Monday, January 24, 2022

DIARI KEHIDUPAN XXIV : INISIATIF TERBAHARU DALAM MENGHIDUPKAN KEMBALI ISU PALESTIN DI PBB


Ketibaan tahun baharu 2022 turut membawa sinar dalam perjuangan membela isu Palestin di peringkat antarabangsa, khususnya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Ianya bermula dari iltizam yang diambil oleh Presiden baharu UNSC sendiri, Mona Juul dari Norway, yang merancang untuk memberi nafas baharu dalam perbincangan mengenai isu Palestin-Israel di peringkat menteri di UNSC setelah isu berkenaan hampir dilupakan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.

Dalam kenyataan terima kasih beliau di atas perlantikan beliau sebagai Presiden UNSC, Juul telah menyuarakan janji beliau untuk menghidupkan kembali isu Palestin-Israel yang hampir terkubur itu sambil menyelar segelintir pihak antarabangsa yang dilihat kurang memberikan tumpuan terhadap isu terbabit, susulan pelbagai konflik lain di seluruh Asia Barat.

"Rakyat Israel dan Palestin tidak sepatutnya diberi layanan sedemikian.

"Selama 30 tahun selepas persidangan Madrid, isu Israel-Palestin berhak diberikan tumpuan yang lebih banyak.

"Adalah sangat penting untuk kita tingkatkan fokus UNSC dan keperluan mencari penyelesaian politik terhadap konflik berpanjangan ini, selain membendung sebarang tindakan yang boleh merencatkan prospek penyelesaian dua negara," katanya pada satu sidang media.

Sementara itu, sebuah laporan yang diterbitkan oleh agensi berita Arab News pula memetik beliau sebagai berkata bahawa Norway mengulangi bantahan terhadap sebarang tindakan unilateral dalam konflik Israel-Palestin, khususnya tindakan memperluaskan penempatan haram didalangi Israel.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa suara pihak berkuasa Palestin harus dihormati dan diberikan ruang untuk menghadiri sesi perbincangan yang dirancangkan itu bagi mengutarakan sebarang pandangan dan mandat mengenainya .

Perlu dinyatakan di sini bahawa Juul memainkan peranan penting pada Perjanjian Oslo 1993, membabitkan Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin dan Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat.

Ketika berkhidmat sebagai pegawai di Kementerian Luar Norway, beliau dikatakan telah mengemukakan cadangan supaya  perbincangan antara pemimpin Israel dan Palestin diadakan bagi membolehkan kedua-dua pihak, Palestin dan Israel mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu yang dihadapi kedua-dua belah pihak.

"Perkara utama (Perjanjian Oslo) yang menjadi teras kejayaan ialah apabila dua pemimpin mewakili pihak masing-masing berani untuk mengadakan perbincangan ke arah perjanjian damai.

"Walaupun langkah ini tidak dilaksanakan, banyak perkara lain yang berlaku, termasuk langkah Israel mengiktiraf PLO dan Pihak Berkuasa Palestin ditubuhkan di Palestin serta beroperasi.

"Sudah pasti, semuanya bergantung kepada pemimpin. Anda memerlukan kesungguhan politik untuk berkompromi dan kekuatan untuk melaksanakan sesuatu.

"Justeru, penyelesaian dua negara terarah kepada perkara sedemikian, iaitu keperluan berkompromi daripada kedua-dua pihak, malah belum terlambat untuk kita rintis usaha ini," kata beliau.

Norway juga dikatakan berhasrat untuk menganjurkan forum, dinamakan sebagai 'Oslo mini' untuk negara anggota UNSC, khususnya berkaitan aspek diplomasi, pencegahan dan kaedah penyelesaian konflik.

Sementara itu, beberapa pihak dari kalangan negara Islam menuntut supaya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak secara lebih proaktif, dinamik dan tegas dalam menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya terus memberikan tumpuan bagi menyelesaikan konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin ketika ini.

Malaysia, Indonesia dan Brunei misalnya, tidak pernah berdiam diri dalam menuntut OIC supaya berbincang dengan PBB serta negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan negara-negara di Eropah dalam membawa aspirasi kebajikan umat Islam sejagat terutamanya Palestin. Ini kerana dalam mendepani kemelut isu dua negara berkenaan, negara-negara Islam di seluruh dunia amat bergantung harap kepada keberkesanan peranan yang dimainkan oleh OIC.

Di satu pihak lain, PBB sebagai pihak berkecuali dan berautoriti, wajar melakukan intervensi dan menyelamatkan bumi Palestin daripada sebarang tindakan kekejaman Israel.

Sejauh ini, beberapa pendekatan telah dicadangkan untuk diusahakan baik oleh OIC mahupun PBB. Antara yang paling ditekankan ialah gabungan pendekatan iaitu antara politik dan rundingan diplomasi. 

Pendekatan ini jika turut didokong oleh masyarakat antarabangsa khususnya kuasa-kuasa besar Barat yang menjadi Ahli Tetap Majlis Keselamatan PBB, dipercayai akan mampu mengurangkan ketegangan antara dua negara, Palestin-Israel yang berpanjangan selama lebih dari tiga dekad itu.

Dalam konteks ini, Palestin dilihat sebagai mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan tenteram seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini sebagaimana terkandung di dalam artikel ke 3 (Human Rights) Mesyuarat United Nation General Assembly (UNGA) di Paris pada 1948.

Malaysia, Indonesia dan Brunei juga secara konsisten menuntut  penubuhan (negara) Palestin yang bebas dan merdeka daripada belenggu penjajahan Israel menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Bagi kita, isu Palestin bukan semata-mata bertunjangkan dari pertembungan antara agama, tetapi juga merupakan isu kemanusiaan sejagat. Apa yang telah berlaku dan masih lagi berlarutan,  rakyat Palestin selama berpuluh-puluh tahun lamanya, dinafikan hak mereka untuk menduduki tanah air sendiri.

Dunia umumnya mengetahui bahawa hasil kerakusan kuasa besar dalam mengusahakan penempatan Israel di Palestin berdasarkan Deklarasi Belfour, 1917 akhirnya membawa kepada apa yang berlaku sekarang di mana Israel akhirnya bertindak menjajah dan menjarah setiap inci tanah Palestin.

Secara ringkas, dari sudut sejarahnya, pada 14 Mei 1948, Perdana Menteri pertama Israel, iaitu David Ben Gurion mengadakan upacara di Tel Aviv untuk mengisytiharkan kelahiran negara baharu Israel di Palestin.

Seterusnya, 15 Mei 1948, kerajaan Israel berjaya mendirikan negara Yahudi di bumi Palestin dengan pertolongan kuasa besar, iaitu British dan Amerika Syarikat (AS).

Kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918) menyebabkan Palestin diletakkan di bawah mandat British kemudian diserahkan kepada Israel untuk mendirikan negara Yahudi.

Beberapa negara lain seperti Soviet Union, Poland dan Ireland turut mengiktiraf pembentukan negara Israel di Palestin.

Sejak dari itulah pertempuran meletus antara tentera Zionis Israel dengan pejuang Palestin dan Arab. Keadaan ini berlangsung sekian lama sehingga tercetus Perang Israel-Arab.

Kesan Perang Israel-Arab atau Perang Enam Hari yang berlaku pada 1967 itu membawa kepada penaklukan Israel di wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Timur Baitulmaqdis. Keadaan ini membawa kepada rampasan tanah di wilayah terbabit untuk penempatan penduduk Yahudi.

Bertitik tolak dari sinilah isu Palestin-Israel mengambil tempatnya pada masa ini, dan dijangka akan berlanjutan pada beberapa tahun akan datang sekiranya langkah penyelesaiannya gagal diusahakan oleh PBB. 

Malah, kita amat menaruh bimbang dan curiga di atas kesungguhan badan dunia PBB dan kuasa-kuasa besar yang menguasai bentuk keputusan yang  dicapai oleh PBB yang kelak boleh memungkinkan Israel menduduki sepenuhnya bumi Palestin sementara rakyat Palestin pula terusir sebagai pelarian dari bumi sendiri. Na’uzubillah!

Justeru, dengan segala kudrat yang ada, marilah sama -sama kita bangun dalam menyeru agar OIC dan semua kesatuan negara lain yang masih menghormati undang-undang antarabangsa untuk memberi tekanan terhadap Israel bagi membebaskan Palestin daripada penaklukan haram Zionis, sekali gus mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kekejaman dilakukan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin.


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment