Wednesday, December 20, 2017

APABILA AMERIKA SYARIKAT (AS) MENGGUNAKAN “KUASA VETO” NYA…



Seluruh dunia dalam sehari dua ini heboh memperkatakan tentang deraf resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan membatalkan keputusan Donald trump berhubung isu Baitulmaqdis akhirnya di “veto” oleh AS di tengah-tengah adanya undian 14 negara Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang lain dalam menyokong deraf resolusi tersebut. 

Ia menepati ramalan banyak pihak bahawa perkara itu mungkin bakal terjadi mengambilkira selama ini pun AS sememangnya seringkali menggunakan kuasa vetonya dalam menolak apa jua resolusi PBB terhadap Israel yang dilihat sebagai bercanggah dengan kehendak dan kepentingannya, juga sekutunya itu. Demikian jugalah yang berlaku kepada deraf resolusi yang dibawa pada kali ini. 

Lebih jauh dari itu, penolakan deraf resolusi oleh AS kali ini turut diselit dengan hujah yang agak mencabar keintelektualan minda kita apabila Duta AS ke PBB, Nikki Haley, dalam mengulas mengenai resolusi itu mengatakan UNSC, melalui undian tersebut, telah melakukan lebih banyak kerosakan daripada cuba membaiki isu hubungan Palestin-Israel itu. Beliau juga berkata bahawa keputusan undian tersebut merupakan sesuatu yang menghina (AS) dan tidak akan dilupai begitu sahaja.

Duta AS, melalui kenyataannya itu juga, turut memberi peringatan kepada dunia bahawa AS tidak perlu diajar, juga tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana pihak dalam menentukan di mana ia hendak menempatkan kedutaannya – sekaligus mendedahkan sikap sebenar siapa AS di dalam UNSC dan PBB itu.

Kenyataan Duta AS itu tidak banyak bezanya dengan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam mencabar keinteletualan minda antarabangsa baru-baru ini bilamana beliau mengatakan Baitulmaqdis sebenarnya telah menjadi ibu kota Israel sejak lebih 3,000 tahun lalu !. Dapatkah kita terima argumentasi seperti ini?

Apa yang dapat dirumuskan daripada perkembangan terbaharu ini ialah bahawa, baik AS mahupun Israel, kedua-duanya bukanlah pihak yang boleh diharap untuk berunding bagi mencari jalan penyelesaian sebenar terhadap isu Palestin-Israel itu. 

Sebelum inipun, kita amat kecewa kerana di tengah-tengah dunia berharap untuk melihat apakah maksud Trump ketika menyatakan bahawa beliau akan membawa jalan penyelesaian terbaik bagi penyelesaian hubungan Palestin-Israel yang terbuntu sejak sekian lama itu, beliau secara tiba-tiba mengumumkan AS mengiktiraf Baitulmaqdis menjadi ibu negara Israel yang baharu dan akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis! 

Justeru apa yang boleh kita harapkan pada masa ini ialah resolusi tersebut akan disokong di sidang khas PBB yang dijadualkan pada 21 Disember nanti. Keputusan di sidang tersebut tidaklah mempunyai kuasa mengikat mana-mana pihak dari sudut pematuhan atau perlaksanaanya. Namun, ia sekurang-kurang akan dapat mengembelingkan sokongan negara-negara anggota dalam mencari jalan penyelesaian sebenar terhadap isu Palestin-Israel itu.

*****

No comments:

Post a Comment