Monday, July 23, 2018

TERTEGAKNYA NEGARA BAGI BANGSA YAHUDI!




Sebahagian daripada anggota Knesset yang membantah pembentukan undang-undang 
"negara bagi bangsa Yahudi"

Menerusi entri saya yang lalu (26 Mac 2018), saya ada membicarakan tentang tindakan kerajaan Israel untuk melaksanakan rancangan menjadikan negara Israel secara eksklusifnya ‘negara bagi bangsa Yahudi’. Pada masa laporan tersebut ditulis kerajaan Israel dikatakan telah menghampiri proses akhir bagi perlaksanaan cadangan tersebut bilamana mereka dilaporkan bersetuju dengan terma-terma akhir melibatkan pindaan kepada beberapa undang-undang baharu yang akan membuka laluan bagi Israel untuk diistytiharkan sebagai negara khusus bagi bangsa Yahudi.

Kini, apa yang dikatakan itu nampaknya telah pun menjadi kenyataan!. Pada 19 Julai lalu Parlimen Israel yang dikenali sebagai “Knesset” telah meluluskan undang-undang dalam menjadikan Israel sebagai “negara bagi bangsa Yahudi” – perlaksanaan kepada suatu cadangan yang dikatakan telah dibawa dan bincangkan sejak tujuh tahun yang lalu. Draf undang-undang tersebut yang dibawa oleh parti Likud diluluskan dengan 62 ahli parlimen menyokong, 55 menentang dan 2 berkecuali.

Undang-undang tersebut turut memperuntukkan bahawa Baitulmaqdis (Jurusalem) menjadi ibu negara Israel, bahasa Yahudi (Hebrew) menjadi bahasa rasmi, kalender Yahudi menjadi kalender rasmi termasuk bagi sambutan Hari Kemerdekaan, hari peringatan, cuti umum dan hak semua penduduk Israel untuk memelihara warisan mereka tanpa pertimbangan agama dan kewarganegaraan.

Amat malang, undang-undang yang bersifat zalim dan menindas, tidak adil dan tidak demokratik itu akhirnya diluluskan juga oleh Knesset di sebalik adanya tentangan kuat dari rakyat dan kerajaan Palestin, juga dunia Arab dan dunia Islam lainnya. Ianya juga telah melanggari dengan jelasnya berpuluh-puluh resolusi yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Israel, khususnya berkaitan tuntutan supaya Israel mematuhi beberapa larangan dalam hubungannya dengan Palestin bagi membolehkan tercapainya rundingan damai Israel-Palestin.

Dengan tertegaknya undang-undang “negara bagi bangsa yahudi” itu, beberapa kebimbangan yang serius, khususnya dalam kalangan rakyat Arab Palestin yang sebelum ini sedia menetap dan dilihat telah pun diterima sebagai “warga Israel”  itu kini mulai mengundang perdebatan. Ini termasuklah dari kalangan sejarawan Yahudi, bekas ketua agama dan penulis serta para bijak pandai  Yahudi itu sendiri.

Presiden Kursi Sejarah Yahudi di Universiti Wake Forest, North Carolina, Barry Trachtenberg berpandangan, Israel kini melaksanakan undang-undang ‘negara’ sendiri yang akan meminggirkan kewujudan 20 peratus penduduk Israel berketurunan Arab Palestin. Beliau yang juga merupakan pakar sejarawan Yahudi Eropah turut menyifatkan pengumuman kerajaan Israel tersebut sebagai sesuatu yang sangat menyedihkan kerana penduduk Yahudi sebelum ini menolak dasar itu.

Menurut beliau, sejarah menunjukkan undang-undang itu akan membawa kepada penga-singan, perkauman, penindasan, pemenjaraan dan penghapusan etnik. “Tidak akan wujud kesamarataan dalam negara apabila seseorang itu diberi hak berdasar undang-undang dan secara sistematik lebih tinggi daripada yang lain,’’ katanya dalam suatu wawancara dengan agensi berita Al-Jazeera. 

Menurut Trachtenberg, pada awal abad ke-20, golongan Yahudi di seluruh Eropah menuntut diberi hak perlindungan sebagai kumpulan minoriti di tempat tinggal masing-masing. Bagaimanapun, menurutnya, keinginan untuk mencatat sejarah dengan bahasa dan institusi sendiri kemudiannya mulai dikongsi di setiap peringkat penduduk Yahudi, khususnya ramai golongan zionis. Namun demikian, banyak negara Eropah dikatakan tidak mengendahkan permintaan mereka dan terus melihat golongan Yahudi sebagai ‘manusia yang tidak dikehendaki’.

Sementara itu, bekas Ketua Paderi dan Ketua Gereja Latin Baitulmuqaddis, Michel Sabbah, dilaporkan berkata undang-undang ‘perkauman’ itu tidak mengejutkannya. “Undang-undang baharu itu diluluskan kerana pemimpin Israel sekarang adalah golongan ekstrimis dan saya merasakan ini adalah langkah pertama ke arah rancangan lebih besar untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap penduduk Arab,’’ katanya kepada pihak Al-Jazeera.

Demikian juga dengan seorang lagi penulis yang juga ilmuwan Israel, Yossi Klein Halevi, dilaporkan ada membuat kenyataan kepada Al-Jazeera bahawa undang-undang baharu itu adalah `kenyataan provokatif yang tidak wajar yang akan menjejaskan keyakinan diri penduduk Arab yang kini merasakan kedudukan mereka di Israel masih tidak pasti’. Undang-undang baharu tersebut juga disifatkan penulis sebagai suatu tindakan menindas ke atas minoriti Arab, setidak-tidaknya secara psikologi. 

Satu pandangan lain yang agak menarik juga turut datangnya dari seorang wartawan Israel, Seth Frantzman, yang mengatakan bahawa ketika penduduk Israel bukan Yahudi melahirkan kebimbangan terhadap undang-undang berkenaan, penduduk Yahudi Israel pula tidak melihat sebarang perubahan dalam kehidupan harian mereka. “Di Israel, kamu tidak akan dapat melihat mereka yang teruja atau tidak kerana bagi penduduk Yahudi Israel, undang-undang itu baharu itu hanya memperkukuhkan undang-undang yang telah sedia ada,’’ katanya. 

Frantzman malah berpandangan bahawa undang-undang itu tidak membawa sebarang pembaharuan kerana keadaan sama telah pun wujud sejak penubuhan Israel lagi.  “Identiti penduduk Arab termasuk bahasa mereka telah diketepikan dan dinafikan melalui proses perundangan yang bersifat perkauman. Bahasa Arab yang sebelum ini diiktiraf oleh undang-undang sebagai bahasa rasmi kini telah diturunkan taraf. Kaum minoriti yang selama ini telahpun dilayan sebagai rakyat kelas kedua kini akan terus dipinggirkan dengan lebih teruk lagi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Al-Jazeera. 

Dalam Parlimen Israel sendiri, pihak pembangkang menyifatkan undang-undang baharu Israel itu sebagai suatu dasar bersifat perkauman (apartheid). Demikian juga dengan sebahagian rakyat Yahudi Israel, mereka menentang undang-undang tersebut dengan menyifatkannya sebagai suatu tindakan menindas, bercanggah dengan kehendak asasi kemanusiaan dan merosakkan perpaduan di kalangan rakyat Israel yang terbina selama ini.

Di kalangan masyarakat Arab Palestin di Israel, mereka mula merasakan tamparan paling awal dari kewujudan undang-undang tersebut bilamana  bahasa Arab yang sebelum ini diiktiraf sebagai bahasa rasmi bersama-sama bahasa Yahudi/Hebrew kini telah diturunkan taraf menjadi bahasa kedua selepas bahasa Hebrew. 

Nah…sekarang kita berhadapan dengan satu lagi cabaran dan mala petaka yang melanda umat Islam khususnya warga Arab Palestin di negara haram Israel dan warga Palestin sendiri, khususnya dari sudut survival masa depannya dalam konteks hubungan Israel-Palestin.  Apakah yang termampu dilakukan oleh PBB dalam berhadapan dengan tindakan Israel ini yang jelas melanggar begitu banyak resolusi badan dunia tersebut melalui perlaksanaan undang-undang baharunya itu? Antaranya berkait dengan status Baitulmaqdis yang kini “dirampas oleh Israel” untuk dijadikan ibu negara baharu bagi negara haram itu! 

Di kalangan pertubuhan negara-negara Islam, khususnya Organisasi Kerjasama Islam (OIC), sekali lagi kita diundang untuk melihat sejauhmana peranan organisasi ini akan mampu membela nasib umat dan negara Palestin yang kelihatannya terus dibuli secara bertubi-tubi oleh kaum Yahudi ini. Apakah ia akan berada di status atau nasib yang sama sepertimana status resolusi-resolusi di Sidang Tergempar OIC dalam bulan Mei lalu?  Sama-samalah kita perhatikan...


Wallahua’alam (MMO).



No comments:

Post a Comment