Wednesday, March 25, 2020

DIARI KEHIDUPAN : ISLAMOFOBIA DI INDIA


Sekumpulan muslimat India mempamirkan bantahan terhadap pindaan Akta Kewarganegaraan 1955

Tahun 2019 menyaksikan tahun yang penuh dengan ujian dan kesukaran buat umat Islam di India. Sekurang-kurangnya tiga peristiwa yang cukup kontroversi menyangkut hal mereka telah berlaku pada tahun berkenaan. 

Ianya bermula dengan tindakan pemerintah India yang diterajui oleh Perdana Menteri Narenda Modi meluluskan undang-undang menghapuskan autonomi wilayah majoriti Islam di Kashmir melalui pembatalan artikel 370 dalam Perlembagaan India yang memansuhkan hak istimewa Kashmir.  

Kontroversi kedua dihadapi oleh umat Islam di Assam berikutan tindakan kerajaan India melakukan pendaftaran kewarganegaraan baharu di negeri itu. Melalui pendaftaran baharu ini hanya penduduk yang mempunyai dokumen yang dapat membuktikan keturunan mereka tinggal di Assam sebelum tahun 1971 sahaja layak mendapatkan taraf kerakyatan.

Terbaharu, pada 11 Disember 2019, kerajaan India telah melakukan pindaan terhadap Undang-undang di bawah Akta Kewarganegaraan 1955. Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) ini hanya akan memberikan kewarganegaraan kepada kalangan yang beragama Hindu, Sikh, Buddha, Parsi dan Kristian dari negara-negara Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan. Kalangan yang menganut agama Islam dikecualikan daripada Undang-Undang ini. 

Tindakan kerajaan India ini disambut dengan bantahan yang hebat daripada banyak pihak kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip pembentukan negara India yang berpegang kepada republik sekular di mana agama seseorang tidak menjadi asas kewarganegaraan.  Di kalangan umat Islam India tindakan ini ditafsirkan sebagai satu lagi tindakan anti-Islam atau Islamofobia di pihak kerajaan majoriti Hindu yang memerintah.

Secara jelas, akta ini telah meletakkan satu garis pemisah antara orang Islam dan bukan Islam. Akta ini, secara tersirat, dilihat sebagai satu rancangan kumpulan ekstremis India di bawah pimpinan Modi yang sememangnya mempunyai sejarah anti-Islam yang kuat untuk menjadikan India sebagai sebuah negara Hindu. Ini kerana dengan adanya akta ini, mereka yang beragama Hindu terutama dari Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan yang menetap di India tanpa sebarang dokumen akan diberikan peluang yang lebih luas untuk menjadi warganegara India serta melalui proses jalan pintas. 

Akibat dari adanya pindaan kepada Undang-undang ini, umat Islam India telah bangun bagi menentang perlaksanaannya sehingga menyaksikan rekod buruk dalam sejarah hampir mewarnai penutup tahun 2019 di India. 

Berikut adalah insiden-insiden penting Islamofobia yang berlaku pada tempoh penghujung tahun 2019 dan awal tahun ini, sebahagian besarnya berkaitan penentangan terhadap pindaan Akta Kewarganegaraan India itu.

10 Disember 2019

Rakyat India bantah beri kerakyatan kepada negara jiran

Ratusan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di India selepas kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi menawarkan rang undang-undang kontroversi di Parlimen yang memberi kewarganegaraan kepada minoriti bukan Islam dari tiga negara jiran.

Menurut ahli politik pembangkang di Parlimen dan peserta protes, undang-undang tersebut adalah diskriminasi kepada umat Islam dan melanggar Perlembagaan sekular negara itu.

"Kami akan lawan sehingga ke titisan darah terakhir," tegas penasihat Kesatuan Pelajar All Assam, Samujjal Bhattacharya yang bimbang ribuan penduduk dari negara jiran Bangladesh akan mendapat kewarganegaraan India.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, lebih 1,000 saintis dan ulama India turut menggesa agar rang undang-undang itu ditarik balik.

"Kami khuatir keputusan tersebut bakal menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat di negara ini," menurut kenyataan itu.

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah memperkenalkan Rang Undang-Undang Pindaan Kewarganegaraan di Dewan Rakyat di tengah-tengah perdebatan hangat.

Pada asalnya, undang-undang berkenaan diperkenalkan pada tahun 2016 ketika penggal pertama kerajaan Modi namun dibatalkan susulan protes dan pengunduran rakan sekutu.

Undang-undang tersebut bercadang untuk memberikan kerakyatan India kepada bukan Islam yang datang dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan sebelum 2015.

15 Disember 2019

Ekonomi India terjejas akibat undang-undang kewarganegaraan baru

Ribuan penyokong Parti Kongres India berkumpul di New Delhi bagi mendengar ucapan pemimpinnya mengenai pindaan rang undang-undang kewarganegaraan yang diluluskan penggubal pada awal minggu ini.

Ia berikutan kontroversi Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Kewarganegaraan yang bertujuan memberi kewarganegaraan kepada pelarian bukan Islam dari tiga negara Islam yang berjiran dengan India.

RUU itu diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi berikutan kejayaannya pada pilihan raya Mei lalu.

Bagaimanapun, pemimpin Parti Kongres, Rahul Gandhi yang berucap pada perhimpunan tersebut menggesa Modi dan Menteri Dalam Negeri Amit Shah memohon maaf kepada rakyat kerana memperkenalkan undang-undang tersebut.
Pada masa sama, Gandhi mendakwa tindakan yang dibuat Modi itu hanya akan memusnahkan ekonomi India. Ghandi juga turut merujuk tindakan terbaru Modi ini dengan tindakan lampau beliau dalam menyemak penggunaan mata wang 500 dan 1,000 rupiah dalam tahun 2016 yang menyebabkan India mengalami masalah ekonomi yang buruk.
20 Disember 2019

Malaysia kritik India nafi kewarganegaraan pendatang Islam

Malaysia mengkritik keputusan Kerajaan India meluluskan undang-undang kontroversi berkaitan kerakyatan negara itu yang disifatkan menindas penduduk Islam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perkara seumpama itu tidak pernah dibuat Malaysia dan jika ia dilaksanakan di sini, ramai akan menderita.

“Kamu tahu apa akan berlaku (jika undang-undang sama dilaksanakan di negara ini), akan berlaku kekacauan, ketidakstabilan dan semua orang akan menderita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat media Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.

Beliau juga kesal Kerajaan India sanggup meluluskan undang-undang berkenaan biarpun ditentang dengan pelbagai protes dan gesaan rakyatnya yang meminta ia ditarik balik.

“Saya kecewa melihat India yang mengaku sebagai negara sekular, kini mengambil tindakan menafikan kewarganegaraan sesetengah masyarakat Islam,” katanya.

Pada 11 Disember lalu, Parlimen India meluluskan rang undang-undang kontroversi untuk memberi kerakyatan kepada pendatang haram bukan Islam dari negara tertentu, ketika ratusan anggota tentera dikerahkan ke wilayah Timur Laut yang berdepan protes ganas.

27 Disember 2019

India dituntut pinda semula Akta Pindaan Kewarganegaraan

Sebanyak 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia menuntut kerajaan India meminda semula Akta Pindaan Kewarganegaraan yang disifatkan sebagai anti-Islam serta bertentangan dengan Perlembagaan negara itu sendiri.

Akta itu mencetuskan kontroversi kerana undang-undang berkenaan membolehkan kerakyatan diberikan kepada bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan kecuali mereka yang beragama Islam.

Memorandum tuntutan enam muka surat bagi membantah pelaksanaan akta berkenaan diserahkan kepada wakil Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Pardeep Kumar di Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.

Antara NGO berkenaan adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Angkatan Belia Islam (ABIM), Persatuan India Muslim (KIMA) dan Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM).

Sementara itu, wakil Presiden MAPIM, Mohd Fadhil Yusni, berkata undang-undang yang digubal itu tidak masuk akal dan tidak berperikemanusiaan serta boleh mencetus kemarahan banyak pihak.

Katanya, hari ini dapat dilihat apa yang Kerajaan India buat di Assam, di mana mereka menarik balik dokumen dua juta rakyatnya yang beragama Islam sehingga menyebabkan mereka kehilangan kewarganegaraan.

“Pastinya 200 juta Muslim yang ada di India tidak akan berdiam diri. Kita bimbang akan berlaku kekecohan lebih besar dan kebangkitan ini juga akan berlaku di seluruh dunia yang terkesan daripada dasar berkenaan.

28 Januari 2020

Sambutan Hari Republik India dicemari bantahan rakyat

Ratusan ribu rakyat India berhimpun di seluruh negara bagi membantah usul kerakyatan yang dikhuatiri mewujudkan kebimbangan terhadap komuniti minoriti Islam di republik itu.

Tunjuk perasaan sejak bulan lalu itu mewujudkan momentum baharu apabila India menyambut Hari Republik sempena peringatan pelaksanaan Perlembagaan negara itu.

Di selatan Kerala, penganjur berkata, lebih 100,000 penunjuk perasaan membentuk rantaian manusia disusuli rapat umum di lebih 250 lokasi lain di seluruh negara.

"Ia bukan hanya rantaian, tetapi tembok manusia membantah pelanggaran prinsip Perlembagaan," kata Ketua Menteri Pinarayi Vijayan Kerala, pada rapat umum di ibu negeri Thiruvananthapuram.

Akta Pindaan Kewarganegaraan dan Pendaftar Kewarganegaraan Kebangsaan adalah sebahagian manifesto pilihan raya parti pemerintah nasionalis Hindu dipimpin Perdana Menteri, Narendra Modi.

Kerajaan India percaya bahawa undang-undang diperlukan untuk melindungi pelarian merentasi selatan Asia.

Pertembungan antara penunjuk perasaan dan polis mengakibatkan sekurang-kurangnya 25 terkorban sejak 12 Disember lalu, apabila kerajaan meluluskan undang-undang berkenaan.

Puluhan ribu membantah di Mumbai, Lucknow, ibu kota Uttar Pradesh yang ramai penduduknya, mencatatkan jumlah kematian tertinggi sejak pergolakan bermula dengan kedua-duanya diketuai lebih ramai pemimpin wanita.

11 Februari 2020

Kekalahan pilihan raya negeri New Delhi jadi tamparan buat Modi

Kekalahan Parti Pemerintah Persekutuan yang tewas pada pilihan raya negeri New Delhi memberi tamparan hebat kepada Perdana Menterinya, Narendra Modi.

Ini kerana partinya berusaha keras mempertahankan kerusi ibu negara itu, yang menjadi ujian penting menentukan popularitinya selepas undang-undang kewarganegaraan berasaskan agama mencetuskan bantahan di seluruh negara.

Parti pembangkang, Aam Aadmi, yang diketuai oleh Ketua Menteri, Arvind Kejriwal, mengekalkan kuasa kerana berjaya menyapu 63 daripada 70 kerusi Dewan Undangan Negeri.

BJP melancarkan kempen agresif bagi memenangi Delhi, yang mana parti kerajaan belum pernah memenangi kerusi itu sejak lebih 22 tahun, dengan Modi dan Menteri Dalam Negeri, Amit Shah mengetuainya.

Pilihanraya negeri New Delhi itu telah turut dicemari sekurang-kurangnya tiga serangan tembakan berhampiran kawasan di mana ribuan orang menyuarakan bantahan terhadap Akta Pindaan Kewarganegaraan.

Tekanan terhadap undang-undang itu menjadi yang terbesar sejak Modi mula berkuasa pada tahun 2014. 

28 Februari 2020

Polis menahan lebih 500 orang ekoran keganasan di New Delhi

Polis India telah menahan 514 orang ekoran keganasan Hindu-Muslim yang berlaku di ibu negara, kata kerajaan, tatkala ia berdepan kritikan antarabangsa kerana gagal melindungi kaum minoriti Muslim.

Polis berkata, jumlah kematian akibat keganasan itu kekal 35 orang, tetapi media tempatan, yang memetik sumber yang tidak disebut namanya, berkata ia mungkin lebih daripada 40 apabila keganasan yang bermula pada hari Ahad di tempat yang padat di timur laut Delhi itu.

Polis masih mencari bukti mayat yang dibakar dalam parit dan rumah, kata pegawai. Lebih banyak pasukan ditempatkan di masjid di kawasan terbabit untuk solat Jumaat mingguan, kata jurucakap kerajaan.

Keganasan itu bermula dengan kontroversi mengenai Akta Pindaan Kewarganegaraan  yang mana kerajaan nasionalis Hindu Perdana Menteri, Narendra Modi, perkenalkan pada bulan Disember memberi laluan kepada kewarganegaraan India untuk pelbagai kumpulan agama dari negara jiran, tidak termasuk Islam.

3 Mac 2020

India terus pertahankan undang-undang kewarganegaraan

India terus mempertahankan undang-undang kewarganegaraan sebagai isu dalaman negara itu, walaupun berdepan cabaran perundangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Undang-undang baharu itu memudahkan golongan minoriti di tiga negara berjiran memohon kewarganegaraan India, kecuali yang beragama Islam, sekali gus mencetuskan rusuhan ganas di New Delhi sejak beberapa minggu lalu.

Lebih 40 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam rusuhan kaum terburuk sejak beberapa dekad lalu.

Demonstrasi jalanan yang kadang kala bertukar ganas berlarutan di serata India yang majoriti penduduknya beragama Hindu, sejak undang-undang baharu itu diluluskan Parlimen Disember lalu.

Jurucakap Kementerian Luar, Raveesh Kumar, menegaskan Akta Pindaan Kewarganegaraan itu adalah isu dalaman India, berkait dengan hak kedaulatan Parlimen India menggubal undang-undang.

Puluhan petisyen difailkan di mahkamah Tinggi, termasuk oleh aktivis sosial dan parti politik, bagi mencabar kesahihan undang-undang itu dari segi perlembagaan negara.


Wallahu a'alam (MMO)  




No comments:

Post a Comment