Wednesday, April 20, 2022

DIARI KEHIDUPAN : KEINDAHAN RAMADHAN YANG DINODAI YAHUDI


Suasana kejadian pada 15 April di Masjid Al-Aqsa

Sebagaimana yang sering kita paparkan melalui beberapa artikel yang lalu, antara kezaliman dan kekerasan yang dilakukan oleh puak Yahudi ke atas Palestin ialah tindakan mencerobohi Masjid Al-Aqsa - bukan sahaja setakat kawasan di pesekitarannya, malah menjangkau ke kawasan di dalamnya dengan tujuan untuk menghalang umat Islam Palestin daripada mengerjakan solat dan lain-lain aktiviti keagamaan di dalamnya. 

Pada masa-masa tertentu pula, pihak berkuasa keselamatan Yahudi bertindak menyekat umat Islam Palestin daripada memasuki Masjid Al-Aqsa dengan pelbagai alasan seperti faktor keselamatan dengan mengadakan halangan dan sekatan di pintu-pintu masuk ke masjid tersebut. 

Dalam pada itu, pihak polis Israel sering juga mengenakan pergerakan terhad bagi mereka yang mahu memasuki masjid berkenaan seperti menghalang kumpulan mereka yang muda dan berumur belia dengan alasan bagi mengelakkan jemaah daripada mengadakan rusuhan dan kekacauan. 

Ini belum dihitung lagi peristiwa-peristiwa pencerobohan peneroka Yahudi yang menceroboh masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa di bawah perlindungan pihak polis Yahudi. Peristiwa-peristiwa sebegini boleh dikatakan berlaku hampir setiap 2-3 hari sekali dengan pendatang Yahudi dalam bilangan antara 50 - 100 orang masuk secara beramai-ramai sehingga menggangu kehadiran jemaah yang mahu mengerjakan solat. Seringkali juga tindakan mereka itu telah mengundang resah dan ketegangan dengan para jemaah Islam sehingga mencetuskan pergaduhan di antara mereka.

Dan di dalam setiap pergaduhan atau pertempuran yang berlaku itu, pihak polis Yahudi seringkali menyebelahi puak penceroboh Yahudi dengan bertindak menahan jemaah Islam, termasuk wanita. Semua itu, termasuk halangan-halangan keselamatan yang dilakukan terhadap para jemaah Islam yang ingin memasuki Masjidil Aqsa sengaja dilakukan oleh pihak keselamatan Israel dengan tujuan untuk menakutkan jemaah Islam Palestin daripada memasuki Masjidil Aqsa. 

Terbaru, sepertimana juga peristiwa yang sering berlaku dalam bulan-bulan Ramadhan yang lain, pihak keselamatan Yahudi telah melancarkan gerakan jahat mereka dengan menggempur Masjid Al- Aqsa pada pagi Jumaat, 15 April lalu, tatkala puluhan ribu umat Islam Palestin hadir memenuhi Masjidil Aqsa bagi melaksanakan solat Subuh.


Alasan yang diberikan oleh pihak polis Israel adalah bagi mengelakkan kekacauan daripada berlaku di masjid berkenaan dan kawasan sekitarnya - suatu alasan yang sebenarnya sudah lapok dan digunakan secara berulang kali pada setiap kali serbuan dilakukan ke atas jemaah Palestin yang hadir bagi mengerjakan solat di masjid tersebut.

Apa yang sebenarnya berlaku ialah pihak keselamatan Yahudi ‘cemburu’ dan tidak mahu melihat kehadiran begitu ramai para jemaah Palestin di Masid Al-Aqsa kerana ini boleh merencatkan perancangan mereka untuk menguasai masjid berkenaan. Kehadiran ramai jemaah yang berlaku secara konsisten pada tafsiran Yahudi cuma boleh menguatkan bukti penguasaan Palestin ke atas masjid tersebut yang sekaligus bakal menafikan penguasaan Yahudi ke atas Baitumaqddis dan Al-Aqsa.

Jika boleh, Zionis Israel dipercayai mahu melihat semakin kurang jemaah Islam Palestin mengunjungi Masjid Al-Aqsa sehingga masjid berkenaan kelak terbiar dan tidak berfungsi lagi. Jika ini berlaku, ianya kelak boleh membuka jalan kepada Yahudi untuk menuntut masjid tersebut sebagai hak dan untuk kegunaan mereka pula. Maka atas sebab itulah juga, peneroka Yahudi didapati aktif dalam tindakan mereka menceroboh masuk ke halaman Masjidil Aqsa, termasuk ada kalanya mengerjakan aktiviti keagamaan mereka di perkarangan Masjidil Aqsa. Tujuannya adalah untuk menunjukkan bahawa mereka juga mempunyai hak untuk beribadat di dalam masjid suci tersebut.

Akibat daripada tindakan tidak berhati perut pihak keselamatan Israel itu, sekurang-kurangnya 115 rakyat Palestin telah mengalami kecederaan semasa tentera Israel memecah masuk kawasan masjid selepas waktu subuh dan menyerang umat Islam yang sedang berada di ruang solat. 

Sementara itu, ada juga laporan yang menyebutkan seramai lebih dari 100 jemaah Islam Palestin telah ditahan oleh pihak polis Israel kerana didakwa telah mencetuskan kekacauan di perkarangan masjid berkenaan, termasuk dengan melakukan provokasi serta menyerang pihak polis.

Demikianlah suasana yang telah terjadi, dan tidak mustahil, mungkin akan berulang lagi memandangkan umat Islam akan memasuki fasa akhir Ramadhan yang menuntut umat Islam meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan mengimarahkan lagi aktiviti Masjid dan surau-surau sempena menyambut turunnya Lailatul Qadar. 

Pengalaman yang lalu menunjukkan tidak ada Ramadhan yang tidak diganggu di bumi Palestin, khususnya di Masjidil Aqsa. Dan Ramadhan kali ini yang bertembung pula dengan perayaan agama Kristian dan Yahudi, telah mengundang pertembungan dari sudut hak setiap agama untuk mendapat kesempatan beribadat di tapak suci ketiga bagi umat Islam di Baitulmaqddis itu. 

Tambah mengalutkan keadaan, suasana perang Russia-Ukraine yang masih belum reda telah menuntut dunia untuk memberikan perhatian kepada penyelesaian isu berkenaan - sekaligus mengalihkan pandangan badan dunia untuk memberikan perhatian terhadap isu Palestin. Inilah yang membimbangkan kita kerana ‘kelompongan’ ini telah memberi kesempatan kepada rejim Zionis Israel untuk mengganyang dengan lebih parah umat Islam Palestin dan beberapa lokasi mulia Islam di sana terutama Baitulmaqddis!.

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (solat dan) menyebut nama Allah di dalamnya dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.  (Al-Baqarah : Ayat 114)


Wallahu a’alam (MMO)



Thursday, March 24, 2022

DIARI KEHIDUPAN : PALESTIN DI SUKU TAHUN PERTAMA 2022

 

Pihak berkuasa Israel meratakan tanah warga Palestin bagi tujuan membina pos kawalan

Tempoh suku tahun pertama 2022, sepertimana juga dengan tempoh-tempoh tahun yang sebelumnya, tidaklah memperlihatkan kemajuan yang banyak dari sudut penyelesaian secara tuntas isu Palestin. 

Di pentas antarabangsa, tiada usaha yang benar-benar berkesan diambil oleh mana-mana pihak, baik dari kalangan negara atau pertubuhan dunia Islam, apa tah lagi badan-badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sehingga kini, tidak mampu mengubah pendirian serta tindak-tanduk Israel terhadap Palestin.

Kehidupan harian warga Palestin terus dibaluti dengan penindasan dan kezaliman yang dilakukan oleh penjajah Yahudi yang secara jangka pendeknya, bertujuan untuk mengganggu-gugat keamanan hidup warga Palestin, dan secara jangka panjangnya, mahu mengusir mereka keluar dari kampung halaman supaya tanah mereka dapat dirampas dan ditukar hak milik mereka.

Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam tempoh liputan - untuk kita tatapi dan hayati, biarpun sekadar meningkatkan keinsafan dan simpati terhadap perjuangan saudara seagama kita yang tidak berpenghujung itu.

Catatan peritiwa ini bagaimanapun tidak memasukkan aspek pencerobohan secara berterusan pelampau Yahudi ke atas Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya kerana ianya boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari tanpa adanya kawalan dan pencegahan di pihak polis Israel, yang sebaliknya, cuba memberi perlindungan kepada mereka untuk masuk ke perkarangan masjid suci berkenaan. Dalam kebanyakan  kejadian, bilangan mereka dianggarkan antara 50-150 orang yang masuk mencemari perkarangan Masjidil Aqsa di bawah perlindungan polis Israel, termasuk bagi mengerjakan ibadat agama Yahudi “Talmud”.

4 Januari 2022

Hamas kecam pertemuan Mahmoud Abbas - Benny Gantz

Gerakan Hamas mengecam sekeras-kerasnya pertemuan presiden Palestin Mahmoud Abbas dengan Menteri perang Israel, Benny Gantz, dan menyifatkan tindakan itu sebagai menikam dari belakang terhadap intifada pemuda Palestin di Tebing Barat.

Dalam kenyataannya kepada pihak media, Hamas berkata yang Abbas bertemu Gantz tanpa mengambil kira penjajahan yang sedang berlaku terhadap rakyatnya di Tebing Barat, serta menekankan yang rakyat Palestin daripada pelbagai lapisan mengutuk dan menolak perlakuan tersebut.

Ia turut menyatakan yang tindakan Abbas bakal menambahkan perpecahan politik dalaman Palestin, memburukkan situasi yang ada dan menggalakkan pihak-pihak lain untuk menormalisasikan hubungan dengan rejim Yahudi. Ia juga dibimbangi mungkin boleh melemahkan pendirian Palestin dan beberapa negara Arab yang lain dalam menolak normalisasi hubungan Arab-Israel.

6 Januari 2022 

Rejim Israel rosakkan kemudahan asas warga Palestin

Rejim Israel telah bertindak merobohkan beberapa kemudahan asas milik warga Palestin di Khirbet Ibziq, utara Tubas.

Aktivis hak asasi manusia Palestin, Aref Daraghmeh berkata rejim Israel telah merobohkan empat buah khemah dan beberapa peralatan pertanian serta memusnahkan sepuluh tan makanan ternakan.

Minggu lepas, pejabat PBB untuk Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) mengeluarkan sebuah laporan dalam mendokumenkan pencabulan hak asasi manusia oleh rejim Israel dan menyatakan bahawa sejumlah rumah dan bangunan milik warga Palestin telah dimusnahkan atau dirampas, dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal pada 2021 menunjukkan pertambahan masing-masing 21 dan 28 peratus, berbanding angka yang setara pada 2020.

10 Januari 2022 

Pemuda Palestin menderita akibat gas pemedih mata

Berpuluh pemuda warga Palestin menderita akibat pendedahan kepada gas pemedih mata semasa pertempuran dengan tentera rejim Israel dan puak penceroboh Yahudi di perkampungan Qaryut, selatan Nablus pada 5 Januari lalu.

Menurut sumber tempatan, sekumpulan penceroboh Yahudi menyerang mata air perkampungan tersebut dan projek pertaniannya sehingga menyebabkan kemusnahan pada pintu dan pagarnya.

Aktivis tempatan, Bashar Qaryuti berkata penduduk tempatan bersegera ke mata air tersebut untuk melindunginya dan menghalau penceroboh sebelum tentera rejim Israel masuk campur untuk melindungi penceroboh dan mula melepaskan bom gas pemedih mata ke arah penduduk kampung.

10 Januari 2022 

Hamas tidak akan berdiri diri dengan isu sekatan Israel

Anggota biro politik Hamas, Husam Badran menegaskan bahawa Hamas tidak akan berdiam diri dalam menghadapi isu sekatan Israel di Semenanjung Gaza.

Dalam kenyataan akhbar kepada agensi berita Anadolu, Badran berkata bahawa hari-hari mendatang akan membuktikan kepada semua orang bahawa pihak penentang itu (Hamas) tidak akan mengecewakan rakyatnya, sambil menambah bahawa “kepimpinan penentang menghantar mesej jelas bahawa Pedang Baitulmaqdis masih terhunus.”

Beliau menegaskan bahawa semua percubaan Israel untuk mengelak daripada mencapai persefahaman terakhir mengenai gencatan senjata ke atas Gaza tidak akan berhasil, sambil menambah bahawa Hamas sentiasa berhubung dengan Mesir dan beberapa orang tengah untuk meredakan sekatan ke atas Gaza.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa hubungan Pergerakannya dengan pengantara masih belum membuahkan sebarang kemajuan ketara yang boleh dirasai oleh penduduk Gaza, terutamanya berkaitan usaha pembinaan semula.

Beliau juga turut mengulangi penolakan pergerakan tersebut terhadap sebarang prasyarat Israel untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan di Gaza atau mengadakan perjanjian pertukaran tahanan.

12 Januari 2022

Lagi rampasan tanah warga Palestin

Sekumpulan pasukan polis Israel dilaporkan telah menyerbu kawasan timur Beersheba di padang pasir Negev dan menyerang penduduk tempatan ketika jentolak sedang meratakan kawasan tanah milik sebuah keluarga di situ.

Menurut sumber setempat, jentolak besar milik pihak berkuasa pembangunan Badwi yang diiringi oleh pasukan polis memulakan operasi meratakan tanah secara besar-besaran di atas tanah milik keluarga Attrash sebagai permulaan untuk merampas kawasan itu dan mengubahnya menjadi kawasan taman terbuka.

Tentera Israel juga dikatakan turut bertempur dengan penduduk tempatan dan menangkap beberapa orang daripada mereka semasa operasi itu.

14 Januari 2022 

Pendatang Yahudi meluaskan penempatan haram

Sekumpulan pendatang Yahudi menyerbu tanah milik warga Palestin dan meratakannya untuk meluaskan penempatan berdekatan.

Qasem Awwad, seorang pegawai Suruhanjaya Penentangan dan Tembok Pemisah, mengesahkan yang para pendatang meratakan seluas 50 dunum (kira-kira 12 ekar) tanah yang terletak di selatan kota Nablus untuk tujuan perluasan penempatan Yitzhar yang berdekatan.

Para pendatang baru-baru ini telah mendirikan unit-unit penempatan sementara di kawasan yang diratakan itu bagi membuka jalan untuk merampas lebih banyak tanah yang dimiliki warga Palestin dari bandar Huwara, Burin, dan Asira al-Qibliya di Wilayah Nablus Province, kata Awwad.

19 Januari 2022

Lima tahanan wanita Palestin positif Covid-19

Ketua Pihak Berkuasa Hal Ehwal Banduan dan Bekas Banduan, Mejar Jeneral Qadri Abu Bakr berkata, penguasa penjara Israel bertanggungjawab ke atas nyawa banduan wanita Palestin selepas lima daripada mereka disahkan positif Covid-19.

Abu Baker menyatakan bahawa penyebaran coronavirus di penjara Israel itu disebabkan oleh sikap tidak endah oleh pihak berkuasa Israel dalam mengawal penularan wabak berkenaan.

Beliau seterusnya menggesa penubuhan jawatankuasa perubatan Palestin dan antarabangsa untuk membuat susulan terhadap kesihatan banduan terutama mereka yang mengalami masalah kesihatan yang kronik.

24 Januari 2022

Sheikh Najeh Bakirat diculik

Polis rejim Zionis Israel telah bertindak menculik Sheikh Najeh Bakirat, timbalan pengarah Awqaf Islam di Baitulmaqdis.

Anak perempuannya, Fatima Bakirat, berkata di laman Facebooknya bahawa pegawai polis menculik bapanya dari Pintu Silsila Masjid Aqsa dan membawanya ke pusat tahanan Moskobiya di kota suci itu.

Sheikh Bakirat, yang juga ketua Akademi Sains dan Warisan Aqsa, terdedah kepada penganiayaan sistematik di tangan polis Israel. Beliau pernah ditahan dan dihalau dari Masjid Al-Aqsa berkali-kali sebelum ini.

Dalm satu perkembangan lain, polis Israel telah membebaskan aktivis wanita Baitulmaqdis, Hanadi al-Halawani dan menyerahkan notis larangan masuk ke Masjid Al-Aqsa selama seminggu. Perintah larangan terhadapnya boleh dilanjutkan selama enam bulan, menurut notis polis.

Halawani merupakan seorang aktivis Baitulmaqdis yang terkenal dan salah seorang guru Masjid Al Aqsa yang terdedah kepada penganiayaan berterusan oleh polis dan perisikan Israel.

27 Januari 2022

Ahli Kongres AS seru agar dihentikan perobohan rumah rakyat Palestin

Anggota Kongres Amerika Syarikat (AS), Mary Newman menyeru pihak berkuasa regim Zionis Israel, dalam tweet pada hari Sabtu, untuk menghentikan perobohan rumah Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis yang dijajah oleh Israel.

Mary Newman juga turut mengisytiharkan penolakannya sepenuhnya terhadap dasar perobohan sistematik Israel itu.

Lima belas rakyat Palestin menjadi gelandangan selepas polis Israel menghalau mereka dari rumah mereka sendiri pada tengah malam, tulisnya.

Dia menegaskan bahawa tentera Zionis Israel melakukan lebih daripada 1,000 perobohan sejak 2016 di kawasan yang sama.

3 Februari 2022

Perancangan Israel yang baru untuk mengosongkan kampung Khan al-Ahmar

Rejim zionis baru-baru ini dikatakan telah meluluskan perancangan baru untuk mengosongkan kampung Khan al-Ahmar di Baitulmuqaddis dalam masa terdekat.

Sumber media Israel mendedahkan pada 2 Februari lalu yang kampung Khan al-Ahmar akan dikosongkan segera dan akan dibina semula di jarak 300 meter dari lokasi sekarang.

Selama beberapa tahun, terdapat perancangan untuk memindahkan kampung Khan al-Ahmar yang terletak di timur Baitulmuqaddis. Namun, tekanan dari Eropah telah menghalang proses itu daripada dilakukan.

4 Februari 2022

Israel benarkan pembinaan semula pos tentera di Tebing Barat yang telah dikosongkan

Peguam Negara Israel, Avichai Mandelblit telah meluluskan pembinaan semula penempatan Evyatar di bandar Beita selatan Nablus, di utara Tebing Barat, demikian pendedahan yang dibuat oleh sebuah media Israel.

Sumber Hebrew melaporkan yang Avichai Mandelblit telah meluluskan tindakan itu pada hari terakhir perkhidmatannya.

Penempatan Evyatar telah dikosongkan tujuh bulan lalu, di tengah-tengah gesaan Yahudi agar pembinaannya diusahakan semula. 

7 April 2022

Liga Arab mengalukan laporan Amnesty tentang dasar diskriminasi Israel

Liga Arab telah mengalu-alukan laporan oleh Amnesty International baru-baru ini mengenai rejim apartheid Israel dan dasar serta amalan perkauman mereka terhadap rakyat Palestin. Liga tersebut juga turut menyeru supaya tindakan bagi menguatkuasakan resolusi antarabangsa yang berkaitan dengannya diambil dengan segera.

Berucap pada satu sidang akhbar, Sa’eid Abu Ali, penolong setiausaha agung untuk Palestin dan wilayah Arab yang diduduki berkata Liga Arab menyifatkan laporan itu sebagai “dokumen perundangan antarabangsa yang penting,” terutamanya memandangkan jenayah perang Israel yang sedang berlaku, dan jenayah terhadap kemanusiaan yang meningkat pada 2021 di Palestin.

“Laporan itu adalah kesaksian baharu yang telah mendedahkan realiti sistem pendudukan dan alat eksekutifnya, yang mengamalkan diskriminasi, apartheid dan jenayah pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di wilayah Palestin dan tanah Arab yang diduduki,” kata Abu Ali.

15 Februari 2022

HAMAS : Perjuangan para tahanan akan meluas ke seluruh Palestin

Anggota Biro Politik Hamas, Zaher Jabarin menegaskan bahawa isu tahanan di penjara Israel akan berupaya menyatukan perjuangan bangsa Palestin dalam menentang  penjajahan Israel.

Jabarin menegaskan bahawa setiap pertempuran yang dilakukan para tahanan tidak akan dibiarkan Hamas dan faksi-faksi perjuangan lainnya daripada hanya berakhir di dalam penjara, namun akan diperluas ke seluruh wilayah Palestin sama ada di Tebing Barat, Gaza, Palestin 48 mahupun diaspora Palestin di manapun mereka  berada.

Menjawab pernyataan berkaitan para tahanan yang membubarkan badan koordinasi di penjara Israel sebagai protes atas tindakan menekan yang terus dilakukan pihak penjara, Jabarin selaku ketua biro urusan tahanan, mangsa cedera dan para syuhada Hamas mengatakan, “Langkah tersebut diambil pasca perlanggaran janji pihak penjara untuk memberikan hak-hak tahanan dan ini merupakan kebiasaan penjajah zionis di setiap fasa perjuangan dan jihad yang dilakukan para tahanan di dalam penjara. Jabarin menambah bahawa penjajah zionis berusaha menutup capaian gerakan tahanan dalam tempoh 7 dekad lalu.

17 Februari 2022

Pendatang Yahudi mencabut pokok-pokok zaitun dan merosakkan kereta di Tebing Barat

Sekumpulan pendatang Yahudi mencabut puluhan pokok zaitun dan meratakan tanah di Kampung Shufa di tenggara Tulkarem sebelum subuh Isnin bagi membuat jalan untuk penempatan berdekatan.

Murad Durubi, seorang aktivis di kampung tersebut, berkata yang para pendatang datang pada waktu tengah malam dan memusnahkan lebih 40 pokok di kawasan itu bagi membina jalan untuk penempatan Avnei Hefetz. Beliau menyatakan yang tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha degil mereka untuk merampas lebih banyak tanah milik warga Palestin.

22 Februari 2022

Israel arah pemusnahan sekolah yang dibiayai Eropah di Tebing Barat

Rejim zionis (IOA) mengarahkan pemusnahan sekolah rendah “Ras al-Tin” di komuniti Ras At-Tin, Tebing Barat Tengah.

Sumber tempatan mengesahkan pada Rabu bahawa sekolah Palestin yang dibiayai Eropah diancam untuk dimusnahkan dalam tempoh 14 hari tanpa sebarang arahan mahkamah.

Sekolah tersebut mempunyai seramai  50 orang pelajar, dari gred satu hingga enam, dari komuniti Ras At-Tin, timur bandar Ramallah Tebing Barat, yang mana tanpanya, para pelajar perlu berjalan lima kilometer ke sekolah terdekat di kampung Al-Mughayyer.

25 Februari 2022

Rejim Zionis sekat pergerakan pelajar Lubban ash-Sharqiya

Untuk hari ketiga berturut-turut, tentera rejim Zionis pada pagi hari Khamis mengganggu pelajar Palestin dan menyekat pergerakan mereka ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah di kampung al-Lubban Ash-Sharqiya, di selatan Nablus.

Sumber tempatan berkata, askar itu sengaja menghalang ketibaan pelajar perempuan dan lelaki di dua sekolah tempatan yang terletak berhampiran jalan utama Ramallah-Nablus.

Mereka menambah bahawa amalan provokatif tentera Israel seperti itu berlaku selama tiga hari berturut-turut dengan alasan untuk memberi perlindungan kepada penceroboh Yahudi yang terus berpusu-pusu ke kawasan itu untuk melakukan ritual.

1 Mac 2022

Polis Israel roboh rumah dan kemudahan komersil di Baitulmuqaddis

Pasukan polis rejim Zionis merobohkan dua buah rumah milik warga Palestin dan kemudahan komersial di bandar Anata, timur laut Baitulmaqdis yang diduduki.

Sumber tempatan mengesahkan bahawa jentolak pihak perbandaran Israel menyerbu kejiranan Baqa’an di Anata dan merobohkan kemudahan kediaman dan komersial tempatan. Sebuah rumah dua tingkat adalah antara kemudahan yang dirobohkan, tambah sumber itu.

3 Mac 2022

Tentera laut Israel serang nelayan Palestin di perairan Gaza

Bot tempur tentera laut Israel menyerang nelayan Palestin dan bot mereka di luar pantai utara Semenanjung Gaza yang dikepung pada petang hari Isnin.

Menurut sumber tempatan, bot meriam Israel melepaskan tembakan mesingan ke arah bot nelayan semasa kehadiran mereka di luar pantai kawasan as-Sudaniya di utara Gaza. Tentera laut Israel menyasarkan nelayan dengan meriam air dalam usaha untuk membanjiri dan mengusir bot mereka.

8 Mac 2022

Penceroboh bocorkan tayar, musnahkan harta benda di timur Salfit

Sekumpulan pelampau penceroboh Yahudi membocorkan tayar kira-kira sebelas buah kenderaan milik warga Palestin dan menyembur dengan cat kata-kata menghina dan mengugut di atas harta benda penduduk di kampung Iskaka, timur Salfit di Tebing Barat yang diduduki, pada hari Rabu.

Ketua majlis kampung, Osama Daher berkata bahawa penceroboh menyelinap masuk ke kampung itu pada waktu subuh dan memotong tayar kereta di kawasan kejiranan utara.

Beliau menambah bahawa penceroboh juga menyembur cat grafiti dengan kata-kata menghina warga Palestin pada beberapa buah kereta dan dinding rumah.

10 Mac 2022

Penceroboh Yahudi pasang khemah, rumah mudah alih di perkampungan Battir

Sekumpulan pelampau Yahudi menceroboh masuk ke penempatan al-Khammar di kampung Battir, barat Baitulmuqaddis dan bertindak memasang khemah serta rumah mudah alih yang besar di atas sebidang tanah milik penduduk tempatan.

Saksi melaporkan bahawa penceroboh membawa traktor pertanian, trak dan kereta ke kawasan itu sebagai permulaan kepada penubuhan sebuah pos kawalan.

Kumpulan penceroboh telah cuba merampas tanah ini selama bertahun-tahun, tetapi penduduk tempatan sentiasa memaksa mereka untuk mengalihkan khemah mereka dan menggagalkan percubaan mereka untuk membina pos kawalan.

14 Mac 2022

Larangan solat di Masjid Hamidiyah di Bethlehem oleh tentera Israel

Tentera Israel telah mengeluarkan arahan melarang penduduk Palestin di bandar al-Khader di selatan Bethlehem daripada menggunakan masjid tersebut bagi tujuan solat dan apa jua aktiviti keagamaan.

Menurut aktivis tempatan Ahmed Salah, tentera Israel menyerbu bandar itu dan meletakkan notis mengarahkan penduduk tempatan berhenti solat di masjid, mengubahsuai dan menuntut tanah di sekelilingnya.

Masjid yang dibina 250 tahun lalu itu diselia oleh pekerja Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin dan digunakan untuk solat oleh petani dan penduduk yang tinggal dan bekerja di kawasan berhampiran.

15 Mac 2022

Penceroboh Yahudi lepaskan tembakan ke arah sekolah di Tebing Barat

Seorang penceroboh Yahudi yang lengkap bersenjata telah melepaskan tembakan ke atas dua buah sekolah Palestin di bandar Tuqu, timur Baitulmuqaddis di Tebing Barat yang diduduki.

Bassam Jaber, ketua direktorat pendidikan di Baitulmuqaddis, melaporkan bahawa seorang penceroboh bersenjata melangkah keluar dari bas yang membawa sekumpulan penceroboh dan melepaskan tembakan di Sekolah al-Khansa dan Sekolah al-Jarmaq di bandar itu.

Jaber menambah bahawa serangan tembakan itu mencetuskan keadaan panik dalam kalangan pelajar perempuan yang berada di dalam sekolah dan memaksa pentadbiran mereka menghantar semua pelajar perempuan itu pulang secara beransur-ansur.

15 Mac 2022

Israel kembali melarang keluarga Palestin bersatu

Pusat Perundangan Hak Minoriti Arab di Israel, menyelar ‘undang-undang pembaharuan kewarganegaraan dan kemasukan ke Israel’ sebagai salah satu undang-undang paling bersifat perkauman dan diskriminasi di dunia, serta menyeru agar menariknya dengan segera.

Perlimen Israeli “Knesset” dikatakan telah meluluskan undang-undang tersebut dengan undi majoriti 45-15 pada 10 Mac 2022. Undang-undang itu melarang penyatuan semua keluarga Palestin. 

Di bawah undang-undang itu juga, Menteri Dalam Negeri Israel dilarang meluluskan status residen dan warganegara kepada warga Palestin dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang berkahwin dengan warga Palestin di Israel. 

Ia turut melarang penyatuan di antara warga atau residen Israel dengan pasangan dari negara yang dilabel sebagai ‘negara musuh’ termasuk  Syria, Lubnan, Iraq and Iran.

17 Mac 2022

Tentera Israel ugut untuk musnahkan rumah di perkampungan Tebing Barat

Tentera Israel memaklumkan seorang warga Palestin pada hari Isnin mengenai rancangan mereka untuk merobohkan rumahnya di kampung Kisan, timur Bethlehem.

Timbalan ketua majlis kampung Anwer Ghazal berkata seorang penduduk tempatan menerima perintah roboh terakhir terhadap rumahnya, sambil menambah lima sekeluarga tinggal di rumah itu.

Beliau menegaskan bahawa tentera Israel telah merobohkan dua rumah milik keluarga yang sama di kampung itu kira-kira dua tahun lalu.

21 Mac 2022

Apa yang dirancang oleh Israel di al-Aqsa adalah berbahaya

Pemimpin gerakan Hamas, Shaker Imarah, menegaskan bahawa apa yang terjadi dan dirancang oleh penjajah Israel dan penduduk pendatang Yahudi di al-Aqsa adalah sesuatu yang berbahaya. Mereka memaksa realiti baru di dalamnya dan merosakkan status sejarah dan perundangan yang berkaitan dengan  masjid tersebut.

Dalam sebuah pernyataan akhbar Imarah menekankan bahawa rakyat Palestin sedia untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa dan tempat-tempat suci serta mampu untuk melindunginya.

Beliau mengatakan bahawa, seruan para penduduk pendatang Yahudi dan kelompok ekstremis Yahudi untuk melakukan penyerbuan besar-besaran ke Masjid al-Aqsa oleh ribuan orang merupakan rancangan pencerobohan yang mungkin berlaku ketika kedatangan bulan Ramadhan. Apabila itu terjadi, maka Tebing Barat, Al-Quds dan Gaza akan bahu membahu untuk meningkatkan segala bentuk perjuangan.

21 Mac 2022

Mogok umum di bandar Rahat membantah pembunuhan warga Palestin oleh polis 

Satu mogok umum telah diadakan pada pagi hari Rabu di kota Rahat di Negev untuk membantah pembunuhan Sanad al-Harbad yang berusia 27 tahun oleh anggota polis Israel yang menyamar.

Beratus-ratus orang menyertai pengebumian Sanad di Rahat pada waktu pagi, dengan orang ramai yang berkabung mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan lelaki muda yang juga bapa kepada tiga anak, dan menuntut pemecatan ketua polis bahagian selatan dan siasatan terhadap insiden tembakan, yang mereka tekankan sebagai “tidak wajar.”

Bagi pihaknya, Jawatankuasa Pemandu Arab Negev telah mengumumkan sokongannya terhadap mogok umum yang dilancarkan oleh majlis perbandaran Rahat, menyeru untuk menyiasat jenayah itu dan mendakwa pegawai polis yang terlibat dalam serbuan maut itu.

23 Mac 2022

Tahanan pentadbiran terus memboikot mahkamah Israel

Banduan Palestin yang ditahan secara pentadbiran di penjara Israel telah melakukan boikot terhadap mahkamah Israel selama 79 hari berturut-turut untuk menuntut penamatan dasar penahanan pentadbiran.

Pada awal Januari, tahanan pentadbiran mengumumkan pemboikotan sepenuhnya semua prosedur kehakiman yang berkaitan dengan penahanan pentadbiran mereka. Tahanan pentadbiran ditahan di penjara Israel yang berbeza, kebanyakannya di penjara Negev dan Ofer.

24 Mac 2022

Tahanan Palestin seru agar tindakan protes mereka disokong

Jawatankuasa Tinggi Kecemasan untuk Tahanan Palestin di penjara Israel menyeru rakyat Palestin agar menyokong tindakan protes mereka yang akan dilaksanakan bermula 25 Mac.

Jawatankuasa itu menekankan, dalam kenyataan pada Isnin, niat para tahanan adalah untuk mogok lapar secara bersama dan tanpa tempoh bermula dari 25 Mac bagi membantah hukuman yang dikenakan oleh Israel.

Jawatankuasa itu turut menyeru rakyat Palestin agar bangkit menyokong perjuangan para tahanan menentang keganasan Israel.


Wallahu a’alam (MMO)


Wednesday, February 23, 2022

DIARI KEHIDUPAN : ISLAMOFOBIA - GEJALA YANG TIDAK BERPENGHUJUNG

Poster yang menjadi isu hangat di Peranchis baru-baru ini

Masuknya tahun baharu 2022 tidak menjanjikan adanya tanda-tanda pembaikan dalam konteks pandangan buruk masyarakat bukan Islam terhadap Islam, atau apa yang sering disebut sebagai Islamofobia.

Baik di Barat seperti Amerika dan Eropah, membawalah ke negara-negara di rantau kejiranan kita, terutama India, gejala Islamofobia terus mengisi ruang kehidupan sesetengah masyarakat bukan Islam di negara-negara berkenaan - sama hebatnya dengan gejala virus COVID-19 yang kini menganggu kehidupan masyarakat dunia.

Di Amerika Syarikat (AS), penutupan tirai tahun 2021 dicemari oleh tindakan seorang anggota Kongres dari Parti Republikan,  Lauren Boebert, yang membuat komen yang tidak diundang terhadap Ilhan Omar, seorang wakil wanita Islam berketurunan Somalia dalam Kongres yang sama dengan melabelkan beliau sebagai mempunyai hubungan dengan pengganasan antarabangsa.

Berikutan itu, berpuluh-puluh kakitangan kongres Islam telah bangun mengecam tindakan wakil Republikan itu sambil mengatakan iklim Islamofobia semakin mempamirkan peningkatan di Capitol Hill dan telah mewujudkan "perasaan bimbang dan takut di kalangan masyarakat Islam di AS".

Dalam surat terbuka kepada kepimpinan Dewan Perwakilan AS pada hari Rabu, kumpulan itu berkata "retorik kebencian oleh pegawai awam secara langsung memberi kesan kepada kami dan membahayakan keselamatan kami, di tempat kerja dan dalam kehidupan seharian kami".

“Menyaksikan gangguan yang tidak terkawal terhadap salah seorang daripada hanya tiga ahli Kongres yang beragama Islam – dan satu-satunya ahli yang kuat memperjuangkan Islam (Ilhan Omar) – kami merasakan tempat kerja kami tidak selamat dan tidak dialu-alukan,” Demikian bunyi surat yang dikatakan telah ditandatangani oleh 62 kakitangan Muslim dan 378 kakitangan bersekutu di Dewan Kongress tersebut.

Insiden tercetus ekoran wujudnya paparan di Facebook yang menunjukkan Boebert, seorang anggota kongres Republikan pada satu acara umum yang turut dihadiri Ilhan Omar, menyatakan rasa lega beliau kerana Ilhan "tidak membawa beg galas dalam majlis tersebut", dalam merujuk kepada Ilhan Omar yang mungkin membawa bom. “Saya melihat ke kiri saya dan itu dia – Ilhan Omar. Dan saya berkata, 'Bagus, dia tidak mempunyai beg galas, kami sepatutnya selamat,'” kata Boebert dalam video itu sambil ketawa.

Episod itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri serangan peribadi terhadap Ilhan Omar dan penggubal undang-undang Demokrat progresif lain, termasuk Perwakilan Rashida Tlaib, yang merupakan warga Amerika berketurunan Palestin.

Boebert dan beberapa anggota Republikan lain dikatakan secara berulang kali merujuk Ilhan Omar dan rakannya, Rashida Tlaib sebagai mempunyai perkaitan dengan "Skuad Jihad Islam". Kedua-dua mereka juga dikatakan sering menerima ancaman bunuh dari kumpulan fanatik Republikan.

Insiden yang dilaporkan di atas bukanlah merupakan satu-satunya gejala Islamofobia yang hangat diperkatakan berlaku di AS dalam sebulan dua ini. Pada penghujung Disember lalu, Majlis Perhubungan Islam - Amerika (Council on American-Islamic Relations - CAIR) membuat pendedahan yang agak mengejutkan mengenai apa yang dikatakan sebagai penyusupan perisik anti-Islam di beberapa buah masjid di AS sehingga menakutkan jemaah untuk hadir mengerjakan solat dan menghadiri upacara-upacara keagamaan yang lain.

CAIR dikatakan telah lama menyedari adanya pengintipan elemen anti-Islam itu, termasuklah ke atas pertubuhan tersebut dan telah mengambil beberapa tindakan susulan. Antaranya, memecatkan pegawai dan kakitangan yang didapati berkerjasama dengan elemen pengintipan. 

Dalam dua dekad sejak serangan 9/11, umat Islam Amerika telah menghadapi berbagai bentuk pengawasan dan diskriminasi termasuk larangan perjalanan dan penyertaan dalam aktiviti  sosial dan keagamaan. 

Sebagai contoh, antara tahun 2012 dan 2014, Jabatan Polis New York dikatakan telah mendedikasikan keseluruhan unit perisikannya untuk mengintip penduduk Islam di bandar itu. Menurut American Civil Liberties Union (ACLU), polis New York telah memetakan tempat tinggal penduduk New York yang beragama Islam, merekrut pemberi maklumat dari dalam masyarakat Islam, dan menempatkan masjid di bawah pengawasan keselamatan.

Kini, dengan tercetusnya insiden yang melibatkan CAIR, ianya telah memperbaharui kebimbangan di seluruh AS bahawa kehidupan warga Islam di negara itu pada masa ini menjadi semakin sukar dan dibayangi dengan ketakutan yang tidak menentu.

Di Eropah, dua buah negara telah dipetik sebagai mempamirkan tindakan yang berunsur Islamofobia dalam sebulan dua kebelakangan, iaitu Hungary dan Peranchis.

Di Hungary, beberapa pegawai dan pemimpin Islam Bosnia telah mengecam cadangan yang disuarakan oleh Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban,  bahawa integrasi Bosnia dan Herzegovina ke dalam Kesatuan Eropah akan mencabar kerana populasi Islam yang ramai di negara itu.

Jurucakap Orban dikatakan telah membuat tweet dengan memetik kebimbangan Orban bahawa "cabaran bagi Bosnia adalah bagaimana untuk mengintegrasikan negara dengan 2 juta umat Islam."

Populis sayap kanan Orban dalam kempen dan ceramah mereka berkata Hungary menyokong tawaran penyertaan Bosnia ke dalam EU, sambil menambah bahawa sebagai ahli EU, Hungary terpaksa mengerahkan banyak tenaga untuk mengatasi “karenah pembesaran yang mungkin menyukarkan Kesatuan Eropah” - kenyataan yang dipercayai merujuk kepada 2 juta umat Islam Bosnia yang mungkin boleh mendatangkan implikasi keselamatan terhadap mereka.

Reaksi di Bosnia terhadap kenyataan Orban itu adalah tajam dengan beberapa pihak meminta larangan dikenakan terhadap rancangan lawatan rasmi Orban ke Sarajevo. Sementara itu, ketua masyarakat Islam Bosnia, Mufti Besar Husein Kavazovic, menggelar kenyataan Orban itu sebagai "xenophobic dan perkauman."

Di Peranchis, gejala Islamofobia terjelma pada awal tahun ini berikutan adanya tindakan di pihak kerajaan negara itu untuk mengharamkan pemakaian hijab dalam setiap pertandingan sukan.

Senat Perancis dilaporkan telah mengundi menyokong pengharaman pemakaian tudung dalam pertandingan sukan, kecuali dengan alasan “ianya adalah satu keperluan dalam bidang permainan”.  Pindaan yang dicadangkan itu antara lain akan menetapkan bahawa pemakaian "simbol agama yang mudah dilihat adalah dilarang" untuk penyertaan dalam apa jua acara dan pertandingan yang dianjurkan oleh persekutuan sukan.

Undian itu dibuat setahun selepas penggubal undang-undang di dewan rendah Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang untuk mengukuhkan pengawasan masjid, sekolah dan kelab sukan dalam usaha untuk melindungi Perancis daripada "Islamis radikal" dan untuk menggalakkan "menghormati nilai Perancis".

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang peguam terkenal di Perancis dilaporkan telah mengkritik Kesatuan Eropah berhubung iklan acara Persidangan Masa Depan Eropah yang menampilkan seorang wanita Islam berhijab.

Thibault de Montbrial, yang juga merupakan penasihat kepada calon presiden kanan tengah Perancis, Valerie Pecresse, berkata penggunaan imej sedemikian untuk menggambarkan masa depan benua itu menyebabkan anda "terdiam".

“Ikhwanul Muslimin tidak berani mengimpikannya, orang-orang bodoh yang melakukannya. Bagi saya, saya akan berjuang sepenuh tenaga untuk mengelak masa depan sebegitu untuk Eropah,” kata belaiu di satu tweet.

Poster untuk acara yang dianjurkan EU itu dikatakan bertujuan untuk memberi peluang kepada warga EU menyatakan pendapat mereka tentang kemungkinan pembaharuan dasar dan institusi blok itu, termasuk seruan untuk "mendengarkan suara semua pihak" dan menyatakan  bahawa "masa depan EU adalah di tangan anda".

Di India,  sekurang-kurangnya tiga insiden berikut wajar diketengahkan bagi menunjukkan betapa gejala Islamofobia tidak pernah lekang daripada tubuh politik dan kehidupan rakyat awam di negara itu. 

Pertama,  insiden sekumpulan pelampau agama Hindu mengganggu jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di sebuah bandar, Gurugram (dahulunya Gurgaon)  yang terletak di pinggir ibu negara India, New Delhi.

Dalam peristiwa yang berlaku pada minggu pertama Disember itu, sekumpulan fanatik agama Hindu dikatakan telah meletakkan berpuluh-puluh buah lori di salah satu tapak sembahyang di Gurugram, di negeri utara Haryana yang ditadbir oleh Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi. 

Ketika sekumpulan umat Islam tiba untuk solat berjemaah mingguan, sekumpulan lelaki Hindu mula melaungkan slogan agama, termasuk Hail Lord Ram, mencemuh para jemaah, dan mengatakan solat tidak dibenarkan - semuanya di hadapan kawalan keselamatan polis yang ketat.

Gurugram, bandar yang didiami 1.1 juta penduduk menurut bancian 2011, ialah hab kewangan dan teknologi di mana banyak syarikat multinasional mempunyai pejabat mereka. Kurang daripada 5 peratus penduduknya beragama Islam.

Menghadapi kekurangan masjid, umat Islam Gurugram telah menunaikan solat Jumaat di taman-taman dan tanah kosong selama bertahun-tahun dengan persetujuan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa. Kira-kira 100 tapak sedemikian telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, bantahan berterusan oleh kumpulan Hindu telah mengganggu solat Jumaat umat Islam di bandar itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini sehingga mendorong pegawai perbandaran untuk menarik balik kebenaran daripada kebanyakan tapak.

Sejak pertengahan September tahun lalu, kumpulan Hindu sayap kanan di bawah panji-panji Sanyukt Hindu Sangharsh Samiti (Jawatankuasa Perjuangan Hindu Bersama) telah mengganggu solat Jumaat di seluruh Gurugram, termasuk dengan menabur najis lembu di tapak sembahyang dan kadang-kadang dengan mengadakan upacara sembahyang Hindu di situ.

Insiden kedua, adalah berkaitan dengan penyebaran video yang menunjukkan pemimpin agama Hindu di India menyeru pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam sehingga menimbulkan keresahan dan ketakutan dalam kalangan umat Islam di beberapa negeri dan kawasan tertentu di negara itu.

Kandungan video tersebut dikatakan antara lain termasuklah gesaan agar orang ramai tidak perlu risau sekiranya terpaksa ke penjara semata-mata atas kesalahan membunuh orang Islam.

Ahli Parlimen Muslim terkemuka, Asaduddin Owaisi menulis tweet bahawa komen-komen yang menghasut dalam video itu adalah "kes jelas hasutan untuk pembunuhan beramai-ramai".

Lebih membimbangkan, kandungan video itu juga turut memuatkan kenyataan beberapa pemimpin agama Hindu yang secara terang-terangan menggesa  "pembersihan ke atas umat Islam India dilakukan oleh pihak berkuasa India sepertimana di Myanmar".

Insiden ketiga, yang tidak kurang mengandungi unsur Islamofobia ialah tindakan di pihak beberapa kerajaan negeri di India dalam menghalang gadis-gadis Islam yang memakai tudung daripada menghadiri kelas di beberapa buah kolej di India.

Salah satu insiden tersebut adalah kejadian yang berlaku di daerah Udupi di negeri Karnataka, India, di mana beberapa pelajar perempuan telah tidak dibenarkan memasuki kelas mereka dengan mendakwa mereka melanggar peraturan sekolah dengan memakai tudung yang bukan sebahagian daripada pakaian seragam.

Kumpulan pelajar berkenaan dilaporkan tetap dengan pendirian mereka dalam menentang perintah di pihak sekolah itu yang dikatakan mengamalkan "taktik tekanan" untuk memaksa mereka mengalah.

Peraturan serta tekanan yang dikenakan oleh pihak sekolah ini dikatakan telah mencetuskan kemarahan dan keresahan di kalangan ibu bapa pelajar perempuan Islam yang bimbang kerjaya anak mereka mungkin akan terjejas bilamana mereka tidak dapat mengikuti pengajian di dalam kelas sepertimana pelajar yang lain.

Kesemua ini, tidak dapat tidak, dapat memberi gambaran kepada kita bahawa gejala Islamofobia sebenarnya masih berterusan berlaku di merata tempat, baik di negara yang rapuh dari sudut jaminan perlindungan sosial dan kemanusiaan seperti India dan Myanmar, mahupun di negara-negara maju yang kononnya memperjuangkan hak-hak asasi kemanusiaan dan kesaksamaan sejagat seperti AS dan negara-negara Eropah. 

Pokoknya, di pihak kita, dalam mendepani gejala Islamofobia yang tidak pernah menampakkan tanda-tanda kepada pengakhirannya, kebijakan dan kematangan pemikiran haruslah digerakkan sebagai perisai utama bagi menangkis sebarang tanggapan mahupun tindakan buruk yang cuba dilakukan terhadap Islam atau penganutnya. Islam sendiri mengajar umatnya supaya sentiasa berlemah lembut dengan mereka yang cuba menyakiti kita, baik secara perkataan mahupun perbuatan selagi ianya tidak memudaratkan diri atau agama kita. 

Sejarah Islam sendiri menyaksikan bagaimana mereka yang dahulunya menghina Rasulullah SAW akhirnya ‘cair’ dengan kelembutan pekerti Rasulullah, lantas masuk Islam dan berjuang bersama Rasulullah dalam menegakkan Islam. Justeru, tidakkah kita mahu memanfaatkan kelebihan yang ada pada Islam itu sebagai “formula mujarab” untuk mendepani dan meredakan situasi merimaskan yang terjelma di sekeliling kita hari ini dalam apa yang disebut sebagai ‘Islamofobia’ itu?


Wallahu a’alam (MMO)


Monday, January 24, 2022

DIARI KEHIDUPAN XXIV : INISIATIF TERBAHARU DALAM MENGHIDUPKAN KEMBALI ISU PALESTIN DI PBB


Ketibaan tahun baharu 2022 turut membawa sinar dalam perjuangan membela isu Palestin di peringkat antarabangsa, khususnya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Ianya bermula dari iltizam yang diambil oleh Presiden baharu UNSC sendiri, Mona Juul dari Norway, yang merancang untuk memberi nafas baharu dalam perbincangan mengenai isu Palestin-Israel di peringkat menteri di UNSC setelah isu berkenaan hampir dilupakan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

Dalam kenyataan terima kasih beliau di atas perlantikan beliau sebagai Presiden UNSC, Juul telah menyuarakan janji beliau untuk menghidupkan kembali isu Palestin-Israel yang hampir terkubur itu sambil menyelar segelintir pihak antarabangsa yang dilihat kurang memberikan tumpuan terhadap isu terbabit, susulan pelbagai konflik lain di seluruh Asia Barat.

"Rakyat Israel dan Palestin tidak sepatutnya diberi layanan sedemikian.

"Selama 30 tahun selepas persidangan Madrid, isu Israel-Palestin berhak diberikan tumpuan yang lebih banyak.

"Adalah sangat penting untuk kita tingkatkan fokus UNSC dan keperluan mencari penyelesaian politik terhadap konflik berpanjangan ini, selain membendung sebarang tindakan yang boleh merencatkan prospek penyelesaian dua negara," katanya pada satu sidang media.

Sementara itu, sebuah laporan yang diterbitkan oleh agensi berita Arab News pula memetik beliau sebagai berkata bahawa Norway mengulangi bantahan terhadap sebarang tindakan unilateral dalam konflik Israel-Palestin, khususnya tindakan memperluaskan penempatan haram didalangi Israel.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa suara pihak berkuasa Palestin harus dihormati dan diberikan ruang untuk menghadiri sesi perbincangan yang dirancangkan itu bagi mengutarakan sebarang pandangan dan mandat mengenainya .

Perlu dinyatakan di sini bahawa Juul memainkan peranan penting pada Perjanjian Oslo 1993, membabitkan Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin dan Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat.

Ketika berkhidmat sebagai pegawai di Kementerian Luar Norway, beliau dikatakan telah mengemukakan cadangan supaya  perbincangan antara pemimpin Israel dan Palestin diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak, Palestin dan Israel mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu yang dihadapi kedua-dua belah pihak.

"Perkara utama (Perjanjian Oslo) yang menjadi teras kejayaan ialah apabila dua pemimpin mewakili pihak masing-masing berani untuk mengadakan perbincangan ke arah perjanjian damai.

"Walaupun langkah ini tidak dilaksanakan, banyak perkara lain yang berlaku, termasuk langkah Israel mengiktiraf PLO dan Pihak Berkuasa Palestin ditubuhkan di Palestin serta beroperasi.

"Sudah pasti, semuanya bergantung kepada pemimpin. Anda memerlukan kesungguhan politik untuk berkompromi dan kekuatan untuk melaksanakan sesuatu.

"Justeru, penyelesaian dua negara terarah kepada perkara sedemikian, iaitu keperluan berkompromi daripada kedua-dua pihak, malah belum terlambat untuk kita rintis usaha ini," kata beliau.

Norway juga dikatakan berhasrat untuk menganjurkan forum, dinamakan sebagai 'Oslo mini' untuk negara anggota UNSC, khususnya berkaitan aspek diplomasi, pencegahan dan kaedah penyelesaian konflik.

Sementara itu, beberapa pihak dari kalangan negara Islam menuntut supaya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak secara lebih proaktif, dinamik dan tegas dalam menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya terus memberikan tumpuan bagi menyelesaikan konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin ketika ini.

Malaysia, Indonesia dan Brunei misalnya, tidak pernah berdiam diri dalam menuntut OIC supaya berbincang dengan PBB serta negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan negara-negara di Eropah dalam membawa aspirasi kebajikan umat Islam sejagat terutamanya Palestin. Ini kerana dalam mendepani kemelut isu dua negara berkenaan, negara-negara Islam di seluruh dunia amat bergantung harap kepada keberkesanan peranan yang dimainkan oleh OIC.

Di satu pihak lain, PBB sebagai pihak berkecuali dan berautoriti, wajar melakukan intervensi dan menyelamatkan bumi Palestin daripada sebarang tindakan kekejaman Israel.

Sejauh ini, beberapa pendekatan telah dicadangkan untuk diusahakan baik oleh OIC mahupun PBB. Antara yang paling ditekankan ialah gabungan pendekatan iaitu antara politik dan rundingan diplomasi. 

Pendekatan ini jika turut didokong oleh masyarakat antarabangsa khususnya kuasa-kuasa besar Barat yang menjadi Ahli Tetap Majlis Keselamatan PBB, dipercayai akan mampu mengurangkan ketegangan antara dua negara, Palestin-Israel yang berpanjangan selama lebih dari tiga dekad itu.

Dalam konteks ini, Palestin dilihat sebagai mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan tenteram seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini sebagaimana terkandung di dalam artikel ke 3 (Human Rights) Mesyuarat United Nation General Assembly (UNGA) di Paris pada 1948.

Malaysia, Indonesia dan Brunei juga secara konsisten menuntut  penubuhan (negara) Palestin yang bebas dan merdeka daripada belenggu penjajahan Israel menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Bagi kita, isu Palestin bukan semata-mata bertunjangkan dari pertembungan antara agama, tetapi juga merupakan isu kemanusiaan sejagat. Apa yang telah berlaku dan masih lagi berlarutan,  rakyat Palestin selama berpuluh-puluh tahun lamanya, dinafikan hak mereka untuk menduduki tanah air sendiri.

Dunia umumnya mengetahui bahawa hasil kerakusan kuasa besar dalam mengusahakan penempatan Israel di Palestin berdasarkan Deklarasi Belfour, 1917 akhirnya membawa kepada apa yang berlaku sekarang di mana Israel akhirnya bertindak menjajah dan menjarah setiap inci tanah Palestin.

Secara ringkas, dari sudut sejarahnya, pada 14 Mei 1948, Perdana Menteri pertama Israel, iaitu David Ben Gurion mengadakan upacara di Tel Aviv untuk mengisytiharkan kelahiran negara baharu Israel di Palestin.

Seterusnya, 15 Mei 1948, kerajaan Israel berjaya mendirikan negara Yahudi di bumi Palestin dengan pertolongan kuasa besar, iaitu British dan Amerika Syarikat (AS).

Kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918) menyebabkan Palestin diletakkan di bawah mandat British kemudian diserahkan kepada Israel untuk mendirikan negara Yahudi.

Beberapa negara lain seperti Soviet Union, Poland dan Ireland turut mengiktiraf pembentukan negara Israel di Palestin.

Sejak dari itulah pertempuran meletus antara tentera Zionis Israel dengan pejuang Palestin dan Arab. Keadaan ini berlangsung sekian lama sehingga tercetus Perang Israel-Arab.

Kesan Perang Israel-Arab atau Perang Enam Hari yang berlaku pada 1967 itu membawa kepada penaklukan Israel di wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Timur Baitulmaqdis. Keadaan ini membawa kepada rampasan tanah di wilayah terbabit untuk penempatan penduduk Yahudi.

Bertitik tolak dari sinilah isu Palestin-Israel mengambil tempatnya pada masa ini, dan dijangka akan berlanjutan pada beberapa tahun akan datang sekiranya langkah penyelesaiannya gagal diusahakan oleh PBB. 

Malah, kita amat menaruh bimbang dan curiga di atas kesungguhan badan dunia PBB dan kuasa-kuasa besar yang menguasai bentuk keputusan yang  dicapai oleh PBB yang kelak boleh memungkinkan Israel menduduki sepenuhnya bumi Palestin sementara rakyat Palestin pula terusir sebagai pelarian dari bumi sendiri. Na’uzubillah!

Justeru, dengan segala kudrat yang ada, marilah sama -sama kita bangun dalam menyeru agar OIC dan semua kesatuan negara lain yang masih menghormati undang-undang antarabangsa untuk memberi tekanan terhadap Israel bagi membebaskan Palestin daripada penaklukan haram Zionis, sekali gus mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kekejaman dilakukan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin.


Wallahu a’alam (MMO)


Wednesday, December 22, 2021

DIARI KEHIDUPAN III : AFGHANISTAN - BERGELUT UNTUK PENGIKTARAFAN

 

Delegasi negara-negara OIC di Sidang Khas di Islamabad, Pakistan

Sudah agak lama kita tidak membicarakan perihal negara saudara seagama kita yang cukup rapuh - Afghanistan. Terakhir, kita membicarakan antara lain, penubuhan sebuah kerajaan yang diharap dapat diterima oleh rakyat dan dalam jangka panjangnya, mampu membawa Afghanistan ke era yang menjanjikan pembangunan dan tidak kurang, keamanan dan keselamatan.

Sepanjang beberapa bulan lalu, kita melihat adanya kesungguhan di pihak kerajaan baharu dalam mendapatkan pengiktirafan negara asing, lebih-lebih lagi dari kalangan pemimpin negara Islam sendiri.

Hasilnya, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Mutaqqi, banyak kedutaan asing bakal dibuka di Afghanistan. Ini, menurut beliau, memperlihatkan tanda bahawa pentadbiran baharu yang diterajui Taliban itu mula mendapat kepercayaan di peringkat antarabangsa.

Antara negara yang dikatakan telah pun membuka kedutaan mereka di Kabul termasuklah Pakistan, Turkmenistan, Kazakhstan dan Iran. 

Sementara itu, beberapa buah negara Eropah dilaporkan turut menyatakan hasrat untuk membuka kedutaan masing-masing di Afghanistan. Antaranya adalah Turki, Itali dan Jerman.

Namun, di sebalik adanya keyakinan yang sedemikian rupa, rejim Taliban Afghanistan dikatakan agak sedikit gusar berikutan adanya kenyataan di pihak Menteri Luar Pakistan bahawa negara itu tidak perlu tergesa-gesa dalam tindakannya berhubung pengiktarafan terhadap kerajaan Taliban itu. 

Kenyataan di pihak kerajaan Pakistan itu membayangkan bahawa banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum Pakistan membuat pendirian mengiktiraf secara rasmi penubuhan kerajaan Taliban di Afghanistan.

Kenyataan yang dibuat oleh Pakistan itu dijangka bakal meletakkan kerajaan Taliban dalam keadaan serba salah, lebih-lebih lagi berikutan adanya kenyataan Taliban baru-baru ini bahawa kegagalan dunia antarabangsa dalam mengiktiraf kerajaan Taliban dibimbangi akan memanjangkan lagi krisis kewangan dan kemanusiaan, yang akhirnya boleh mengheret Afghanistan kembali kepada masalah yang dihadapinya sebelum ini.

Pentadbiran baharu Taliban di Kabul secara umumnya diterima masyarakat antarabangsa sejak pengambilalihan pentadbiran itu pada pertengahan Ogos. Namun sejak itu juga, bantuan kewangan daripada Amerika Syarikat (AS) dan penderma lain ditamatkan selepas 20 tahun Afghanistan menerima kelebihan tersebut selama tempoh perang melawan keganasan.

Malah lebih daripada $9 bilion (RM37.9 bilion) aset kewangan Afghanistan dilaporkan turut dibekukan selepas pentadbiran negara itu diambil alih oleh Taliban.

Pada masa yang sama, Pakistan dan beberapa negara komuniti antarabangsa dikatakan sedang melihat sama ada Taliban boleh menjadi sebuah kerajaan inklusif dengan jaminan mengenai hak asasi manusia, terutama bagi minoriti, wanita dan kanak-kanak perempuan yang kebebasan mereka disekat ketika pentadbiran regim itu pada 1996 sebelum digulingkan pada 2001.

Pakistan dikatakan sudah pun menyampaikan kepada pemimpin Taliban mengenai 'harapan' komuniti antarabangsa supaya kerajaan baharu itu mampu membuktikan keupayaan mereka terhadap beberapa isu utama, terutamanya keupayaan mereka dalam mwujudkan landskap politik yang inklusif dan menghormati hak asasi manusia khususnya membabitkan wanita. 

Komuniti antarabangsa, selain itu, mahukan Taliban tidak memberi sebarang ruang bagi organisasi ektremis antarabangsa seperti Al-Qaeda dan Daesh bergerak semula di Afghanistan selain kerajaan memberi jaminan terhadap keselamatan mereka yang ingin keluar dari Afghanistan.

Sementara itu, kita merasa lega dengan adanya inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menganjurkan satu persidangan khas di Pakistan bermula 19 Disember lalu bagi  membincangkan isu kemanusiaan di Afghanistan. Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi dilaporkan berkata bahawa persidangan 'sesi luar biasa' 57 negara anggota OIC itu diadakan atas permintaan Pengerusi OIC, Arab Saudi.

Shah Mahmood berkata, OIC bimbang dengan nasib Afghanistan yang berhadapan dengan risiko kelumpuhan ekonomi jika aset negara itu yang dibekukan tidak dicairkan bagi menampung keperluan negara tersebut. Persidangan khas itu juga, menurutnya, penting bagi mencari kata putus untuk mengelak situasi lebih buruk menimpa Afghanistan dan juga negara jiran serta seluruh wilayah berkenaan.

Terbaharu, pada 20 Disember 2021, OIC  dalam sidang khasnya bersetuju menubuhkan dana amanah kemanusiaan dan program keselamatan makanan bagi membantu rakyat Afghanistan.

Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi, berkata melalui bantuan itu, ia membolehkan sumber kewangan dan perbankan dibuka bagi Afghanistan untuk membantu rakyatnya yang menghadapi ancaman krisis kemanusiaan.

Katanya, ekonomi Afghanistan tidak boleh bergerak dan rakyat mereka tidak dapat dibantu tanpa sistem perbankan yang berfungsi dengan sewajarnya.

Beliau berkata, OIC turut sepakat melantik utusan khas ke Afghanistan bagi menyelaras usaha bantuan selain membolehkan kerjasama terjalin antara pertubuhan itu dan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menyalurkan sumbangan kepada Afghanistan.

"Sekatan tidak seharusnya menghalang pemberian bantuan kemanusiaan dan sumber ekonomi juga tidak boleh dihentikan untuk sekolah serta hospital.

"Kita boleh berbeza pendapat dengan kerajaan (di Afghanistan), tetapi tumpuan harus diberikan untuk 38 juta penduduk Afghanistan," katanya pada sidang media Sesi Luar Biasa ke-17 Majlis Menteri Luar OIC di sini.

Pada masa sama, Shah Mahmood berkata, negara jiran turut mendapat tempiasnya jika pergolakan kembali ke Afghanistan, dengan kesannya mampau melangkaui rantau ini.

Katanya, dengan kes COVID-19 masih serius di Afghanistan, OIC akan bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan vaksin dan sumbangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha berkata, sebahagian besar negara anggota mengambil bahagian dalam sesi pertemuan luar biasa itu yang memberi harapan untuk masa depan rakyat Afghanistan menghadapi kesukaran dan musim sejuk.

Beliau berkata, Bank Pembangunan Islam membuka tabung khas di Afghanistan, dengan semua sumbangan dihantar oleh negara, organisasi, dan individu luar akan digunakan untuk rakyat Afghanistan.

OIC, melalui sidang khas tersebut juga dikatakan telah turut menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman Daesh dan Al-Qaeda seandainya krisis yang wujud di Afghanistan gagal diselesaikan dalam masa terdekat.

Kebimbangan terhadap kehadiran kumpulan ektremis yang tidak dikawal di bumi Afghanistan itu dibangkitkan sejak permulaan pengunduran AS selepas 20 tahun berada di sana.

Pada pertengahan Disember lalu, Ketua Komando Pusat AS dilaporkan berkata keadaan jelas menunjukkan Al-Qaeda cuba untuk berkuasa kembali di Afghanistan, yang menjadi pangkalan rancangan serangan 11 September 2001 terhadap AS.

Dalam pada itu, kita juga merasa bimbang dengan adanya kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa hampir 23 juta orang, iaitu kira-kira 55 peratus daripada penduduk Afghanistan berdepan tahap kelaparan melampau, dengan sembilan juta berisiko mengalami kebuluran. Keadaan ini jika tidak ditangani dengan segera mungkin boleh mengundang Afghanistan terjerumus ke dalam bencana kemanusiaan terbesar di dunia.


Wallahu a’alam (MMO)


Tuesday, November 23, 2021

DIARI KEHIDUPAN XVI : KENALI SIAPA SEBENARNYA ETNIK UIGHUR

 

Sekumpulan pelarian Uighur mengadakan demonstrasi di Eropah

Pada penghujung tahun 2018, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya sejuta warga Uighur telah ditahan di "pusat anti-ekstremisme" di wilayah Xinjiang, China. Laporan itu juga mendedahkan bahawa dua juta lagi warga Uighur telah dipaksa masuk ke “kem pendidikan semula” untuk indoktrinasi politik dan budaya bermula pada pertengahan 2017. 

Penahanan, latihan secara paksa serta dakwaan penderaan di dalam kem-kem yang tertutup itu kemudiannya digambarkan oleh Amerika Syarikat dan banyak kumpulan hak asasi manusia antarabangsa sebagai satu bentuk penderaan dan pembunuhan beramai-ramai yang berunsurkan "jenayah terhadap kemanusiaan".

China telah menolak dakwaan itu dengan mengatakan dasarnya terhadap Uighur dan minoriti Islam lain yang tinggal di wilayah baratnya, adalah perlu untuk "melawan ekstremisme" dan untuk menggalakkan mobiliti ekonomi yang bakal meningkat bagi taraf hidup kumpulan etnik yang miskin.

Namun dokumen rahsia yang didedahkan oleh kumpulan hak asasi kemanusiaan telah mendedahkan "strategi yang disengajakan" untuk mengawal dan menekan etnik minoriti Uighur dan memadamkan bahasa serta cara hidup mereka.

Siapakah orang Uighur itu dan mengapa Beijing bertindak keras terhadap mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini?

Orang Uighur ialah kumpulan etnik minoriti yang kebanyakannya tinggal di wilayah autonomi Xinjiang di Republik Rakyat China. Kebanyakan mereka beragama Islam, mengamalkan cara hidup Islam selama berabad-abad dengan mewarisi  pengaruh agama dari nenek moyang mereka di Karakhanid, sebuah wilayah Turki yang memerintah Asia Tengah dari abad ke-9 hingga ke-13. Pada abad sebelumnya, orang Uighur dikatakan menganut agama lain termasuk Zoroastrianisme dan Buddhisme.

Menurut rekod rasmi China, terdapat 12 juta Uighur, mewakili hampir separuh penduduk di Xinjiang. Laporan terbaru yang diterbitkan oleh agensi berita Xinhua memetik diplomat tertinggi China, Wang Yi, sebagai berkata bahawa populasi meningkat daripada 5.5 juta kepada 12 juta dalam tempoh 40 tahun yang lalu.

Kongres Uighur Sedunia, sekumpulan orang buangan Uighur yang memperjuangkan hak asasi manusia di tanah air mereka, meletakkan jumlah mereka kira-kira 20 juta yang tinggal di dalam dan di luar China. 

Xinjiang: Sempadan baharu

Kebanyakan orang Uighur di China tinggal di wilayah yang dipanggil Xinjiang, istilah Cina yang bermaksud "sempadan baharu" atau "tanah sempadan". Ini disebabkan lokasinya di sepanjang Jalan Sutera purba, Xinjiang mempunyai sejarah panjang penghijrahan silang oleh kumpulan minoriti yang berbeza.

Di China, ia secara rasmi dirujuk sebagai Wilayah Autonomi Uighur (XUAR) Xinjiang sejak 1955. Kumpulan etnik lain termasuk Cina Han, Kazakh, Kyrgyz, Mongol, Tajik, Uzbek dan Tatar juga tinggal di kawasan itu.

Terletak di barat laut jauh China, Xinjiang meliputi lebih daripada 1.6 juta km persegi (617,763 batu persegi) setanding dengan Iran dari segi keluasan tanah. Ia adalah wilayah terbesar di China dan membentuk kira-kira satu perenam daripada keseluruhan kawasan tanah negara. Ia kaya dengan minyak dan gas asli serta mempunyai keindahan semula jadi yang mampu menarik kedatangan pelancong dan pengusaha industri filem antarabangsa.

Pada tahun 1933, Turkestan Timur yang merdeka telah diisytiharkan secara ringkas oleh majoriti Uighur ketika itu, tetapi sempadannya tidak dapat diselesaikan dan tenteranya tidak lama kemudian dikalahkan oleh Cina nasionalis yang dipimpin oleh Chiang Kai-shek.

Sebuah republik Turkestan Timur kedua telah diisytiharkan pada tahun 1944 dengan sokongan Soviet. Tetapi pada tahun 1949, pemerintah Komunis baharu China yang telah mengalahkan Chiang dalam perang saudara telah mengilhakkan wilayah itu dengan persetujuan Joseph Stalin, pemimpin Soviet ketika itu, sekaligus menamatkan impian orang Uighur untuk mendapatkan tanah air yang merdeka.

Beijing menegaskan ia mempunyai tuntutan purba ke Xinjiang - sejak 206BC - dan menganggapnya sebagai "bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari negara China".

Uighur tidak bersetuju dengan mengatakan bahawa sempadan di wilayah itu telah dilukis semula. Uighur mendakwa selama berabad-abad, mereka bergantung kepada kuasa dominan, termasuk Mongol dan Karakhanid Turki. Uighur di luar negara juga mengatakan bahawa agama, bahasa dan amalan budaya mereka dengan jelas membezakan Xinjiang daripada seluruh China.

Sejak tahun 1949, apabila tentera komunis Mao Zedong menguasai Xinjiang, penghijrahan keluar telah meningkat dengan ketara, dengan orang Uighur meninggalkan wilayah itu untuk melarikan diri dari penindasan politik dan agama, yang membawa kepada penurunan beransur-ansur populasi mereka yang dahulunya majoriti.

Gelombang penghijrahan lain berlaku semasa kebuluran besar pada tahun 1950-an dan 60-an, diikuti oleh Revolusi Kebudayaan berdarah Mao, yang menyaksikan ramai intelektual Islam Uighur telah dibunuh.

Beratus-ratus ribu orang Uighur dan kumpulan minoriti Islam lain akhirnya melarikan diri ke negara jiran Asia Tengah, termasuk Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan. Yang lain melarikan diri ke Afghanistan dan Turki.

Berikutan ketegangan politik yang diperbaharui dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beribu-ribu pelarian melarikan diri ke Eropah, manakala lebih daripada 1,000 akhirnya berjaya menyeberangi Atlantik ke Amerika Syarikat. 

Sementara itu, berjuta-juta orang Cina Han mula menetap di Xinjiang dengan galakan Beijing, dan mereka kini membentuk kumpulan etnik kedua terbesar di rantau ini, melemahkan penguasaan penduduk Uighur di tanah air mereka sendiri dan mewujudkan sumber ketegangan baharu.

Pada masa yang sama, pemerhati hak asasi manusia juga menuduh Beijing melancarkan dasar kawalan kelahiran yang menyasarkan Uighur dan kumpulan minoriti lain, bertujuan untuk mengurangkan antara 2.6 - 4.5 juta kelahiran dalam tempoh 20 tahun.

'Helah perang melawan keganasan'

Pada awal 2017, sejurus sebelum tangkapan besar-besaran dan program pendidikan semula dilancarkan oleh Beijing, Zhu Hailun, ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Politik dan Undang-undang Parti Komunis Xinjiang, dipetik sebagai berkata bahawa dengan "penumbuk kuat" kerajaan, "semua aktiviti pemisah dan semua pengganas akan dihancurkan" di Xinjiang.

Beberapa bulan kemudian, tindakan keras yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Uighur bermula. Presiden China Xi Jinping juga telah berkata pada 2017 bahawa semua agama di negara itu harus mempunyai orientasi Cina selaras dengan dasar penyatuan beliau.

Puncak hubungan yang tegang itu, kata para ulama, adalah keinginan orang Uighur untuk memiliki wilayah sendiri yang beridentitikan Islam - sesuatu yang sangat bercanggah dengan keazaman China untuk mengenakan kawalan penuh ke atas Xinjiang dan penduduknya, termasuk cara beribadat, berapa ramai anak yang sepatutnya mereka miliki, dan apa yang mereka patut makan. 

Berikutan wujudnya pertembungan kepentingan seperti itu, ketegangan dengan mudah terbina dari semasa ke semasa, kadang-kadang meletus menjadi keganasan.

Pada 1990-an, terdapat serangan yang dikaitkan dengan Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM), sebuah kumpulan yang menyokong keganasan untuk mewujudkan sebuah negara bebas Turkestan Timur bagi menggantikan Xinjiang.

Pada Februari 1997, ratusan penunjuk perasaan aman didakwa ditembak mati oleh askar China dalam apa yang kini dipanggil oleh Uighur sebagai pembunuhan beramai-ramai Gulja, merujuk kepada bandar berhampiran sempadan dengan Kazakhstan.

Serangan 9/11 ke atas New York dan apa yang dipanggil "perang menentang keganasan" AS yang menjangkau dari Iraq ke Afghanistan dan Pakistan, yang sebahagiannya bersempadan dengan Xinjiang, akhirnya menyebabkan Beijing melancarkan kempennya sendiri menentang "ekstremisme" yang menyasarkan Uighur, memanggil mana-mana protes di rantau ini satu tindakan "separatisme".

Di ibu kota wilayah, Urumqi, ramai orang Uighur dilaporkan terbunuh pada tahun 2009 dalam pertempuran yang dicetuskan oleh Beijing ke atas Uighur. Kemudian pada Julai 2011 pertempuran antara Uighur dan Cina Han di bandar purba Kashgar membunuh 14 orang dan mencederakan 40 yang lain.

Tindakan keras Beijing secara beransur-ansur menjadi lebih sengit apabila aktivis Uighur, malah ulama, dilabelkan sebagai "pengganas" Muslim dan dilemparkan ke dalam penjara. Ada di antara mereka telah dijatuhkan hukuman mati secara tergesa-gesa dan tanpa proses perbicaraan sewajarnya. Sementara itu, warga Uighur yang telah melancong atau sedia berada lama di luar negara dan kemudian kembali ke China, disyaki mempromosikan pandangan "melampau", justeru ditahan dan disoal siasat.

Kehidupan semasa di Xinjiang

Amnesty International dalam laporannya pada pertengahan tahun ini telah menyifatkan kehidupan di Xinjiang sebagai "alam neraka yang dibina", dengan bekas tahanan mendedahkan penyeksaan dan pencabulan hak-hak asasi lain dilakukan secara berleluasa "dalam usaha untuk secara paksa menanamkan pegangan fahaman kepada pembinaan sebuah negara sekular yang homogen" mengikut cita-cita negara itu yang diterajui Parti Komunis China.

Pengawasan ke atas pergerakan etnik Uighur dan etnik Islam yang lain di Xinjiang juga dipertingkatkan kebelakangan ini dengan kamera pengawasan dipasang di merata tempat khususnya di bandar-bandar besar seperti ibu kota, Urumqi, menjadikannya mustahil bagi wartawan untuk bercakap dengan orang Uighur, tanpa mereka berisiko mungkin ditangkap.

Laporan 2019 oleh Human Rights Watch (HRW) pula berkata kerajaan menggunakan aplikasi mudah alih untuk menyimpan data Uighur dan Muslim Turki yang lain, untuk memantau pergerakan mereka melalui pengecaman muka. Matlamatnya  adalah "untuk mengenal pasti corak, serta meramalkan kehidupan seharian dan rintangan" penduduk Xinjiang " dan akhirnya untuk merekayasa dan mengawal realiti". 

Dengan menggunakan teknologi itu juga, setiap penduduk Xinjiang  “ditandakan” (flag) berdasarkan hubungan mereka, komunikasi mereka, sejarah perjalanan mereka, atau kerana mempunyai kaitan dengan seseorang yang dianggap mencurigakan oleh pihak berkuasa, kata HRW.

Terdapat juga laporan mengenai kerajaan melarang umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan, atau wanita bertudung dan lelaki memanjangkan janggut. Lebih meruntun jiwa apabila terdapat laporan mengatakan ada tahanan Islam di dalam “kem-kem pemulihan” dipaksa makan daging babi bertujuan mencabar pegangan agama mereka.

Pada tahun 2020, penyiasatan yang dijalankan oleh Institut Dasar Strategik Australia (ASPI), menggunakan imej satelit dan laporan darat, turut mendedahkan "ribuan masjid" di wilayah Xinjiang sama ada telah rosak atau musnah dalam masa tiga tahun sahaja.

Penafian China

China telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan sebarang unsur penyalahgunaan lain dengan menegaskan bahawa dasar Xi Jinping terhadap Uighur adalah bertujuan untuk "menangani ekstremisme", sambil memberi kemahiran kepada minoriti untuk menjadi lebih boleh bekerja dan menyumbang kepada ekonomi.

Dalam temu bual sebelumnya dengan Al Jazeera, Einar Tangen, seorang penganalisis politik yang menasihati kerajaan China, memberitahu Al Jazeera bahawa Beijing menganggap pendidikan semula dan latihan sebagai langkah yang perlu untuk menangani kemiskinan. Dalam temu bual lain dengan Al Jazeera, Tangen berkata keadaan ekonomi di Xinjiang telah "meningkat secara mendadak selama bertahun-tahun" dan penduduk di sana lebih baik.

Dalam artikel baru-baru ini yang diterbitkan oleh Xinhua, kerajaan China berkata programnya menentang "ekstremisme" di Xinjiang adalah mematuhi "prinsip dan semangat beberapa siri resolusi memerangi keganasan antarabangsa, termasuk Strategi Anti-Keganasan Global PBB".

Kerajaan China juga, dari semasa ke semasa, mengeluarkan laporan serta data-data berkaitan kes-kes pengganasan yang dikatakan menurun dengan banyak, juga data-data ekonomi yang dikaitkan sebagai data peningkatan taraf hidup etnik Uighur sejak kerajaan mewujudkan beberapa dasar baharu terhadap mereka.

Kebelakangan ini sudah ada beberapa buah negara Islam “menerima” hujah-hujah yang dibawa oleh China berkaitan pengurusan mereka terhadap aspek kehidupan etnik Uighur. Hujah-hujah tersebut telah diperkuatkan dengan menggunakan penunjuk-penunjuk ekonomi dan keselamatan sebagai bukti berjayanya dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan pusat terhadap etnik Uighur. 

Berikutan itu juga, sudah ada pemimpin negara Islam yang bangun menyatakan persetujuan mereka terhadap apa yang telah dan bakal dilakukan oleh China dengan menyifatkan apa yang dilakukan itu adalah demi kebaikan etnik Uighur dan generasi mereka pada masa depan.

Kita yang jauh di sini hanya mampu berserah akan kebenarannya kepada yang Maha Mencipta. Laporan yang dibuat oleh kumpulan hak asasi etnik Uighur, juga badan-badan hak asasi manusia antarabangsa, hingga ke detik-detik terakhir ini, menyatakan sebaliknya. Kita juga amat berharap kebenaran akan terserlah jua akhirnya, khususnya apabila badan-badan hak asasi antarabangsa seperti HRW berjaya membawa kes mereka ke peringkat pengadilan dunia untuk membuktikan bahawa penderaan dan jenayah “pembunuhan beramai-ramai” (genosid) berlaku di kem-kem tahanan etnik Uighur di China.


Wallahu ‘alam (MMO)

* Artikel dipetik, diterjemah dan disesuaikan dari Al-Jazeera



Tuesday, October 5, 2021

DIARI KEHIDUPAN XXIV : PALESTIN DI TEMPOH SUKU TAHUN KETIGA 2021

 

Pihak berkuasa Israel bertindak meratakan tanah milik warga Palestin

Tidak banyak pencapaian penting yang mampu digarap oleh Palestin dalam tempoh suku tahun ketiga (Julai-September) 2021. Kehidupan rakyat Palestin masih berada di takuk lama dengan rutin harian sentiasa dikejar oleh ketakutan akibat tindakan zalim dan kekerasan yang terus dilakukan oleh rejim Zionis tanpa mengenal erti undang-undang dan hak asasi kemanusiaan warga Palestin.

Berikut ini kita paparkan beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam tempoh liputan. Paparan ini bagaimanapun tidak memasukkan peristiwa pencerobohan pendatang Yahudi ke kawasan Masjidil Aqsa memandangkan ianya boleh dikatakan berlaku hampir setiap masa - hampir selang sehari dua - suatu tindakan berbentuk provokasi dan mempunyai agenda tersirat yang terus berlanjutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

5 Julai 2021

Israel Ikrar Teruskan Perluasan Penempatan

Sebuah akhbar Hebrew mendedahkan bahawa pemerintah Israel telah bersetuju untuk mengekalkan dan meningkatkan pembinaan penempatan di Tebing Barat dan Jerusalem dalam satu pertemuan dengan para pemimpin penempatan Yahudi baru-baru ini.

Menurut akhbar Israel Hayom itu, Menteri Dalam Negeri Ayelet Shaked telah bertemu dengan anggota dewan Yesha, organisasi yang memayungi penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Jerusalem pada minggu lalu, dan menyampaikan janji pemerintahnya untuk mempertahankan status quo pada pembinaan dan perluasan penempatan itu kerana ia berada di bawah pemerintahan sebelumnya.

Shaked juga menegaskan bahawa kerajaan akan mengadakan sidang jawatankuasa zon yang lebih tinggi dari pentadbiran awam tentera Israel pada setiap tiga bulan untuk meluluskan projek pembinaan yang baru.

11 Julai 2021

IOA meratakan bangunan sekolah di bandar Anata

Pihak berkuasa rejim Zionis (IOA) telah memusnahkan bangunan sekolah Palestin yang sedang dalam proses pembinaan di pinggir bandar Anata, timur laut Baitulmuqaddis.

Menurut sumber tempatan, jentolak-jentolak yang diiringi sekumpulan besar polis rejim menyerbu kawasan itu dan memulakan pemusnahan bangunan sekolah.

IOA mendakwa tindakan itu dilakukan atas alasan sekolah itu dibina tanpa kebenaran.  Alasan sama digunakan secara tersusun oleh Israel untuk menjalankan perobohan dan pengusiran keluarga-keluarga Palestin di Baitulmuqaddis.

12 Julai 2021

Tentera Israel Arah Penduduk Kampung Lembah Jordan Runtuhkan Pagar Dusun

Tentera rejim Zionis telah memerintahkan sebuah keluarga Palestin untuk meruntuhkan pagar di sekitar sebidang tanah milik mereka di dusun Khirbet al-Hemma di utara Lembah Jordan.

Menurut sumber tempatan, pasukan Israel menyerbu dusun berkenaan dan memberi notis lisan kepada keluarga Faqha mengenai keputusan ketenteraan yang memerintahkan mereka untuk meruntuhkan pagar yang mengelilingi tanah mereka.

Pada tahun 2016, sekumpulan peneroka haram Yahudi telah merampas sebidang tanah berhampiran dusun tempat mereka membina sebuah pos, dan sejak itu mereka telah mengganggu penduduk tempatan dan menghalang mereka untuk pergi atau mengerjakan tanah mereka di kawasan itu dengan kerjasama tentera Israel.

14 Julai 2021

Kepungan Israel Bakal Mencetus Konflik Lain

Pusat Hak Asasi Manusia, Al-Mezan, memberi amaran bahawa tindakan Israel menutup laluan dan sekatan ketat terhadap pergerakan barangan keperluan dan individu bakal mengundang kesan serius terhadap situasi ekonomi dan kemanusiaan di Jalur Gaza.

Dalam keadaan yang sama, kemerosotan situasi kemanusiaan yang semakin cepat dan berbahaya ini akan memicu kitaran baru konfrontasi ganas dengan Israel. Kenyataan tersebut juga turut menggambarkan situasi semasa di Gaza sebagai ‘tidak tertahan’.

Al-Mezan menekankan perlunya masyarakat antarabangsa segera menangani situasi di Gaza sebelum ia menjadi beban, sekaligus sukar untuk ditangani jika konflik lain tercetus.

14 Julai 2021

Menteri: Akibat Serangan Israel, Jumlah Kerugian Gaza Mencapai USD479 Juta

Wakil Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan, Naji Sarhan mengatakan, jumlah kerugian akibat serangan Israel baru-baru ini terhadap Gaza mencapai USD479 juta.

Dalam kenyataan akhbarnya, Sarhan menambah, jawatankuasa khas telah membuat penilaian semua kerugian tersebut, mengikut prosedur dan operasi standard bank dunia. Penilaian kerugian terbahagi kepada 3 perkara utama: kerosakan langsung, kerugian langsung dan kerugian tidak langsung.

Jumlah kerugian dan kerosakan mencapai USD479 juta USD, terbahagi kepada tiga sektor utama: sektor perumahan dan fasiliti awam mencapai 61% dari jumlah kerugian, ujar Sarhan. Sementara kerugian di sektor pembangunan ekonomi mencapai 33%, dan sektor pembangunan sosial mencapai 7%.

18 Julai 2021

IOF Meratakan Rumah-rumah Di Komuniti Badwi di Utara Ramallah

Tentera rejim zionis (IOF) pada pagi Rabu telah memusnahkan sejumlah kediaman dan khemah di komuniti Badwi al-Qabboun dekat kampung al-Mughayir, di timur laut Ramallah.

Menurut sumber tempatan, beberapa trak diiringi sejumlah besar tentera rejim menyerbu dusun al-Qabboun lalu memulakan pemusnahan lima rumah dan khemah serta merampas tangka air, traktor dan peralatan lain yang dimiliki penduduk tempatan.

Seorang pegawai tempatan menyatakan rejim zionis (IOA) ingin menghentikan kewujudan orang Badwi di kawasan itu sebagai usaha menyiapkan penempatan sepanjang timur Tebing Barat dan mengasingkan Lembah Jordan dari Tebing Barat.

23 Julai 2021

Jordan Kutuk Pencabulan Berterusan Israel ke atas Al-Aqsa

Kementerian Luar dan Ekspatriat Jordan mengecam tindakan pencerobohan berterusan oleh Israel di Masjid Al-Aqsa. Terbaru, pada hari Ahad pihak berkuasa Israel membenarkan puluhan peneroka menyerbu masjid di bawah perlindungan polis Israel dan menyerang para jemaah.

Jurucakap Kementerian, Daifallah al-Fayez, dalam satu kenyataan berkata bahawa tindakan Israel terhadap masjid tersebut ditolak dan ia merupakan pencabulan terhadap status quo sejarah dan undang-undang antarabangsa dan kuasa Israel sebagai penjajah di Timur Jerusalem.

Fayez menjelaskan kementerian itu telah menghantar nota protes secara rasmi meminta Israel menghentikan pencabulannya, menghormati status quo sejarah dan undang-undang, kesucian masjid, kebebasan beribadah, dan menghormati pihak berkuasa Pentadbiran Wakaf Jerusalem dan urusan Masjid Al-Aqsa di Jordan.

2 Ogos 2021

Pertempuran Di Nablus Selepas Tentera dan Penceroboh Menyerbu Kawasan Timur

Keganasan meletus di antara pemuda Palestin dan tentera rejim Zionis di kawasan timur bandar Nablus selepas beratus penceroboh Yahudi memenuhi kawasan tersebut untuk melakukan ritual di makam nabi Yusuf.

Sumber tempatan berkata berpuluh pemuda menutup jalan di kawasan timur dengan batu dan membakar tayar; dan berdepan dengan tentera rejim dan kenderaan peronda dengan membaling batu dan bom Molotov ke arah mereka.

Mereka menambah bahawa pertempuran memuncak setelah lebih ramai tentera Israel tiba dengan menaiki kenderaan tentera termasuk jentolak menyerbu kawasan timur Nablus dan memenuhi jalan raya untuk memberi perlindungan ke atas bas dan kereta yang membawa beratus penceroboh.

3 Ogos 2021

UNRWA: Penutupan Lintasan Di Gaza Oleh Israel Halang Pembinaan Semula

Sam Rose, Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza, mengatakan bahawa kekurangan bahan mentah akibat penutupan lintasan Israel dengan Semenanjung Gaza menghalang proses pembinaan semula, yang juga memerlukan dana.

Rose menegaskan bahawa rayuan khas telah dilancarkan oleh UNRWA pada akhir bulan Jun untuk mendapatkan dana yang diperlukan untuk membina semula Gaza dan membantu usaha baik pulih akibat kesan perang.

Beliau mengatakan bahawa agensi pelarian tersebut telah memulakan penilaian kerosakannya sendiri di Gaza berikutan “penilaian segera kerosakan dan keperluan” antarabangsa yang dilancarkan semasa pertemuan dengan penderma pada waktu itu.

Pegawai PBB tersebut juga menegaskan bahawa agensi itu memerlukan $160 juta untuk membina semula rumah-rumah kediaman bagi keluarga pelarian Gaza.

4 Ogos 2021

Jawatankuasa Al Quds: Warga Sheikh Jarrah Tetap Gigih Bertahan

Anggota Jawatankuasa pembela kawasan Sheikh Jarrah, Yakub Abu Irfah menegaskan bahawa pergerakan warga yang digagaskan oleh badan nasional dan Hak Asasi Manusia memberi kesan positif kepada kepentingan kawasan Sheikh Jarrah.

Abu Irfah menyebutkan, pergerakan warga dengan segenap bentuknya menjadi tekanan terhadap penjajah Israel. Beliau menegaskan bahawa warga Sheikh Jarrah tetap gigih untuk mempertahankan rumah mereka dan melawan penjajah.

Terdapat 7 rumah yang terancam pengosongan paksa di kawasan Sheikh Jarrah oleh mahkamah Israel. Minggu lalu keputusan pengusiran 3 keluarga telah dibekukan, sementara pihak mahkamah bersidang perkara berkaitan pengosongan rumah 4 keluarga, ungkap Abu Irfah. 

6 Ogos 2021

PBB Tegaskan Semula Penolakannya Terhadap Pelan Petempatan Israel di Baitulmuqaddis

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengulangi penolakannya ke atas niat Israel untuk mengusir penduduk awam Palestin dari rumah mereka di dalam wilayah yang diduduki.

Dalam satu taklimat akhbar pada hari Isnin, jurucakap setiausaha agung PBB Stephane Dujarric menegaskan bahawa semua aktiviti petempatan termasuk pengusiran dan perobohan adalah haram mengikut undang-undang antarabangsa.

Jurucakap tersebut membuat kenyataannya sebagai respon kepada satu soalan tentang pendirian setiausaha agung itu berkenaan satu sesi mahkamah Israel ke atas keluarga-keluarga di Sheikh Jarrah yang berdepan dengan rancangan Israel untuk mengusir mereka dari rumah mereka.

11 Ogos 2021

13 Tahanan Palestin Mengadakan Mogok Lapar

Kelab Tawanan Palestin mengesahkan bahawa 13 tahanan meneruskan mogok lapar di penjara Israel. Salem Zaidat dari bandar Bani Naim di al-Khalil adalah yang pertama melakukan mogok lapar dan telah mogok selama 28 hari.

Kelab itu mengatakan dalam satu kenyataan media bahawa dua tahanan, Muhammad Abu Sale dan Ahmed Abu Sal dari kem pelarian al-Aroub menangguhkan mogok lapar mereka setelah mereka mencapai kesepakatan untuk menetapkan tempoh penahanan mereka.

Tahanan yang sedang mogok lapar menghadapi keadaan kesihatan yang bertambah buruk dari semasa ke semasa kerana keengganan pihak berkuasa mengikuti permintaan mereka untuk mengakhiri penahanan mereka.

19 Ogos 2021

Rejim Zionis Culik Warga Palestin Dalam Serbuan di Tebing Barat

Rejim Zionis telah menculik beberapa warga Palestin ketika kempen di beberapa kawasan Tebing Barat pada waktu subuh hari Khamis lalu.

Menurut sumber setempat, rejim itu menyerbu Kampung ash-Shuyukh, timur laut Kota al-Khalil, dan menculik bekas tahanan Hamza Halayka dari rumahnya.

Halayka dibebaskan pada hari Rabu setelah selesai menjalani hukuman penjara selama 16 tahun. Pada tahun 2005, dia diculik dari rumahnya berikutan hubungannya dengan Brige Hamas al-Qassam.

25 Ogos 2021

Pihak Berkuasa Mesir Tutup Sempadan Gaza

Atas desakan dipercayai berpunca daripada tekanan Israel, pihak berkuasa Mesir telah bertindak menutup lintasan sempadan Rafah dengan Semenanjung Gaza di kedua-dua arah pada hari Isnin lalu.

Iyad al-Bozom, jurucakap bagi Kementerian Dalam Negeri di Gaza, berkata dalam satu kenyataan ringkas bahawa pihak berkuasa Mesir memaklumkan kementeriannya pada petang hari Ahad berkenaan keputusan penutupan berkenaan.

Lintasan sempadan Rafah dibuka pada setiap hari pada setiap minggu di kedua-dua arah kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.

25 Ogos 2021

Israel Bina Rumah Bergerak dan Menyerang Petani di Salfi.

Sejumlah peneroka Yahudi telah meletakkan dua buah rumah bergerak di atas sebidang tanah milik rakyat Palestin di bandar Deit Istiya, sebelah darat Salfit pada Isnin lalu. 

Sementara itu beberapa peneroka yang lain telah mengusir petani tempatan keluar daripada tanah mereka di Gunung al-Ras yang berhampiran dengan bandar tersebut.

Menurut ketua bandar Deir Istiya, Sa’ied Zaidan, peneroka Yahudi ini telah membina 2 buah kediaman pasang siap di daerah Harikat Abu Zuhair di sebelah barat bandar itu.

Zaidan turut menambah di dalam kenyataannya, kawasan itu akan terus diancam oleh penguasaan daripada pihak Israel kerana mereka telah mula mendiri pos kawalan berhampiran penempatan haram Havot Yair.

25 Ogos 2021

Liga Arab Memberi Amaran Terhadap Tindakan Agresif Israel di Baitulmuqaddis

Liga Arab memberi amaran terhadap kedegilan Israel di Baitulmuqaddis dan Masjid Aqsa serta kebiadabannya ke atas status sah dan sejarah kota suci itu. Ia merupakan ancaman serius kepada keselamatan dan kedamaian antarabangsa, kata Liga Arab lagi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Liga Arab pada ulang tahun ke 52 serangan ke atas Masjid Aqsa.

“Jenayah membakar Masjid Aqsa pada 1969, yang dilakukan oleh pelampau dan pengganas Zionis adalah perbuatan keji yang menjadi dalang kepada keganasan rejim Israel sekarang,” kata Liga Arab. 

27 Ogos 2021

Perjuangan di Tabing Barat dan Gaza Tetap Berterusan

Gerakan Hamas menegaskan betapa perjuangan rakyat Palestin menentang penjajah Zionis, dengan segenap kemampuan yang ada di Tebing Barat, Al-Quds dan Gaza akan tetap berterusan untuk meneruskan tuntutan dan mencapai tujuan yang diharapkan.

Hal itu disampaikan jurucakap Hamas, Abdul Latif Qanu ketika menyampaikan takziah atas kematian Usamah Khalid Adiej. Usamah meninggal dunia pagi Rabu akibat cedera berpunca dari tembakan yang dilepaskan oleh penembak tepat Israel ketika aksi demonstrasi rakyat di Gaza Timur, Sabtu lalu.

Qanu mengatakan, perjuangan akan terus berlanjutan di Jenin dan Nablus, diikuti dengan demonstrasi rakyat di Beita dan Bet Dajan, juga di Khanyunis Timur, sebagai penerusan pertempuran Saif Al-Quds untuk melindungi bangsa Palestin dan membela tempat suci yang tak akan berhenti sehingga tujuan tercapai.

3 September2021

Hamas Anggap Israel Bertanggungjawab Atas Kepungan di Gaza

Gerakan Hamas menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan daripada sekatan di Semenanjung Gaza dan penderitaan kemanusiaan yang berlaku kepada penduduknya.

Dalam satu kenyataan media, jurucakap Hamas Fawzi Barhoum memberi amaran bahawa amalan pelampau Israel terhadap Gaza akan mewujudkan ‘suasana dan ledakan yang bertambah buruk’. “Kami hormati rakyat Palestin dan revolusi para pemuda di atas kekuatan dan ketabahan mereka dalam menghadapi pendudukan, sekatan dan penempatan di Gaza, Nablus, Jenin, Jerusalem dan al-Khalil,” kata Barhoum.

6 September 2021

Hamas bantah perlantikan duta Bahrain ke Israel

Pergerakan Hamas menganggap perlantikan duta Bahrain ke Israel sebagai “menurutkan dosa nasional yang telah dilakukan oleh kepimpinannya ketika menandatangani perjanjian normalisasi”.

Dalam satu kenyataan akhbar pada hari Rabu, jurucakap Hamas Hazem Qasem berkata bahawa langkah Bahrain itu mencerminkan sokongan yang jelas untuk negara penjajah tersebut serta keterlibatan dalam pencerobohan dan kejahatan yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan pelanggarannya terhadap tempat suci Islam. Qasem turut menambah bahawa langkah itu “akan menjadi satu peristiwa versi Zionis”.

13 September 2021

PPI batalkan lawatan untuk tahanan Palestin

Jawatan Kuasa Palang Merah Antarabangsa memberitahu keluarga tahanan warga Palestin pada hari Khamis bahawa Perkhidmatan Penjara Israel telah membatalkan semua lawatan untuk tahanan sehingga penghujung September berikutan suasana semasa.

Pihak penjara PPI disokong oleh unit khas tentera Israel melancarkan tindakan kejam ke atas tahanan warga Palestin terutamanya di penjara Negev, Ofer, Gilboa dan Ramon. Sebagai respon, tahanan warga Palestin di penjara tersebut membakar beberapa sel tahanan.

15 September 2021

Mahkamah Israel Jatuhkan Hukuman Penjara Kepada Sembilan Orang Penduduk Baitulmaqdis

Mahkamah daerah Israel di Baitulmaqdis telah menjatuhkan hukuman penjara kepada sembilan orang warga Baitulmaqdis dan melanjutkan penahanan yang lain.

Menurut Pusat Maklumat Wadi Hilweh, tujuh tahanan telah menerima hukuman penjara yang berbeza, antara dua hingga 42 bulan.

Hukuman penjara dijatuhkan kepada tujuh orang yang ditahan. Mereka adalah Hatem Jaradat, 42 bulan, Majd Mustafa, 28 bulan, Majd al-Waari, 28 bulan, Nouruddin Obeid, 20 bulan, Amjad al-Waari, 28 bulan, Anwer Obeid, 20 bulan dan Adem Mahmoud, 20 bulan. Manakala dua yang lain didakwa kerana melanggar perintah mahkamah yang telah mengusir mereka dari Baitulmaqdis.

Dua lagi tahanan muda yang dikenali sebagai Nadim Zahra dan Fayez Muhaisen menerima hukuman penjara empat bulan tergantung selama dua tahun.

Mahkamah yang sama melanjutkan penahanan seorang pemuda Baitulmaqdis dari kawasan Sheikh Jarrah hingga 19 September 2021. Dia diculik dari rumahnya oleh pasukan polis pada 10 Ogos.

Ia juga melanjutkan penahanan seorang pemuda Baitulmaqdis bernama Nour ash-Shalabi hingga hari ini (13 September) dan seorang yang lain Omar ash-Shalludi hingga hari Ahad berikutnya.

22 September 2021

Rejim Zionis Lancar Kempen Tangkapan Besar-Besaran di Tebing Barat

Rejim Zionis melancarkan kempen penangkapan besar-besaran di Tebing Barat dan Jerusalem pada malam hari Ahad dan waktu subuh hari Isnin.

Di Qalqilya, rejim itu menangkap bekas tahanan Abdel Naser al-Rabi, setelah menyerbu dan menggeledah rumahnya. Dia menjalani hukuman di penjara Israel selama lebih dari 7 tahun. Di Tulkarem, Rejim Zionis telah menangkap Baraa ‘Mazeed, Yusuf Hannun dan Tamer Nassar, juga setelah menyerbu dan menggeledah rumah mereka.

23 September 2021

Parti utama UK terima usul tolak larang hubungan dagang dengan penceroboh Yahudi

Parti Demokrat Liberal British, sebuah parti utama telah membuat undian sebulat suara yang menyokong UK melarang sebarang hubungan dagang dengan penempatan haram Israel di dalam wilayah Palestin yang diduduki.

Usul tersebut telah diluluskan oleh parti tersebut pada persidangan tahunannya termasuk “komitmen untuk segera mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bebas berdaulat oleh kerajaan UK berdasarkan sempadan pada tahun 1967”.

Usul tersebut turut menggesa kerajaan UK untuk melarang syarikat-syarikat daripada beroperasi di dalam penempatan haram di wilayah yang diduduki dan untuk memastikan rakyat Palestin menerima layanan yang sama seperti rakyat Israel berhubung kunjungan bebas-visa ke UK.

29 September 2021

Sheikh Sabri Beri Amaran Rancangan Terbaru Israel Yang Menyasarkan Masjid al-Aqsa.

Sheikh Ekrima Sabri, Ketua Majlis Tertinggi Islam di Baitulmuqaddis yang diduduki, berkata bahawa tindakan pihak Israel yang membenarkan penceroboh Yahudi memasuki masjid al-Aqsa dalam jumlah yang besar mencerminkan niat sebenar untuk membenarkan kemasukan ajaran baru di tapak suci itu.

Dalam satu kenyataan akhbar, Sheikh Sabri menegaskan bahawa “kumpulan penceroboh tidak berani untuk masuk ke masjid al-Aqsa tanpa perlindungan ketat pihak polis, yang mana mengesahkan ketakutan mereka untuk menimbulkan kemarahan penduduk asal Baitulmuqaddis, yang merupakan pemilik sebenar tapak suci tersebut”.

Sabri mendesak penduduk Baitulmuqaddis dan semua pengunjung Muslim yang boleh memasuki masjid al-Aqsa supaya kerap berkunjung ke masjid itu serta memperhebatkan kehadiran mereka di halamannya untuk berhadapan dengan kemasukan oleh puak penceroboh.


Wallahu a'alam (MMO)