Monday, January 20, 2020

DIARI KEHIDUPAN VII : PALESTIN


Sekumpulan belia Palestin menunjuk rasa akibat penutupan beberapa industri

Tempoh sepanjang bulan Disember 2019, sepertimana juga dengan tempoh beberapa bulan yang lalu, tidak memperlihatkan banyak kemajuan dari sudut pembaikan nasib dan perjuangan umat Islam Palestin. Sebaliknya, ia lebih memperlihatkan kesinambungan dalam tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap kehidupan seharian warga Palestin. Tangkapan terhadap belia dan kanak-kanak Palestin, sekatan perjalanan, pemusnahan rumah kediaman, serangan dan pengeledahan ke atas kediaman warga Palestin dan berbagai kesukaran lain telah dilakukan secara sewenang-wenangnya oleh pihak tentera Zionis dengan tujuan untuk menyukarkan kehidupan seharian warga Palestin, dan secara jangka panjang, melemahkan perjuangan mereka.

Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan Disember lalu yang dapat menggambarkan bentuk kekerasan dan penginayaan yang dilakukan oleh rejim yang terkutuk itu.

3 Disember 2019

Tentera Israel musnahkan kediaman di bandar Asira Ash-Shamaliya di Tebing Barat

Tentera rejim Zionis telah memusnahkan sebuah rumah penduduk Palestin di pekan Asira ash-Shamaliya, di utara Nablus.

Pegawai tempatan, Ghassan Daghlas berkata bahawa sebuah jentolak yang diiringi oleh pasukan tentera menyerbu bandar tersebut dan telah merobohkan kediaman milik penduduk tempatan bernama Mu’amar Hamadneh.

Tindakan tersebut telah mencetuskan pertelingkahan antara pihak tentera dan belia tempatan yang berada berdekatan dengan rumah berkenaan. Pihak tentera kemudiannya melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai. 

Beberapa orang belia lelaki dilaporkan mengalami kecederaan disebabkan pendedahan terhadap asap gas pemedih mata.

***

48 Pendatang Yahudi cemari Masjidil Aqsa 

Sekurang-kurangnya, 48 pendatang haram Yahudi bertindak menceroboh masuk ke ruang dalam masjidil Aqsa secara berkumpulan dengan diiringi anggota polis rejim.

Menurut pihak Urusan Waqaf Islam, kumpulan pendatang Yahudi itu telah melakukan lawatan provokasi di ruang dalam masjid tersebut.

Kata pihak wakaf itu lagi, pegawai polis rejim Israel turut sama mencemar kesucian bangunan Bab al-Rahman yang digunakan untuk solat orang Islam itu.

4 Disember 2019

Rejim Israel tangkap 11 warga Palestin di Tebing Barat

Tentera rejim Zionis Israel menahan sekurang-kurangnya 11 warga Palestin dalam operasi yang dilakukan pada waktu subuh di beberapa daerah di Tebing Barat.

Siaran media yang dikeluarkan pihak tentera rejim mengesahkan penahan 11 orang penduduk Palestin yang dikehendaki pihak keselamatan rejim.

Antara yang ditahan ialah Salah Abu Diyak yang merupakan abang kepada Sami, pejuang yang meninggal dunia akibat kanser ketika dalam tahan pihak rejim beberapa hari yang lalu.

5 Disember 2019

8 penduduk Palestin dihalang melalui pintu sempadan Allenby

Pihak Berkuasa Negara Haram Israel pada ahad lalu telah menghalang perjalanan 8 penduduk Palestin yang cuba melalui pintu sempadan Allenby (Raja Hussein) yang bersempadan dengan Jordan. Pihak Polis Palestin berkata, mereka yang dihalang dari melalui pintu sempadan itu bagaimanapun tidak dimaklumkan apa apa-apa alasan.

Bagaimanapun, 7,501 penduduk Palestin dan pelancong yang lain dibenarkan melintasi pintu sempadan tersebut di kedua-dua arah pada hari yang sama, kata polis tersebut.

Pintu Sempadan Allenby, juga dikenali sebagai “al-Karama” adalah sebuah jambatan melintasi sungai Jordan yang menyambungkan Tebing Barat dan Jordan. Jambatan tersebut adalah satu-satunya pintu keluar dan masuk bagi penduduk Palestin di Tebing Barat dari wilayah yang dirampas Israel.

***

Jordan kutuk rancangan penempatan baru Israel di al-Khalil

Jordan mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Israel untuk membina penempatan baru di kota lama al-Khalil, selatan Tebing Barat, sambil menyeru tindakan antarabangsa ke atas perancangan Israel itu.

“Jordan mengutuk pengumuman israel tentang penempatan baru di Jabel Mukaber, Qalandiya dan kota lama al-Khalil,” kata Menteri Luar Jordan, Ayman al-Safadi dalam kenyataan akhbar pada hari Isnin.

Safadi menyifatkan rancangan penempatan Israel itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa dan menjejaskan usaha keamanan.

8 Disember 2019

PBB gesa Israel tinggalkan Bukit Golan

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menerima resolusi yang menuntut Israel untuk meninggalkan Bukit Golan di Syria.

Menurut sumber-sumber media, 91 negara telah mengundi memihak kepada resolusi itu, 9 menolak, dan 65 tidak mengundi.

Resolusi itu menyeru Israel untuk menarik diri dari semua wilayah Syria yang diduduki di Golan hingga ke sempadan yang telah ditetapkan pada 4 Jun 1967, dalam melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai hal ini.

Perhimpunan Agung PBB menyifatkan undang-undang yang diwartakan pada 14 Disember 1981, di mana Israel memperluaskan undang-undangnya ke kawasan Bukit Golan, sebagai “terbatal dan tidak sah.”

PBB sebelum ini telah menuntut dengan suara majoriti untuk Israel meninggalkan Bukit Golan yang dijajahi.

12 Disember 2019

Rejim Zionis musnahkan tanah Palestin, bertempur dengan orang awam di Qalqilya

Pertembungan ganas telah berlaku pada hari Ahad lalu ketika rejim Zionis menyerbu sebuah tanah milik warga Palestin di kampung Kafr Laqif, timur Qalqilya, dan memusnahkan tanah tersebut sebagai persiapan untuk merampasnya.

Ketua majlis kampung Kafr Laqif, Nayef Jaber, mengatakan bahawa tentera dan peneroka rejim Zionis menyerang rakyat Palestin yang telah bersemuka untuk menentang percubaan merampas secara haram 27 dunum tanah milik warga Palestin untuk mengembangkan pertempatan haram Israel.

Jaber berkata warga Palestin dari Kafr Laqif berjaya memaksa peneroka haram Israel keluar dari tanah mereka dan menghentikan operasi pemusnahan, dan menyatakan bahawa tindakan undang-undang akan diambil pada hari-hari yang akan datang.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa Israel memang telah merancang untuk merampas tanah Palestin dari kampung berkenaan untuk memperluaskan pertempatan Karni Shamron.

19 Disember 2019

Tentera rejim Israel kurung pelajar Palestin di tapak arkeologi

Tentera rejim Zionis Israel bertindak mengurung sekumpulan pelajar sekolah Palestin di satu tapak arkeologi yang terletak di bandar Sebastia, utara Nablus.

Datuk Bandar Sebastia, Mohammed Azem berkata bahawa pihak rejim menyerbu bandar tersebut pada waktu petang dan menutup tapak itu, sengaja membiarkan pelajar sekolah terperangkap di situ.

Kata beliau lagi, berikutan kejadian tersebut berlaku pertempuran antara pemuda Palestin dengan anggota tentera rejim.

***

Tiada gencatan senjata jangka panjang dengan rejim Zionis

Ahli biro politik Hamas, Khalil al Hayya, menyifatkan berita tentang gencatan senjata jangka panjang antara pejuang Palestin di Gaza dengan rejim Zionis sebagai “palsu dan tidak berasas.”

Dalam wawancara beliau dengan saluran satelit al-Aqsa hari Rabu lepas, Hayya menyatakan kepercayaannya bahawa “perbincangan tentang gencatan senjata jangka panjang di Gaza oleh sesetengah pihak adalah bertujuan untuk memperlekehkan perjuangan kami atau kemungkinan adalah sebahagian daripada pembohongan Netanyahu dalam konteks usaha pemilihannya, atau untuk menutup perkara lain.”

Bercakap mengenai lawatan asing oleh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haneyya, Hayya berkata delegasi Hamas telah berbincang dengan pegawai-pegawai Mesir mengenai peranan negara mereka dalam menyokong kepentingan Palestin dan isu-isu kepentingan bersama.

Beliau juga berkata bahawa Haneyya dan delegasi yang menyertai beliau telah menekankan perlunya desakan ke atas Israel untuk menghormati persetujuan yang dicapai baru-baru ini mengenai Gaza, untuk menamatkan sekatan dan berhenti menggunakan kekerasan ke atas para peserta perhimpunan Perarakan Pulang Besar-besaran.

Beliau mengesahkan bahawa lawatan asing Haneyya bertujuan untuk meningkatkan hubungan politik Hamas dengan negara-negara lain dan untuk mendapatkan sokongan untuk rakyat Palestin dan perjuangan mereka.

20 Disember 2019

Qatar Berjanji Terus Berikan Bantuan Kepada Gaza Sehingga Mac 2020

Duta Besar Qatar Mohammed Emadi, pada hari Rabu, mengumumkan bahawa pihaknya akan meneruskan program bantuan hibah Qatar ke Semenanjung Gaza hingga Mac 2020. Bantuan itu di antaranya adalah untuk keluarga-keluarga miskin di Semenanjung Gaza. Ini termasuk bantuan yang diberikan untuk bahan bakar elektrik. 

Emadi mengatakan, “Qatar sedang mengkaji secara positif permintaan saudara-saudara di Semenanjung Gaza untuk meneruskan hibah Qatar.” Beliau menambah, “Kami bersama anda semua (warga Gaza). Hibah, elektrik dan bantuan bulanan terus berterusan dalam hal ini.”

Emadi mengungkapkan bahawa Qatar sedang mempertimbangkan untuk mempersiapkan kumpulan perubatan untuk datang melakukan operasi ke Gaza setiap bulan. Beliau berharap projek ini terus maju dan dapat beroperasi dengan baik.

***

HCHR Merayu Tindakan Memecah Masuk Masjid Aqsa Segera Dihentikan

Pusat Hemaya untuk Hak Asasi Manusia (HCHR) memohon agar tindakan segera diambil untuk menghentikan serangan berulang kali oleh Israel dan perbuatan memecah masuk ke tempat-tempat ibadat, terutamanya Masjid al-Aqsa.

HCHR mengeluarkan kenyataan mengutuk pemecah masuk puak Israel ke Masjid al-Aqsa dan mengatakan bahawa ketiadaan tindakan serius oleh pihak antarabangsa akan membawa kepada lebih banyak pelanggaran dan serangan.

HCHR menegaskan bahawa pecah masuk hampir setiap hari yang dilakukan oleh pihak ekstremis ke Masjid al-Aqsa adalah selaras dengan rancangan kerajaan Israel untuk mengenakan kekuasaan penuh ke atas Masjid al-Aqsa dan tempat suci lain di Baitulmaqdis. Semua ini bertujuan untuk menghalau rakyat Palestin secara beransur-ansur keluar dari Baitulmaqdis.

30 Disember 2019

Israel kembali lancarkan serangan ke Gaza dalam tempoh 24 jam

Pesawat tempur Israel pada petang Khamis telah melancarkan serangkaian serangan udara ke Gaza, sekitar dua jam selepas kononnya mendapat maklumat adanya serangan roket dari Gaza. 

Menurut sumber tempatan, pesawat tempur Israel melancarkan serangan ke sebuah kawasan latihan milik Brigade Al-Qassam di Bet Lahiya, seterusnya menyusul serangan di kawasan Ain Jalut di Khanyunis Barat, menggunakan 4 buah roket pejuang.

Serangan lainnya mensasarkan ladang pertanian berdekatan lapangan terbang Gaza yang musnah di Rafah timur.

Jurucakap militan Israel dalam keterangannya mendakwa bahawa pasukan udara Israel telah mengambil tindakan tersebut berikutan adanya maklumat serangan roket dari Gaza menuju penempatan Zionis di sekitar Gaza.

31 Disember 2019

520 kilang ditutup, 2019 keadaan ekonomi paling buruk di Gaza

Lebih dari 520 pelbagai jenis kilang ditutup operasi sehingga akhir tahun ini lanjutan keadaan ekonomi yang meruncing di Gaza. Ia disebabkan perang dan sekatan serta tiada sokongan dan rancangan pemerintah, seperti dinyatakan oleh Persatuan Pengilang Palestin.

Pihak Persatuan menegaskan, tahun 2019 merupakan yang terburuk di sektor perekonomian dibanding tahun sebelumnya. Jumlah kilang yang ditutup sehingga akhir tahun ini mencapai lebih 520 buah, di samping kilang yang dipindahkan lokasinya ke luar negeri, sama ada di Mesir mahupun Jordan. Ia menambah kepada jumlah pengangguran dan masalah sosial dan kemanusiaan di Gaza.

Sektor tekstil berada pada kedudukan teratas di mana seramai 35 ribu pekerja terlibat di sektor ini. Ketika ini hanya tinggal sekitar 3 hingga 4 ribu pekerja sahaja. Seterusnya kilang kayu yang menampung 30 ribu pekerja dan kini yang tinggal hanya 3 ribu orang pekerja sahaja. Keadaan ekonomi yang buruk di Gaza disebabkan oleh tiga kali perang, sekatan dan larangan eksport serta tidak adanya bahan asas serta rumitnya proses di pintu masuk sempadan. 


Wallahu ‘alam (MMO).




No comments:

Post a Comment