Wednesday, August 18, 2021

DIARI KEHIDUPAN XXIII : MASJIDIL AQSA KIAN TERDEDAH KEPADA ANCAMAN DAN KEMUSNAHAN ISRAEL

 


Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam. Ia juga adalah salah satu masjid yang sangat digalakkan oleh Nabi SAW untuk diziarahi dan menunaikan solat di situ. 

Dalam hubungan ini, Abu Sa’id Al-Khudri meriwayatkan, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak boleh bermusafir melainkan menuju ke tiga buah masjid: Masjid Al-Haram (Makkah), Al-Masjid Al-Aqsa dan masjid daku ini (Masjid Nabawi).”

Kelebihan Masjid Al-Aqsa terlihat jelas disebut dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ia adalah destinasi terakhir Nabi SAW sebelum Nabi SAW diangkat ke langit bertemu Allah SWT. Allah berfirman dalam Surah Al-Israq, ayat 1 yang maksudnya:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sebahagian Ahli Tafsir menyebut bahawa Masjid Al-Aqsa adalah binaan kedua yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS setelah Kaabah. Perkara ini dijelaskan oleh Sheikh Tahir Ibn ‘Asyur dalam tafsir beliau.

Di samping itu, Al-Masjid Al-Aqsa sangat berkait rapat dengan sejarah para Nabi terdahulu yang diutuskan oleh Allah SWT. Ia dianggap sebagai kawasan suci umat Islam. Oleh itu, Al-Quran menggelarkan Palestin sebagai tanah yang suci (Al-Ardh Al-Muqaddasah). 

Justeru, Al-Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan dan keistimewaan di mata dan hati umat Islam. Ia bukan sahaja berkait dengan akidah bahkan ia dianggap kawasan suci umat Islam. Justeru, sebarang usaha untuk mencemarkan kesucian Al-Masjid Al-Aqsa adalah merupakan satu perbuatan yang tidak dapat diterima, malah boleh mengguris dan membakar kemarahan umat Islam.

Dalam konteks ini, kita terpanggil untuk mendedahkan seribu satu tindakan dan ancaman yang menodai kesucian Masjid Al-Aqsa dan kawasan suci di sekitarnya, baik di pihak berkuasa Israel, mahupun rakyatnya yang saban hari cuba mencemari kawasan masjid ini dengan pelbagai tindakan yang amat wajar dikecam dan dituntut supaya dihentikan. 

Berikut adalah di antara beberapa peristiwa pencemaran yang dilakukan oleh rejim Israel serta rakyatnya ke atas Masjid al-Aqsa dalam tempoh tiga bulan kebelakangan untuk kita tatapi dengan penuh keinsafan dan memasang tekad untuk membantu baik dengan apa jua cara yang termampu kita lakukan.

3 Mei 2021   :   Puluhan pendatang menceroboh Masjid Al-Aqsa

Puluhan pendatang menyerbu dataran Masjid Al-Aqsa dengan perlindungan polis. Jabatan Waqaf Islam di Baitulmuqaddis melaporkan bahawa 134 pendatang termasuk 95 pelajar Yahudi dan 2 pegawai perisik memecah masuk Masjid Al-Aqsa pada waktu pagi. Ia menyatakan bahawa kumpulan pendatang itu melakukan ritual Talmud yang di dataran masjid.

4 Mei 2021   :   Perkarangan Al-Aqsa Terus Dicemari

Masjid Al-Aqsa terus-terusan diserbu puluhan peneroka haram Yahudi dari arah Gerbang Magharabi dengan perlindungan polis Israel pada Isnin. Jabatan Wakaf Al-Aqsa melaporkan, 79 peserta termasuk 20 penuntut institusi ekstrimis agama, melakukan upacara Talmud selain lawatan provokasi sekitar Al-Aqsa sebelum meninggalkan kawasan berkenaan melalui Gerbang Al-Silsila.  

6 Mei 2021   :   Perkarangan Al-Aqsa Terus Dicemari

Masjid Al-Aqsa terus-terusan diserbu puluhan peneroka haram Yahudi dari arah Gerbang Magharabi dengan perlindungan polis Israel pada Isnin. Jabatan Wakaf Al-Aqsa melaporkan, 79 peserta termasuk 20 penuntut institusi ekstrimis agama, melakukan upacara Talmud selain lawatan provokasi sekitar Al-Aqsa sebelum meninggalkan kawasan berkenaan melalui Gerbang Al-Silsila.  

6 Mei 2021   :   Polis Israel serang jemaah sedang bersolat di Pintu Gerbang Asbat Di al-Quds

Polis Israel menyerang sejumlah jamaah yang ingin menunaikan solat berdekatan pintu Asbat di Quds di jalan menuju masuk Masjid Al-Aqsa. Para saksi melaporkan polis Israel telah menahan sejumlah jamaah dengan mereka diperiksa ketika mereka masuk untuk melaksanakan solat. Keadaaan ini terjadi dalam suasana serangan Zionis yang sedang berlangsung terhadap warga Palestin di al-Quds yang meningkat frekuensinya sejak awal bulan Ramadhan.

12 Mei 2021   :  Polis menahan warga yang cedera, menghalang ratusan daripada dipindahkan

Bulan Sabit Palestin berkata, ratusan warga Palestin cedera, sebahagiannya serius, ketika serangan ganas oleh polis rejim ke atas Masjid Aqsa, yang bermula pada pagi Isnin. Kru Bulan Sabit berjaya memindahkan setakat ini sebanyak lebih 175 warga yang cedera ke pusat perubatan lapangan dan hospital di Baitulmuqaddis. Manakala polis rejim masih menghalang memindahkan mereka yang cedera. Kumpulan-kumpulan perubatan turut melaporkan sekurang-kurangnya 13 warga Palestin mengalami kecederaan mata yang serius ketika serangan. 

14 Mei 2021   :   Sabri seru tunai solat di halaman Al-Aqsa

Pendakwah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrema Sabri, menyeru setiap rakyat Palestin yang mampu sampai ke Al-Aqsa untuk menunaikan solat Aidilfitri dan menghadiri khutbah Jumaat di halaman masjid Al-Aqsa. Beliau turut memuji penduduk di Semenanjung Gaza sambil menggambarkan mereka sebagai “tabah dan sabar”, serta berdoa untuk para syahid dan berharap agar diberikan kesembuhan bagi yang cedera.

19 Mei 2021   :   Peneroka haram cemari Asbat, kawasan perkuburan Amud di luar Masjid al-Aqsa

Beberapa peneroka haram yahudi telah membuat provokasi dalam bentuk tarian dan upacara yahudi di hadapan tembok utara Masjid Al-Aqsa, di kawasan berhampiran pintu al-Asbat. Mereka berarak di kawasan itu setelah polis rejim Zionis menghalang mereka beberapa hari sebelum ini dari memasuki Masjid Al-Aqsa, kerana risau tentang kebangkitan rakyat Palestin mempertahanakan kesucian tanah suci Islam dan Jerusalem. Gambar yang ditularkan di media sosial Palestin memaparkan peneroka haram menari di kawasan al-Ghazali di depan pintu Asbat.

21 Mei 2021   :   Polis Israel serbu dataran Al-Aqsa

Polis Israel dikatakan telah menyerbu dataran Masjid Al-Aqsa selepas selesai solat Jumaat. Dalam kejadian itu, warga Palestin telah cedera akibat tembakan peluru bersalut getah manakala puluhan lagi mengalami masalah pernafasan. Sumber tempatan menyatakan bahawa polis rejim menyerbu masjid, memanjat bumbung dewan solat Al-Qibli, menyerang para pengunjung Muslim, dan melepaskan tembakan bom tangan dan peluru bersalut getah ke arah mereka di dataran Dome of the Rock dan dekat pintu Al-Asbat dan Al-Silsilah.

25 Mei 2021   :   Polis Israel serbu laman al-Aqsa, tahan pengunjung Muslim

Berpuluh anggota polis Israel menyerbu masuk ke laman dalam masjid al-Aqsa pada waktu Subuh hari Ahad dan menyerang jemaah Muslim. Saksi menambah polis penceroboh menahan beberapa pemuda selepas memukul mereka semasa mereka menuju ke masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat manakala yang lain dirawat kerana lebam. Sementara itu, sumber tempatan berkata bahawa polis Israel menahan setiausaha pergerakan Fatah di Baitulmuqaddis, Shadi Mutour, dan lagi pemuda selepas menyerbu kediaman mereka.

26 Mei 2021   :   Polis Israel usir lapan wanita Baitulmuqaddis dari al-Aqsa

Polis Israel mengeluarkan satu arahan melarang beberapa wanita Baitulmuqaddis daripada memasuki masjid al-Aqsa, di kemuncak gangguan ke atas pengunjung Muslim di tapak suci itu. Menurut sumber tempatan, polis Israel mengusir lapan wanita Baitulmuqaddis dari masjid al-Aqsa selama seminggu dan mengarahkan mereka untuk kembali semula pada minggu hadapan untuk menerima arahan sama yang melarang mereka daripada memasuki tapak suci itu selama enam bulan. Polis Israel turut memanggil lebih sepuluh wanita Baitulmuqaddis untuk soal siasat selepas mereka meninggalkan masjid al-Aqsa dan menahan mereka selama beberapa jam di balai polis Qishla di Kota Lama.

1 Jun 2021   :   Puluhan Peneroka Cemari Masjid Al-Aqsa

Puluhan peneroka Yahudi, termasuk Menteri Perumahan Israel Yaakov Litzman, mencemarkan Masjid Al-Aqsa di bawah kawalan polis pada pagi Ahad. Menurut sumber setempat, lebih 70 orang peneroka memasuki masjid itu melalui Pintu al- Maghariba dan mengelilingi halamannya di bawah perlindungan polis. Polis Israel menutup Pintu al-Maghariba, yang digunakan oleh orang Yahudi untuk memasuki masjid pada jam 10:30 pagi setelah para peneroka melengkapkan lawatan pagi mereka di tempat suci itu. Pintu yang sama dibuka semula untuk lawatan oleh peneroka pada sebelah petang.

6 Jun 2021   :   Puluhan Peneroka Pecah Masuk Laman Al-Aqsa

Puluhan peneroka Yahudi telah menyerbu halaman Masjid Al-Aqsa dan melakukan ritual Talmud di bawah perlindungan polis Israel pada pagi Selasa. Sumber Jerusalem melaporkan 52 orang peneroka telah mencemari Masjid Al-Aqsa secara berkumpulan dari Gerbang Magharabi dan membuat kunjungan provokatif di halamannya sebelum keluar melalui Bab Al-Silsila. Sumber-sumber tersebut menjelaskan bahawa polis Israel mengawal serangan peneroka terbabit, ketika mereka dikerah untuk berada di halaman masjid, pintu gerbang dan jalan masuk.

9 Jun 2021   :   Masjid Aqsa dicemari penjajah Yahudi

Peneroka Yahudi telah menyerbu masuk ke Masjid Al-Aqsa pada pagi Ahad melalui gerbang Magharabi di bawah perlindungan polis Israel. Pusat Maklumat Wadi Al-Hilweh mengatakan dalam satu kenyataan ringkas bahawa seramai 68 orang peneroka Yahudi masuk ke dalam masjid dan melakukan lawatan provokatif di dalam masjid dan kawasan sekitar sebelum meninggalkannya melalui gerbang al-Silsilah. Rentetan itu, polis Zionis turut mengenakan sekatan kemasukan kepada jamaah Muslim ke dalam masjid Al-Aqsa dan memeriksa kad pengenalan mereka di pintu gerbang utama.

11 Jun 2021   :   Penceroboh Yahudi serbu al-Aqsa

Penceroboh Yahudi meneruskan kedatangan mereka di halaman masjid al-Aqsa pada hari Ahad dari pintu Magharabi di bawah perlindungan polis Israel.  Sumber Baitulmuqaddis melaporkan bahawa berpuluh penceroboh mencemar masjid al-Aqsa, melakukan lawatan bersifat provokatif di halamannya dan melaksanakan ritual Talmud. Sejak 2003, polis Israel telah membenarkan penceroboh masuk ke dalam masjid suci itu melalui pintu Magharabi di tembok barat masjid al-Aqsa sementara pada masa yang sama, mengenakan sekatan masuk ke masjid itu ke atas warga Palestin.

14 Jun 2021   :   Lebih 130 penceroboh menyerbu halaman al-Aqsa

Berpuluh orang penceroboh Yahudi menyerbu halaman masjid suci al-Aqsa di bawah perlindungan polis Israel pada pagi hari Rabu. Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis yang diduduki berkata 78 orang penceroboh dan 60 orang pelajar Yahudi mencemar masjid al-Aqsa, menambah bahawa mereka masuk dari Pintu Magharabi dan mengadakan lawatan yang provokatif. Ia menambah bahawa kumpulan penceroboh itu mendapat penerangan mengenai kuil Yahudi di situ.

15 Jun 2021   :   Berpuluh penceroboh mencemar masjid Aqsa

Berpuluh penceroboh Yahudi pada pagi Ahad mencemari masjid al-Aqsa di bahagian Baitulmuqaddis yang diduduki. Sekurang-kurangnya 58 orang penceroboh, termasuk pelajar institusi keagamaan, memasuki masjid itu dalam kumpulan melalui Pintu Maghariba dan melawat halamannya di bawah perlindungan polis, menurut sumber tempatan. Masjid al-Aqsa terdedah pada setiap hari kepada pencemaran oleh penceroboh Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan tengah hari kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.

16 Jun 2021   :   Hamas seru sertai perarakan besar-besar untuk Masjidil Aqsa dan Baitulmaqdis

Pergerakan Hamas menyeru penduduk Baitulmaqdis supaya menyertai  perhimpunan besar-besaran pada hari Selasa di perkarangan Masjidil Aqsa dan di sepanjang jalan di Kota Suci Baitulmaqdis bagi tujuan menghalang pihak pelampau Yahudi dari mengadakan  perarakan  mengibar bendera Israel yang disifatkan sebagai provokatif dan berniat jahat. Pihak penganjur perarakan kibar bendera Palestin itu menyatakan telah mencapai kata sepakat dengan pihak polis Israel pada hari Jumaat lalu yang membenarkan mereka mengadakan perarakan itu  pada hari Selasa ini.

17 Jun 2021   :   Penceroboh, rabbi Glick mengunjungi al-Aqsa

Sekumpulan penceroboh Yahudi dan rabbi berhaluan kanan Yehuda Glick mengunjungi masjid al-Aqsa pada pagi hari Selasa, di tengah-tengah langkah keselamatan ketat di kota suci itu untuk menjamin keselamatan perarakan bendera terkenal yang akan dilancarkan oleh pelampau Yahudi pada hari ini. Seperti kebiasaan, penceroboh memasuki masjid berkenaan dalam beberapa kumpulan berbeza dan melawat halamannya di bawah pengawasan polis. Sumber tempatan berkata sekurang-kurangnya 54 orang penceroboh termasuk Glick, mengunjungi masjid itu pada waktu pagi.

22 Jun 2021   :   Peneroka haram cemari Masjid Al Aqsa di bawah pengawasan polis

Berpuluh-puluh peneroka Yahudi pada pagi Isnin lalu telah mencemari Masjid Al Aqsa. Menurut sumber tempatan, sekurang-kurangnya 59 peneroka memasuki Masjid secara berkumpulan melalui Pintu Maghariba dan mengadakan lawatan di sekitar pekarangannya di bawah pengawasan polis. Masjid Al Aqsa setiap hari terdedah kepada pencemaran oleh peneroka Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan petang kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu. Polis Israel menutup Pintu al-Maghariba, yang digunakan oleh orang Yahudi untuk memasuki Masjid, pada pukul 10:30 pagi setelah para peneroka haram menyelesaikan lawatan pagi mereka di tempat suci tersebut. Pada sebelah petang, pintu yang sama dibuka semula untuk lawatan petang oleh peneroka haram. Semasa kehadiran peneroka di perkarangan Masjid, sekatan masuk dikenakan ke atas jemaah Islam di pintu masuk yang menuju ke Masjid dan kad pengenalan mereka dirampas sehingga mereka meninggalkan tempat suci berkenaan.

4  Julai 2021   :   Lebih 120 peneroka cemari Aqsa di bawah kawalan Polis

Puluhan peneroka Yahudi telah mencemari Masjid Al-Aqsa di Jerusalem di bawah kawalan polis pada pagi Rabu. 122 peneroka, termasuk pemimpin agama Yehuda Glick dan 60 pelajar institusi agama, memasuki masjid secara berkumpulan melalui Pintu Maghariba dan mengelilingi halamannya, menurut sumber setempat. Sebilangan peneroka juga dilaporkan melakukan sembahyang Yahudi semasa mereka berada di laman suci Islam itu.

8 Julai 2021   :   Gerombolan peneroka haram mencemari Masjid Al-Aqsa

Segerombolan peneroka pelampau haram Yahudi dengan iringan rejim polis Zionis mencemari Masjid Al-Aqsa di kawasan penaklukan Jerusalem pada pagi Ahad. Menurut sumber tempatan, 64 peneroka haram memasuki kawasan Masjid dalam kumpulan melalui pintu Maghariba dan mencerobohi kawasan perkarangan dengan perlindungan polis rejim Zionis. Beberapa peneroka haram dilaporkan menjalankan upacara yahudi ketika dalam pencerobohan mereka di kawasan suci umat Islam.

14 Julai 2021   :   Lebih 60 penceroboh mencemari masjid al-Aqsa

Segerombolan pelampau penceroboh Yahudi pada pagi hari Isnin menodai Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis yang diduduki. Menurut sumber tempatan, 63 orang penceroboh memasuki masjid itu dalam satu kumpulan melalui pintu al-Maghariba dan melawat halamannya dengan diiringi pihak polis. Sebahagian penceroboh dilihat enunaikan sembahyang mengikut ajaran Yahudi di bahagian timur tapak suci Islam itu.

18 Julai 2021   :   Puluhan peneroka cemari Masjid Al-Aqsa 

Sekumpulan peneroka Yahudi mencemari Masjid Al-Aqsa di Jerusalem pada pagi Khamis. Menurut Pentadbiran Islam Awqaf, puluhan peneroka itu memasuki masjid secara berkumpulan melalui Pintu al-Maghariba dan mengelilingi halamannya di bawah perlindungan polis. Sementara itu, tokoh-tokoh Baitulmuqaddis mendesak para Muslimin dari Jerusalem dan wilayah 1948 yang diduduki untuk meningkatkan kehadiran mereka di Masjidil Aqsa pada hari- hari yang akan datang, terutamanya pada 18 Julai, untuk melindungi tempat suci mereka dari pecah masuk secara besar-besaran oleh para peneroka. 

23 Julai 2021   :   Lebih 1,200 peneroka haram cemari Masjid Al Aqsa

Polis penjajah Israel pada pagi Ahad lalu telah menyerang para jemaah Muslim dan membenarkan ratusan peneroka haram Yahudi mencemari Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis untuk meraikan apa yang mereka gelar sebagai ulang tahun pemusnahan kuil. Menurut sumber tempatan, polis Israel menutup Gerbang Bab al-Maghariba di Masjid setelah sekurang-kurangnya 1,230 peneroka, termasuk rabi kanan, melawat halamannya secara berkumpulan dari pukul 7:30 hingga 11:00 pagi. Beberapa peneroka menjalankan upacara Talmud dan menyanyikan lagu kebangsaan Israel di perkarangan Masjid.Peneroka juga dilihat berkumpul dan menunaikan upacara keagamaan di gerbang dan pintu-pintu masuk Masjid.

23 Julai 2021   :   Sheikh Sabri beri amaran tentang usaha Israel untuk mengawal Masjid Aqsa

Sheikh Ekrima Sabri, Ketua Majlis Tertinggi Islam di Baitulmuqaddis, memberi amaran bahawa rejim zionis ingin mengawal Masjid Aqsa dan tempat-tempat Islam di sekitarnya. Dalam kenyataan akhbar, Sheikh Sabri mengutuk kejadian pecah masuk besar-besaran ke atas Masjid Aqsa pada pagi Ahad sebagai ‘pencerobohan tempat suci dan hari-hari suci Islam’. Beliau menggesa masyarakat Palestin untuk berarak ke Masjid Aqsa bagi mempertahankannya, dan menyeru rejim agar belajar daripada konfrontasi lepas.

23 Julai 2021   :   Awqaf mengutuk tindakan kekerasan rejim Zionis Israel ke atas Al-Aqsa

Pergerakan Palestin Awqaf dan Perhubungan Agama pada hari Ahad mengutuk pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh peneroka haram yahudi yang menjalankan upacara keagamaan untuk memperingati ulang tahun kemusnahan kuil. Hossam Abu al-Rub, Setiausaha Pergerakan itu menegaskan pencerobohan harian telah mensasarkan kemerdekaan Masjid Al-Aqsa, di mana ianya bertukar kepada pencabulan sistematik dalam usaha mengawal dan menyahudikan Masjid atau sebahagian kawasannya. Abu al-Rub menerangkan kempeon neo Israel, yang sering memutar belitkan fakta dan dan mengamalkan sikap perkauman dan permusuhan yang ketat terhadap penduduk sekitar Baitulmaqdis dengan tujuan untuk mencapai matlamat dan agenda mereka bagi menguasai tanah suci Masjid Al-Aqsa.

Rumusan:

Melihat kepada pattern pencerobohan dan juga gerak laku pihak berkuasa Israel di Masjid Al-Aqsa sejak beberapa bulan lalu, berikut adalah antara beberapa rumusan dapat dibuat terhadap strategi Yahudi bagi mengawal dan seterusnya mengambil alih masjid tersebut dari tangan umat Islam Palestin;

i)  Menggalakkan dan melindungi kemasukan penceroboh Yahudi ke dalam dan ke kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa dengan tujuan untuk menimbulkan tanggapan umum bahawa Masjid Al-Aqsa adalah kepunyaan umat Yahudi.

ii) Menggalakkan kemasukan pemimpin-pemimpin agama Yahudi ke Masjid Al-Aqsa dengan tujuan yang sama.

iii) Membina dan merubah struktur kawasan Masjidil Aqsa bagi menimbulkan pemandangan ala-Yahudinisasi dan merosakkan tanda-tanda sejarah yang berkait dengan hubungan Masjid Al-Aqsa dengan sejarah Islam.

iv) Menyukarkan kehadiran jemaah Islam Palestin untuk menunaikan solat di dalam Masjid Al-Aqsa dengan pelbagai cara terutama dengan menggunakan peraturan kepolisan yang sengaja diadakan-adakan dan disalahgunakan. Tujuannya adalah untuk mengurangkan kehadiran jemaah Islam dan kalau boleh, menyekat langsung kunjungan mereka ke masjid berkenaan.

v) Menggenakan bebagai peraturan yang menyusahkan terhadap jemaah Islam Palestin bagi tujuan yang sama seperti di atas. 

vi) Menimbulkan suasana tidak tenteram di persekitaran Masjid Al-Aqsa bagi membolehkan polis Israel sentiasa dapat mengawal ketat kehadiran jemaah ke masjid berkenaan. Dalam beberapa kejadian, pihak polis Israel sengaja melaksanakan kekerasan senjata, termasuk dengan menyerang jemaah dan menahan mereka dengan dakwaan tidak berasas dengan tujuan menakutkan jemaah lain daripada memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa.

vii) Pihak polis melaksanakan tindakan yang berpihak kepada Yahudi apabila berlaku perselisihan dengan penduduk Palestin. Terbaru, menggenakan denda kewangan kepada jemaah Islam yang membantah kemasukan penceroboh Palestin dengan alasan mereka tidak memakai penutup muka.

viii) Aktivist dan ahli politik ekstrim Yahudi terus menuntut bahawa Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya adalah milik Yahudi kerana di situlah asas tapak Masjid Nabi Sulaiman (yang mereka agungkan sebagai pembawa agama Yahudi..Nauzubillah!)

Isu yang berlaku di Palestin dan ke atas Masjid Al-Aqsa, jelasnya, bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh dan disepikan, malah sebaliknya perlu diberikan perhatian khusus oleh semua pihak, baik kerajaan, rakyat jelata khususnya umat Islam, dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Kelalaian umat Islam terhadap isu yang berlaku di Palestin cuma boleh mengundang pihak Israel untuk dengan mudah nanti menguasai Masjid Al-Aqsa. Justeru, pihak-pihak yang cuba mencemarkan kesucian Al-Aqsa wajib dikecam dan diambil tindakan, termasuk melalui pelbagai forum dan platform di peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, tiada lagi pilihan bagi seluruh dunia Islam selain dari bersatu kekuatan tenaga dan wang ringgit bagi menentang kedurjanaan Israel terhadap Palestin dan masjid suci Al-Aqsa.

Sejarah Palestin dan Masjid Al-Aqsa harus sentiasa didendangkan. Anak-anak bangsa perlu diperingatkan tentang sejarah tanah suci ini. Jika ini tidak berupaya dilakukan, kelak kita jangan menyesal apabila melihat isu Palestin akan dipandang sepi oleh umat Islam satu hari nanti. Semoga Allah menyelamatkan Palestin dan Masjid Al-Aqsa daripada terus berada dalam cengkaman dan penguasaan Zionis Israel. 

Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment