Friday, December 15, 2017

HAMAS SAMBUT ULANG TAHUN KE-30 PENUBUHANNYA



Pada 14 Disember 2017, Hamas yang merupakan salah satu daripada sayap perjuangan Pergerakan Pembebasan Palestin (PLO) telah mengadakan sambutan ke-30 tahun penubuhannya bertempat di Bandar Gaza. Perhimpunan itu telah dihadiri oleh beribu-ribu rakyat Palestin terdiri daripada ahli dan penyokong pergerakan itu, juga rakyat biasa terdiri daripada kaum lelaki, wanita dan juga kanak-kanak. Bagi menunjukkan sokongan terhadap perjuangan Hamas, mereka yang hadir di perhimpunan itu telah mengibarkan bendera hijau Palestin atau mengenakan ikatan kain hijau di kepala masing-masing. 

Dalam perhimpunan tersebut, beberapa slogan mengecam keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baharu bagi Israel dan merancang pemindahan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis telah kedengaran. Mereka yang hadir telah melafazkan ikrar untuk mempertahankan Baitulmaqdis dengan segala daya upaya mereka daripada membiarkan ianya diambil untuk dijadikan ibu negara baharu bagi rejim Zionis itu.

Hamas ditubuhkan pada tahun 1987 iaitu ketika bermulanya gelombang intifada pertama rakyat Palestin dalam menentang pencerobohan Israel ke atas Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Pengasas kepada pergerakan ini, Sheikh Ahmad Yassin yang kecewa di atas kegagalan begitu banyak pelan perdamaian Palestin-Israel telah mengambil langkah menubuhkan pergerakan ini yang memilih pendekatan mengangkat senjata sebagai satu-satunya jalan untuk memastikan ketuanan Palestin ke atas tanah air mereka terpelihara. Beliau bagaimanapun terbunuh dalam satu serangan tentera Israel ke atas kediamannya dalam tahun 2004.

Berikutan kematian Sheikh Ahmad Yassin, Hamas dipimpin oleh penggantinya, Abdul Aziz al-Rantissi. Bagaimanapun, Rantissi juga turut dibunuh oleh Israel beberapa minggu selepas mengambilalih teraju kepimpinan Hamas. Hamas selepas itu dipimpin oleh Khaled Meshaal yang terselamat daripada cubaan membunuh mengggunakan racun oleh perisik Israel dalam tahun 1997.

Di bawah kepimpinan Meshaal, populariti Hamas meningkat dengan cepat sehingga pergerakan itu berjaya memenangi pilihan raya Palestin pada tahun 2006. Kemenangan Hamas telah mengundang sengketa dengan pertubuhan al-Fatah yang sejak sekian lama berpihak kepada pihak berkuasa Palestin sebelum itu. Persengketaan ini semakin memburuk bilamana Hamas cuba menggugat pemerintahan pihak berkuasa Palestin yang disokong oleh al-Fatah di Semenanjung Gaza.

Hamas kini dipimpin oleh Ismail Haniyeh. Di bawah Haniyeh, penguasaan Hamas ke atas Gaza dikembalikan kepada pihak berkuasa Palestin sebagai suatu langkah pemulihan hubungan dengan pihak berkuasa Palestin, juga dengan al-Fatah. Hamas malah dikatakan bersedia untuk menerima idea pembentukan Palestin berdasarkan plan sempadan sebelum tahun 1967. Perubahan dalam pendirian Hamas ini dilihat sebagai menguntungkan pertubuhan itu, lebih-lebih lagi tatkala adanya keputusan terbaharu di pihak pentadbiran AS berkaitan isu Baitulmaqdis. Terkini, Hamas dan al-Fatah  dikatakan sedang berada di peringkat akhir dalam usaha untuk memulihkan hubungan mereka – suatu perkembangan baik yang jika berjaya direalisasikan sudah pasti bakal mampu memperkuatkan perjuangan rakyat Palestin dalam menentang hasrat Israel untuk menguasai sepenuhnya Baitulmaqdis.

                                                                  *****
       

No comments:

Post a Comment