Sunday, December 10, 2017

MALAPETAKA TERBAHARU BUAT UMAT ISLAM PALESTIN DAN DUNIA



Pada hari Rabu, 6 Disember 2017, seluruh dunia dikejutkan dengan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dari Rumah Putih bahawa AS mengiktiraf Baitulmaqdis menjadi ibu negara baru bagi Israel menggantikan Tel Aviv. Kenyataan itu juga turut menyebutkan mengenai keputuan AS untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini. Kedua-dua isu ini, iaitu janji AS untuk mengiktiraf rancangan Israel menjadikan Baitulmaqdis ibu negara baharu menggantikan Tel Aviv dan cadangan memindahkan kedutaan AS itu merupakan antara janji Trump semasa kempen Pilihanraya Presiden tahun lalu. 

Seluruh dunia, lebih-lebih lagi dunia Islam, melihat kenyataan Trump itu sebagai amat keterlaluan dan sesuatu yang di luar jangka memandangkan keseluruhan pemimpin AS yang lalu mengambil sikap begitu berhati-hati dalam menguruskan hubungan Israel-Palestin. Justeru dengan adanya pengiktirafan secara sebelah pihak (unilateral) di pihak Trump itu dunia mulai menaruh bimbang  apa yang diusahakan selama ini dalam konteks mencari perdamaian di Timur Tengah akan bakal menemui kegagalan. Dunia Islam juga melihat pendirian Trump itu sebagai tindakan yang meranapkan sama sekali segala usaha yang telah dirintis melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan masalah Palestin-Israel melalui pendekatan pembentukan dua negara yang berdaulat dan merdeka. 

Dunia juga merasa kecewa kerana pada penghujung tahun 2016 lalu, PBB menerusi  Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), telah meluluskan Resolusi 2334 dalam menggesa Israel supaya menghentikan segera pembinaan sebarang penempatan baharu di atas tanah milik Palestin. Resolusi tersebut diluluskan dengan sokongan kesemua 14 negara anggota Majlis Keselamatan PBB tanpa sebarang bantahan. Ini termasuklah dari sekutu kuat Israel sendiri, AS yang ketika itu mengambil pendirian berkecuali. Dunia Islam, lebih-lebih lagi Palestin, melihat perkembangan tersebut sebagai memberikan harapan yang cukup tinggi terhadap penyelesaian masalah pendudukan secara haram Israel di atas tanah mereka. Malangnya, pendirian terbaharu Trump ini ternyata membelakangi sama sekali semangat serta harapan yang telah diletakkan terhadap PBB secara langsung, dan AS secara tidak langsung, sebagai pihak-pihak yang diharap dapat membawa penyelesaian dalam hubungan Palestin-Israel itu.

Sebenarnya, dunia sejak tahun 1948 iaitu tahun di mana negara Israel dibangunkan secara haram di Palestin, melihat tidak ada satupun daripada lebih 50 resolusi yang telah dibuat oleh PBB dihormati oleh Israel. Ini termasuklah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSCR) 476 dan 478. Resolusi 476 mengisytiharkan bahawa semua langkah legislatif dan pentadbiran yang diambil oleh Israel untuk mengubah sifat dan status Kota Suci Baitulmaqdis tidak punya kesahihan undang-undang, sementara Resolusi 478 mengutuk percubaan Israel untuk merampas Baitulmaqdis Timur dan mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Punca mengapa hal ini boleh berlaku adalah kerana AS dikatakan 'memberi muka' kepada Israel untuk tidak mematuhi resolusi-resolusi yang dibuat terhadapnya itu. Dan dalam perkembangan terbaru yang berlaku ini, ia jelas memberikan isyarat bahawa sokongan AS kepada Israel kini tidak perlu lagi dibuat secara berselindung, malah perlu ditunjukkan secara terang-terangan supaya dunia menghormati kuasa yang ada di tangan Trump sebagai pemimpin dunia yang telunjuknya perlu diikuti oleh pemimpin negara yang lain. Di satu sudut lain, wujud pandangan sesetengah pihak, Trump kini cuba merampas hak dan ketuanan Palestin ke atas Baitulmaqdis untuk diserahkan secara begitu mudah kepada Israel. 

Dunia juga tidak lupa, Israel hingga kini tidak pernah mematuhi ketetapan yang pernah dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam tahun 2004 yang menyatakan secara jelas dan tegas bahawa sebarang pembinaan penempatan haram oleh Israel di tanah yang dirampas mereka di Palestin serta di Bukit Golan adalah haram dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Pendirian dan tindak tanduk Israel itu juga jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 (United Nations Charter 1945) yang bertujuan untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat akan undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia. 

Semua ketetapan yang dinyatakan itu malangnya tiada satu pun pernah dan akan dipatuhi oleh Israel. Ini membawa kepada timbulnya pandangan, sejak sekian lama, supaya Israel wajar disingkir sahaja daripada PBB berdasarkan Perkara 6 Piagam PBB 1945 yang menyatakan dengan jelas bahawa “Ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah berterusan melanggar Prinsip yang terkandung dalam Piagam ini boleh dibuang daripada Pertubuhan Melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan.” Namun, melalui perkembangan mutakhir yang berlaku ini, soalnya adakah pihak yang berani untuk mengusulkan pandangan yang sedemikian rupa dengan mengambil kira pentadbiran baharu AS kini sudah pun secara terang-terangan mempamirkan sokongan luar biasa mereka terhadap negara sekutu rapatnya itu?

Buat memahamkan kita akan latar belakang pendudukan Israel di bumi Palestin itu, berikut diperturunkan secara ringkas, kronologi yang membawa kepada tercetusnya isu ada yang di hadapan mata kita sekarang.

Kronologi Pencerobohan Yahudi ke Atas Palestin

Tahun 1882 –  Gelombang pertama penghijrahan pendatang haram Yahudi dari Eropah ke Palestin bermula.

Tahun 1897 - Kongres Yahudi Sedunia diadakan di Basel, Switzerland, dipelopori oleh Theodore Hertzl. Kongres tersebut dilancarkan untuk menempatkan lebih ramai Yahudi di bumi Palestin. Di dalam kongres yang sama, Organisasi Zionis sedunia (World Zionist Organization) ditubuhkan.

Tahun 1904 -1914 - Gelombang penghijrahan kedua pendatang haram Yahudi ke Palestin.

Tahun 1914 - Perang Dunia Pertama meletus. Pendudukan British bermula di kebanyakan negara.

Tahun 1917 - Kerajaan British telah memasukkan dalam Deklarasi Balfour bahawa bumi Palestin adalah milik orang-orang Yahudi. Pada waktu itu, orang Yahudi hanya merupakan 8% (56,000 orang) daripada populasi rakyat Palestin dengan memiliki hanya 2.5% bumi Palestin.

Tahun 1918 - British menjajah Palestin. Kempen penghijrahan beramai-ramai Yahudi di Eropah ke Palestin dipergiatkan.

Tahun 1924 - British berjaya meruntuhkan khilafah terakhir (Turki Uthmaniyah) melalui agennya Mustafa Kamal (Kamal 'Ataturk'). Tekanan terhadap Britain dan Israel berkaitan Palestin mulai lemah.

Tahun 1936–1939 - Rakyat Palestin cuba bangkit menentang penjajahan British tetapi gagal.

Tahun 1946 - Menyaksikan kemasukan pesat penduduk Yahudi ke Palestin.

Tahun 1947 - Cadangan British untuk membahagi dua Palestin ditentang hebat oleh orang Arab.

Tahun 1948 – Mandat British ke atas Palestin berakhir. Orang Yahudi mengisytiharkan penubuhan kerajaan sendiri di Palestin, dikenali sebagai Israel pada 14 Mei dengan izin PBB dengan keluasan tanah 57% (dan mencecah 78% dari bumi Palestin pada tahun berikutnya). Ratusan ribu rakyat Palestin Islam telah dihalau keluar daripada bumi Palestin dengan menggunakan tekanan tentera. Ramai juga rakyat Palestin yang dibunuh. 

Tahun 1967 – Perang 6 hari tercetus. Israel menyerang Mesir, Jordan dan Syria dan telah menjajah lebih banyak kawasan, dan buat pertama kalinya, termasuklah Masjidil Aqsa.

Tahun 1969 - Seorang Yahudi membakar Masjidil Aqsa. Bagaimanapun, dia tidak dikenakan sebarang tindakan kerana dianggap seorang yang gila. Tahun ini juga OIC telah ditubuhkan. 

Tahun 1978 – Perjanjian damai Camp David antara Israel dan Mesir. Mesir dikecam seolah-olah mengiktiraf regim Yahudi.

Tahun 1982 - Pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatilla, diketuai oleh Ariel Sharon.

Tahun 1993 – Perjanjian Oslo ditandatangani antara antara PLO dan Israel. Kandungannya berkaitan dengan penarikan tentera Israel dari Tebing Barat dan Gaza. Perjanjian gagal, tentera Israel terus bertapak di wilayah-wilayah berkenaan.

Tahun 2000 - Perjanjian Camp David II di AS yang membincangkan isu perbatasan, keamanan dan pemukiman, juga masa depan Juruselem. Perjanjian bagaimanapun gagal dilaksanakan.

Tahun 2007 - Akibat memilih HAMAS dalam pilihan raya pertama Palestin, penduduk Gaza dikenakan sekatan ekonomi, bekalan makanan dan ubatan oleh Israel. Sumber elektrik dan air sangat terhad.

Tahun 2010 – Persefahaman Maratorium 10 bulan dicapai. Israel berjanji tidak akan mendirikan penempatan haram di atas tanah Palestin yang diduduki. Perjanjian tidak berpanjangan, penduduk Yahudi terus bina penempatan haram.

Tahun 2010 hingga sekarang – Palestin terdedah kepada keadaan ketidaktentuan. Ancaman kekerasan dan persenjataan Israel berlaku pada bila-bila masa dan apa jua keadaan. Gaza dihujani roket dan tembakan peluru, kereta kebal memusnahkan penempatan, bangunan dan sekolah. Ramai orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh. Regim Yahudi dilaporkan turut menggunakan senjata kimia haram, fosforus putih yang menambahkan penderitaan mangsa serangan di Gaza.

***

No comments:

Post a Comment