Sunday, December 31, 2017

Petikan Buku Kecil, “Transkrip Temu Bual Dr. Pramudya Ardanta Taufik dan Pramoedya Ananta Toer Bersama A.M. Azahari Mahmud, Ketua Umum Parti Rakyat Brunei (PRB): Satu Pencerahan” (Bhg 6 - 10)


 BAHAGIAN 6

Mengadap Sultan

AMAZ : (Dua hari kemudian) kira-kira jam 11 pagi, saya dapat surat undangan dari Manila, (dari Filipina) oleh Mr. Osmena[1], yang menuntut Sabah. Kan ada tu claim Filipina atas Sabah, iaitu yang dituntut oleh (melalui) Kiram Corporation.[2]

AMAZ: Kiram Corporation itu adalah terdiri daripada Princess Tarhata dari puterinya Kesultanan Sulu dan Sultan Kiram.

PAT: Sultan Kiram dari mana?

AMAZ: Sulu, adik-beradik dengan Princess Tarhata.

AMAZ: Sesudah saya balik dari Kuala Lumpur, Malaya (pada hari saya menerima surat dari Mr. Osmena), kebetulan (pada pagi yang sama) dapat titah dari Seri Paduka Baginda Sultan Omar Ali Saifuddien untuk saya datang mengadap ke istana jam dua.

PAT: Jam dua, kapan itu?

AMAZ: Tahun 62 itu.

PAT: Bulan? (akhir Oktober 1962) Sebelum pemilu? (pemilu 30 Ogos 1962)

AMAZ: Yang menelefon itu Encik Abas (bin Ibrahim), Abas iaitu adjutan baginda (Setiausaha Sulit Sultan).

PAT: Masih hidup?

AMAZ: (Beliau masih hidup). Dia menelefon ke kantor saya, Pekan Brunei. Kerana dia itu kawan sekolah saya dari kecil, jadi kita berbicara dalam telefon pun berbanyol-banyol. Saya diminta mengadap ke istana jam dua. Oklah saya bilang.

AMAZ: Jam dua saya pun mengadap. Diterima (disambut) oleh Seri Paduka Baginda yang sekarang ini (Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah), waktu itu Putera Mahkota (Pengiran Muda Mahkota).

PAT: Waktu itu umur berapa?

AMAZ: Kira-kira 16 atau 15.[3] Masih muda betul, masih anak-anak.
AMAZ: Begitu saya punya mobil masuk ke tempat parkir mobil…

PAT: Di mana waktu itu?

AMAZ: Di Istana Darul Hana. Di bukit.

AMAZ: Bukan Nurul Iman?

AMAZ: Bukan Nurul Iman, itu baru. Begitu saya turun dari mobil, saya masuk ke dalam. Dibukakan saja mobil oleh penjaga.

AMAZ: Begitu saya (masuk), baginda (Pengiran Muda Mahkota, Seri Paduka Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah sekarang) sudah di pintu. Saya pun cium tangan, kita adat Brunei kena cinta kepada (baginda) kita menghormati (Raja). Saya cium tangan, baginda pun bertitah, “silakan, ayahanda sudah menunggu di atas.”

AMAZ: Dengan bagindalah saya berjalan bersama-sama ke atas. Kerana istana itu dua tingkat.

AMAZ: Sampai ke atas, baginda pun bukakan pintu kepada saya, silakan katanya (ayahanda) sudah menunggu. Begitu saya masuk melangkah, Seri Paduka Baginda (Sultan Omar Ali Saifuddein) sedang duduk di depan.

AMAZ: Begitu saya masuk baginda pun berdiri, saya pun datang untuk cium tangan. Dia memanggil saya sahabat beta, “silakan sahabat beta.” Saya pun duduk dan secara tertib mengadap raja.

AMAZ: Baginda pun bertanya, “sahabat beta, beta dengar sahabat beta diundang, dijemput ke Kuala Lumpur oleh Tunku. Apa benarkah itu?”

AMAZ: Saya menjawab secara rakyat, “daulat tuanku, benar patik dijemput ke Kuala Lumpur bertemu dengan Tunku Abdul Rahman.”

AMAZ: (Baginda bertitah). “Kalau boleh beta tahu, apa yang (dirundingkan)...”

AMAZ: ...(lalu menyembahkan 17 perkara yang dikemukakan kepada Tunku).

AMAZ: Langsung baginda pun angkat badan begini, “beta restui perjuangan sahabat beta,” secara spontan baginda titah begitu.

PAT: Waktu itu siapa yang dengar itu?

AMAZ: Empat mata aja...mana boleh di istana ada yang dengar. Saya nggak tau mungkin ada tape, saya tak tau.

AMAZ: Saya bilang, (berdatang sembah) “daulat tuanku”.

AMAZ: Sebab begini katanya, “beta tahu cita-cita sahabat beta, sebab banyak sekali wakil-wakil dari Sarawak, dari Sabah datang mengadap beta. Minta supaya Sabah dan Sarawak itu masuk kepada kerajaan beta. Dan beta tahu itu, itu adalah perjuangan sahabat beta.” Spontan baginda bertitah. Saya pun bilang, “daulat tuanku.”

AMAZ: Sudah habis berbicara, saya pun menyatakan, “tuanku, patik dijemput untuk datang ke Filipina untuk menguruskan urusan claim Filipina atas Sabah. Jadi supaya jangan menganggu cita-cita patik untuk mempersatukan Kalimantan Utara ini, maka patik insya Allah akan berangkat ke Filipina. Maka, patik menjunjung daulat tuanku dan doa duli tuan patik.”

AMAZ: “Beta restui.”

AMAZ: “Dan beta tunggu....” Sebab saya bilang, Tunku Abdul Rahman minta waktu 17 hari, maka titah baginda, “tunggulah 17 hari, bagaimana nanti sampaikan kepada beta.”


BAHAGIAN 7

17 Hari Kemudian…

17 hari, yang datang bukan Tunku, Tapi Tun Razak. Dia di residensi (Rumah Penginapan Tetamu Negeri). Kira-kira pukul 10.00, datang Jaksa Agung Brunei. Orang Malaysia (Malaya), Jaksa Agung (berkhidmat) di Brunei.[4]

PAT: Namanya?

AMAZ: Aduh lupa...terkenal itu...

AMAZ: (Jaksa Agung) Datang ke rumah saya, “Encik Azahari, salam dari Tunku Abdul Rahman buat Encik Azahari dan salam dari Tun Razak. Sekarang Tun Razak berada di Brunei ingin mengadakan pertemuan dengan Encik Azahari kira-kira pukul 10.00 Apa Encik Azahari setuju?”

AMAZ: Saya bilang baiklah. Jam 10, saya dengan Hapidz Laksamana[5], Yasin Affandy, Othman Latiff[6], banyak kawan-kawan...[7]

PAT: Siapa...sebutkan lagi.

AMAZ: Othman Latiff, Yasin Affandy, Hapidz Laksamana, Awang Tengah Hasib, Cikgu Mahmud...itu antaranya.

PAT: Ada tujuh orang?

AMAZ: Ada 6-7 orang. Berangkatlah bersama-sama dengan Jaksa Agung ke residensi tempat commissioner (Rumah Penginapan Tetamu Negeri).

AMAZ: Sampai di sana, saya pun diterima oleh Tun Razak dengan penuh cinta kasih, dengan penuh hormat, sahabat.

AMAZ: Dengan ini juga (bersama dalam perjumpaan tersebut)...orang Malaysia tapi bekerja di kerajaan Brunei, ada di situ dengan Tun Razak dan beberapa orang rombongannya. Terus Tun Razak, kerusi begini saya duduk, Tun Razak pun di situ sebelah. Terus tepuk saya punya tangan di peha saya.

AMAZ: “Encik Azahari, Tunku Abdul Rahman kirim salam dengan Encik Azahari. Tunku Abdul Rahman katakan begini Encik Azahari, kalau umat melayu dipimpin oleh tiga orang pemimpin melayu ini, akan selamat bangsa melayu. Iaitu Tunku Abdul Rahman, saya (Tun Abdul Razak), dan Encik Azahari.”

AMAZ: “Jadi Tunku Abdul Rahman minta Encik Azahari sudah setuju saja Malaysia, dan Encik Azahari….., Tunku Abdul Rahman akan jadi Perdana Menteri, saya akan menjadi Wakil Perdana Menteri I dan Encik Azahari akan jadi Wakil Perdana Menteri II. Jadi sekarang mintalah (persetujuan) Encik Azahari.”[8]

AMAZ: Di situlah saya mulai rasa tersinggung...ini sudah ‘dirty game in politics’. Saya pun bilang, “Tun, saya menunggu khabar dari Tunku soal 17 fasal, bukan saya mahu dengar soal ini. Soal ‘political bribe’ ini.

AMAZ: Saya marah dan saya terus tersinggung.

PAT: Yang lain dengar?

AMAZ: Banyak! Hapidz Laksamana semua dengar. Dengar semua itu...boleh refer sama Hapidz Laksamana. Kalau dia orang honest dia akan ceritakan.

AMAZ: Terus, Tun, sampaikan salam saya kepada Tunku. Jangan paksakan Malaysia dengan projek yang sekarang ini. Saya takut nanti...macam antimun bonteng, begitu kita makan. Tidak tau-tau dari leher kita keluar besi, yang kita telan sulit, kita buang tak boleh.
AMAZ: Saya bilang, Tun, tak ada apa-apa yang kita nak cerita lagi. Saya pun baliklah.

AMAZ: Itu sepasal, saya sampaikan kepada baginda.

PAT: Berapa hari setelah itu pak?

AMAZ: Ya, besoknya saya sampaikan. Ya, saya sampaikan kepada baginda. Saya bilang, “Patik tidak dapat berbuat banyak Tuanku, kecuali langsung terus menentang Malaysia.”[9]


BAHAGIAN 8

Usul PRB Di Sidang Majlis Mesyuarat Negeri (MMN)

AMAZ: Kira-kira beberapa hari kemudian, sesudah pemilihan umum. Saya mahu berangkat ke Filipina... Parlimen (Majlis Mesyuarat Negeri - MMN) (sudah) dikuasai oleh Partai Rakyat - baik parlimen mahu pun district (Majlis Mesyuarat Daerah - MMD).

(Nota: Komposisi dalam MMN adalah seramai 33 orang iaitu, 17 anggota di lantik oleh Sultan dan 16 anggota dipilih melalui MMD melalui sistem collegiate.

Kesemua 55 kerusi MMD yang dipilih telah dimenangi oleh PRB. Mereka adalah:

Dari Daerah Brunei Muara, Sdra. Abd Latif bin Adi, Sdra. Mohamad bin Jamaluddin, Sdra. Awang Tengah bin Hasip, Sdra. Lakim bin Haji Bakar, Sdra. Haji Gharif bin Haji Mangol, Sdra. Md Zain bin Md. Tali, Sdra. Yasin bin Abd. Rahman, Sdra. Pengiran Haji Md. Yussof bin Pengiran Limbang, Sdra. Jais bin Haji Karim Sdra. Mahmud bin Md. Salleh, Sdra. Othman bin Haji Karim, Sdra. Haji Mohamed bin Haji Bakar, Sdra. Zaini bin Haji Ahmad, Sdra. A. A. Hafidz Laksamana, Sdra. Sulaiman bin Putih, Sdra. Awang Omar bin Awang Tamin, Sdra. Awang Salim bin Awang Serudin, Sdra. Abdullah bin Ja’afar, Sdra. Pengiran Metussin bin Pengiran Lampoh, Sdra. Othman bin Abd Latif, Sdra. Ladis bin Puasa, Sdra Mayalin bin Awang Randah, Sdra. Abd Hamid bin Mohammad, Sdra H.B Hidup bin Haji Besar.

Dari Daerah Tutong, Sdra. Maidin bin Isa, Sdra. Mohd. Idris bin Haji Md. Said, Sdra. Abd. Wahab bin O.K. Md. Safar, Sdra. Mohamad Akip bin Abd. Ghani, Sdra. Md. Tajin bin Awang Jaya, Sdra. Iek bin Talipudin, Sdra. Awang Mohd. Zain bin Serudin, Sdra. Johari bin Abang Yusof, Sdra. Sabtu bin Hassan, Sdra. Bakri bin Haji Md. Seruddin, Sdra. Damit bin Salleh, Sdra. Md. Yusof bin Tengah.

Dari Daerah Seria/Belait, Sdra. Payong bin Buri, Sdra. Hanafi bin Md. Daud, Sdra. Lamzi bin Idris, Sdra. Ibrahim bin Ghani, Sdra. Pengiran Apong bin Pengiran Jamaludin, Sdra. Ismail bin Aliasgar, Sdra. Md. Salleh bin Ibrahim, Sdra. Ahmad bin Haji Abd. Razak, Sdra. Momin bin Ahmad, Sdra. Md. Deli bin Metassim, Sdra. Arshad bin Abu Bakar, Sdra. Othman bin Jalil.

Dari Daerah Temburong, Sdra. Matusin Aliakbar, Sdra. Timbang bin Pro, Sdra. Pengiran Hitam bin Pengiran Burut, Sdra. Mahmud bin Metasim, Sdra. Misir bin Keruddin, Sdra. Bukong bin Udan dan Sdra. Embun anak Tarang).

16 anggota MMN yang dipilih melalui MMD terdiri dari anggota PRB. Mereka adalah:

Sdra. A.A. Hafidz Laksamana, Sdra. Pengiran Metussin bin Pengiran Lampoh, Sdra. Mahmud bin Md. Salleh, Sdra. Pengiran Haji Md. Yusof bin Pengiran Limbang, Sdra.Yasin bin Abd. Rahman, Sdra. Awang Tengah bin Hasip, Sdra. Othman bin Abd. Latif, Sdra. Zaini bin Haji Ahmad, Sdra. Mohd. Akip bin Imam Ghani, Sdra. Mohd. Idris bin Imam Said, Sdra. Abdul Wahab OKS Safar, Sdra. Mohd. Deli bin Metassim, Sdra. Momin bin Ahmad, Sdra. Ibrahim bin Abdul Ghani, Sdra Lamzi bin Idris dan Sdra. Misir Keruddin.

Enam orang telah dilantik oleh Sultan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan (Executive Councillors) kesemuanya anggota PRB. Mereka adalah:

Pengiran Haji Md. Yusof bin Pengiran Limbang, Sdra. A.A. Hafidz Laksamana, Sdra. Mahmud bin Md. Salleh, Sdra. Deli bin Metassim, Sdra. Akip bin Imam Ghani dn Sdra. Misir Keruddin)

AMAZ: Kita berunding antara pemimpin (PRB) semua, apa yang akan dibawa (ke sidang MMN). Sebab waktu itu mahu mengadakan sidang parlimen (MMN) pertama. Maka kita pun mengadakan perundingan kerana saya akan ke Filipina. Bikinlah berapa banyak motion untuk dijadikan resolution. Persoalan pendidikan, kedua persoalan gaji pegawai…

AMAZ: Yang terutama, kerana waktu itu saya sudah juga disiapkan untuk berangkat ke PBB kerana saya diundang bersama-sama dengan, (pimpinan) dari...United Peoples Party, Sarawak (SUPP) di bawah pimpinan Stephen Yong[10] dan Ong Kee Hui[11], sama dari Sabah, iaitu Pasok Momogun di bawah pimpinan G.S. Sundang[12] untuk ke PBB.

(Nota: Pada bulan November 1962 Sekretaris bersama ketiga parti politik Sabah, Sarawak dan Brunei iaitu Skretais General Parti SUPP) telah menerima undangan rasmi dari PBB untuk hadir pada Sidang Jawatankuasa Dekolonialisasi PBB bulan Disember 1962. UN Documents A/AC.109/C/36, 14 September, 1962, A/AC, 109/PET.L, 14 September 1962. A/AC, 109/PET,64, 8 Oktober, 1962 adalah berkaitan)

AMAZ: Jadi saya waktu mau berangkat ke Filipina itu mengajukan motion supaya parlimen ini mengakui bahawa wakil yang akan berangkat ke PBB itu diakui sah sebagai wakil dari parlimen (MMN) Brunei. Rupanya British takut perkara ini.[13] Sudah itu saya berangkat ke Filipina.


BAHAGIAN 9

Persiapan Ke PBB

AMAZ: Waktu mengadakan sidang (MMN)[14], rupanya British High Commissioner, D.C. White[15] minta kepada Seri Paduka Baginda supaya dibatalkan sidang itu. Saya tidak tahu waktu itu (perkembangan selepas itu)...sebab saya berada di Filipina. Saya tunggu-tunggu nggak ada berita dari Brunei, di mana ini ceritanya?[16]

AMAZ: Saya di Filipina sudah mengatur strategi, kerana kita mau ke…(PBB) sebelum kita ke New York kita akan pergi ke Washington mengadakan political lobby dengan parti Democrat dan parti Republican. Sebab Mr. Pendatun[17] iaitu wakil Chairman of the Congress of the Philippines dengan Mr. Villareal[18] Chairman of the Congress of the Philippines membantu saya atas permintaan Presiden Macapagal dan Pelaez. Supaya saya dibantu sepenuh-penuhnya waktu di PBB dan waktu di Amerika.

AMAZ: Dua tokoh Filipina ini, Mr. Pendatun dan Mr. Villareal, itu kasi tahu saya, waktu kami, rombongan akan berangkat ke Amerika, dia akan ikut. Dia akan memimpin lobi dengan parti Democrat dan parti Republican.

AMAZ: Kan Pak Pram mungkin dapat faham keadaan politik di PBB, terutama di Amerika. Jadi bila kita sukses, so ini orang yang akan kita lobi ini, anggota senat, senator dan juga anggota Kongres. Bila itu sudah masuk di dalam agenda Senat, itu merupakan international news. Jadi kita ke PBB itu akan lebih ringan kita punya tugas.

AMAZ: Jadi saya kasi tau kawan, Yasin Affandy, Hapidz Laksamana supaya contact dengan parti di Sarawak dan Sabah untuk mengumpulkan wang kira-kira 50,000 dolar untuk biaya kita ke PBB.

PAT: Itu sepengetahuan Seri Paduka Baginda?

AMAZ: Nggak.

PAT: Baginda nggak tahu?

AMAZ: Nggak.

PAT: Nggak dikasi tahu atau bagaimana?

AMAZ: Ke PBB itu baginda mungkin tahu...

AMAZ: Saya sudah ke Filipina. Jadi ini, rencana tadi ini dengan Pendatun apa ini, kan saya sudah di Filipina.

AMAZ: Nggak cerita apa-apa sama baginda... Sebab saya fikir baginda sebagai raja itu kan taunya, kan bersih saja.

AMAZ: Saya kasi tahu Hapidz Laksamana, Pengiran Metussin (Pengiran Metussin bin Pengiran Haji Lampoh) lagi...(almarhum), Yasin Affandy supaya mengumpulkan wang untuk pergi ke PBB 50,000 dolar.

AMAZ: Oleh kerana saya ada isteri di Johor, Johor Bahru, dan isteri saya juga ikut ke Filipina, kita balik dulu ke Johor Bahru. Dari Johor Bahru saya nanti dengan sendiri aja nggak dengan isteri balik ke Filipina. Dari Filipina langsung berangkat ke Amerika.


BAHAGIAN 10

Kata Dua Disampaikan Sheikh Othman Mahmud

AMAZ: Waktu saya sampai di Johor Bahru dua hari kemudian (5 Disember 1962), datang adik saya.[19] Adik saya itu diutus oleh satu konsul[20] untuk mengadakan pemberontakan. Wah saya kaget dan saya marah.

PAT: Adik bapa siapa namanya?

AMAZ: Othman, Sheikh Osman bin Sheikh Mahmud.

PAT: Adik kandung?

AMAZ: Adik kandung. Akhirnya dia meninggal dalam pertempuran.

AMAZ: Dia kasi tahu saya bahawasanya di Brunei akan mengadakan pemberontakan, tidak akan dapat ditahan-tahan. Saya waktu itu menangis. Saya bilang dengan adik saya, Othman bagaimana cara supaya pemberontakan ini jangan sampai ada? Ini akan membawa kepada kehancuran. Akan hancur semua saya kata! Ini bukan kerja yang benar. Ini kerja siapa?

AMAZ: Dia bilang keputusan sidang.

PAT: Sidang mana?

AMAZ: Dia orang punya sidang di Brunei.

PAT: Sidang Partai Rakyat Brunei?
AMAZ: Bukan…. Partai Rakyat saya pak! Jadi ini katanya tidak dapat lagi (dibendung)... sebab berapa ribu orang sudah masuk ke hutan-hutan, tinggal menunggu saat saja.

AMAZ : Wah sampai saya nangis...saya jarang - nggak pernah nangis, air mata saya menitis.

AMAZ : Dia (BrigJen Sheikh Othman) bilang, begini Udah (Udah merupakan gelaran keluarga merujuk kepada A.M. Azahari), kalau Udah pimpin, Udah pimpin terus. Bentuklah pemerintahan, dan semua akan mendokong Udah. Tapi kalau Udah tidak mahu pimpin, tidak ada lain jalan dengan darah kami akan catat Bung Azahari seorang pengkhianat.
AMAZ : Di situlah saya tidak bisa bicara. Cuma saya katakan, kamu jangan mengharapkan bantuan atau sokongan dari mana pun. Ini adalah satu pekerjaan yang bunuh diri namanya, pekerjaan yang paling bodoh! Saya marah betul-betul.

AMAZ : Ya, kami tidak berdaya lagi katanya, sebab di sana sudah ke hutan semua.

PAT: Pemberontakan terhadap Seri Paduka Baginda?

AMAZ: Tidak, (sekalipun berlaku pemberontakan) ini bukan terhadap Seri Paduka Baginda. Terhadap kolonial. British. Dengan baginda, siapa yang mahu berontak terhadap baginda? Kita bukan orang gila. (Sekalipun berlaku pemberontakan) Pemberontakan itu untuk (mendapatkan) kemerdekaan Brunei, untuk kedaulatan takhta kerajaan Brunei.

AMAZ: Yang saya berjuang itu kan untuk takhta.[21]

----------------------------------------------------------

[1] Nicasio Osmena, peguam yang mewakili kepentingan waris Kesultanan Sulu, bertindak sebagai Presiden Kiram Corporation.

[2] Sebuah entiti yang memajukan tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah.

[3] Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Baginda lahir pada 15 Julai 1946.

[4] Tan Sri Dato' Dr. Abdul Aziz Bin Mohamed Zain (1922-2012), berkhidmat sebagai Peguam Negara Brunei pada 1961 hingga 1962.

[5] Awang Abdul Hapidz bin Pehin Laksamana (A.A. Hafidz Laksamana), Wakil Ketua Umum PRB.

[6] Othman Latiff, Ketua Penerangan PRB.

[7] Yasin Affandy (Setiausaha Agung PRB), Awang Tengah Hasib (Bendahari PRB), Cikgu Mahmud Salleh (Anggota Dewan Harian PRB).

[8] Di peringkat awal rancangan penubuhan Malaysia, A.M. Azahari diakui sebagai salah seorang penyelamat umat Melayu dan dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Timbalan Perdana Menteri II Malaysia. Namun, setelah A.M. Azahari bertegas menolak gagasan Malaysia, Tunku Abdul Rahman berpaling sikap dengan memusuhi A.M. Azahari hingga sanggup menuduhnya sebagai pro komunis.

[9] Walaupun PRB yang mewakili majoriti suara rakyat Brunei secara jelas telah menolak kemasukan Brunei ke dalam Persekutuan Malaysia, tetapi DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein terus menunjukkan minat untuk membawa Brunei masuk ke dalam Persekutuan Malaysia. Baginda hanya menolak kemasukan Brunei ke dalam Persekutuan Malaysia secara rasmi menjelang 16 September 1963 (kira-kira 9 bulan setelah berlakunya pemberontakan 8 Disember 1962). Sikap lunak dan minat Sultan yang dizahirkannya dalam isu kemasukan Brunei ke dalam Persekutuan Malaysia menyebabkan rakyat marah. Isu ini adalah antara faktor pencetus pemberontakan 8 Disember.

[10] Tan Sri Datuk Amar Stephen Yong Kuet Tze (1921-2001), Secretary-General Sarawak United Peoples' Party (SUPP) (1959-1982), pernah berkhidmat sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Malaysia.

[11] Tan Sri Datuk Amar Ong Kee Hui (1914-2000), pengasas dan Presiden SUPP (1959 -1982). Pernah memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Malaysia.

[12] Datuk G.S. Sundang, pengasas Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu. Pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah (1965-1967).

[13] Usul-usul bertulis sebelum sidang yang dikemukakan oleh PRB dalam sidang MMN menyangkut kepentingan nasional: (i) menolak rancangan penyatuan Brunei ke dalam Malaysia; (ii) mendesak untuk mengembalikan kedaulatan Sultan di seluruh Kalimantan Utara serta melantik baginda sebagai Raja Berperlembagaan bagi Negara Kesatuan Kalimantan Utara; (iii) mendesak supaya British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan (Negara Kesatuan Kalimantan Utara) tersebut tidak lewat daripada tahun 1963; (iv) menuntut agar MMN memberi mandat kepada PRB untuk membawa isu perjuangan rakyat Brunei ke forum PBB; (v) membangkitkan isu penanaman modal daripada lebihan simpanan wang yang disatukan Consolidated Fund dalam Brunei yang ditadbir oleh Crown Agents; (vi) mencadangkan kenaikan gaji pegawai rendah polis; (vii) mencadangkan penubuhan gerakan koperasi untuk rakyat; (viii)mencadangkan reformasi dasar pelajaran sesuai tuntutan semasa; (ix) mencadangkan penggubalan dasar perburuhan yang dapat menjamin masa depan kaum buruh; dan (x) mendesak kerajaan supaya berunding dengan Ungku Abdul Aziz bin Abdul Hamid, pensyarah ekonomi di Universiti Malaya bagi tujuan mendapatkan khidmat penyelidikan terhadap kehidupan kaum tani dan nelayan ke arah meningkatkan taraf kehidupan mereka.

[14] Mesyuarat pertama Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) selepas pilihanraya dijadualkan pada 5 Disember 1962.

[15] Sir Dennis Charles White (1910-1983), Residen British di Brunei (1958-1959). Selepas perlembagaan Brunei dimaktubkan, beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi British di Brunei (1959-1963).

[16] Notis tarikh persidangan MMN yang baru ditangguhkan dari 5 Disember 1962, kepada 12 Disember 1962 dan kemudiannya dipinda lagi kepada 19 Disember 1962.

[17] Salipada K. Pendatun, Speaker Pro-Tempore House of Representatives, 5th Congress of the Philippines.

[18] Cornelio T. Villareal, Speaker House of Representatives, 5th Congress of the Philippines.

[19] Brigadir Jenderal (TNKU) Sheikh Othman bin Sheikh Mahmud (1933-1963), terkorban dalam pertempuran dengan pasukan tentera British di Kampung Bunut, Brunei pada 17 April 1963.

[20] Menjelang tercetusnya pemberontakan 8 Disember 1962, iaitu ketika A.M. Azahari berada di Filipina, Panitia Pembentukan TNKU diketuai A.M. Azahari berubah status dan peranannya menjadi Dewan General atau Panitia Perang (tanpa penyertaan A.M. Azahari), di ketuai oleh Yasin Affandy sebagai Ketua Turus, BrigJen Sheikh Othman Mahmud, Kolonel Misir Keruddin, Kolonel Jais Haji Karim, H.B. Hidup dan Abdullah Jaafar.

[21] Daripada Manifesto PRB 1956: (1) Menentang segala bentuk rupa penjajahan dalam lapangan politik dan ekonomi serta sosial. (2) Mempertahankan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Maulana Sultan Brunei di atas kerajaan sehingga kepada segala keturunan. (3) Mengakui secara mutlak atas hak kerabat Diraja, baik ekonomi mahu pun politik. (4) Memperjuangkan kemerdekaan bagi tanahair dan bangsa Melayu secara teratur dan berdasar perlembagaan dan mewujudkan hanya satu bangsa dan negara Melayu diseluruh kepulauan bangsa Melayu. (5) Mewujudkan bagi keselamatan rakyat seluruhnya dan kemakmuran umumnya. Daripada Anggaran Dasar Parti Rakyat: Fasal 4, Parti Rakyat bertujuan: (a) Menentang segala bentuk rupa penjajahan dalam lapangan politik ekonomi dan sosial. (b) Memperjuangkan kemerdekaan bagi seluruh Kepulauan Melayu yang berdaulat dengan secara perlembagaan. (c) Mempertahankan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Maulana Sultan Brunei dengan segala keturunannya menduduki takhta kerajaan Brunei dengan dasar perlembagaan. (d) Mewujudkan negara Melayu Merdeka yang berdaulat ke dalam dan keluar demokratik dan menjamin keselamatan serta kemakmuran rakyat seluruhnya.


No comments:

Post a Comment