Friday, December 15, 2017

RAJA SALMAN AKHIRNYA BERSUARA...



Walaupun agak lewat berbanding dengan pemimpin utama beberapa buah negara Arab/Islam yang lain dalam menyatakan penentangan terhadap kenyataan Donald Trump berkaitan isu Baitulmaqdis, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud akhirnya bersuara dalam menyatakan pendirian Arab Saudi mengutuk keputusan untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. 

Raja Salman seperti dilaporkan Al-Jazeera menegaskan, Riyadh tetap dengan pendirian dan komitmen iaitu Palestin mempunyai hak menjadikan Baitulmaqdis Timur yang dijajah Israel sebagai ibu negara mereka. Tegas baginda, tindakan Trump itu menunjukkan keputusan ‘berat sebelah yang luar biasa’ terhadap hak Palestin di Baitulmaqdis yang dijamin resolusi antarabangsa.

Arab Saudi, menurut Raja Salman, mencadangkan penyelesaian politik bagi menyelesaikan krisis di rantau itu dengan mengutamakan pengembalian hak asasi Palestin, termasuk hak menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Pernyataan pendirian Raja Salman itu dibuat semasa baginda bertitah di Majlis Shura Saudi ketika pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Istanbul, Turki, pada 14 Disember 2017 lalu. Arab Saudi dikatakan hanya menghantar wakil di peringkat pegawai kanan Kementerian Luarnya ke sidang OIC tersebut.

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, Ankara dilaporkan mengkritik reaksi negara-negara Arab berkaitan isu yang ada. Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu dilaporkan sebagai berkata sesetengah negara Arab menunjukkan respon yang sangat lemah (berhubung isu Baitulmaqdis). Mereka seperti takut dengan AS, katanya.

*****

No comments:

Post a Comment