LIMBARUH HIJAU,
KHAMIS 14 DISEMBER 2017: PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) menyokong sepenuhnya
titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal
Bolkiah Mu’izzaddin, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
berkaitan status Al-Quds Asy- Sharif yang coba diisytiharkan secara unilateral
sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat.
KDYMM Baginda Sultan
dalam titah di Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)
telah menyatakan sokongan Brunei Darussalam pada Pernyataan (Communique) dan
Deklarasi Istanbul. Dalam Pernyataan tersebut, negara-negara anggota OIC telah
mengambil kata sepakat dan ketetapan untuk mengisytiharkan Al-Quds Asy-Sharif
sebagai ibu negara Palestine, menolak tindakan unilateral pentadbiran Amerika
Syarikat sebagai berbahaya dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengikuti
langkahnya.
Baginda Sultan dalam
titah juga menekankan sokongan Brunei Darussalam pada semua resolusi PBB dan
bersama-sama dengan komuniti antarabangsa dalam menyatakan kebimbangan dalam
apa jua perubahan pada status quo Baitul Maqdis.
Sehubungan dengan
itu, NDP sukacita menjunjung kasih ke hadapan Majlis Baginda bagi merakamkan
setinggi-tinggi ucapan tahniah atas kurnia titah di Sidang Kemuncak Luar Biasa
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul dan menyokong pendirian Baginda
bahawa solusi dua negara haruslah dirundingkan dan kesepakatan hendaklah
dicapai oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung.
NDP juga berkongsi
pandangan dengan baginda yang telah menekankan bahawa inilah solusi jangka
panjang yang dapat dilaksanakan bagi mencapai satu Negara Palestin yang merdeka
dengan Baitul Maqdis Timur selaku ibu negaranya.
Kebawah DYMM juga
bertitah bahawa solusi yang adil dan berpanjangan pada nasib penduduk Palestin
adalah sangat diharapkan dan ia sudah sekian lama tertangguh. Baginda
seterusnya menyatakan bahawa kesatuan dan perpaduan ummah Islam adalah
sangat-sangat penting pada masa ini berbanding dengan sebelumnya.
(Petikan dari Laman Sesawang NDP)
(Petikan dari Laman Sesawang NDP)
No comments:
Post a Comment