Friday, December 22, 2017

BAHAGIAN II - ULASAN TITAH


 "Hubungan Raja dengan rakyat tidak ada tembok pemisah antara mereka"

(Petikan Titah Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddein, Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam,  sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan  Baginda pada 14 Muharram 1439/5 Oktober  2017).

Tidak Ada Tembok Pemisah

Titah Baginda Sultan ini seperti “anugerah” sebatang  anak kunci emas kepada rakyatnya supaya berganding bahu bersama baginda memasuki fasa baru pembangunan negara pasca Jubli Emas pemerintahan Baginda. Ke arah itu Baginda memberi jaminan bahawa “hubungan raja dengan rakyat tidak ada  tembok pemisah”. Baginda juga berikrar untuk berlaku adil kepada rakyat dan sebaliknya menyeru rakyat untuk mentaati baginda.  

Dalam hubungan ini pendekatan mencemar duli bermesra dengan rakyat bukanlah segalanya dalam usaha menambat hati dan kesetiaan rakyat. Walaupun pada hakikatnya, amalan Kebawah DYMM melalui lawatan mengejut dan turun padang bergaul mesra bersama rakyat jelata bertujuan memecah tembok pemisah antara raja dengan rakyat boleh membawa impak postif dan besar pengaruhnya kepada batang tubuh Baginda, namun seperti iman seseorang, penerusannya tidak boleh dijamin terpakai kepada orang lain. Antara lain perkataan, kesetiaan dan kasih sayang rakyat kepada Baginda sekarang tidak semestinya boleh diturunkan kepada penggantinya.  

Justeru, selain dari jaminan keamanan dan pemeliharaan kemakmuran datangnya daripada  Allah Azawajaalla, jaminan kesetiaan rakyat ke atas pemerintahan dan institusi pemerintahan itu juga adalah penting, dan pada adatnya adalah yang paling berkesan dan mantap. Kebergantungan power base hanya kepada egensi perisikan dan pasukan keselamatan sahaja adalah suatu yang rapuh. Lihat saja keadaan di luar sana. Justeru ke arah meraih kesetiaan sejati rakyat, hak rakyat ke atas pemerintahan hendaklah ditunaikan khususnya dari aspek kebajikan, politik, legislatif dan perundangan. 

Sekiranya persoalan penyertaan rakyat secara menyeluruh dan legitimate tidak ditangani dengan telus dan tuntas, adalah dibimbangi kemungkinan ianya akan mengancam kestabilan dan keselamatan negara pada masa akan datang ketika mana regim pemerintah  berkedudukan lemah. 

Oleh yang demikian, pendekatan  “tidak ada tembok pemisah” yang  dirakamkan  itu perlu ditanggapi secara menyeluruh merangkumi bukan setakat aspek lahiriah semata-mata, tetapi ianya menuntut kepada penghayatan yang bersifat maknawi. Ini membawa maksud bahawa segala bentuk hambatan, kekangan dan hijab yang menyekat dan membatasi penyertaan rakyat dalam erti kata yang sebenar dalam seluruh aspek bernegara hendaklah diangkat. 

Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang bersifat restriktif dan membantutkan aspirasi, semangat, pemikiran intelek dan kemampuan rakyat hendaklah dikaji semula dan diberikan ruang ke arah memenuhi tuntutan dan prinsip keterbukaan dan keadilan sejagat berpaksikan syariat Islam.

Legasi Untuk Generasi Hadapan

Pengekalan undang-undang darurat atau apa jua peraturan sebagai instrumen pengukuhan kekuasaan yang bertentangan dengan syariat adalah antitesis terhadap intipati dasar kebersamaan raja dan rakyat. Walaupun instrumen sedemikian selama ini berjaya berfungsi sebagai tunggak yang menopang kesinambungan kekuasaan, akan tetapi pada  hakikatnya ianya bukanlah  tunjang kekuasaan yang sejati. Sebaliknya, ianya telah membentuk dinding pemisah yang menumpulkan deria politik rakyat dan dalam masa yang sama memandulkan aspirasi mereka untuk sama-sama mencorak masa depan negara. Natijahnya kesetiaan rakyat akan  terbentuk rapuh dan boleh beraleh ke sudut pandang yang lain. 

Dari sudut strategik, kerajaan Kebawah DYMM sekarang ini mempunyai ruang dan peluang seluas-luasnya untuk menyambut dan meraikan penyertaan rakyat secara substantive dan legitimate khususnya dalam menggubal dasar dan membuat keputusan melalui sistem perkongsian kuasa yang tidak bercanggah dengan syariat.

Kesempatan Kebawah DYMM disanjung dan dijulang rakyat kini, dan  sementalah negara masih mewah dan makmur, maka sewajarnya kesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya kerana persepsi semasa dan kecenderungan rakyat yang positif pada masa kini amat kondusif kepada perubahan struktur partisipasi  yang substantive dan bertangungjawab. Langkah berani ini selayaknya menjadi satu lakaran sejarah, dan bakal mencipta legasi Kebawah DYMM. Insyaallah, legasi ini seterusnya akan menjamin kesinambungan, kesejahteraan dan keamanan yang kekal qarar yang akan diwarisi dan dinikmati oleh ulil amri turun temurun dan generasi seterusnya.

*****


No comments:

Post a Comment