Saturday, June 20, 2020

DIARI KEHIDUPAN VI : ADA “CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG” BAGI UIGHUR?


Sekumpulan petugas keselamatan China berjalan berhampiran kem tahanan pemulihan etnik Uighur

Pada 17 Jun 2020, Presiden AS, Donald Trump telah menandatangani secara rasminya Undang-undang Dasar Hak Asasi Manusia Uighur yang antara lain bertujuan mengenakan sekatan ke atas pegawai-pegawai China sebagai hukuman di atas pelanggaran hak asasi manusia mereka terhadap minoriti Muslim Uighur di negara itu.

Tindakan Trump itu telah mengundang reaksi kecewa dan marah dari Beijing. Kementerian Luar Negeri China segera mengulas tindakan Trump tersebut sebagai cubaan untuk mengganggu urusan dalaman negeri China. 

Uighur Act "menodai tindakan anti-keganasan, anti-pemisahan, dan deradikalisasi Xinjiang," kata wakil Kementerian Luar China. Serentak dengan itu, China turut memberi kata dua dalam memperingatkan AS bahawa negara itu harus bersedia untuk menerima "akibat" daripada tindakan yang mereka lakukan itu.

Sementara itu, penggubal undang-undang AS dan Uighur meraikan undang-undang baru yang ditandatangani oleh Trump.

"Ini adalah hari yang baik bagi Uighur. Untuk pertama kalinya mandat perundangan telah dimaktubkan untuk melindungi hak mereka ketika mereka menghadapi ancaman eksistensial di China," kata Nury Turkel, seorang peguam Uighur Amerika yang baru-baru ini dicalonkan oleh Speaker Dewan Nancy Pelosi kepada Suruhanjaya Kebebasan Beragama AS.

Ini adalah saat bagi Trump "untuk menunjukkan komitmennya untuk mempromosikan kebebasan beragama di China," tambah Turkel. Beliau juga turut menggesa Presiden Trump agar tidak berkompromi dengan mana-mana jua pegawai-pegawai China yang didapati bertanggung jawab dalam melakukan tindakan yang bertentangan dengan hak asasi kemanusiaan ke atas etnik Uighur.

Di pihak China, kewujudan Undang-undang Dasar Hak Asasi Manusia Uighur dilihat sebagai amat mencabar maruah dan kedaulatan negara itu khususnya dari sudut pengendalian urusan dalaman negara berkenaan. 

Undang-undang berkenaan yang turut membolehkan pentadbiran AS menentukan siapakah pegawai China yang bertanggung jawab atas 'penahanan, penyiksaan dan gangguan' terhadap etnik Uighur dan minoriti lain sebagai mencabuli sama sekali urusan kerajaan China lebih-lebih lagi dalam usaha China untuk membendung keganasan yang ditimbulkan oleh kumpulan minoriti Uighur itu. 

China juga amat tertekan dengan peruntukan undang-undang AS itu yang turut membolehkan pembekuan ke atas aset mana-mana pegawai yang didapati terlibat dalam melaksanakan kekejaman terhadap etnik Uighur dan melarang kemasukan mereka ke AS.

Sebagai maklumat latar belakang, rang undang-undang yang menggesa Presiden Donald Trump supaya bertindak tegas terhadap China atas layanan buruk mereka ke atas masyarakat Muslim di negara itu telah diluluskan secara sebulat suara di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada 4 Disember 2019. Rang undang-undang tersebut antara lain menggesa Trump agar mengenakan sekatan perjalanan ke atas pegawai kanan China yang didapati bersalah kerana melakukan pelanggaran ke atas hak asasi manusia etnik Uighur dan juga menyekat eksport dari China ke negara tersebut.

Rang tersebut yang diluluskan dengan sebanyak 407 undi menyokong berbanding hanya satu yang menolak, memerlukan Presiden Trump untuk mengutuk penderaan terhadap masyarakat Muslim Uighur dan menggesa supaya kem-kem tahanan pemulihan di wilayah Xinjiang ditutup.

Beijing menggesa Amerika Syarikat supaya menggugurkan rang undang-undang tersebut dan menyekatnya daripada menjadi undang-undang di samping memberi amaran bahawa China akan bertindak balas sejajar dengan apa yang dilakukan oleh pentadbiran Amerika.

Rang tersebut turut memerlukan Jabatan Negara untuk menghasilkan laporan dalam tempoh setahun berhubung tindakan keras pihak berkuasa China di Xinjiang.

Ia juga memerlukan Jabatan Perdagangan untuk mengharamkan eksport Amerika Syarikat ke entiti-entiti di Xinjiang yang diketahui digunakan dalam kem-kem tahanan ataupun bagi tujuan mengawasi kaum minoriti Muslim, termasuk teknologi pengecaman wajah.

Kini, dengan termaktubnya Undang-undang Dasar Hak Asasi Manusia Uighur itu, nasib dan masa depan Uighur ternampak seakan-akan wujudnya “cahaya di hujung terowong”. 

Mereka kini, secara kasarnya, bolehlah berharap pihak berkuasa China mungkin tidak akan berani lagi untuk melakukan tindakan-tindakan kejam ke atas mereka seperti yang dilakukan sebelum ini. Lebih jauh dari itu, mereka juga mungkin berharap kerajaan China tidak akan lagi bebas untuk menangkap dan menyumbat mereka atau ahli keluarga mereka ke dalam ‘kem-kem pemulihan’ yang dipenuhi dengan kekerasan dan kekejaman itu. 

Di satu pihak lain, mereka yang sedia ditahan di dalam kem-kem pemulihan mungkin boleh menaruh harapan dengan pelaksanaan Undang-undang Dasar Hak Asasi Uighur itu mereka mungkin akan segera dibebaskan. Persoalannya, sejauh manakah harapan sedemikian akan menjadi kenyataan ?. 

Pertanyaan ini penulis timbulkan berasaskan kepada beberapa pemerhatian. Pertama, dari sudut waktu ianya dibuat - adalah di tengah-tengah adanya pertelahagan yang berlaku antara Trump dengan bekas Penasihat Keselamatannya, John Bolton, ketika mana Bolton mendedahkan Trump pernah menyokong tindakan Presiden China dalam mengenakan tekanan ke atas etnik Uighur sebagai usaha bagi menanggani pengganasan antarabangsa di negara itu. 

Dalam memoirnya yang akan diterbitkan dalam masa terdekat, Bolton menyebutkan ketika pertemuan antara Trump dan Presiden Xi di Jepun di mana tatkala Xi mempertahankan pembinaan kem di China - Trump memberi reaksi balas dengan mengatakan kepada Xi bahawa ia adalah "perkara yang betul untuk dilakukan". Perkara ini menurut Bolton, berlaku ketika Trump berusaha untuk menutup perjanjian perdagangan dengan Cina.

Kedua, Trump memberitahu Wall Street Journal bahawa dengan menandatangani undang-undang itu membuktikan bahawa dia sebenarnya keras terhadap China dan bahawa Bolton adalah “pembohong” kerana mengatakan ia ada meminta Xi untuk membantunya memenangi pilihan raya semula yang akan berlangsung pada bulan November nanti. Persoalannya, apakah hanya sekadar bagi menutup dakwaan Bolton itu Trump tergamak memperalatkan nasib dan masa depan etnik Uighur?

Ketiga, perkembangan ini berlaku di tengah-tengah memuncaknya perbalahan antara AS dengan China berkait isu perlaksanaan Undang-undang Keselamatan baharu China di Hong Kong. AS amat menentang keputusan kerajaan China itu yang dilihat bakal menodai kedudukan Hong Kong sebagai wilayah autonomi yang mesra kepada Barat sejak sekian lama. Malah, AS juga melihat tindakan China itu sebagai boleh menjejaskan kepentingan AS di wilayah China itu. Justeru, timbul juga pertanyaan di benak kita, apakah tindakan Trump ini sebenarnya lebih bertujuan untuk mengenakan hukuman terhadap China? 

Keempat, Trump telah beberapa kali mendakwa wabak Covid-19 yang melanda AS dengan parahnya pada masa ini adalah berpunca daripada China. Malah, Trump turut mendakwa kegagalan kerajaan China dalam mengawal wabak tersebut di Wuhan menjadi punca mengapa AS kini menderita dengan jangkitan yang kini melangkaui angka 2 juta serta kematian melepasi angka seratus ribu orang. 

Para pakar dan pemerhati kesihatan antarabangsa cenderung untuk merumuskan kegagalan Trump dalam mengambil tindakan awal lagi segera dalam menyekat penularan virus Covid-19 sebagai punca mengapa AS kini dilanda dengan teruknya oleh wabak tersebut. Justeru, apakah tindakan Trump berkait Undang-undang Hak Asasi Uighur ini ada kaitan dengan strategi beliau bagi mengalihkan perhatian rakyat Amerika kepada China bagi menutup kesilapan dan kelemahan diri beliau sendiri? 

Dan kelima, perang perdagangan antara AS dengan China masih belum berakhir. Malah tidak mustahil ianya akan menjadi lebih parah, terutama selepas AS menyah-senarai berpuluh-puluh syarikat China daripada disenaraikan di papan bursa New York baru-baru ini. Justeru, perkaitan antara pengwujudan undang-undang ini dengan perang dagangan AS-China rasanya mungkin sesuatu yang sukar untuk ditolak.

Semua ini nampaknya tidaklah mengembirakan kita di sebalik adanya perkembangan yang seolah-olah positif dan bakal menjanjikan penyelesaian masa depan etnik Uighur itu. Selagi AS tidak berniat ikhlas dalam membantu mencari jalan penyelesaian masa depan Uighur dan melakukan tindakan yang hanya bertujuan untuk menjayakan sesuatu agenda sendiri, maka selagi itulah etnik Uighur tidak seharusnya menyandarkan harapan yang penuh terhadap AS sebagai pembela mereka untuk lari dari penindasan dan kekejaman China.


Wallahu a’alam (MMO)



No comments:

Post a Comment