Monday, December 18, 2017

UNDANG-UNDANG TENTERA DI MINDANAO DILANJUTKAN



Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada 6 Disember 2017, telah dibenarkan untuk menguatkuasakan undang-undang tentera di wilayah selatan negara itu untuk tempoh setahun lagi sehingga akhir tahun depan bagi memerangi apa yang didakwa sebagai militan Islam dan pemberontak berhaluan kiri. Kumpulan ini, tegasnya, dimaksudkan sebagai kumpulan militan Maute dan pergerakan Abu Sayyaf.

Keputusan ini dibuat oleh pihak Kongress ditengah-tengah adanya kebimbangan ramai kemungkinan kerajaan akan menuju kepada pemerintahan diktator melalui perlanjutan undang-undang tentera itu.

Di pihak Duterte, permohonan lanjutan itu dikatakan dibuat atas cadangan yang dikemukakan oleh Angkatan Tentera Filipina dan Polis Negara Filipina, yang mendakwa terdapat maklumat militan akan berkumpul semula dan merancang untuk melancarkan serangan baru terhadap pasukan keselamatan Filipina. 

Pada awal Disember lalu, Duterte dilaporkan ada berkata bahawa beliau bersedia untuk menarik balik undang-undang tentera itu apabila tempohnya berakhir pada penghujung Julai ini sekiranya tentera dan polis dapat memberi jaminan ancaman militan di wilayah berkenaan sudah terkawal. Justeru memandangkan ancaman tersebut masih wujud, Duterte berpandangan adalah perlu perlanjutan undang-undang tentera itu dibuat bagi membolehkan pasukan keselamatan Filipina membendung ancaman yang bakal ditimbulkan. 

Sidang bersama Dewan Kongres Filipina memberi sokongan besar kepada rancangan Duterte itu dengan 240 daripada 267 anggota Kongres sependapat dengan beliau bahawa tindakan tegas masih diperlukan bagi menghentikan usaha pihak militan menarik anggota-anggota baru dan membuat persiapan melancarkan serangan-serangan baru.

Presiden Duterte menguatkuasakan undang-undang tentera di Mindanao pada Mei lalu setelah kumpulan militan Maute menduduki bandar Marawi. Tentera Filipina berjaya menawan semula bandar itu selepas pertempuran sengit selama lima bulan yang menyebabkan lebih 1,100 orang terbunuh, kebanyakannya militan.

Sementara itu, angka kematian yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan Filipina menyebutkan sehingga akhir Julai 2017 lalu pertempuran di Marawi telah meragut lebih 400 nyawa, termasuk 94 anggota keselamatan dan menyebabkan 200,000 meninggalkan kediaman masing-masing.

Pemerintah Filipina dikatakan bimbang keadaan pulau Mindanao yang bergunung-ganang dan mempunyai hutan yang luas serta ramai penduduk Islam, boleh menarik kedatangan pelampau-pelampau dari luar negeri sehingga boleh menggugat keselamatan negara itu. Melalui undang-undang tersebut kuasa diberikan kepada tentera untuk melakukan penangkapan tanpa waran dan melakukan pengawasan secara lebih meluas dan menyeluruh.

Cuma kita amat berharap perlanjutan tempoh undang-undang tentera itu tidak akan sampai menyusahkan saudara-saudara Islam kita di wilayah selatan Filipina itu. Lebih-lebih lagi, kita amat bimbang sekiranya ada pihak-pihak yang cuba menyalahgunakan undang-undang itu untuk menekan umat Islam di Mindanao, termasuk melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan hak-hak asasi kemanusiaan dan keagamaan.

                                                                         *****

No comments:

Post a Comment