Thursday, December 14, 2017

PENDIRIAN DUNIA ISLAM DALAM MENENTANG KEPUTUSAN AMERIKA SYARIKAT (AS) DI SIDANG KEMUNCAK LUAR BIASA PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC)



Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Istanbul pada 13 Disember 2017 bergema dengan suara pemimpin negara OIC dalam mengecam dan menentang sekeras-kerasnya keputusan AS dalam mengiktiraf usaha Israel menjadikan Baitulmaqdis ibu kota baharu negara itu dan merancangkan perpindahan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Keputusan AS itu diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump melalui satu kenyataan yang dibuat dari Rumah Putih, Washington, AS pada 6 Disember 2017 lalu.

Mendahului memberi ucapan, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan selaku negara Pengerusi Sidang Kemuncak OIC kali ini, telah mengulangi kecamannya terhadap keputusan AS itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh dunia dan dengan itu batal dan tertolak dengan sendirinya. Erdogan juga meneruskan kecamannya terhadap Israel yang didakwa menggalakkan pengganasan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak. Sehubungan itu, beliau menyeru semua negara Islam bersatu dalam menentang keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pihak, AS dan Israel itu yang disifatkannya sama sekali membelakangi undang-undang antara bangsa dan hak rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam ucapannya pula berkata penglibatan AS dalam rundingan damai Palestin-Israel pada masa akan datang "dibatalkan" berikutan adanya keputusan AS itu yang menurutnya jelas berpihak kepada Israel. Presiden Palestin juga menganggap tindakan AS dan Israel itu sebagai melanggar undang-undang antarabangsa,  sambil menegaskan Baitulmaqdis sampai bila-bilapun tetap menjadi ibu kota Palestin.

Raja Abdullah dari Jordan pula menyifatkan pengumuman Trump tersebut sebagai boleh menjejaskan semua usaha ke arah perdamaian Asia Barat yang telah dirintis sejauh ini. Serentak dengan itu, beliau mengumumkan pendirian Jordan yang menolak cubaan untuk menukarkan status Baitulmaqdis atau tapak sucinya sepertimana usaha yang sedang dilakukan oleh AS dan Israel itu. Beliau turut menegaskan bahawa keamanan di Asia Barat tidak akan tercapai tanpa adanya penyelesaian mengikut undang-undang bagi permasalahan yang dihadapi oleh Palestin dan Israel pada masa ini.

Tidak ketinggalan dalam memberikan pandangannya, Presiden Iran, Hassan Rouhani menganggap keputusan Trump itu sebagai memperlihatkan bahawa AS tidak menghormati hak negara Palestin. AS juga ditafsirkan oleh Iran sebagai bukanlah pengantara yang jujur dalam rundingan Palestin-Israel, sebaliknya hanya mahu memelihara dan menyelamatkan kepentingan rejim zionis yang sejak sekian lama menjadi sekutu rapatnya itu.

Setiausaha Agung OIC, Youssef Al-Othaimeen, yang turut berucap di sidang tersebut pula menyatakan OIC menolak dan mengutuk keputusan Amerika yang jelas melanggar norma dan undang-undang antarabangsa. Ia juga, menurut Setiausaha Agung OIC, merupakan suatu tindakan provokasi terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia dan bakal mewujudkan keadaan ketidakstabilan di rantau Timur Tengah dan juga di dunia. Serentak dengan itu, beliau menggesa para pemimpin Islam untuk bekerjasama dalam merangka tindak balas secara bersatu bagi menghadapi ancaman yang mendatang.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut berucap pada sidang kemuncak tersebut telah mengingatkan dunia Islam tentang perlunya setiap negara Islam untuk bersatu dan bersuara dalam satu nada bagi memastikan sebarang cubaan untuk mengubah karakter dan status quo Baitulmaqdis yang bertentangan dengan kemahuan rakyat Palestin dapat ditolak sepenuhnya. Sehubungan itu, Malaysia menurutnya, membantah keras tindakan sebelah pihak AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu Israel sambil menegaskan bahawa kebuntuan terhadap proses perdamaian Asia Barat perlu diselesaikan melalui norma dan undang-undang antarabangsa. Beliau turut menyatakan harapan agar AS membantu ke arah itu  sambil meminta negara anggota memastikan tidak ada negara lain yang ikut menyokong AS dalam mengiktraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu bagi Israel. 

Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC dipanggil oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berikutan pengumuman Trump dalam mengiktiraf Baitulmaqdis menjadi ibu negara baharu bagi Israel. Sidang tersebut telah dihadiri oleh kesemua 57 negara anggota OIC dengan 22 negara menghantar pemimpin utama masing-masing manakala bakinya diwakili oleh Menteri dan pegawai-pegawai kanan. 

Sidang kemuncak tersebut di akhir persidangannya telah mengeluarkan satu deklarasi 23 perkara yang kandungannya, antara lain, mengandungi ketetapan seperti berikut;

(i)    Bahawa Baitulmaqdis Timur adalah ibu negara Palestin dan semua negara                di dunia dengan itu diminta mengiktirafnya;

(ii)       Bahawa pengisytiharan Presiden Donald Trump berhubung kedudukan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah tidak sah dan terbatal di bawah undang-undang antarabangsa. Pengisytiharan tersebut dilihat sebagai bertujuan mahu menjejaskan semua usaha perdamaian yang telah dirintis dan boleh mendorongkan kepada berlakunya ekstrimisme dan pengganasan. Justeru itu, Trump digesa supaya menarik balik keputusannya itu, termasuk membatalkan hasrat AS untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

(iii)  Bahawa pengumuman Trump itu menandakan pentadbiran AS kini menarik diri daripada memainkan peranannya sebagai penaja keamanan di Asia Barat. 

(iv)     Bahawa semua negara anggota perlu melaksanakan sekatan politik dan ekonomi terhadap mana-mana jua negara yang turut menyokong keputusan kerajaan AS itu.

(v)   Bahawa semua negara anggota OIC menyatakan kesediaan untuk membantu perjuangan rakyat Palestin baik dalam apa jua bentuk bagi mempertahankan hak dan kepentingan mereka di Palestin.

Para pemerhati dan penganalis politik antarabangsa yang hadir di Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC ke-13 itu pada keseluruhannya berpendapat bahawa persidangan tersebut telah berupaya mempamirkan suatu penentangan yang cukup kuat dalam kalangan negara Islam terhadap keputusan AS dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu bagi Israel, juga cadangan AS untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Sidang tersebut juga dilihat sebagai berupaya menyatukan suara dan pendapat di antara sesama pemimpin Islam dalam merangka strategi tindak balas bagi menghadapi AS dan Israel berkaitan isu berbangkit. 

Walau bagaimanapun, terdapat suara yang meragui sejauhmana negara-negara OIC akan benar-benar komited dalam menjayakan ketetapan yang telah dibuat seperti dalam contoh untuk mengenakan sekatan politik dan ekonomi terhadap negara-negara yang bersekongkol dengan AS dan Israel. Ini sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan begitu banyak resolusi-resolusi OIC yang lalu yang hanya hangat tatkala berlangsungnya sidang, tetapi mulai sejuk sebaik sahaja pemimpin Islam tiba kembali di negara masing-masing.

***

No comments:

Post a Comment