Wednesday, February 23, 2022

DIARI KEHIDUPAN : ISLAMOFOBIA - GEJALA YANG TIDAK BERPENGHUJUNG

Poster yang menjadi isu hangat di Peranchis baru-baru ini

Masuknya tahun baharu 2022 tidak menjanjikan adanya tanda-tanda pembaikan dalam konteks pandangan buruk masyarakat bukan Islam terhadap Islam, atau apa yang sering disebut sebagai Islamofobia.

Baik di Barat seperti Amerika dan Eropah, membawalah ke negara-negara di rantau kejiranan kita, terutama India, gejala Islamofobia terus mengisi ruang kehidupan sesetengah masyarakat bukan Islam di negara-negara berkenaan - sama hebatnya dengan gejala virus COVID-19 yang kini menganggu kehidupan masyarakat dunia.

Di Amerika Syarikat (AS), penutupan tirai tahun 2021 dicemari oleh tindakan seorang anggota Kongres dari Parti Republikan,  Lauren Boebert, yang membuat komen yang tidak diundang terhadap Ilhan Omar, seorang wakil wanita Islam berketurunan Somalia dalam Kongres yang sama dengan melabelkan beliau sebagai mempunyai hubungan dengan pengganasan antarabangsa.

Berikutan itu, berpuluh-puluh kakitangan kongres Islam telah bangun mengecam tindakan wakil Republikan itu sambil mengatakan iklim Islamofobia semakin mempamirkan peningkatan di Capitol Hill dan telah mewujudkan "perasaan bimbang dan takut di kalangan masyarakat Islam di AS".

Dalam surat terbuka kepada kepimpinan Dewan Perwakilan AS pada hari Rabu, kumpulan itu berkata "retorik kebencian oleh pegawai awam secara langsung memberi kesan kepada kami dan membahayakan keselamatan kami, di tempat kerja dan dalam kehidupan seharian kami".

“Menyaksikan gangguan yang tidak terkawal terhadap salah seorang daripada hanya tiga ahli Kongres yang beragama Islam – dan satu-satunya ahli yang kuat memperjuangkan Islam (Ilhan Omar) – kami merasakan tempat kerja kami tidak selamat dan tidak dialu-alukan,” Demikian bunyi surat yang dikatakan telah ditandatangani oleh 62 kakitangan Muslim dan 378 kakitangan bersekutu di Dewan Kongress tersebut.

Insiden tercetus ekoran wujudnya paparan di Facebook yang menunjukkan Boebert, seorang anggota kongres Republikan pada satu acara umum yang turut dihadiri Ilhan Omar, menyatakan rasa lega beliau kerana Ilhan "tidak membawa beg galas dalam majlis tersebut", dalam merujuk kepada Ilhan Omar yang mungkin membawa bom. “Saya melihat ke kiri saya dan itu dia – Ilhan Omar. Dan saya berkata, 'Bagus, dia tidak mempunyai beg galas, kami sepatutnya selamat,'” kata Boebert dalam video itu sambil ketawa.

Episod itu adalah yang terbaru dalam beberapa siri serangan peribadi terhadap Ilhan Omar dan penggubal undang-undang Demokrat progresif lain, termasuk Perwakilan Rashida Tlaib, yang merupakan warga Amerika berketurunan Palestin.

Boebert dan beberapa anggota Republikan lain dikatakan secara berulang kali merujuk Ilhan Omar dan rakannya, Rashida Tlaib sebagai mempunyai perkaitan dengan "Skuad Jihad Islam". Kedua-dua mereka juga dikatakan sering menerima ancaman bunuh dari kumpulan fanatik Republikan.

Insiden yang dilaporkan di atas bukanlah merupakan satu-satunya gejala Islamofobia yang hangat diperkatakan berlaku di AS dalam sebulan dua ini. Pada penghujung Disember lalu, Majlis Perhubungan Islam - Amerika (Council on American-Islamic Relations - CAIR) membuat pendedahan yang agak mengejutkan mengenai apa yang dikatakan sebagai penyusupan perisik anti-Islam di beberapa buah masjid di AS sehingga menakutkan jemaah untuk hadir mengerjakan solat dan menghadiri upacara-upacara keagamaan yang lain.

CAIR dikatakan telah lama menyedari adanya pengintipan elemen anti-Islam itu, termasuklah ke atas pertubuhan tersebut dan telah mengambil beberapa tindakan susulan. Antaranya, memecatkan pegawai dan kakitangan yang didapati berkerjasama dengan elemen pengintipan. 

Dalam dua dekad sejak serangan 9/11, umat Islam Amerika telah menghadapi berbagai bentuk pengawasan dan diskriminasi termasuk larangan perjalanan dan penyertaan dalam aktiviti  sosial dan keagamaan. 

Sebagai contoh, antara tahun 2012 dan 2014, Jabatan Polis New York dikatakan telah mendedikasikan keseluruhan unit perisikannya untuk mengintip penduduk Islam di bandar itu. Menurut American Civil Liberties Union (ACLU), polis New York telah memetakan tempat tinggal penduduk New York yang beragama Islam, merekrut pemberi maklumat dari dalam masyarakat Islam, dan menempatkan masjid di bawah pengawasan keselamatan.

Kini, dengan tercetusnya insiden yang melibatkan CAIR, ianya telah memperbaharui kebimbangan di seluruh AS bahawa kehidupan warga Islam di negara itu pada masa ini menjadi semakin sukar dan dibayangi dengan ketakutan yang tidak menentu.

Di Eropah, dua buah negara telah dipetik sebagai mempamirkan tindakan yang berunsur Islamofobia dalam sebulan dua kebelakangan, iaitu Hungary dan Peranchis.

Di Hungary, beberapa pegawai dan pemimpin Islam Bosnia telah mengecam cadangan yang disuarakan oleh Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban,  bahawa integrasi Bosnia dan Herzegovina ke dalam Kesatuan Eropah akan mencabar kerana populasi Islam yang ramai di negara itu.

Jurucakap Orban dikatakan telah membuat tweet dengan memetik kebimbangan Orban bahawa "cabaran bagi Bosnia adalah bagaimana untuk mengintegrasikan negara dengan 2 juta umat Islam."

Populis sayap kanan Orban dalam kempen dan ceramah mereka berkata Hungary menyokong tawaran penyertaan Bosnia ke dalam EU, sambil menambah bahawa sebagai ahli EU, Hungary terpaksa mengerahkan banyak tenaga untuk mengatasi “karenah pembesaran yang mungkin menyukarkan Kesatuan Eropah” - kenyataan yang dipercayai merujuk kepada 2 juta umat Islam Bosnia yang mungkin boleh mendatangkan implikasi keselamatan terhadap mereka.

Reaksi di Bosnia terhadap kenyataan Orban itu adalah tajam dengan beberapa pihak meminta larangan dikenakan terhadap rancangan lawatan rasmi Orban ke Sarajevo. Sementara itu, ketua masyarakat Islam Bosnia, Mufti Besar Husein Kavazovic, menggelar kenyataan Orban itu sebagai "xenophobic dan perkauman."

Di Peranchis, gejala Islamofobia terjelma pada awal tahun ini berikutan adanya tindakan di pihak kerajaan negara itu untuk mengharamkan pemakaian hijab dalam setiap pertandingan sukan.

Senat Perancis dilaporkan telah mengundi menyokong pengharaman pemakaian tudung dalam pertandingan sukan, kecuali dengan alasan “ianya adalah satu keperluan dalam bidang permainan”.  Pindaan yang dicadangkan itu antara lain akan menetapkan bahawa pemakaian "simbol agama yang mudah dilihat adalah dilarang" untuk penyertaan dalam apa jua acara dan pertandingan yang dianjurkan oleh persekutuan sukan.

Undian itu dibuat setahun selepas penggubal undang-undang di dewan rendah Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang untuk mengukuhkan pengawasan masjid, sekolah dan kelab sukan dalam usaha untuk melindungi Perancis daripada "Islamis radikal" dan untuk menggalakkan "menghormati nilai Perancis".

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang peguam terkenal di Perancis dilaporkan telah mengkritik Kesatuan Eropah berhubung iklan acara Persidangan Masa Depan Eropah yang menampilkan seorang wanita Islam berhijab.

Thibault de Montbrial, yang juga merupakan penasihat kepada calon presiden kanan tengah Perancis, Valerie Pecresse, berkata penggunaan imej sedemikian untuk menggambarkan masa depan benua itu menyebabkan anda "terdiam".

“Ikhwanul Muslimin tidak berani mengimpikannya, orang-orang bodoh yang melakukannya. Bagi saya, saya akan berjuang sepenuh tenaga untuk mengelak masa depan sebegitu untuk Eropah,” kata belaiu di satu tweet.

Poster untuk acara yang dianjurkan EU itu dikatakan bertujuan untuk memberi peluang kepada warga EU menyatakan pendapat mereka tentang kemungkinan pembaharuan dasar dan institusi blok itu, termasuk seruan untuk "mendengarkan suara semua pihak" dan menyatakan  bahawa "masa depan EU adalah di tangan anda".

Di India,  sekurang-kurangnya tiga insiden berikut wajar diketengahkan bagi menunjukkan betapa gejala Islamofobia tidak pernah lekang daripada tubuh politik dan kehidupan rakyat awam di negara itu. 

Pertama,  insiden sekumpulan pelampau agama Hindu mengganggu jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat di sebuah bandar, Gurugram (dahulunya Gurgaon)  yang terletak di pinggir ibu negara India, New Delhi.

Dalam peristiwa yang berlaku pada minggu pertama Disember itu, sekumpulan fanatik agama Hindu dikatakan telah meletakkan berpuluh-puluh buah lori di salah satu tapak sembahyang di Gurugram, di negeri utara Haryana yang ditadbir oleh Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi. 

Ketika sekumpulan umat Islam tiba untuk solat berjemaah mingguan, sekumpulan lelaki Hindu mula melaungkan slogan agama, termasuk Hail Lord Ram, mencemuh para jemaah, dan mengatakan solat tidak dibenarkan - semuanya di hadapan kawalan keselamatan polis yang ketat.

Gurugram, bandar yang didiami 1.1 juta penduduk menurut bancian 2011, ialah hab kewangan dan teknologi di mana banyak syarikat multinasional mempunyai pejabat mereka. Kurang daripada 5 peratus penduduknya beragama Islam.

Menghadapi kekurangan masjid, umat Islam Gurugram telah menunaikan solat Jumaat di taman-taman dan tanah kosong selama bertahun-tahun dengan persetujuan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa. Kira-kira 100 tapak sedemikian telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, bantahan berterusan oleh kumpulan Hindu telah mengganggu solat Jumaat umat Islam di bandar itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini sehingga mendorong pegawai perbandaran untuk menarik balik kebenaran daripada kebanyakan tapak.

Sejak pertengahan September tahun lalu, kumpulan Hindu sayap kanan di bawah panji-panji Sanyukt Hindu Sangharsh Samiti (Jawatankuasa Perjuangan Hindu Bersama) telah mengganggu solat Jumaat di seluruh Gurugram, termasuk dengan menabur najis lembu di tapak sembahyang dan kadang-kadang dengan mengadakan upacara sembahyang Hindu di situ.

Insiden kedua, adalah berkaitan dengan penyebaran video yang menunjukkan pemimpin agama Hindu di India menyeru pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam sehingga menimbulkan keresahan dan ketakutan dalam kalangan umat Islam di beberapa negeri dan kawasan tertentu di negara itu.

Kandungan video tersebut dikatakan antara lain termasuklah gesaan agar orang ramai tidak perlu risau sekiranya terpaksa ke penjara semata-mata atas kesalahan membunuh orang Islam.

Ahli Parlimen Muslim terkemuka, Asaduddin Owaisi menulis tweet bahawa komen-komen yang menghasut dalam video itu adalah "kes jelas hasutan untuk pembunuhan beramai-ramai".

Lebih membimbangkan, kandungan video itu juga turut memuatkan kenyataan beberapa pemimpin agama Hindu yang secara terang-terangan menggesa  "pembersihan ke atas umat Islam India dilakukan oleh pihak berkuasa India sepertimana di Myanmar".

Insiden ketiga, yang tidak kurang mengandungi unsur Islamofobia ialah tindakan di pihak beberapa kerajaan negeri di India dalam menghalang gadis-gadis Islam yang memakai tudung daripada menghadiri kelas di beberapa buah kolej di India.

Salah satu insiden tersebut adalah kejadian yang berlaku di daerah Udupi di negeri Karnataka, India, di mana beberapa pelajar perempuan telah tidak dibenarkan memasuki kelas mereka dengan mendakwa mereka melanggar peraturan sekolah dengan memakai tudung yang bukan sebahagian daripada pakaian seragam.

Kumpulan pelajar berkenaan dilaporkan tetap dengan pendirian mereka dalam menentang perintah di pihak sekolah itu yang dikatakan mengamalkan "taktik tekanan" untuk memaksa mereka mengalah.

Peraturan serta tekanan yang dikenakan oleh pihak sekolah ini dikatakan telah mencetuskan kemarahan dan keresahan di kalangan ibu bapa pelajar perempuan Islam yang bimbang kerjaya anak mereka mungkin akan terjejas bilamana mereka tidak dapat mengikuti pengajian di dalam kelas sepertimana pelajar yang lain.

Kesemua ini, tidak dapat tidak, dapat memberi gambaran kepada kita bahawa gejala Islamofobia sebenarnya masih berterusan berlaku di merata tempat, baik di negara yang rapuh dari sudut jaminan perlindungan sosial dan kemanusiaan seperti India dan Myanmar, mahupun di negara-negara maju yang kononnya memperjuangkan hak-hak asasi kemanusiaan dan kesaksamaan sejagat seperti AS dan negara-negara Eropah. 

Pokoknya, di pihak kita, dalam mendepani gejala Islamofobia yang tidak pernah menampakkan tanda-tanda kepada pengakhirannya, kebijakan dan kematangan pemikiran haruslah digerakkan sebagai perisai utama bagi menangkis sebarang tanggapan mahupun tindakan buruk yang cuba dilakukan terhadap Islam atau penganutnya. Islam sendiri mengajar umatnya supaya sentiasa berlemah lembut dengan mereka yang cuba menyakiti kita, baik secara perkataan mahupun perbuatan selagi ianya tidak memudaratkan diri atau agama kita. 

Sejarah Islam sendiri menyaksikan bagaimana mereka yang dahulunya menghina Rasulullah SAW akhirnya ‘cair’ dengan kelembutan pekerti Rasulullah, lantas masuk Islam dan berjuang bersama Rasulullah dalam menegakkan Islam. Justeru, tidakkah kita mahu memanfaatkan kelebihan yang ada pada Islam itu sebagai “formula mujarab” untuk mendepani dan meredakan situasi merimaskan yang terjelma di sekeliling kita hari ini dalam apa yang disebut sebagai ‘Islamofobia’ itu?


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment