lebar sekitar 16 meter dengan kos projek dianggarkan sekitar 300 juta shekel (sekitar USD84,510,000. 
Kota suci al-Quds yang diduduki penjajah Israel secara berterusan menjadi sasaran kempen Yahudinisasi dan pemalsuan sejarah oleh institisi penjajah Israel, terutama di Masjid Al-Aqsa dan Tembok Al-Buraq. 

4 November 2019

Ahli Parlimen Khaleda Jarrar antara yang diculik oleh rejim Zionis di Ramallah

Rejim Zionis Israel telah menculik lapan rakyat Palestin, termasuk ahli parlimen Khaleda Jarrar, dari rumah mereka di kawasan berbeza di Tebing Barat.
Jarrar, seorang pegawai kanan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin, sebelum ini telah dibebaskan pada bulan Mac oleh pihak berkuasa Israel setelah menjalani hukuman penjara selama 20 bulan.
Dalam satu kejadian yang berasingan, pihak tentera Israel menyerbu dan menggeledah rumah tahanan Samer al-Arbeed dari kejiranan Battn al-Hawa di Ramallah. Motif penggeledahan bagaimanapun tidak diketahui.
***

Polis Israel tangkap pegawal masjid Aqsa

Polis rejim Israel menangkap seorang pengawal keselamatan yang bertugas di Masjidil al-Aqsa tanpa menyatakan sebab dia ditahan.
Menurut kata saksi, pengawal yang dikenali sebagai Samer Qabbani itu telah ditahan oleh pegawai polis rejim di pintu Gate Hitta ketika beliau memasuki masjid itu untuk menjalankan tugas hariannya seperti biasa.
Sejak akhir-akhir ini, polis rejim meningkatkan tekanan terhadap pekerja Wakaf Islam, pengawal masjid dan orang Islam yang menunaikan solat tetapi sebaliknya memberi kawalan pada pendatang haram Yahudi yang setiap hari secara beramai-ramai menceroboh masuk masjid tersebut.

7 November 2019

Mahkamah Israel lanjutkan tempoh penahanan ahli Parlimen Khalida Jarrar

Mahkamah Israel telah memutuskan untuk melanjutkan penahanan Ahli Parlimen Khalida Jarrar, seorang pemimpin Barisan Pembebasan Popular Palestin.
Khalida telah diculik dari rumahnya di Ramallah, lapan bulan selepas beliau dibebaskan dari penjara Israel.
Beliau telah ditahan secara  tahanan pentadbiran pada tahun 2015 dan 2017 untuk tempoh yang berbeza-beza, tanpa sebarang pendakwaan mahupun perbicaraan.

***

Israel rampas tanah untuk luaskan penempatan haram Yahudi

Rejim Israel mengaku telah membuat keputusan untuk merampas sebidang tanah yang luas milik penduduk Palestin di bandar Hizma, timur Baitulmuqaddis.
Datuk Bandar Hizma, Musallam Abu Helou berkata bahawa pihak rejim telah menghantar sepucuk surat ke pejabatnya melalui bahagian perhubungan awam satu keputusan bertulis bagi memaklumkan hasrat pihak rejim untuk mengambil tanah berkeluasan 500 dunum (ekar) di kawasan bersebelahan petempatan haram Adam.
Tambah beliau lagi, tanah yang diwartakan untuk diambil itu akan digunakan bagi tujuan meluaskan penempatan haram Yahudi.

8 November 2019

Mahkamah Israel benarkan pengusiran Pengarah HRW

Mahkamah Tinggi Israel pada hari Selasa meluluskan keputusan kerajaan untuk mengusir pengarah tempatan Human Rights Watch (HRW) kerana didakwa menyokong pergerakan boikot Israel.
Omar Shaker, seorang warganegara Amerika Syarikat, diberikan 20 hari untuk meninggalkan Israel dan wilayah Palestin atau dia akan menghadapi pengusiran, kata peguamnya.
Shaker menulis di Twitter bahawa jika dia diusir, Israel akan menyertai barisan Iran, Korea Utara dan Mesir dalam menghalang akses kepada kakitangan Human Rights Watch. “Kami tidak akan berhenti. Dan kita tidak akan menjadi yang terakhir” katanya.
HRW menganggap tindakan Israel untuk mengusir Shaker, yang telah berlangsung sejak lebih dari setahun, sebagai tanda bahawa Israel sedang berusaha untuk menyekat kritikan dunia terhadap mereka.
***

Nazzal selar Twitter dan Facebook kerana mengalah dengan Israel

Ahli biro politik Hamas, Mohamed Nazzal, telah sekeras-kerasnya menyelar Twitter dan Facebook kerana menyekat laman sesawang Palestin.
Dalam kenyataan akhbar kepada Quds Press pada Selasa, Nazzal berkata Twitter baru-baru ini menyekat puluhan laman tokoh-tokoh Palestin kerana sokongan mereka terhadap perjuangan Palestin.
Beliau menambah yang tindakan serupa telah juga diambil oleh pentadbir Facebook, sambil mengkritik para mogul media sosial kerana membiarkan diri dipergunakan oleh Israel.

11 November 2019

Turki kecam niat Israel untuk membina beribu-ribu penempatan baru

Kementerian Luar Turki pada hari Rabu mengutuk keputusan Israel untuk membina lebih 2,000 unit rumah baru di kawasan terjajah di Tebing Barat dengan menyifatkan ianya sebagai suatu tindakan haram.
Kelulusan yang diberikan oleh pihak berkuasa Israel bulan lalu untuk pembinaan sebanyak 2,342 unit rumah baru yang melibatkan pelbagai peringkat perancangan di Tebing Barat adalah satu contoh yang baru dan jelas mengenai dasar kejuruteraan demografi negara, menurut agensi berita Anadolu sebagai memetik kementerian berkenaan.
“Kami menentang keputusan tidak sah Israel ini, yang membelakangi undang-undang antarabangsa dan melanggar hak asasi rakyat Palestin dan menyeru semua anggota masyarakat antarabangsa untuk memenuhi tanggungjawab mereka untuk menentang penindasan dan pendudukan rakyat Palestin,” kata kementerian itu.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi yang diterima pakai pada 23 Disember 2016 menyatakan bahawa kegiatan pendudukan Israel merupakan “pelanggaran terang-terangan” undang-undang antarabangsa dan “tidak mempunyai kesahihan undang-undang”. Resolusi 2334 telah menggesa Israel untuk menghentikan kegiatan tersebut dan memenuhi kewajipannya sebagai kuasa yang menduduki.

13 November 2019

Rejim Zionis halang petani Palestin daripada menuai hasil tanaman Zaitun

Rejim Zionis pada hari Ahad lalu telah memaksa beberapa petani Palestin untuk keluar dari kebun zaitun mereka di bandar Sebastia barat laut Nablus dan menghalang mereka daripada menuai hasil tanaman mereka.
Ketua majlis perbandaran Sebastia, Mohammed Azem, berkata bahawa tentera Zionis telah menyerang kebun Palestin berhampiran perkampungan Shavei Shomron dan mengusir petani-petani Palestin yang datang untuk menuai zaitun.
Para petani tersebut juga menambah bahawa peneroka haram Israel telah berulang kali membuang bangkai haiwan serta mengepam kumbahan ke tanah pertanian mereka.

***

Tiga warga Palestin disekat dari teruskan perjalanan di pintu sempadan Allenby

Rejim Israel menyekat perjalanan tiga warga Palestin di pintu pemeriksaan Alenby (King Hussein) yang menjadi laluan keluar ke Jordan.
Kata polis Palestin, mereka bertiga dilarang dari meneruskan perjalanan oleh pihak rejim atas alasan keselamatan tanpa penjelasan lanjut.
Pintu sempadan Allenby yang juga dikenali sebagai al-Karama terletak di atas jambatan yang merentasi Sungai Jordan dan menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan.

15 November 2019

Amman kecam kekerasan Israel di Gaza

Jordan pada hari Selasa telah mengutuk serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza yang telah membunuh 10 warga Palestin dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Jordan, Daifallah Al-Fayez, berkata bahawa “pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza dan pembunuhan orang awam hanya akan meningkatkan ketegangan dan keganasan di rantau ini.”
Al-Fayez mempertanggungjawabkan Israel atas semua kesan-kesan pencerobohan tersebut dan menyeru komuniti antarabangsa untuk bertindak segera bagi menghentikan serangan dan memberi perlindungan kepada rakyat Palestin di Gaza.

18 November 2019

Liga Arab kutuk serangan Israel ke atas Gaza

Liga Arab telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan oleh Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Setiausaha Agung Liga Arab dalam kenyataan rasminya menyatakan kerajaan rejim Israel mesti bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.
Liga Arab turut menyatakan yang serangan Israel bertujuan menambahkan kemusnahan terhadap Semenanjung Gaza dan menyebabkan ia terperangkap dalam keganasan yang berterusan.
***

Mesir jadi orang tengah rundingan gencatan senjata di Gaza

Satu perjanjian gencatan senjata atas tajaan kerajaan Mesir dilaporkan telah dipersetujui antara pejuang Palestin dengan rejim Israel dan ia berkuatkuasa bermula pada 5.30 pagi, hari Khamis, 14 November.
Sumber tidak rasmi mengesahkan berita tersebut tetapi saluran berita satelit al-Jazeera memetik sumber yang tidak mahu dinamakan sebagai berkata bahawa Pergerakan Jihad Islam dan Israel sepakat menerima permintaan Mesir untuk gencatan itu tetapi ia bermula pada pagi Jumaat, 15 November.
Berita perjanjian itu muncul kira-kira empat jam selepas Israel melancarkan serangan udara ke wilayah tengah Gaza yang mengorbankan enam sekeluarga dan mencederakan 12 yang lain.

20 November 2019

Rejim Israel tangkap lima warga Palestin dari Baitulmuqaddis dan Tebing Barat

Tentera rejim zionis Israel menangkap lima warga Palestin termasuk seorang perempuan dalam operasi yang dilakukan sejak awal pagi hari Ahad di wilayah Baitulmuqaddis dan Tebing Barat.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan tentera rejim, pihaknya menahan empat warga Palestin yang dikehendaki mereka dalam satu operasi yang dijalankan pada waktu lewat malam.
Sumber tempatan di Tebing Barat pula berkata, anggota tentera Israel menyerbu bandar Silwad, utara Ramallah dan menahan dua warga tempatan bernama Ahmed Fulaih dan Jawad Hamed.

22 November 2019

Amnesty International : Penempatan Israel adalah jenayah perang

Pertubuhan Amnesty International pada hari Selasa telah mengutuk pengumuman oleh Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa AS tidak akan menganggap petempatan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
Ini dinyatakan dalam satu kenyataan oleh organisasi antarabangsa berkenaan sebagai tindak balas terhadap keputusan yang diumumkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, pada hari Isnin lepas.
“Hari ini, kerajaan Amerika Syarikat menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa ia percaya AS dan Israel terkecuali dari undang-undang: bahawa Israel boleh terus melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi warga Palestin, dan Amerika Syarikat akan memberikan sokongan padu  terhadap tindakan demikian,” menurut Amnesty International.
Ia menambah, “Pengumuman AS tidak sama sekali mengubah undang-undang yang sangat jelas sama ada sekarang mahupun di masa akan datang: pembinaan dan pengekalan petempatan di Tebing Barat Terjajah, termasuk Baitulmaqdis Timur, melanggar undang-undang antarabangsa dan adalah suatu jenayah perang.”

25 November 2019

Rejim Zionis culik 30 penduduk Palestin di Tebing Barat

Pada pagi selasa yang lalu, Rejim Zionis telah menculik seramai 30 orang penduduk Palestin di Baitulmaqdis dan Tebing Barat termasuk kanak-kanak.
Tentera negara haram Isral telah mengeluarkan kenyataan bahawa Rajim Zionis telah menculik 15 orang penduduk Palestin yang di label sebagai ‘mereka yang dikehendaki’ di Tebing Barat.
Sumber tempatan di Ramallah berkata, tentera negara haram Israel telah menyerang kampung Deir Nidham dan menculik 2 orang kanak-kanak dari rumah mereka.
Tentera Zionis juga telah menyerang bandar Silwad di Ramallah dan menculik seorang bekas tahanan bernama Muhanad Shibrawi.
Manakala di al-Khalil, tentera Zionis telah menculik 2 orang kanak- kanak bernama Rousef Jawabreh dan Saleem Jawabreh bersama seorang lelaki yang bernama Baha Jawabreh semasa kempen tersebut di kem pelarian al-Arroub.
Di Nablus, dua orang bekas tahanan telah ditahan semula di rumah mereka di bandar tersebut. Mereka adalah Suleiman Abu Saliha dan Majd Azem.

***

Unesco akan menyokong tinggalan kebudayaan di bandar lama Baitul Maqdis

Jawatankuasa Kebudayaan Unesco semasa persidangan yang ke-40 yang dihadiri menteri kebudayaan di seluruh dunia telah bersepakat akan melindungi warisan dunia di Baitulmaqdis.
Negara anggota Unesco dan penderma antarabangsa berkata mereka akan memberi sokongan yang lebih di masa akan datang untuk aktiviti yang bertujuan untuk melindungi tinggalan warisan di bandar lama di Baitulmaqdis.
Jawatankuasa Kebudayaan Unesco telah menyatakan mereka memberi perhatian kepada aktiviti penggalian dan pembinaa di bandar lama Baitulmaqdis dan di kedua belah  bandar dan dinding tersebut.
***

Pendirian AS terhadap penempatan Israel tidak masuk akal, kata Mahathir

Perdana Menteri Malaysia. Tun Mahathir Mohamed berkata, pendirian baru AS berkaitan penempatan Israel di Palestin adalah tidak masuk akal dan akan menggalakkan negara lain untuk merampas tanah orang lain.
Mengulas kenyataan terbaru Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, yang mengumumkan pentadbiran presiden AS Donald Trump tidak beranggapan yang penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram, Mahathir menyifatkan pendirian itu sebagai mengarut dan terang-terangan tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB.

28 November 2019

Mahkamah Israel sokong dakwaan Israel dalam menentang Syeikh Salah

Mahkamah Majistret Israel di Haifa pada hari Ahad lalu mensabitkan Sheikh Ra’ed Salah atas kesalahan menghasut dan menyokong Gerakan Islam cawangan utara yang telah diharamkan.
Keputusan mahkamah bagaimana pun belum lagi dikeluarkan terhadap Sheikh Salah berikutan sabitan tersebut.
Sheikh Salah, pejuang ternama Masjid Aqsa, dikelilingi oleh penyokong-penyokongnya ketika tiba di mahkamah pada hari Ahad, termasuk penggubal undang-undang dari Senarai Bersama empat parti yang kebanyakannya dari Arab. Berikutan keputusan tersebut, penyokong Salah melaungkan “Kami akan mengorbankan nyawa kami untuk Aqsa,” menurut laman web Ynet.
Salah adalah ketua Cawangan Utara Pergerakan Islam di Israel, yang telah diharamkan oleh Israel pada tahun 2015 atas dakwaan mempunyai hubungan dengan kumpulan penentang Palestin, di samping tuduhan-tuduhan lain.

29 November 2019

Seruan Solidariti Untuk Tahanan Palestin pada hari Jumaat 

Kesatuan Pemuda Intifada Palestin mengajak seluruh penduduk bangsa Palestin untuk turun ke jalan bagi mempamirkan solidariti terhadap para tahanan di dalam penjara  Israel. Ia juga sebagai bantahan terhadap kependudukan yang masih berlaku di wilayah jajahan.
Dalam sebuah pernyataan akhbar, kesatuan tersebut mengatakan, “Kami mengundang anda pada hari Jumaat bagi mempamirkan kemarahan semua kampung, kem dan bandar-bandar  Palestin terhadap tindak tanduk rejim Zionis yang secara sewenang-wenangnya menahan warga Palestin di penjara mereka dan melaksanakan kekerasan terhadap mereka yang dipenjarakan, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kenyataan itu juga menambah, “mulai hari Jumaat 29 November, kami tidak akan meninggalkan tahanan kami bersendirian di penjara Israel. Kami juga menolak tindakan pemerintah Amerika Syarikat dalam menghalalkan pendudukan haram Yahudi di atas tanah-tanah kami yang berdaulat dan tercinta”.


Wallahu’alam (MMO)




No comments:

Post a Comment