Thursday, December 21, 2017

ULASAN TITAH


Penulisan ini adalah merupakan Bahagian Pertama daripada 4 Bahagian ulasan Blogger terhadap petikan Titah Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddein, Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam,  sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Baginda pada 14 Muharram 1439/5 Oktober  2017.

BAHAGIAN PERTAMA


“Hari ini adalah hari paling bersejarah bagi beta sendiri dan juga bagi seluruh rakyat dan penduduk dinegara ini, sejarah Beta adalah juga sejarah bangsa dan negara,  kerana siapa beta selaku Raja tidak boleh putus hubungan dengan bangsa dan Negara.

Tegasnya, Beta tetap berkongsi sejarah dengan mereka, kerana itulah perayaan ini menjadi milik bersama diantara Beta selaku Raja dan rakyat jelata…”


Pemurnian Sejarah

Perayaan sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah baru-baru ini adalah kemuncak sejarah pemerintahan Baginda ke 50 tahun menduduki tahta. Pengamat politik dan para sarjana pastinya boleh menyenaraikan semua peristiwa yang dilalui sepanjang tempoh Baginda memerintah negeri dan negara Brunei Merdeka dan merakamkannya untuk dikenang oleh generasi mendatang  justeru “sejarah Beta adalah juga sejarah bangsa dan negara”.

Sejarah adalah komponen utama yang membentuk watak dan jati diri bangsa. Pensejarahan yang benar, mampu membentuk karakter dan jati diri yang utuh. Sebaliknya, penyelewengan sejarah akan membentuk watak dan jati diri yang goyah. Sejarah yang murni adalah teras kehidupan rohani bangsa dan asas kepada kebanggaan, perpaduan dan persaudaraan yang sejati.

Susur galur sejarah yang tepat seharusnya menjadi panduan kepada setiap rakyat dan tersemat di dalam sanubari masing-masing. Pemerkasaan negara bangsa hanya dapat dicapai sekiranya sejarah ditanggapi dengan jujur, adil dan seimbang tanpa prejudis. Ketidakjujuran dalam penulisan sejarah adalah satu bentuk jenayah kerana pemerkosaan sejarah hanya  akan meruntuhkan jati diri dan perpaduan negara bangsa.

Pemilihan istilah dalam penulisan sejarah adalah penting kerana penggunaan istilah yang tidak tepat akan memberi gambaran sejarah yang tempang. Dalam peristiwa 8 Disember 1962 misalnya, pihak penjajah Inggeris telah menterbalikkan peggunaan istilah “pemberontak” dan “penderhaka” ke atas golongan yang menentang penjajahan Inggeris di Brunei sebagai golongan yang menentang Sultan. Antara lain perkataan, Penjajah telah berjaya mencipta ‘narrative’ bahawa ‘pemberontakan’ tersebut adalah penderhakaan yang ditujukan terhadap Baginda Sultan dan bukannya sebuah perjuangan menentang penjajahan.

Adalah suatu yang malang apabila muslihat penjajah itu telah diterimapakai sebagai satu pandangan dan pendirian rasmi sehingga kini. Ini menyebabkan peristiwa 8 Disember 1962 itu sentiasa menjadi titik hitam yang menjadi punca saling curiga dan buruk sangka, sekaligus menjadikannya batu penghalang kepada rekonsilisasi nasional.

Adalah amat mengecewakan tiada usaha yang serius dilakukan untuk menjernihkan dan meluruskan ‘narrative’ yang telah sekian lama termaktub dalam pensejarahan ‘rasmi’ negara. Contohnya, tidak sekali pun pemimpin tertinggi Parti Rakyat Brunei (PRB) seperti A.M. Azahari, Yasin Affandy, Zaini Hj. Ahmad, Othman Latif, Dr. Mahmud Saedon Othman diundang untuk berkongsi sejarah yang membabitkan pelaku itu sendiri. Para cendakiawan sejarah pula seperti tiada terdaya untuk berperanan ke arah itu berkemungkinan terbelenggu oleh kekangan periuk nasi.

Lebih malang lagi, penafian dan memperlekeh sejarah gemilang perjuangan kemerdekaan  bangsa sendiri terus menjadi agenda utama kebanyakan para elit dan cendikiawan tempatan, malah tanpa segan silu berterusan menuturkan pembohongan untuk dihadamkan dari satu generasi ke satu genarasi.

Sebagai contoh, Brunei dikatakan tidak pernah dijajah pada hal pengaruh Residen dan Pesuruh Jaya Tinggi British tetap menusuk hingga ke sum-sum pemerintahan selain urusan luar negeri dan pertahanan yang secara rasminya diletakkan di bawah urusan Kuasa Pentadbir penjajah. Ketika “Pengiran Muda Omar ‘Ali Saifuddein diangkat menjadi Sultan ianya telah dibuat dengan persetujuan sebulat suara daripada pembesar negara serta mesti diperkenankan oleh Kerajaan British melalui wakilnya sebagai penasihat British di Brunei” (Yura Halim 2002 DBP Brunei: RIRISEJ Brunei Darussalam).

Justeru janganlah kita bersikap tidak ambil peduli terhadap usaha bagi membetulkan fakta kerana hanya melalui fakta yang betul itu sahajalah sebuah sejarah yang seimbang dan gemilang dapat dicipta, sekaligus boleh menjadi pemangkin jatidiri bernegara.

Natijah dari memperlekehkan sejarah bangsa sendiri dan jatidiri yang hambar mungkin saja turut menyumbang penyakit berkait sikap  “malas tah ku ingau” atau sikap tidak ambil peduli dan kurang bertanggugjawab di kalangan sebahagian peneraju negara. Bekerja bagaikan penukul dengan pahat. Maka tidak heranlah kita menyaksikan betapa sikap sesetengah golongan elit pentadbir dan pengubal dasar ini sentiasa menerima teguran dan kritikan serius Baginda Sultan sendiri.  

Mana-mana perjuangan yang bangun menentang penjajahan, para pejuang tersebut diakui sebagai pejuang kemerdekaan. Oleh itu amatlah aneh jika kita terus-menerus menggunakan skrip yang ditulis oleh ‘colonial masters’ untuk mentohmah dan mempelecehkan perjuangan  anak bangsa sendiri.

Sepatutnya kita menghargai dan berbangga kerana memiliki sejarah besar anak bangsa yang bangkit menentang penjajahan dalam usaha membentuk sebuah negara bangsa yang raya (The Great Brunei), yang merdeka dan berdaulat. Sewajarnya sejarah kebangkitan anak bangsa ini diketengahkan sebagai sebuah peristiwa yang amat bermakna dalam kelangsungan sejarah negara yang agung.

Ke arah itu, sewajarnyalah kemuncak kebangkitan anak bangsa itu dirakam dengan mengiktiraf satu hari sebagai Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun untuk mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air. Insyaallah melalui strategi ini, titah Baginda, “sejarah Beta adalah juga sejarah bangsa dan negara, kerana siapa beta selaku Raja tidak boleh putus hubungan dengan bangsa dan negara” akan menjadi ungkapan yang lebih bermakna. 

Wallaha’alam.

No comments:

Post a Comment