Monday, December 11, 2017

REAKSI DUNIA TERHADAP KENYATAAN TRUMP DAN JANGKAAN KESAN JANGKA PENDEK MENGENAINYA



Sebaik sahaja berita pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis menjadi ibu kota baharu bagi Israel berlegar di media antarabangsa, beberapa reaksi segera muncul di mana-mana. Di pihak yang menerima untung percuma di sebalik pengumuman Trump itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan pengumuman tersebut sebagai satu lakaran sejarah buat Israel, suatu kemenangan yang bermakna dan suatu langkah yang bertepatan masanya. Netanyahu juga menganggap pengumuman itu sebagai langkah penting bagi perdamaian kerana menurutnya, perdamaian tidak akan ke mana tanpa mengambil kira Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. Malah, Netanyahu mencabar keintelektualan minda antarabangsa dengan mendakwa Baitulmaqdis telah pun menjadi ibu kota Israel sejak 3,000 tahun lalu (?).

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan pengumuman Trump itu sebagai isyarat bahawa AS selepas ini tidak boleh lagi berperanan sebagai wakil damai Palestin-Israel. Pengumuman tersebut juga disifatkan oleh Mahmoud Abbas telah menggugat semua usaha damai yang telah diusahakan selama ini. Sementara itu, pemimpin Hamas, Ismail Haniya berkata, keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel merupakan deklarasi perang terhadap rakyat Palestin, juga panggilan 'intifada' baharu terhadap rejim zionis itu. Serentak dengan itu beliau mengarahkan pejuang-pejuang Hamas untuk bersedia melancarkan gelombang ketiga intifada selepas gelombang pertama dalam tahun 1987 dan gelombang kedua, tahun 2000 lalu.

Dalam kalangan pemimpin Arab dan Islam yang lain, Jordan yang merupakan antara negara sekutu AS mengecam pengumuman yang dibuat oleh Trump itu dengan menyifatkannya  sebagai boleh memberi kesan buruk terhadap usaha perdamaian di Timur tengah serta  boleh mencetuskan kemarahan umat Islam dan Kristian. Demikian juga Arab Saudi dan Mesir, menyifatkan pengumuman Trump tersebut sebagai mencabuli resolusi antarabangsa dan menggugat kestabilan rantau Arab, juga proses damai Israel-Palestin. Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebelumnya mengatakan bahawa AS sedang berusaha untuk menimbulkan ketidakstabilan di Timur Tengah dan memulai tindakan perang untuk melindungi keamanan Israel.

Turki pula menyifatkan pengumuman AS itu sebagai suatu tindakan yang salah dan berbahaya, “melepasi garisan merah” atau batasan tolak ansur umat Islam, sambil menegaskan seluruh dunia pasti akan menentang keputusan itu. Turki, malah sebelum itu, ada membayangkan kemungkinan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sekiranya AS mengiktraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota baharu bagi Israel. Turki juga, selaku negara Pengerusi  Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sehari dua hari sebelum tercetusnya pengumuman Trump itu, ada membayangkan kesediaannya untuk memanggil sidang tergempar OIC bagi membicangkan perkembangan tersebut dan merangka strategi tindakan balas sekiranya Trump benar-benar mengotakan hasratnya itu.

Dalam kalangan pemimpin besar Barat, Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan, negaranya tidak menyokong pendirian Trump kerana status Baitulmaqdis memerlukan rundingan dalam rangka kerja penyelesaian dua negara. Demikian juga dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyifatkan keputusan Trump itu sebagai sesuatu yang amat dikesali dan dibantah oleh Perancis. Kesatuan Eropah (EU) pula amat bimbang dengan kesan terhadap keputusan itu dan menegaskan pendirian pihaknya yang tidak berubah dan mahu status Baitulmaqdis diselesaikan melalui rundingan.

Dalam kalangan negara di rantau ini, Malaysia mengecam keputusan AS itu sebagai suatu bentuk pencerobohan bukan sahaja kepada negara Arab dan umat Islam, tetapi juga merupakan satu pelanggaran hak asasi kaum Muslim dan Kristian. Malaysia berpegang bahawa isu Baitulmaqdis adalah teras kepentingan kepada rakyat Palestin dan meminta semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tidak menyokong sebarang perubahan dalam isu sempadan pra-1967, termasuk apa-apa yang berkaitan dengan Baitulmaqdis. Malaysia berpandangan tindakan AS itu bukan sahaja menyebabkan segala usaha yang dibuat bagi resolusi rakyat Palestin menjadi sia-sia, malah boleh mengundang akibat yang buruk terhadap keselamatan dan kestabilan rantau itu. Ia juga boleh menyebabkan usaha mengekang terrorisme menjadi lebih sukar. Justeru itu, Malaysia menolak sampai bila-bila cadangan untuk menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel sambil menggesa AS menimbang semula keputusannya itu kerana pengiktirafan tersebut bermaksud satu ekspresi sokongan kepada polisi-polisi Israel dan mencabuli undang-undang rakyat Palestin. 

Pemimpin Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyifatkan pengumuman Trump itu sebagai melanggar berbagai resolusi PBB berkaitan Palestin-Israel dan boleh menggocangkan kestabilan dan keamanan dunia. Berikutan itu beliau menggesa supaya perkara ini segera di bawa ke PBB untuk dibahaskan. Demikian juga, perkara ini menurutnya, perlu segera dibawa ke sidang tergempar OIC bagi mendesak AS mempertimbangkan kembali langkahnya itu. Selain kerajaan, pertubuhan-pertubuhan Islam dan rakyat awam di Indonesia, seperti juga di Malaysia, bangun mempamirkan bantahan mereka terhadap keputusan AS itu dengan mengadakan perarakan dan protes di hadapan kedutaan AS di negara masing-masing.

Di pihak PBB, pengumuman Trump dilihat sebagai keputusan sebelah pihak yang boleh menggugat usaha PBB dalam mencari jalan penyelesaian isu Palestin-Israel. Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengatakan bahawa tidak ada alternatif terhadap penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin dan bahawa persoalan Baitulmaqdis adalah berkait dengan masalah penentuan statusnya yang harus diselesaikan melalui perundingan secara langsung di antara semua pihak yang terlibat. 

Catatan perdebatan isu Baitulmaqdis dalam pentadbiran AS, tidak dinafikan, ada mencatatkan cadangan memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pernah diluluskan Kongres AS melalui Akta Kedutaan Jerusalem 1995. Sejak itu, menjadi kewajipan setiap pemimpin AS untuk menyemak secara berkala bagi  memperakukan bilakah cadangan tersebut akan dilaksanakan. Bekas presiden AS yang lalu seperti George W. Bush, Bill Clinton dan Barack Obama tidak berbuat demikian kerana bimbangkan isu keselamatan di Timur Tengah. Justeru, mengapa Trump yang baharu sahaja mengambil alih pentadbiran Rumah Putih begitu berani melaksanakan keputusan Kongres AS itu kini menjadi tanda tanya. Ada pandangan yang mengatakan beliau berbuat demikian atas sifat egonya yang terlalu tinggi sehingga mahu mempamirkan beliaulah satu-satunya Presiden AS yang berani mengotakan janji kepada Israel. Ada pula yang berpendapat beliau berbuat demikian untuk membantu mempertahankan politik Benjamin Netanyahu yang kini menerima tekanan kerana didakwa terlibat dengan rasuah. Sementara itu, tidak kurang ramai juga yang berpendapat Trump berani berbuat demikian kerana dunia Islam kini berada di tahap paling lemah kerana dilanda pelbagai masalah. 

Apa pun, dunia kini menanti untuk melihat sejauh mana AS bersama-sama sekutu kuatnya Israel akan berupaya untuk merealisasikan apa yang telah diungkapkan itu. Cuma di pihak kita, perkembangan yang berlaku ini dikhuatiri boleh menyebabkan beberapa kesan tidak baik akan menimpa saudara kita di Palestin. Antara kesan jangka pendek yang boleh diramalkan itu ialah kemungkinan akan berlaku sekali lagi pengusiran rakyat Palestin, kali ini dari Baitulmaqdis untuk diisi dengan seramai mungkin penduduk Yahudi. Pada masa ini dianggarkan hampir 300,000 rakyat Palestin menetap di kota ini dengan majoriti mereka memegang pasport sementara Arab-Israel. Mereka tidak mendapat taraf kerakyatan mahupun layanan yang sama dengan pemegang pasport Israel, sekaligus menyukarkan mereka untuk memiliki tanah. Ini dikhuatiri bakal mendedahkan mereka kepada pengusiran tentera Israel seperti yang kerap berlaku bilamana ada tanah palestin yang dirampas oleh Israel.

Selain itu, pergerakan umat Islam ke Masjidil Aqsa dijangka akan menjadi semakin terhad. Sebelum ini kerajaan Israel mengadakan pos kawalan di Masjidil Aqsa atas alasan keselamatan. PBB pula menetapkan pos kawalan ini hanya dibenarkan ketika waktu-waktu kemuncak sahaja seperti ketika solat jumaat, solat sunat Aidilfitri dan beberapa upacara agama yang lain. Namun pengisytiharan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel ini sekaligus memberi hak kepada Israel sebagai penguasa penuh terhadap Masjidil Aqsa dan kawasan sekitarnya, yang dengan itu, boleh sesuka hati mengawal proses keluar masuk dan juga operasi masjid seperti menghadkan jumlah Jemaah atau menutup terus Masjidil Aqsa.

Penempatan haram Yahudi di Timur Baitul Maqdis juga mungkin akan disahkan di sisi undang-undang. Pengumuman Donald Trump ini secara langsung telah merestui tindakan kerajaan Israel membina penempatan Yahudi secara besar-besaran di Timur Baitul Maqdis walaupun ianya menyalahi undang-undang seperti yang dipersetujui PBB. Projek penempatan ini bertujuan untuk mengubah demografi penduduk di Baitul Maqdis yang kini masih majoriti rakyat Palestin.

Kesan lain yang dijangka boleh berlaku ialah proses pendamaian mungkin akan tertunda. Berdasarkan kenyataan terakhir Hamas, mereka bersetuju dengan rundingan penyelesaian dua negara seperti yang telah dicadangkan oleh PBB selagi mana pembahagian tanah itu menurut persetujuan PBB pada tahun 1967 yang meletakkan Timur Baitul Maqdis di dalam wilayah Palestin. Perdana Menteri Israel, Benjamin Nentanyahu tidak bersetuju dengan cadangan ini dengan memberi alasan itu adalah peta silam yang sudah tidak boleh digunapakai. Di satu sudut yang lain, dengan AS kini merestui pengusaan Israel ke atas Baitulmaqdis, AS sudah pasti tidak lagi akan diterima Hamas untuk menjadi orang tengah dalam proses damai Palestin-Israel.

***



No comments:

Post a Comment