Wednesday, December 27, 2017

AWAS DENGAN 13 UNSUR PENYEBARAN LIBERALISME AGAMA



Sebagaimana yang pernah saya perkatakan dalam entri saya yang lalu (8 Disember 2017), ancaman gerakan Islam liberal di rantau ini kebelakangan ini kian memasuki fasa yang lebih mencabar dengan erti kata kehadirannya kini boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. 

Gerakan ini biasanya tidak memperlihatkan diri mereka sebagai pihak yang menolak agama, tetapi sering kali bergerak sebagai gagasan yang mahu mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran dan hadis dan menilai semula syariat dan hukum fiqah. Gerakan ini akan menolak segala tafsiran yang dianggap kolot mengenai agama untuk digantikan dengan tafsiran baharu yang sesuai dengan realiti semasa walaupun ianya lari dari hukum-hakam dan peraturan agama yang sebenarnya. 

Sehubungan dengan ini, Syeikh Abdullah al-Khatib menerusi kitabnya, “al Islam wa raddu ala hurriyatil fikri” telah mendedahkan agenda tersembunyi gerakan pemikiran Islam liberal ini, iaitu;

  1. Untuk menggugurkan sepenuhnya agama daripada masyrakat dengan cara memisahkan agama daripada pendidikan, menjauhkan syariat Islam daripada dijadikan sumber perundangan dan mengasaskan ekonomi di atas asas riba.
  2. Untuk menjauhkan fikrah dan pemikiran manusia daripada setiap yang mempunyai kaitan dengan roh, wahyu dan alam ghaib dan daripada segala ikatan dengan akhlak, akidah dan keimanan kepada Allah.
  3. Untuk memertabatkan ketuanan akal dan kebendaan, menyuburkan ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu (ilhad) dalam setiap urusan kehidupan dan menjadikan Islam sebagai agama rohani semata-mata dengan menolak agama sebagai penentu dan pencorak perjalanan hidup bermasyarakat.
Justeru mengambilkira akan adanya agenda yang boleh membahayakan kepada kedudukan Islam sebagai agama ad-din, agama yang dapat membimbing kita ke jalan yang lurus serta dapat menjamin kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat, maka amat wajar setiap tindak tanduk dan pemikiran gerakan ini diperhatikan dan didedahkan bagi mengelakkan ianya daripada mencemari kesucian agama Islam. 

Dalam konteks ini, sebuah badan pemikir Islam, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dalam buku kecilnya bertajuk Agenda Daulatkan Islam Agama Negara (DIAN) telah menyenaraikan 13 unsur penyebaran liberalisme yang telah dikenalpasti telah diperjuangkan oleh kumpulan tertentu di Malaysia bagi mencapai agenda mereka ke   arah meliberalkan pegangan agama di kalangan umat Islam di negara ini. 

Berikut adalah 13 unsur liberalisme tersebut;

  1. Memperjuangkan, menyokong dan merelakan nama suci Allah disalahgunakan untuk sembahan orang bukan Islam.
  2. Menyamaratakan semua agama atau kepercayaan, mengatakan agama-agama lain adalah setara dengan agama Islam, dan menafikan ketinggian kedudukan agama Islam sebagai Agama Negara [Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan].
  3. Mengatakan serta mempercayai bahawa semua agama adalah benar dan semua agama membawa kepada satu titik kebenaran yang hakiki (Pluralisme Agama).
  4. Memperjuangkan hak kemurtadan sebagai kebebasan asasi (fundamental liberties) dan kebebasan beragama (freedom of religion) selain menyalahtafsirkan dengan sengaja Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
  5. Mempertahankan dan memperjuangkan ajaran sesat sebagai hak kebebasan berfikir malah juga memfitnah institusi fatwa sebagai penghalang bagi pemilikan serta perlaksanaan hak tersebut.
  6. Menuntut hak kanak-kanak untuk memilih agama mereka sendiri apabila mencapai umur 18 tahun dan mendesak agar ibu bapa tidak dibenarkan untuk menentukan agama anak-anak mereka ketika dilahirkan.
  7. Memperjuangkan hak kebebasan berfikir sehingga mengetepikan perintah Al-Quran dan ajaran nabi S.A.W.
  8. Memperjuangkan hak kebebasan asasi sehingga menuntut penghapusan undang-undang Syari’ah dan pemansuhan kewajipan amar makruf nahi mungkar.
  9. Menuntut pengiktirafan hak untuk mengamalkan seks songsang (LGBTIQ) atas nama hak manusia; meskipun ia bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang negara di bawah Kanun Keseksaan.
  10. Menuntut penghapusan semua bentuk hukuman berat yang disifatkan sebagai ‘capital punishment’ termasuk hukuman mati dan sebat.
  11. Menuntut hak pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain kepada orang Islam meskipun ia bercanggah dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
  12. Menyebarkan fahaman Islam secara liberal, iaitu dengan mencontohi amalan penganut Kristian.
  13. Menghasilkan dan menyebarkan bahan-bahan yang membela kekufuran serta penyelewengan akidah. Sebagai contoh ialah buku “Allah, Kebebasan dan Cinta” oleh Irshad Manji selain juga karya-karya pendokong pemikiran liberal yang lain.
Sebagai penutup saya ketengahkan petikan ayat Al-Quran berikut buat renungan kita bersama;

Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (yang cukup lengkap) daripada hukum-hukum agama. Maka, turutilah syariat itu dan janganlah kamu menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). - (Surah al-Jathiyah : 18)

*****

No comments:

Post a Comment