Tuesday, November 23, 2021

DIARI KEHIDUPAN XVI : KENALI SIAPA SEBENARNYA ETNIK UIGHUR

 

Sekumpulan pelarian Uighur mengadakan demonstrasi di Eropah

Pada penghujung tahun 2018, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya sejuta warga Uighur telah ditahan di "pusat anti-ekstremisme" di wilayah Xinjiang, China. Laporan itu juga mendedahkan bahawa dua juta lagi warga Uighur telah dipaksa masuk ke “kem pendidikan semula” untuk indoktrinasi politik dan budaya bermula pada pertengahan 2017. 

Penahanan, latihan secara paksa serta dakwaan penderaan di dalam kem-kem yang tertutup itu kemudiannya digambarkan oleh Amerika Syarikat dan banyak kumpulan hak asasi manusia antarabangsa sebagai satu bentuk penderaan dan pembunuhan beramai-ramai yang berunsurkan "jenayah terhadap kemanusiaan".

China telah menolak dakwaan itu dengan mengatakan dasarnya terhadap Uighur dan minoriti Islam lain yang tinggal di wilayah baratnya, adalah perlu untuk "melawan ekstremisme" dan untuk menggalakkan mobiliti ekonomi yang bakal meningkat bagi taraf hidup kumpulan etnik yang miskin.

Namun dokumen rahsia yang didedahkan oleh kumpulan hak asasi kemanusiaan telah mendedahkan "strategi yang disengajakan" untuk mengawal dan menekan etnik minoriti Uighur dan memadamkan bahasa serta cara hidup mereka.

Siapakah orang Uighur itu dan mengapa Beijing bertindak keras terhadap mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini?

Orang Uighur ialah kumpulan etnik minoriti yang kebanyakannya tinggal di wilayah autonomi Xinjiang di Republik Rakyat China. Kebanyakan mereka beragama Islam, mengamalkan cara hidup Islam selama berabad-abad dengan mewarisi  pengaruh agama dari nenek moyang mereka di Karakhanid, sebuah wilayah Turki yang memerintah Asia Tengah dari abad ke-9 hingga ke-13. Pada abad sebelumnya, orang Uighur dikatakan menganut agama lain termasuk Zoroastrianisme dan Buddhisme.

Menurut rekod rasmi China, terdapat 12 juta Uighur, mewakili hampir separuh penduduk di Xinjiang. Laporan terbaru yang diterbitkan oleh agensi berita Xinhua memetik diplomat tertinggi China, Wang Yi, sebagai berkata bahawa populasi meningkat daripada 5.5 juta kepada 12 juta dalam tempoh 40 tahun yang lalu.

Kongres Uighur Sedunia, sekumpulan orang buangan Uighur yang memperjuangkan hak asasi manusia di tanah air mereka, meletakkan jumlah mereka kira-kira 20 juta yang tinggal di dalam dan di luar China. 

Xinjiang: Sempadan baharu

Kebanyakan orang Uighur di China tinggal di wilayah yang dipanggil Xinjiang, istilah Cina yang bermaksud "sempadan baharu" atau "tanah sempadan". Ini disebabkan lokasinya di sepanjang Jalan Sutera purba, Xinjiang mempunyai sejarah panjang penghijrahan silang oleh kumpulan minoriti yang berbeza.

Di China, ia secara rasmi dirujuk sebagai Wilayah Autonomi Uighur (XUAR) Xinjiang sejak 1955. Kumpulan etnik lain termasuk Cina Han, Kazakh, Kyrgyz, Mongol, Tajik, Uzbek dan Tatar juga tinggal di kawasan itu.

Terletak di barat laut jauh China, Xinjiang meliputi lebih daripada 1.6 juta km persegi (617,763 batu persegi) setanding dengan Iran dari segi keluasan tanah. Ia adalah wilayah terbesar di China dan membentuk kira-kira satu perenam daripada keseluruhan kawasan tanah negara. Ia kaya dengan minyak dan gas asli serta mempunyai keindahan semula jadi yang mampu menarik kedatangan pelancong dan pengusaha industri filem antarabangsa.

Pada tahun 1933, Turkestan Timur yang merdeka telah diisytiharkan secara ringkas oleh majoriti Uighur ketika itu, tetapi sempadannya tidak dapat diselesaikan dan tenteranya tidak lama kemudian dikalahkan oleh Cina nasionalis yang dipimpin oleh Chiang Kai-shek.

Sebuah republik Turkestan Timur kedua telah diisytiharkan pada tahun 1944 dengan sokongan Soviet. Tetapi pada tahun 1949, pemerintah Komunis baharu China yang telah mengalahkan Chiang dalam perang saudara telah mengilhakkan wilayah itu dengan persetujuan Joseph Stalin, pemimpin Soviet ketika itu, sekaligus menamatkan impian orang Uighur untuk mendapatkan tanah air yang merdeka.

Beijing menegaskan ia mempunyai tuntutan purba ke Xinjiang - sejak 206BC - dan menganggapnya sebagai "bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari negara China".

Uighur tidak bersetuju dengan mengatakan bahawa sempadan di wilayah itu telah dilukis semula. Uighur mendakwa selama berabad-abad, mereka bergantung kepada kuasa dominan, termasuk Mongol dan Karakhanid Turki. Uighur di luar negara juga mengatakan bahawa agama, bahasa dan amalan budaya mereka dengan jelas membezakan Xinjiang daripada seluruh China.

Sejak tahun 1949, apabila tentera komunis Mao Zedong menguasai Xinjiang, penghijrahan keluar telah meningkat dengan ketara, dengan orang Uighur meninggalkan wilayah itu untuk melarikan diri dari penindasan politik dan agama, yang membawa kepada penurunan beransur-ansur populasi mereka yang dahulunya majoriti.

Gelombang penghijrahan lain berlaku semasa kebuluran besar pada tahun 1950-an dan 60-an, diikuti oleh Revolusi Kebudayaan berdarah Mao, yang menyaksikan ramai intelektual Islam Uighur telah dibunuh.

Beratus-ratus ribu orang Uighur dan kumpulan minoriti Islam lain akhirnya melarikan diri ke negara jiran Asia Tengah, termasuk Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan. Yang lain melarikan diri ke Afghanistan dan Turki.

Berikutan ketegangan politik yang diperbaharui dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beribu-ribu pelarian melarikan diri ke Eropah, manakala lebih daripada 1,000 akhirnya berjaya menyeberangi Atlantik ke Amerika Syarikat. 

Sementara itu, berjuta-juta orang Cina Han mula menetap di Xinjiang dengan galakan Beijing, dan mereka kini membentuk kumpulan etnik kedua terbesar di rantau ini, melemahkan penguasaan penduduk Uighur di tanah air mereka sendiri dan mewujudkan sumber ketegangan baharu.

Pada masa yang sama, pemerhati hak asasi manusia juga menuduh Beijing melancarkan dasar kawalan kelahiran yang menyasarkan Uighur dan kumpulan minoriti lain, bertujuan untuk mengurangkan antara 2.6 - 4.5 juta kelahiran dalam tempoh 20 tahun.

'Helah perang melawan keganasan'

Pada awal 2017, sejurus sebelum tangkapan besar-besaran dan program pendidikan semula dilancarkan oleh Beijing, Zhu Hailun, ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Politik dan Undang-undang Parti Komunis Xinjiang, dipetik sebagai berkata bahawa dengan "penumbuk kuat" kerajaan, "semua aktiviti pemisah dan semua pengganas akan dihancurkan" di Xinjiang.

Beberapa bulan kemudian, tindakan keras yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Uighur bermula. Presiden China Xi Jinping juga telah berkata pada 2017 bahawa semua agama di negara itu harus mempunyai orientasi Cina selaras dengan dasar penyatuan beliau.

Puncak hubungan yang tegang itu, kata para ulama, adalah keinginan orang Uighur untuk memiliki wilayah sendiri yang beridentitikan Islam - sesuatu yang sangat bercanggah dengan keazaman China untuk mengenakan kawalan penuh ke atas Xinjiang dan penduduknya, termasuk cara beribadat, berapa ramai anak yang sepatutnya mereka miliki, dan apa yang mereka patut makan. 

Berikutan wujudnya pertembungan kepentingan seperti itu, ketegangan dengan mudah terbina dari semasa ke semasa, kadang-kadang meletus menjadi keganasan.

Pada 1990-an, terdapat serangan yang dikaitkan dengan Pergerakan Islam Turkestan Timur (ETIM), sebuah kumpulan yang menyokong keganasan untuk mewujudkan sebuah negara bebas Turkestan Timur bagi menggantikan Xinjiang.

Pada Februari 1997, ratusan penunjuk perasaan aman didakwa ditembak mati oleh askar China dalam apa yang kini dipanggil oleh Uighur sebagai pembunuhan beramai-ramai Gulja, merujuk kepada bandar berhampiran sempadan dengan Kazakhstan.

Serangan 9/11 ke atas New York dan apa yang dipanggil "perang menentang keganasan" AS yang menjangkau dari Iraq ke Afghanistan dan Pakistan, yang sebahagiannya bersempadan dengan Xinjiang, akhirnya menyebabkan Beijing melancarkan kempennya sendiri menentang "ekstremisme" yang menyasarkan Uighur, memanggil mana-mana protes di rantau ini satu tindakan "separatisme".

Di ibu kota wilayah, Urumqi, ramai orang Uighur dilaporkan terbunuh pada tahun 2009 dalam pertempuran yang dicetuskan oleh Beijing ke atas Uighur. Kemudian pada Julai 2011 pertempuran antara Uighur dan Cina Han di bandar purba Kashgar membunuh 14 orang dan mencederakan 40 yang lain.

Tindakan keras Beijing secara beransur-ansur menjadi lebih sengit apabila aktivis Uighur, malah ulama, dilabelkan sebagai "pengganas" Muslim dan dilemparkan ke dalam penjara. Ada di antara mereka telah dijatuhkan hukuman mati secara tergesa-gesa dan tanpa proses perbicaraan sewajarnya. Sementara itu, warga Uighur yang telah melancong atau sedia berada lama di luar negara dan kemudian kembali ke China, disyaki mempromosikan pandangan "melampau", justeru ditahan dan disoal siasat.

Kehidupan semasa di Xinjiang

Amnesty International dalam laporannya pada pertengahan tahun ini telah menyifatkan kehidupan di Xinjiang sebagai "alam neraka yang dibina", dengan bekas tahanan mendedahkan penyeksaan dan pencabulan hak-hak asasi lain dilakukan secara berleluasa "dalam usaha untuk secara paksa menanamkan pegangan fahaman kepada pembinaan sebuah negara sekular yang homogen" mengikut cita-cita negara itu yang diterajui Parti Komunis China.

Pengawasan ke atas pergerakan etnik Uighur dan etnik Islam yang lain di Xinjiang juga dipertingkatkan kebelakangan ini dengan kamera pengawasan dipasang di merata tempat khususnya di bandar-bandar besar seperti ibu kota, Urumqi, menjadikannya mustahil bagi wartawan untuk bercakap dengan orang Uighur, tanpa mereka berisiko mungkin ditangkap.

Laporan 2019 oleh Human Rights Watch (HRW) pula berkata kerajaan menggunakan aplikasi mudah alih untuk menyimpan data Uighur dan Muslim Turki yang lain, untuk memantau pergerakan mereka melalui pengecaman muka. Matlamatnya  adalah "untuk mengenal pasti corak, serta meramalkan kehidupan seharian dan rintangan" penduduk Xinjiang " dan akhirnya untuk merekayasa dan mengawal realiti". 

Dengan menggunakan teknologi itu juga, setiap penduduk Xinjiang  “ditandakan” (flag) berdasarkan hubungan mereka, komunikasi mereka, sejarah perjalanan mereka, atau kerana mempunyai kaitan dengan seseorang yang dianggap mencurigakan oleh pihak berkuasa, kata HRW.

Terdapat juga laporan mengenai kerajaan melarang umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan, atau wanita bertudung dan lelaki memanjangkan janggut. Lebih meruntun jiwa apabila terdapat laporan mengatakan ada tahanan Islam di dalam “kem-kem pemulihan” dipaksa makan daging babi bertujuan mencabar pegangan agama mereka.

Pada tahun 2020, penyiasatan yang dijalankan oleh Institut Dasar Strategik Australia (ASPI), menggunakan imej satelit dan laporan darat, turut mendedahkan "ribuan masjid" di wilayah Xinjiang sama ada telah rosak atau musnah dalam masa tiga tahun sahaja.

Penafian China

China telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan sebarang unsur penyalahgunaan lain dengan menegaskan bahawa dasar Xi Jinping terhadap Uighur adalah bertujuan untuk "menangani ekstremisme", sambil memberi kemahiran kepada minoriti untuk menjadi lebih boleh bekerja dan menyumbang kepada ekonomi.

Dalam temu bual sebelumnya dengan Al Jazeera, Einar Tangen, seorang penganalisis politik yang menasihati kerajaan China, memberitahu Al Jazeera bahawa Beijing menganggap pendidikan semula dan latihan sebagai langkah yang perlu untuk menangani kemiskinan. Dalam temu bual lain dengan Al Jazeera, Tangen berkata keadaan ekonomi di Xinjiang telah "meningkat secara mendadak selama bertahun-tahun" dan penduduk di sana lebih baik.

Dalam artikel baru-baru ini yang diterbitkan oleh Xinhua, kerajaan China berkata programnya menentang "ekstremisme" di Xinjiang adalah mematuhi "prinsip dan semangat beberapa siri resolusi memerangi keganasan antarabangsa, termasuk Strategi Anti-Keganasan Global PBB".

Kerajaan China juga, dari semasa ke semasa, mengeluarkan laporan serta data-data berkaitan kes-kes pengganasan yang dikatakan menurun dengan banyak, juga data-data ekonomi yang dikaitkan sebagai data peningkatan taraf hidup etnik Uighur sejak kerajaan mewujudkan beberapa dasar baharu terhadap mereka.

Kebelakangan ini sudah ada beberapa buah negara Islam “menerima” hujah-hujah yang dibawa oleh China berkaitan pengurusan mereka terhadap aspek kehidupan etnik Uighur. Hujah-hujah tersebut telah diperkuatkan dengan menggunakan penunjuk-penunjuk ekonomi dan keselamatan sebagai bukti berjayanya dasar-dasar yang dilakukan oleh kerajaan pusat terhadap etnik Uighur. 

Berikutan itu juga, sudah ada pemimpin negara Islam yang bangun menyatakan persetujuan mereka terhadap apa yang telah dan bakal dilakukan oleh China dengan menyifatkan apa yang dilakukan itu adalah demi kebaikan etnik Uighur dan generasi mereka pada masa depan.

Kita yang jauh di sini hanya mampu berserah akan kebenarannya kepada yang Maha Mencipta. Laporan yang dibuat oleh kumpulan hak asasi etnik Uighur, juga badan-badan hak asasi manusia antarabangsa, hingga ke detik-detik terakhir ini, menyatakan sebaliknya. Kita juga amat berharap kebenaran akan terserlah jua akhirnya, khususnya apabila badan-badan hak asasi antarabangsa seperti HRW berjaya membawa kes mereka ke peringkat pengadilan dunia untuk membuktikan bahawa penderaan dan jenayah “pembunuhan beramai-ramai” (genosid) berlaku di kem-kem tahanan etnik Uighur di China.


Wallahu ‘alam (MMO)

* Artikel dipetik, diterjemah dan disesuaikan dari Al-Jazeera



No comments:

Post a Comment