Tuesday, December 19, 2017

LAGI TEKANAN BAHARU ISRAEL TERHADAP RAKYAT PALESTIN



Geram, marah, terkilan dan mungkin juga kecewa. Itu adalah antara perasaan yang tertusuk di dada kita apabila kita membaca laporan bahawa pemimpin politik Israel, pada 18 Disember lalu, bersetuju untuk mengemukakan draf rang undang-undang ke Parlimen yang akan membolehkan pelaksanaan hukuman mati ke atas pengganas – satu rancangan yang dipercayai dibuat dengan sasarannya ditujukan kepada tahanan Palestin.

Setakat ini kenyataan yang dibuat oleh parti Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, iaitu Parti Yisrael Beitenu tentang rang undang-undang itu khabarnya masih belum begitu jelas. Namun, ia dipercayai ada hubung kait dengan ikrar Lieberman suatu ketika dahulu yang mahu melaksanakan hukuman lebih keras ke atas tahanan Palestin.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin perikatan terdiri daripada enam parti politik yang membentuk kerajaan campuran Israel menyebutkan bahawa rang undang-undang hukuman mati ke atas pengganas “akhirnya diluluskan”. Menurut kenyataan itu lagi, undang-undang itu agak mudah dan jelas iaitu seseorang pengganas yang membunuh orang awam yang tidak bersalah akan dijatuhi hukuman mati.

Kenyataan itu juga memetik Lieberman sebagai berkata, jika dikuatkuasakan menjadi undang-undang, rang undang-undang terbabit akan menjadi penghalang yang kuat kepada seseorang tahanan untuk berfikir bahawa selepas dipenjarakan, mereka boleh dibebaskan dalam satu perjanjian politik atau pertukaran tahanan.

Kenyataan tersebut, walaupun tidak merujuk kepada mana-mana kes, dipercayai ada hubungannya dengan perjanjian terbaharu di mana Israel pada 2011 membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran kepada seorang tentera Israel, Gilad Shalit, yang ditahan di Gaza selama lima tahun. 

Lieberman dilaporkan sebagai berkata “Kita tidak boleh membenarkan pengganas tahu bahawa selepas pembunuhan yang mereka lakukan, mereka akan ditempatkan di penjara untuk suatu tempoh tertentu sebelum dibebaskan pada masa hadapan,”. 

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan bila rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen. 

Dalam hal ini apa yang membimbangkan kita ialah apakah definisi tepat yang akan digunakan oleh rejim Israel dalam melabelkan seseorang, khususnya rakyat Palestin sebagai pengganas? Adakah seseorang yang mempertahankan diri sendiri atau ahli keluarganya atau mempertahankan haknya atau hak ahli keluarganya sehingga  menyebabkan kematian di pihak Israel akan dilabel sebagai pengganas yang akan dijatuhi hukuman mati atas tindakannya itu? 

Kita sebenarnya bimbang semua ini, tidak lebih, bertujuan untuk membendung kebangkitan rakyat Palestin yang kian terdedah kepada pertembungan bukan sahaja dengan pihak keselamatan Israel, malah rakyat biasa Israel, berikutan sikap mereka yang dengan mudah menceroboh kawasan penempatan rakyat Palestin dan mengenakan kekasaran atau tekanan yang mengundang kepada perbalahan, kemarahan dan penentangan.

No comments:

Post a Comment