Saturday, December 16, 2017

LEBIH 6,000 PENDUDUK ROHINGYA DIBUNUH



Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Doctors Without Borders (Médecins Sans Frontières - MSF) International telah mendedahkan angka pembunuhan penduduk Islam Rohingya yang mengejutkan oleh junta Myanmar semasa tercetus keganasan ke atas penduduk Islam Rohingya pada 25 bulan Ogos lalu. 

MSF melalui kenyataan yang dibuat oleh Pengarahnya, Sidney Wong, mendedahkan bahawa jumlah mereka yang dibunuh dalam bulan pertama sahaja adalah sekurang-kurang seramai 6,700 orang – sekaligus menafikan kenyataan junta tentera Myanmar yang menyatakan jumlah kematian hanya 400 orang. Daripada angka tersebut, 730 orang adalah terdiri daripada kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun.

Kenyataan MSF itu juga menyebutkan mengenai punca kematian yang mana kira-kira 69 peratus adalah berpunca daripada luka ditembak, 9 peratus akibat dibakar hidup-hidup, 5 peratus kematian akibat dipukul dan bakinya atas sebab-sebab lain. MSF juga menyatakan dalam tempoh tiga bulan selepas tercetusnya keganasan berkenaan, seramai 620,000 etnik Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh, sekaligus mencetuskan krisis pelarian secara besar-besaran. 

Menurut MSF, dapatan tersebut diperoleh melalui enam kaji selidik yang dibuat terhadap lebih 2,434 isi rumah etnik Rohingya yang terselamat dan kini mendapat perlindungan di kem pelarian di Bangladesh.

Dalam satu perkembangan lain, Presiden Badan Pelarian Antarabangsa, Eric P. Schwartz berkata, krisis pelarian boleh berlaku berdasarkan keadaan daif di kebanyakan kem pelarian Rohingya di Bangladesh, termasuk kekurangan bekalan asas seperti makanan dan air bersih. Keadaan itu disifatkan oleh beliau sebagai ‘sangat mencabar’.

Menurutnya, ratusan ribu etnik Rohingya sudah melarikan diri dari tempat asal mereka ke negara-negara jiran termasuk Bangladesh dan Arab Saudi. Keadaan ini menurut beliau, diburukkan lagi dengan undang-undang kewarganegaraan 1982 Myanmar yang menyaksikan etnik Rohingya tidak mempunyai peluang untuk diiktiraf sama seperti penduduk minoriti Myanmar yang lain. 

Dalam pada itu, terdapat maklumat bahawa satu suruhanjaya yang dipengerusikan oleh bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan, menyimpulkan bahawa etnik Rohingya telah dipinggirkan dan terdedah kepada diskriminasi, selain mengesyorkan untuk membawa isu etnik itu ke peringkat tertinggi dan mencadangkan mereka diberikan hak kewarganegaraan serta faedah lain. Laporan itu juga secara tidak langsung didakwa menyebabkan pasukan tentera Myanmar  bertungkus-lumus mengusir etnik Rohingya keluar dari Rakhine.

*****

No comments:

Post a Comment