Friday, December 22, 2017

“SIAPA BESAR” DALAM ISU UNDIAN RESOLUSI BERKAITAN BAITULMAQDIS DI PBB

Sebagaimana yang dijangkakan, resolusi menentang pendirian Amerika Syarikat (AS) dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu bagi Israel akhirnya diluluskan dalam undian di Sidang Tergempar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 21 Disember 2017. Dalam pengundian itu, 158 negara anggota menyokong resolusi bekenaan, 9 menentang dan 35 negara berkecuali.

Sidang tergempar tersebut diadakan atas permintaan Turki dan Yaman sebagai mewakili negara anggota Liga Arab dan juga Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Resolusi dibawa ke Sidang Tergempar setelah ianya ditolak melalui kuasa veto oleh AS di peringkat undian Majlis Keselamatan. AS menentang keras penganjuran sidang tergempar tersebut. Presidennya, Donald Trump malah memberi kata dua akan memotong bantuan AS kepada mana-mana negara penerima yang didapati mengundi bagi menyokong resolusi tersebut.

Dalam hubungan ini, ada pandangan mengatakan bilangan negara yang berada dalam kumpulan yang berkecuali itu tidaklah akan sebesar yang ada jika tiadanya katadua di pihak Trump itu. Hal ini jika diteliti memang ada kebenarannya kerana selain negara yang sedia mempunyai kepentingan tradisi dengan AS, negara-negara lain itu adalah terdiri daripada negara-negara kecil yang masih kuat pergantungannya kepada bantuan kewangan dari AS. 

Keseluruhan pembahas yang diberi peluang berucap sebelum pengundian dilakukan telah mengulangi fakta betapa resolusi-resolusi PBB sebelum ini berkaitan penyelesaian isu Palestin-Israel perlu dihormati, tidak harus diubah atau dicemari dengan penyelesaian yang tidak mengikut persetujuan yang telah dicapai. 

Antara resolusi khusus yang dimaksudkan itu adalah Resolusi 478 tahun 1980 yang melarang Israel membuat sebarang tindakan atau undang-undang yang berkait dengan perubahan kepada status Baitulmaqdis. Sebarang perubahan status itu dianggap sebagai pelanggaran kepada undang-undang antarabangsa. 

Dengan apa yang berlaku sekarang - cadangan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baharu, ianya amat jelas akan mengubah status Baitulmaqdis, sekali gus melanggar Resolusi 478 itu. Inilah asas pendirian dan hujah yang dipegang oleh negara-negara yang menentang tindakan AS dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Malah adalah menjadi hasrat antarabangsa agar rundingan damai Palestin-Israel dapat diteruskan dengan setiap pihak menghormati segala asas persetujuan yang diterima sebelum ini. Juga menjadi matlamat antarabangsa agar penyelesaian isu Palestin-Israel kelak akhirnya akan membawa kepada pengwujudan dua buah negara yang bebas dan merdeka serta saling hormat menghormati antara mereka. Malangnya dengan perkembangan yang berlaku sekarang, matlamat tersebut sebenarnya masih terlalu jauh untuk dapat dicapai.

Dan kini, dengan Sidang Tergempar PBB menerima resolusi menentang Baitulmaqdis untuk dijadikan ibu negara Israel, kemenangan sekali lagi, bukan sahaja berpihak kepada Palestin, tetapi juga kepada kehendak majoriti negara anggota di PBB. Namun, apakah ianya akan menjadi sesuatu yang menjaminkan dan memberi makna dari sudut perlaksanaannya? Itulah yang menjadi tanda tanya. 

AS tidak melihat resolusi tersebut sebagai sesuatu yang boleh menghalangnya untuk meneruskan apa yang telah dirancang olehnya. Apa lagi ianya dari sudut perundangan, tidak mempunyai ikatan undang-undang (legal binding) yang memerlukan kepada pematuhannya. 

Dari satu sudut lain, kita sebenarnya perlu menaruh bimbang dan curiga, pentadbiran Trump yang baru berusia setahun jagung, yang sedia tercabar dan tercalar dengan tentangan dunia terhadap keputusannya - berkemungkinan akan menyegerakan apa yang diungkapkannya bagi menunjukkan “siapa dia yang sebenarnya”. Dengan kata lain, mungkin wujud kecenderungan di pihak Trump untuk mencabar PBB dan beberapa kuasa besar lain di dalamnya yang dilihat tidak akan mampu berbuat apa-apa bagi menyekat AS daripada merealisasikan apa yang diimpikannya. 

Hal ini jika berlaku sudah pasti akan memberi kesan yang buruk terhadap masa depan Palestin, apa lagi mengambil kira AS yang selama ini menjadi harapan bagi membawa penyelesaian kepada masalah yang ada kini bukan sahaja tidak lagi akan dapat berperanan sebagai perantara, malah kini berdiri megah di pihak Israel – bersama-sama melanggari norma-norma serta kehendak antarabangsa bagi memelihara kepentingan bersama.

*****

No comments:

Post a Comment