Thursday, February 8, 2018

KABINET BARU: HARAPAN KEBAWAH DYMM ADALAH HARAPAN RAKYAT


Tanggungjawab 

Pada 07 Februari 2018/21 Jamadilakhir 1439 baru lalu, Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan titah sempena Persidangan Khas Jemaah Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri baru di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

Kalau titah sebelum ini berkisar kepada soal keadilan dan kezaliman, maka intipati titah kali ini adalah berkait tanggungjawab. Baginda mengingatkan agar “pasukan kabinet dan pegawai-pegawai berkenaan akan dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan lebih baik tanpa membawa masalah-masalah yang tidak munasabah dan yang menjejaskan perlaksanaan pentadbiran Kerajaan  Beta”, demikian titah baginda.

Pada umumnya, titah ini merupkan satu penilaian prestasi, terhadap beberapa buah kementerian/sektor kerajaan sama ada secara khusus atau tidak. Antara tumpuan teguran secara langsung adalah agensi berkaitan sektor ekonomi, pembangunan, pertanian, industri dan tenaga, tenaga manusia, kesihatan, pendidikan dan agama, perhubungan, pelancongan, belia dan sukan, serta luar negeri. 

Open appraisal sedemikian boleh ditafsirkan sebagai rasa tidak puas hati baginda terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh sektor-sektor berkenaan yang mungkin jauh daripada mencapai sasaran atau KPI yang ditetapkan atau yang baginda harapkan.

Sebenarnya persoalan prestasi yang meleset ini seringkali dibangkitkan oleh NDP, terutamanya dalam ucapan dasar presiden saban tahun. Walau bagaimana pun, adalah menjadi harapan kita, agar pemadulian dan teguran baginda tidak dilihat dengan mata kayu dan didengar dengan telinga kuali oleh mereka yang berkenaan. 

Masaalah Implementasi Bukan Perancangan 

Apa yang kita fahami daripada titah baginda itu, bahawa  kemelut yang dihadapi oleh Negara dan  yang menjadi kebimbangan baginda itu berkisar pada soal pelaksanaan dan implementasi perancangan yang lemah, bukannya masalah perancangan itu sendiri. Betapa tidaknya, segala rancangan pembangunan telah didokumentasikan dengan penuh teliti seperti yang dapat dilihat dalam RKN dan Wawasan 2035.

Kita yakin situasi ini berpunca daripada sikap agensi berkenaan yang tidak meletakkan tanggungjawab dan sikap pemedulian  di tahap yang tinggi  kepada “their most important client”, iaitu rakyat sebagai stake holder yang paling utama. Mungkin juga hal ini ada kaitan dengan tahap jatidiri yang rendah.

Selama ini setengah mereka yang diberikan amanah begitu selesa dengan kedudukan masing-masing, justeru sama ada mereka menunjukkan presatasi yang baik atau pun sebaliknya bukan menjadi masalah kepada mereka sehingga ianya seperti terbudaya dalam komuniti ini.

Hal ini berakar umbi kerana sistem pemerintahan tidak memberikan kuasa untuk rakyat menukar mana-mana pemimpin yang tidak sensitif kepada keperluan rakyat dan kehendak Kebawah DYMM sendiri. 

M.I.B. Perlu Tafsiran Operational 

Kebawah DYMM juga  menyentuh mengenai konsep Melayu Islam Beraja - M.I.B dan mencabar mereka yang mempertikainya. Baginda bertitah  “Yakinlah, barangsiapa yang mempertikai M.I.B., mereka itu bukan purih Brunei atau tidak berjiwa Brunei”, demikian tegas baginda.

Sebagai rakyat kita mendukung sepenuhnya falsafah negara ini, tetapi kita berpendapat ianya perlu kepada tafsiran berupa pengisian yang substantif bukannya yang semata bersifat luaran. Selama ini kita lihat penekanan M.I.B banyak berkisar kepada soal ritualistik yang kelihatannya gah tetapi lompong pada rohnya.

Dalam apa jua keadaan, kita hendaklah berpegang pada hakikat bahawa,  di dalam konsep M.I.B ini, Islam adalah teras yang unggul menjadi teraju dan neraca kepada dua elemen Melayu dan Beraja. Ringkasnya, apa jua tindakan yang diambil demi kepentingan Melayu atau Beraja mestilah menepati acuan Islam kerana tiada yang lebih baik dan adil selain dari syariat Islam. 

Darajat MMN Perlu Diangkat 

Apa yang kita perhatikan, sudah 34 tahun amalam sistem pengurusan negara sedia terpakai ini seperti gagal berperanan sewajarnya untuk membawa rakyat dan Negara ke aras yang lebih maju, justeru Kebawah DYMM sendiri, dalam banyak perkara seringkali menzahirkan kekecewaan baginda melalui titah dan tindakan baginda.

Justeru, kita melihat sudah tiba masanya darajat Majlis Mesyuarat Negera(MMN) itu diangkat ke satu aras yang benar-benar boleh memainkan peranannya secara efektif dalam pengurusan Negara. Ke arah itu, mekanisma yang kita nampak ialah  dengan membuka sedikit ruang untuk membolehkan rakyat sama-sama berkongsi kuasa atau berpatisipasi di dalam kerajaan melalui sistem berperwakilan yang sah.

Dengan wujudnya MMN yang dinaik taraf ke aras sebuah parlimen yang berwibawa,  maka akan dapatlah ditubuhkan berberapa jawatankuasa  terpilih atau select committee yang dianggotai ahli parlimen tadi bagi memantau perlaksanaan dasar dan prestasi kementaerian-kementerian yang diwujudkan. Kaedah ini terpakai pada Westminster System of Parlimentary Democracy yang terbukti  amat membantu kelancaran tugasan sebuah parlimen. 

Institusi Kabinet Yang Efektif 

Demikian juga, dengan mempunyai anggota-anggota kabinet yang berwibawa dari kalangan anggota parlimen yang dipilih rakyat itu, maka dengan sendirinya akan meringankan beban tugasan Kebawah DYMM yang banyak terbeban dengan jawatan yang dipegang kerana apa jua dasar dan keputusan yang diputuskan oleh kabinet adalah dipertanggung jawabkan secara kolektif oleh seluruh jamaah menteri.

Antara lain perkataan, Institusi Kabinet, sebagai badan tertinggi yang bersidang tiap minggu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, pastinya dapat menghurai dan merungkai apa jua kemelut dan masalah yang dihadapi oleh Menteri Kabinet atau Kementeriannya pada jangka waktu yang munasabah tanpa perlu didedahkan kepada orang ramai. Justeru tidak payah menunggu ikan sudah buntu baru hendak “menyiangi”. 

Izinkan kita menyatakan pendirian bahawa, sudah sampai masanya Brunei mempunyai sebuah Parlimen dan Kabinet yang mempunyai digniti dan intergeriti bagi membantu Kebawah DYMM di dalam mengurus dan mentadbir Negara menuju Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafuur.  

Wallahua’lam.(MMO).

*******

Wednesday, February 7, 2018

STRATEGI PERCATURAN CHINA DALAM ISU ROHINGYA

 
Penduduk Rohingya lari meninggalkan kampung halaman mereka yang dibakar oleh tentera Myanmar

Setelah menampakkan pendirian yang jelas berpihak kepada rejim tentera Myanmar, China akhirnya mulai menyertai arus perdana antarabangsa bagi menggesa Myanmar agar berkerjasama ke arah mencari penyelesaian isu Rohingya yang berlanjutan sejak sekian lama. 

Menerusi kenyataan yang dibuat oleh wakil China di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada penghujung tahun lalu, China mengambil nada yang berbeza daripada sebelumnya apabila menyertai Majlis Keselamatan PBB untuk menzahirkan kebimbangan mengenai laporan kekejaman tentera Myanmar di Ra­khine dan menggesa supaya langkah segera diambil untuk menamatkannya.

China, malah, menggesa supaya gencatan senjata di Rakhine dilakukan bagi membolehkan pelarian Rohingya dapat pulang dari Bangladesh. Cina juga mengesyorkan supaya rundingan antara Myanmar dan Bangladesh diadakan bagi tujuan membawa pulang pelarian, dan menjalin kerjasama bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap nasib pelarian Rohingya yang pulang.

Namun, dunia, khususnya sebahagian besar negara Islam tidak lupa akan sikap dan pendirian China ketika mana kekacauan yang ditimbulkan oleh tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya berada di kemuncaknya.

Ketika itu, China secara terang-terangan menyokong tindak-tanduk tentera Myanmar dalam menggempur dan melaksanakan kekerasan ke atas pejuang dan orang awam etnik Rohingya. China mempertahankan tindakan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya itu sebagai bertujuan untuk menegakkan keamanan dan kestabilan di negeri Rakhine. China juga mengutuk serangan ganas yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Rohingya di Rakhine sambil mengesyorkan masyarakat antarabangsa agar menyokong usaha Myanmar dalam menjaga keamanan dan kestabilan pembangunan nasionalnya.

Terdapat dalam kalangan penganalisis politik antarabangsa yang berpandangan pendirian awal China itu bekemungkinan didorong oleh sekurang-kurangnya dua faktor. 

Pertama, China juga memiliki masalah yang serupa dengan Myanmar dalam berhadapan dengan ancaman daripada sekurang-kurangnya dua kumpulan. Pertama, kumpulan pemisah minoriti Islam di Xinjiang, dan kedua, kumpulan pemisah minoriti Buddha di Tibet. 

Penindasan yang dilakukan oleh China ke atas kedua-dua kumpulan etnik ini sama buruknya dengan apa yang dilakukan oleh rejim tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya. Justeru, sekiranya China mengutuk Myanmar berhubung isu Rohingya, Cina bimbang ia mungkin boleh menjadi ‘precedence’ kepada negara itu sendiri supaya tidak melakukan hal yang serupa ke atas kedua-dua kumpulan etnik tersebut. Ini suatu perkara yang tidak diingini oleh China. Justeru, China mahu tak mahu, terpaksa menyatakan pendirian menyokong tindakan rejim Myanmar itu walaupun menyedari tindakannya itu sebenarnya bercanggah dengan kehendak majoriti masyarakat antarabangsa.

Kedua, terdapat maklumat bahawa China mempunyai kepentingan perniagaan yang semakin besar di Myanmar. Sejumlah perusahaan mega China dikatakan sedang giat dibangunkan di wilayah luar pantai (offshore) negara itu terutama di Rakhine. Perusahaan tersebut adalah China National Offshore Oil Corporation (CNOOC), PetroChina, dan China National Petroleum Corporation (CNPC).

Maklumat ini selari dengan perdedahan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin pejuang Rohingya bahawa sebahagian besar kampung halaman mereka telah dirampas oleh pihak berkuasa untuk dijadikan kawasan industri. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ada kemungkinan penindasan dan kekejaman sengaja dilakukan ke atas etnik Rohingya supaya mereka meninggalkan kampung halaman masing-masing. Dengan itu ia akan membuka laluan bagi junta tentera untuk mengambilalih tanah-tanah berkenaan bagi tujuan ekonomi dan perindustrian tanpa perlu membayar apa-apa pampasan kepada etnik Rohingya.

Selain dua faktor di atas, terdapat satu lagi pandangan yang tidak kurang pentingnya dalam menjelaskan mengapa China mengambil berpendirian menyokong Myanmar dalam isu Rohingya itu.

Pandangan itu adalah berkait dengan isu hak asasi manusia. China dikatakan secara diam-diam menyetujui adanya pelanggaran hak asasi manusia di Rakhine kerana bimbang Amerika Syarikat akan memanfaatkan suasana yang berlaku di Myanmar itu  bagi memengaruhi negara-negara Asia yang lain dengan menggunakan platform hak asasi manusia. Jika ini berlaku, China bimbang kedudukan hak asasi manusia di negara itu yang tercemar kelak mungkin boleh mengundang negara itu untuk berada di bawah telunjuk Amerika.

Justeru, bertitik tolak daripada beberapa perhitungan itulah, China, walaupun menyedari tindakannya ‘menongkah arus’ dengan pendirian antarabangsa berhubung isu Rohingya, mempertahankan pendirian negara itu dalam menyokong tindakan tentera Myanmar dalam mengenakan kekerasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

Namun kini, mungkin setelah menyedari bahawa pendiriannya itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipertahankan, lebih-lebih lagi setelah melihat dunia antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) sendiri semakin komited dalam mencari penyelesaian isu Rohingya, China akhirnya membuat ‘Pusingan U’ untuk sama-sama menyertai usaha antarabangsa dalam mencari penyelesaian isu Rohingya.

Sedikit mengenai sejarah hubungan Myanmar
dengan China dan Amerika Syarikat

Selama dua dekad sehingga 2011, Myanmar dipinggirkan oleh Barat, terutama Amerika Syarikat yang menentang pemerintah junta tentera negara itu. Sepanjang tempoh itu, China menjadi sekutu dan penaung kepada Myanmar, memberi sokongan politik dan melabur berbilion dolar dalam pelbagai projek terutama melibatkan sumber asli. 

Walau bagaimanapun pergantungan ini boleh menghadkan potensi perkembangan ekonomi Myanmar yang mempunyai banyak kelebihan termasuk dari sudut kedudukan geografi dan sumber alam. Pada masa yang sama, selepas dua dekad di bawah pengaruh China, Myanmar menyedari kelebihan dimilikinya, lantas cuba bergerak ke arah memulihkan status antarabangsanya.

Pada tahun 2011, perubahan besar berlaku di Myanmar berikutan keputusan pemerintah untuk menjadikan negara itu lebih demokratik. Myanmar mula berubah daripada pemerintahan tentera kepada pemerintahan campuran awam dan tentera – suatu perubahan yang menyumbang kepada pemulihan hubungan Myanmar-Barat, khususnya dengan AS. Perkembangan ini telah dimanfaatkan oleh Myanmar untuk mengimbangi pengaruh kedua-dua kuasa besar AS dan China, sekaligus cuba mengurangkan pergantungan kepada China. 

Kedudukan geografi Myanmar di antara China di sebelah timur laut dan Teluk Bengal dan Lautan Hindi di sebelah barat dayanya menjadikan Myanmar satu laluan penting kepada China. China setakat ini telah berjaya dalam kerjasama dengan Pakistan dengan satu projek utamanya, pelabuhan Gwadar di pesisir Laut Arab berhampiran Teluk Parsi telah mula beroperasi. 

Kedudukan geografi kedua-dua Pakistan dan Myanmar mempunyai kepentingan bukan sahaja dari segi perdagangan tetapi juga keperluan ketenteraan kepada China. Myanmar, selain itu, turut menjadi benteng bagi China untuk memantau India di sebelah barat yang turut membuat pelaburan bernilai berbilion dollar di Myanmar. Pemantauan tersebut tidak sahaja terhad dari sudut saingan ekonomi dan perdagangan, malah menjangkau kepada aspek strategik dan ketenteraan.

Kedudukan geografi dan sumber ekonomi yang ada pada Myanmar ini menjadi satu faktor penting mendorong AS berusaha menghakis pengaruh China di Myanmar dan cuba membina hubungan lebih baik dengan negara itu. Bagaimanapun, pihak tentera yang berpengaruh masih mengekalkan hubungan baik dengan China. Suu Kyi sendiri menyedari keperluan menjaga hubungan dengan kedua-dua Beijing dan Washington, yang dikunjungi beberapa bulan lalu untuk mengukuhkan hubungan. Beliau melawat kedua-dua Beijing dan Washington dalam satu tempoh yang singkat – pada Ogos (Beijing) dan September (Washington) – bertujuan mengelakkan daripada persepsi mengabaikan mana-mana pihak, sekali gus dapat memberi gambaran terhadap kepentingan kedua-dua kuasa itu kepada Myanmar.

Hal ini menjelaskan kenapa tidak ada pihak yang bertindak tegas terhadap kekejaman dan genosid yang dilakukan pemerintah dan pelampau Buddha di Myanmar terhadap etnik Rohingya. Sejauh ini tidak ada usaha yang konkerit daripada kedua-dua pihak untuk mencegah tindakan kejam pemerintah Myanmar ke atas etnik Rohingya yang kini sedang dalam fasa terbaru penghapusan etnik. Kuasa-kuasa terbabit seolah-olah tidak mahu menjejaskan hubungan dengan pemerintah Myanmar, yang kini melalui dasar luar barunya yang mempunyai kelebihan dalam menangani pengaruh kuasa-kuasa besar termasuk AS dan China.

Asean pula berterusan selesa dengan prinsip tidak mahu terlibat dalam politik dalaman negara jiran yang menjadi anggota. Akibatnya keadaan menjadi semakin parah, berikutan tiadanya sebarang tindakan tegas baik dari kalangan negara berpengaruh mahupun negara-negara jiran yang sepatutnya bangun mengatur langkah untuk membantu. 


Wallahua'lam (MMO).

*****

Sunday, February 4, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (Bahagian V)

                                         
Tugu Peringatan Churchill

Kisah Yang Belum Terungkap

Datuk A.M. Azahari bernama Sheikh Abdul Hamid Al Idruce berasal dari Thaif, Arab Saudi dan bermastautin di Hadramaut, Yamen. Beliau datang ke Brunei pada awal tahun 1880-an sebagai da’e. Sheikh Abdul Hamid Al Idruce berkahwin dengan Dayang Aishah binti Awang Bujang bin Awang Abu Bakar yang beranakkan Sheikh Mahmud (ayahanda A.M.Azahari). Sheikh Abdul Hamid Al Idruce adalah generasi sezaman dengan Sultan Hashim Jalilul ‘Alam Aqamaddin (1885-1906).

Setibanya di Brunei, Sheikh Abdul Hamid Al Idruce mengadap Sultan Hashim lalu diberi tugas dakwah dan menjadi penasihat ugama Islam kepada baginda. Sheikh Abdul Hamid Al Idruce tinggal menentap di Pulau Kaingaran, pulau seluas 18 ekar yang terletak di kuala Sungai Brunei. Di situlah tempat beliau mengasingkan diri dari hirok pikok pekan Brunei, lalu pulau itu disebut pulau “Kaingaran” yang membawa maksud tempat lari dari  “kebisingan”.

Perang Pulau Cermin

Kedudukan Pulau Kaingaran adalah bertentangan dengan Pulau Cermin yang jaraknya lebih kurang satu kilometer. Pulau Cermin yang bersejarah itu pula menjadi saksi bahawa  Brunei pernah bersultan dua, gara-gara perebutan tahta di kalangan kerabat diraja antara Sultan Abdul Mubin dan Pengiran Bendahara Mahyiddin.

Berikutan perang saudara itu, sebahagian wilayah Brunei di Sabah telah dipertaruhkan oleh Pengiran Bendahara Muhyiddin, bagi mendapat sokongan Betara Sulu untuk menumpaskan Sultan Abdul Mubin. Perang saudara antara  kerabat diraja ini berlarutan selama 14 tahun  iaitu dari TM 1660 hingga TM 1674. Puncanya hanya kerana kalah bersabung ayam. Baya hubaya, jangan  suka  bersabung ayam kelak negara terjual lagi.

Apabila Pengiran Bendahara Muhyiddin berjaya mengalahkan seterunya Sultan Abdul Mubin maka Pengiran Bendahara Mahyiddin pun diangkat menjadi Sultan (1673-1690). Seperti dalam kisah Pak Pandir, menang sorak kampong tergadai. Baginda telah membayar harga kemenangannya dengan menyerahkan sebahagian wilayah Brunei di Sabah termasuk daerah Kimanis ke tangan Betara Sulu seperti janji pertaruhan.

Menentang Egenda Pernaungan Penjajah

Di tahun-tahun 1884 - 1905, Limbang , Tutong dan Belait iaitu wilayah tadbir Brunei ketika itu sedang diancam oleh pemberontakan penduduk tempatan kerana menentang kezaliman juak-juak istana ke atas penduduk tempatan. Pemberontakan di Limbang dipimpin Datu Klassie dan isterinya sementara pemberontakan di Tutong dan Belait dipimpin oleh Datu Digadong dan Datu Kallam.    

Berikutan kegawatan itu, pihak British telah menawarkan perlindungan kepada Brunei, tetapi cadangan British itu ditentang oleh Sheikh Abdul Hamid Al Idruce.  “Kenapa Tuanku mau berlindung dengan orang kapir sedangkan pemerintahan Islam masih ada”. Demikian tegas Sheikh Abdul Hamid Al Idruce menolak cadangan British untuk menanungi Brunei seperti yang diceritakan Sheikh Mahmud dari generasi ke generasi.

Nasihat terakhir Sheikh Abdul Hamid Al Idruce  sebagai da’e dan penasihat  kepada Sultan Hashim, “jangan sekali-kali Tuanku benarkan Brunei bernaung di bawah kuasa kafir”. Atas pendirian keras beliau itulah dia berkira-kira untuk berangkat ke Turki pada  awal tahun 1905 untuk mendaptkan perlindungan ke atas Brunei dari Kerajaan Turki yang diperintah oleh Sultan Abdul Hamid Khan, khalifah terakhir kerajaan Uthmaniah ketika itu.

Sultan Hashim bersetuju atas cadangan Sheikh Abdul Hamid Al Idruce untuk mendapatkan perlindungan dari Kerajaan Islam Turki. Dengan membekalkan sepucuk warkah, baginda menitahkan Sheikh Abdul Hamid Al Idruce untuk pergi ke Turki mengadap Sultan Abdul Hamid Khan bagi  merundingkan pernaungan Brunei di bawah kesultanan Turki.






Tanda Kasih Seorang Raja

Sebelum Sheikh Abdul Hamid Al Idruce berangkat ke Turki, Sultan Hashim telah melafazkan akad menghadiahkan Pulau Kaingaran  kepada Sheikh Abdul Hamid Al Idruce sebagai tanda kasih di atas persahabatan mereka yang akrab itu.

Demikian itulah cara baginda Sultan Hashim menzahirkan penghargaan kepada warganya yang setia berbakti kepada baginda dan negeri. Sebaliknya, ada juga pemerintah di dunia Islam tidak suka mendekati orang alim lagi ikhlas dan berterus terang, malah sering terjadi susu dibalas tuba (racun).



Ketika hendak berangkat itu, (Pehin Udana Laila) Awang bin Haji Hanafi yang berkahwin dengan ibu saudara Sheikh Mahmud bernama Dayang Aminah binti Burut telah diberi amanah sebagai pemegang amanah ke atas Pulau Kaingaran, kerana Sheikh Mahmud ketika itu masih belum  cukup dewasa.

Malang tidak berbau, Sheikh Abdul Hamid Al Idruce mangkat di Pulau Labuan (kini menjadi sebahagian Malaysia), dipersinggahan pertamanya dalam pelayaran menuju Turki. Keluarga A.M. Azahari percaya kemangkatan Sheikh Abdul Hamid Al Idruce adalah bersebab terminum racun. Seperti kemangkatan mengejut Sultan Ahmad Tajuddin, kemangkatan Sheikh Abdul Hamid Al Idruce ini juga suatu yang misteri, menimbulkan tanda tanya yang belum terjawab hingga sekarang. 

Hari ini, geran Pulau Kaingaran yang dikeluarkan pada tahun 1913  masih atas nama zuriat Sheikh Abdul Hamid Al Idruce, iaitu Malai Marhari binti Sheikh Mahmud, Sheikh Nikman bin Sheikh Mahmud dan Sheikh Adenan bin Sheikh Mohamad bin Sheikh Mahmud sebagai pemegang amanah keluarga.  




Sheikh Mahmud Bin Sheikh Abdul Hamid.

Sheikh Mahmud (ayahanda A.M. Azahari) lahir di Pulau Labuan pada tahun 1889 tetapi, Pulau Labuan dalam sejarah dan pendirian politik A.M. Azahari tetap milik Brunei kerana Pulau Labuan sememangnya bahagian wilayah Brunei yang telah dirampas oleh penjajah British pada tahun 1846. 

Ketika Sheikh Mahmud dilahirkan di pulau itu, Labuan bagaikan masih di bawah pemerintahan Brunei. Pedagang dan pengalu berulang alik dari Brunei ke Pulau Labuan sejauh 40  batu tanpa sebarang sekatan dan keperluan pas perjalanan. 

Tidak lama selepas dilahirkan di Pulau Labuan, Sheikh Mahmud dibawa pulang ke Pulau Kaingaran dan dibesarkan di Pulau itu. Kekanda A.M. Azahari, Malai Marhani dan Sheikh Nikman telah dilahirkan di Pulau Kaingaran itu. Dua orang saudara Sheikh Mahmud bernama Syarifah Noor dan Sheikh Ubaid meninggal dunia di Pulau Kaingaran dan di makamkan di Pulau Cermin. 

Sheikh Mahmud tidak pernah menetap di mana-mana di luar Brunei, malah beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Tanah selama 36 tahun dengan pihak berkuasa British di Brunei ketika itu.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1961 di “Rumah Besar”, Kampong Padang Lama,  Pekan Brunei, rumah di mana A.M. Azahari dilahirkan oleh ibunya bernama Dayang  Rafiah binti Hj Ibrahim pada tahun 1928. “Rumah Besar” itu juga merupakan Markaz pertama PRB pada tahun 1956. 




Pada akhir tahun 1960-an, kerajaan Brunei telah mengambil rumah dan tanah berkenaan untuk membina sebuah tugu peringatan Churchill bagi memperingati mendiang Perdana Menteri British tersebut yang didakwa banyak berjasa kepada Brunei.

Protes Senyap Pelajar

Di tahun 1973 - 1975 wujud beberapa kumplan baru gerakan pelajar yang anti penjajah British dan salah satu kumpulan pelajar tersebut dipelopori  oleh Sdra, Yunos Haji Momin, Mohamad Zabidi Mohamad Daud, Shaari Akim, Zaini Razali dan Haji Saneh bin Haji Jaafar. 

“Panglima” gerakan “Kumpulan Yunos Haji Momin” ialah Bung Asnan Othman sebagai mentor, mempunyai lebih 50 orang anggota kesemuanya terdiri dari pelajar Maktab Sultan Omar Ali Saifuddein (SOASC). Kumpulan pelajar ini rata-rata bereumur 17-18 tahun.

Pelajar dari aliran ugama juga aktif bergerak menyuntik semangat anti penjajahan British di kalangan pelajar aliran ugama dipimpin oleh Sdra Mahdi H.M. Suhaili. Antara kegiatan mereka ialah  menyebar risalah dan  poster anti penjajahan.

Apabila pihak Polis Cawangan Khas Brunei dapat mengesan bahawa ada sekumpulan pelajar berkira-kira untuk meruntuhkan patung Churchill tersebut, maka serta merta, tugu peringatan Churchill tersebut dibongkar dan disorokkan ke dalam sebuah stor kerajaan. Tapak itu kini dibangunkan pula Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja.

Kemudiannya, pada awal tahun 1974, seramai 32 orang daripada anggota “Kumpulan Yunos Haji Momin”  melarikan diri ke perbatasan Sarawak, Malaysia dan menggabungkan diri dengan Parti Rakyat Brunei (PRB) yang ketika itu berpangkalan di Kuala Lumpur.

Saksi Hidup

Yang terkilannya, mengapa sejarah dan sumbangan Sheikh Abdul Hamid Al Idruce seperti disembunyikan, walhal di antara ramai alim ulama Brunei di zamannya, Sheikh Abdul Hamid Al Idruce yang paling dekat dengan Sultan sehingga dikurniakan sebuah pulau, anugraha yang besar maknanya yang  mungkin tidak pernah dianugerahkan seumpamanya oleh seorang Sultan Brunei  kepada hamba rakyatnya yang lain.

Pulau Kaingaran adalah saksi hidup, betapa datuk A.M.Azahari, seorang ulama dan pendakwah pernah memberikan kesetiaannya kepada Sultan dan negeri Brunei. Setitik darah setia dan pengorbanan datuknya kepada sultan dan watannya itulah yang mengalir ditubuh A.M. Azahari. 


Takdir telah menentukan bahawa  kedua nenda dan cucunda ini menghembuskan nafas terakhir mereka semasa di perantauan ketika misi perjuangan masing-masing belum selesai. Walaupun perjuangan kedua mereka mungkin dilihat gagal pada pandangan manusia, namun belum tentu ia dipandang gagal oleh Allah SWT. 

Wallahua’alam (MMO).
*******