Tuesday, December 19, 2017

RENTETAN PERBALAHAN DAN USAHA PERDAMAIAN AL-FATAH – HAMAS



Teras perbalahan Al-Fatah – Hamas berpunya daripada perbezaan ideologi. Fatah  cenderung kepada ideologi sekular. Hamas berideologi Islamik. Fatah percaya jalan penyelesaian isu Palestin adalah menerusi rundingan dengan Israel. Hamas lebih percaya pada idea perjuangan senjata.

Fatah menubuhkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada tahun 1994 berdasarkan pelaksanaan Perjanjian Oslo antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel. Hamas tidak bersetuju dengan idea Fatah dalam melaksanakan Perjanjian Oslo.

1996 – 2000 : Perbalahan antara kedua-dua pergerakan meruncing apabila pihak keselamatan Palestin melancarkan kempen besar-besaran untuk menangkap aktivis Hamas. PA menuduh Hamas cuba melemahkan peranan kerajaan selain bercanggah dengan hasrat rakyat Palestin yang inginkan keamanan. Hamas dakwa Fatah melakukan semua itu di bawah tekanan Israel.

September 2000 : Kebangkitan Intifada Kedua. Kedua-dua pergerakan cuba mencari kata sepakat selepas rejim Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin.

Januari 2005 : Presiden Mahmoud Abbas mengambil alih kuasa selepas Yasser Arafat meninggal dunia. Sesi dialog bersama pemimpin Hamas dimulakan. Hamas diminta menyertai pemilihan legislatif Palestin dan mengisytiharkan gencatan senjata dengan Israel.  

Mac 2005 : Fatah dan Hamas memulakan dialog di bawah tajaan bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak yang membawa kepada ‘Perjanjian Kaherah’.

2006 : Hamas setuju bertanding dalam Pilihan Raya Parlimen, 2006 dan memperoleh majoriti kerusi dalam Dewan Perundangan. Fatah dan puak lain enggan sertai kerajaan baharu ditubuhkan oleh Hamas di bawah pimpinan Ismail Haniyeh. Penyokong kedua-dua pergerakan turut bertempur dan puak lain gagal tamatkan sengketa itu.

Disember 2006 : Konflik meningkat selepas Abbas mengumumkan cadangan memanggil pilihan raya baharu untuk Dewan Perundangan Palestin sebagai jalan keluar. 

2007 :  Pertempuran berdarah antara sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, perkhidmatan keselamatan Palestin dan pejuang gerakan Fatah tercetus.

Februari 2007 : Kedua-dua pihak bersetuju menandatangani Perjanjian Makkah yang diusahakan oleh Pemerintah Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz. Kerajaan perpaduan ditubuhkan di bawah perjanjian itu yang diketuai pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh manakala pemimpin Fatah, Azzam al-Ahmad dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Perjanjian bagaimanapun  gagal satukan kedua-dua belah pihak.

Disember 2008 – Januari 2009 : Israel menyerang Genting Gaza. Fatah dan Hamas bersetuju  kembali berdialog melalui insiatif Mesir. Kedua-dua pergerakan masih gagal capai persetujuan dengan ‘program politik’ kerana mempertahankan pendirian dan idea masing-masing. Fatah tetap dengan idea berunding dengan Israel untuk menubuhkan negara Palestin manakala Hamas memilih penentangan bersenjata selain bersetuju pelaksanaan gencatan senjata jangka masa panjang dengan Israel.

April 2011 : Fatah dan Hamas dakwa mereka telah capai persefahaman untuk wujudkan kerajaan sementara sebagai persediaan hadapi pilihan raya, namun pelaksanaannya sering ditangguhkan.

Januari 2012 : Perjanjian pertukaran tahanan dimeteraikan antara Fatah-Hamas. Sebulan selepas itu, mereka bersetuju Abbas pimpin kerajaan sementara. Perjanjian mencetuskan pertikaian anggota Hamas dan ia tidak dapat dilaksanakan.

November 2012 : Pencerobohan Israel ke atas Genting Gaza memaksa Fatah-Hamas memulihan hubungan. Fatah hadir ulang tahun penubuhan Hamas pada 8 Disember 2012. Fatah juga benarkan Hamas anjur festival di Tebing Barat.

9 Januari 2013 : Abbas adakan rundingan dengan Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal di Kaherah dan setuju laksanakan ‘perjanjian perdamaian’. Perjanjian bagaimanapun gagal direalisasikan. 

Julai 2013 : Presiden Mesir, Mohammed Mursi  digulingkan. Mesir menggantung sokongan usaha perdamaian antara Fatah-Hamas.

April 2014 : Kedua-dua pergerakan bersetuju tubuh kerajaan perpaduan. Perjanjian gagal dicapai kerana bantahan Fatah terhadap Hamas yang masih kawal Genting Gaza.

Julai – Ogos 2014 : Kedua-dua pergerakan kembali bersatu selepas Perang Israel-Gaza yang tercetus selama 50 hari. Kerajaan perpaduan bagaimanapun berpecah beberapa bulan kemudian.

Julai 2017 : Hamas umum penubuhan Jawatankuasa Pentadbiran di Genting Gaza. PA dakwa Hamas cuba bentuk kerajaan bayangan dan cuba menubuhkan sebuah negara merdeka di wilayah itu.  

17 September 2017 : Jawatankuasa Pentadbiran dibubarkan. Hamas menjemput Kerajaan Perdamaian Nasional untuk ambil alih tugas dan adakan pilihan raya umum. Hamas menegaskan ia akan mematuhi Perjanjian Perdamaian Sosial yang dimeterai bersama Fatah pada 2011.

Awal Oktober 2017 : Perdana Menteri PA, Rami Hamdallah melawat Gaza untuk pertama kali sejak 2015 sebelum Fatah dan Hamas tandatangani perjanjian damai di Kaherah.

*****

No comments:

Post a Comment