Monday, December 9, 2019

DIARI KEHIDUPAN IV : ROHINGYA


Kesesakan yang kian berlaku di kawasan kem pelarian

Tempoh sepanjang bulan November 2019 tidak memperlihatkan banyak kemajuan yang diharapkan dari sudut penyelesaian masalah etnik Rohingya, khususnya masalah yang dihadapi oleh lebih 700,000 pelarian tersebut di Bangladesh pada masa ini.

Harapan untuk melihat mereka pulang ke kampung halaman di Rakhine, Myanmar yang ditinggalkan lebih tiga tahun yang lalu sehingga kini belum begitu menyakinkan, sebahagian besarnya berpunca dari tiadanya jaminan keselamatan terhadap diri dan keluarga daripada pihak berkuasa Myanmar.

Dalam masa yang sama, di sebalik adanya kecaman dan usaha antarabangsa untuk membantu kepulangan pelarian Rohingya dari Bangladesh, kerajaan Myanmar secara berterusan didapati mengambil pendirian untuk mempertahankan tindakan mereka dengan berselindung di sebalik slogan menanggani pengganasan, bukannya melanggari hak asasi kemanusiaan.

Di kawasan penempatan mereka di Coxs Bazar, Bangladesh, pelarian Rohingya terus dibebani dengan seribu satu masalah yang berpunca daripada kesesakan ruang di dalam kawasan kem, bekalan air dan elektrik yang terhad, masalah kebersihan, tiada atau kurangnya peluang pendidikan yang disediakan kepada kanak-kanak pelarian, dan tidak kurang, masalah jenayah termasuk dadah dan penginayaan di pihak berkuasa terhadap hak asasi mereka sebagai pelarian  yang cuba mencari perlindungan keselamatan.

Berikut ini, adalah beberapa lagi rangkaian kesulitan yang dihadapi oleh saudara seagama kita itu untuk kita renungi dan insafi.

1 Oktober 2019

Pelarian Rohingya terus terdedah kepada bahaya demi mendapatkan perlindungan : UNHCR

Pelarian dari Asia Tenggara, yang kebanyakannya terdiri daripada etnik minoriti Rohingya Myanmar, terus membahayakan nyawa mereka demi untuk mencari perlindungan keselamatan; demikian menurut satu laporan baru oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang turut mendedahkan angka kematian yang jauh lebih tinggi sepanjang tahun lepas berbanding tahun-tahun lain sebelumnya.

Laporan yang dikeluarkan oleh agensi pelarian PBB (UNHCR) mengatakan satu orang daripada setiap 69 pelarian dan pencari suaka yang memulakan perjalanan laut tahun lalu meninggal dunia atau hilang di laut.

Pada tempoh antara tahun 2013 hingga 2015, iaitu tempoh kemuncak krisis pelarian Rohingya, kadar tersebut berada kedudukan 1 orang daripada setiap 81 orang pelarian.

UNHCR berpendapat selagi punca utama yang menyebabkan berlakunya masalah pelarian tidak dapat diselesaikan, etnik Rohingya akan terus terpaksa melakukan perjalanan berbahaya demi untuk mencari perlindungan keselamatan bagi diri dan keluarga mereka.

Justeru, UNHCR merayu kepada negara-negara di rantau itu untuk menyediakan "laluan yang teratur dan selamat" untuk mengurangkan bahaya kepada pelarian yang cuba mencari perlindungan.

Laporan tersebut juga menyebutkan walaupun bilangan keseluruhan etnik Rohingya yang cuba membuat perjalanan keluar dari Myanmar menurun, kadar kematian bagaimanapun telah meningkat, sambil menambah bahawa antara Januari dan Jun tahun ini, 15 orang lagi telah mati ketika cuba melintasi lautan dan sungai.

UNHCR juga mengesyakki angka tersebut berkemungkinan adalah lebih besar memandangkan banyak kes kematian yang berlaku tidak dilaporkan.

Laporan UNHCR itu juga menyebutkan pada tahun-tahun ketika memuncaknya krisis pelarian, penyeludup manusia mungkin dipersalahkan kerana menjadi punca kepada kebanyakan kematian akibat serangan, luka tembakan atau kekurangan makanan dan air semasa perjalanan.
Bagaimanapun sejak 2018, punca utama kematian atau kehilangan di laut adalah disebabkan oleh masalah penyelenggaraan di dalam kapal-kapal yang dinaiki dengan banyak kapal tidak diselenggarakan oleh krew yang profesional dan tidak dibina untuk atau dilengkapi untuk membuat perjalanan yang panjang dan selamat bagi pelarian.

8 Oktober 2019

PBB, NGO antarabangsa digesa berusaha keras untuk mendidik anak Rohingya

Sekumpulan pendidik dari kalangan pelarian Rohingya, buat pertama kali, telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan NGO antarabangsa yang ditugaskan untuk memberi pendidikan kepada kira-kira setengah juta kanak-kanak pelarian Rohingya yang tinggal di kem-kem di Cox's Bazar, Bangladesh.

Dalam pertemuan itu, mereka mempersoalkan para pegawai PBB dan NGO antarabangsa berkenaan tentang usaha yang dikatakan perlahan untuk memberi pendidikan formal kepada pelarian, tiadanya kurikulum Myanmar di kem, dan kurangnya konsultasi dengan masyarakat.

"Dua tahun kita tinggal di perkemahan tanpa akses kepada pendidikan, mengapa ini?" kata Khin Maung, seorang aktivis pemuda Rohingya yang berada di mesyuarat itu.

"Kami menghadapi begitu banyak masalah di sini, kami memerlukan pendidikan supaya kami tidak mempunyai generasi yang hilang."

Di bawah garis panduan PBB, kanak-kanak pelarian sepatutnya diajar sama ada kurikulum negara tuan rumah atau tanah air mereka.

Dalam kes Rohingya, kerajaan Myanmar enggan membenarkan kurikulumnya digunakan bagi tujuan pembelajaran anak-anak pelarian di Bangladesh.

Kurikulum yang digunakan sebelum ini di sekolah-sekolah kerajaan di Bangladesh, yang hanya sebahagiannya diluluskan bagi tujuan pembelajaran anak-anak pelarian sepatutnya memberikan penyelesaian sementara manakala PBB dan NGO antarabangsa untuk untuk meyakinkan sama ada kerajaan Bangladesh atau Myanmar untuk membenarkan kurikulum mereka digunakan oleh sekolah di kem. 

Bagaimanapun, para pendidik menaruh sangsi perkara tersebut akan bakal berlaku. Justeru itu mereka menggesa supaya semua pihak yang diberikan peranan dalam menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya supaya lebih serius dan bertanggung jawab dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka .

11 Oktober 2018

Myanmar penjara 21 etnik Rohingya dan menahan kanak-kanak kerana cuba melakukan perjalanan keluar dari Rakhine

Seorang kanak-kanak berumur lima tahun adalah antara 30 etnik Rohingya yang telah ditangkap di Myanmar kerana cuba melakukan perjalanan ke bandar utama Yangon dari negara barat Rakhine, di mana mereka berada di kalangan beratus-ratus ribu yang terkurung di kem-kem yang dikawal oleh pihak berkuasa Myanmar.

Dua puluh satu orang dewasa dari kumpulan tersebut dipenjara pada minggu lepas selama dua tahun di bawah undang-undang tidak memiliki kad pengenalan selepas perbicaraan selama satu hari di mana mereka dilaporkan menafikan pertuduhan yang dibuat ke atas mereka.

Lapan daripada kanak-kanak itu telah dihantar ke "sekolah latihan" di Yangon manakala pihak berkuasa mengatakan mereka masih membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan dengan kanak-kanak berusia lima tahun itu.

"30 lelaki, wanita dan kanak-kanak ini dihukum semata-mata kerana mahu mencari jalan keluar dari kekejaman sehari-hari yang telah mereka alami selama bertahun-tahun," kata Brad Adams, pengarah Human Rights Watch di Asia.

Rohingya, yang kebanyakannya Muslim, sering ditangkap kerana cuba meninggalkan negara Rakhine, di mana puluhan ribu orang telah ditempatkan di kem-kem yang dikawal ketat sejak melarikan diri dari rumah mereka selepas pihak tentera melancarkan operasi ketenteraan pada tahun 2012.

Mereka yang tinggal di kampung-kampung di luar kem juga menghadapi sekatan yang sangat ketat untuk meninggalkan kawasan kediaman mereka sedangkan jiran mereka yang kebanyakannya terdiri daripada komuniti Buddha-Rakhine dibenarkan bergerak dengan lebih bebas.

20 Oktober 2019

Pelarian Rohingya setuju pindah ke pulau Bangladesh

Ribuan etnik Rohingya yang tinggal di kem pelarian Bangladesh dilaporkan bersetuju untuk berpindah ke sebuah pulau di Teluk Bengal, menurut pihak berkuasa, walaupun wujud kebimbangan kawasan itu cenderung kepada banjir.

Dhaka sejak sekian lama mahu memindahkan 100,000 pelarian ke pulau lumpur itu bagi mengurangkan kesesakan di kem sempadan sesak di mana hampir sejuta etnik Rohingya tinggal.
Pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Mahbub Alam berkata, pihak berkuasa yang memantau pemindahan akan dihantar ke pulau Bhashan Char, beberapa hari lagi.

“Kira-kira 6,000 hingga 7,000 pelarian sudah menyuarakan kerelaan dipindahkan ke Bhashan Char,” kata Alam sambil menambah jumlah pelarian bersetuju ‘kian meningkat’.

Beliau tidak menyatakan bila pelarian itu akan dipindahkan, namun pegawai kanan tentera laut yang terbabit dalam membina kemudahan di pulau itu berkata, proses pemindahan mungkin bermula menjelang Disember dengan 500 pelarian akan dihantar setiap hari.

Banyak kumpulan hak asasi memberi amaran pulau yang baharu muncul dari laut kira-kira dua dekad lalu itu mungkin tidak mampu menahan ribut kuat, ketika musim monsun tahunan.

Sejak separuh dekad lalu, ribut siklon kuat mengorbankan ratusan ribu penduduk di sungai Meghna yang terletak di pulau itu. 


 Pulau yang akan menjadi kawasan penempatan baru pelarian Rohingya

    
22 Oktober 2019

Penghantaran pulang etnik Rohingya mungkin bermula tahun depan

Proses penghantaran pulang etnik Rohingya ke Rakhine, Myanmar berkemungkinan dilaksanakan pada tahun hadapan, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata usaha membantu golongan itu pulang ke negara asal telah mula dilaksanakan oleh Pasukan Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang diketuai Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, selaku negara yang mengetuai ASEAN tahun ini.

"Pasukan khas ini akan ke Myanmar pada hujung bulan ini untuk berbincang bagaimana kaedah paling cepat untuk membantu masyarakat Rohingya pulang dengan sasarannya bermula awal tahun depan. 

"Kita tidak tahu berapa laju proses ini boleh dilaksanakan, namun ia harus dimulakan kerana selagi tiada permulaan, selagi itu masalah melibatkan pelarian Rohingya tidak selesai.  

"... penting untuk kita membantu golongan ini pulang ke negara asal kerana jika tidak, ia membenarkan penghapusan etnik yang sedang berlaku," katanya.

Saifuddin menambah antara tindakan yang dijangka akan dilaksanakan oleh pasukan khas itu ialah menubuhkan sebuah pasukan pemantau bagi memastikan keselamatan masyarakat Rohingya di Myanmar. 

Katanya, kewujudan pasukan pemantau penting memandangkan masyarakat Rohingya bimbang untuk pulang kerana ramai yang diseksa dan ditahan, menyebabkan mereka terus mengambil risiko menjadi pelarian di negara asing. 

Risiko keselamatan juga menyebabkan terdapat kira-kira sejuta masyarakat Rohingya di Bangladesh, yang turut dibantu kerajaan Malaysia menerusi pelaksanaan hospital medan di Wilayah Cox's Bazar atas dasar perikemanusiaan, katanya. 

Beliau seterusnya menambah Malaysia akan terus mendesak supaya mereka yang terlibat termasuk beberapa pegawai tinggi tentera Myanmar yang dikatakan bertanggungjawab dalam krisis Rohingya dihadapkan ke muka pengadilan. 


Wallahu'alam (MMO)




No comments:

Post a Comment