Tuesday, December 19, 2017

PELUANG PERDAMAIAN AL-FATAH - HAMAS



Usaha bagi mewujudkan perdamaian antara dua sayap pergerakan pembebasan rakyat Palestin yang bersengketa sejak lebih sedekad lalu - Hamas yang dipimpin oleh Ismail Haniyeh, dengan Al-Fatah yang pimpin oleh Mahmoud Abbas, kini mulai menampakkan harapan yang agak meyakinkan. 

Pada 12 Oktober 2017 lalu kedua-dua puak yang bertelagah telah menandatangani perjanjian awal perdamaian di bawah satu inisiatif terbaharu bagi menamatkan perpecahan wilayah, politik dan ideologi yang telah sejak sekian lama melumpuhkan aspirasi dan juga ketahanan negara itu. Permusuhan antara kedua-dua pergerakan itu telah menyebabkan Palestin terbelah kepada dua kawasan geografi iaitu Tebing Barat dan Gaza yang ditadbir secara berasingan selepas sengketa Hamas-Fatah tercetus pada 2007.

Perjanjian ini dimeterai selepas rundingan selama dua hari di Kaherah di mana Mesir sekali lagi menjadi pengantara mendamaikan kedua-dua pergerakan itu. Mesir sebelum ini pernah membantu proses penubuhan kerajaan perpaduan melalui perkongsian kuasa Al-Fatah – Hamas di Gaza dan Tebing Barat yang ditadbir Pihak Berkuasa Palestin (PA) di bawah kepimpinan Fatah.

Berikutan termeterainya perjanjian awal ke arah perdamaian itu Hamas merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Palestin sambil berikrar untuk melaksanakan dengan sehabis baik perjanjian tersebut yang diharap dapat membuka lembaran baru dalam sejarah Palestin. Perlu disebutkan, Hamas sebelum ini sering meletakkan syarat sebelum setuju untuk berunding dengan Al-Fatah. Ini termasuklah menuntut Perdana Menteri, Mahmoud Abbas menamatkan beberapa unsur sekatan yang dikenakan ke atas pergerakan itu. 

Perubahan pendirian Hamas yang sedia untuk berunding ini dikatakan antara lain berpunca daripada kebimbangan pergerakan itu terhadap kedudukan masa depan kewangan dan politiknya selepas pembiaya utama mereka, Qatar dilanda krisis politik susulan adanya sekatan kuasa Arab yang diterajui oleh Arab Saudi. Dalam pada itu, Hamas terpaksa mengharungi kesukaran yang sedia ada berikutan tindakan Presiden Mahmoud Abbas menggunakan kuasa pentadbirannya untuk memberi tekanan kepada pergerakan itu di Gaza. Ini termasuklah memotong gaji kakitangan kerajaan dan meminta Israel mengurangkan bekalan kuasa elektrik di wilayah itu.

Penganalisis berpendapat perjanjian kali ini lebih berpotensi untuk direalisasikan berbanding beberapa perjanjian lain sebelum ini yang gagal  kerana wilayah Gaza kini berdepan krisis terburuk akibat sekatan yang menghalang proses pembinaan semula wilayah itu yang musnah teruk akibat peperangan dengan Israel pada 2014.

Perjanjian ini disambut baik oleh keseluruhan penduduk Gaza. Mereka melihatnya sebagai suatu langkah yang lebih bermakna ke arah penyatuan kembali negara Palestin. Namun di pihak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam langkah itu  yang disifatkan sebagai 'penghalang' kepada tercapainya perdamaian di rantau tersebut. Demikian juga dengan Amerika Syarikat (AS), sekutu kuat Tel Aviv, tidak melihat usaha perdamaian Hamas-Fatah itu sebagai sesuatu yang harus dialu-alukan. 

Bagaimanapun dengan adanya perkembangan terkini di mana AS telah mengumumkan pengiktirafan sebelah pihak (unilateral) terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara baru bagi Israel, kedua-dua belah pihak, baik Al-Fatah dan lebih-lebih lagi Hamas, dijangka tidak akan memberi sebarang pertimbangan terhadap bantahan Israel, mahupun AS, dalam urusan perdamaian antara mereka. 

Sebaliknya, mengambilkira perkembangan terkini yang melanda tubuh politik Palestin, kedua-dua sayap pergerakan pembebasan rakyat Palestin itu dijangka mungkin akan mempercepatkan proses perdamaian tersebut supaya dengannya, mereka akan berupaya mengembeling sokongan antarabangsa bagi mendesak AS supaya menarik balik pengisytiharan yang telah dibuat berkaitan Baitulmaqdis. 

Di satu sudut lain, proses damai tersebut jika  dapat direalisasikan sudah pasti akan dapat memberikan harapan baharu kepada rakyat Palestin, lebih-lebih lagi dalam usaha bagi menamatkan krisis kemanusiaan yang berpanjangan di Gaza.   

                                                                       *****

No comments:

Post a Comment