Friday, December 8, 2017

GERAKAN ISLAM LIBERAL DAN BAHAYANYA TERHADAP ISLAM DI RANTAU INI



Gerakan liberalisme sebenarnya terhasil daripada falsafah pemikiran liberalisme yang berkembang di Barat pada abad ke-19. Gerakan ini bertujuan menentang kekuasaan gereja, menghadkan kekuasaan politik, mempertahankan pemilikan harta serta hak asasi manusia. Gerakan liberalisme kemudiannya meresapi ke seluruh bidang kehidupan masyarakat Kristian dan Yahudi di Eropah seperti politik, ekonomi, budaya dan tidak terkecuali, agama. Liberalisme agama lebih bertujuan untuk menghapuskan ketuanan dan cengkaman golongan agama dan menamatkan pembayaran cukai kepada gereja. 

Kebelakangan ini, pengaruh liberalisme di Barat mula mendapat tempat di hati  sekumpulan sarjana dan pemikir muslim seperti Nasr Hamid Abu Zayd (Mesir), Muhammad Arkoun (Algeria), Abdullah Ahmad Naim (Sudan), Asghar Ali Enginer (India), Aminah Wadud (Amerika), Muhamad Shahrour (Syria), Fetima Mernisi (Morocco), Abdul Karim Soroush (Iran) dan Khaled Abou Fadl (Kuwait). Di rantau ini, nama-nama seperti Noorkholis Madjid, Syafii Maarif, Abdurrahman Wahid dan Ulil Absar Abdalla disebut-sebut antara mereka yang gigih dalam menggerakkan aliran liberalisme Islam di Indonesia.

Di Indonesia malah terdapat sebuah badan yang dikenali sebagai Jaringan Islam Liberal (JIL) yang ditubuhkan bermatlamat untuk memperkukuhkan landasan pendemokrasian melalui penanaman nilai-nilai pluralisme, inklusivisme, dan humanisme dan membangunkan kehidupan keberagamaan yang berdasarkan kepada penghormatan atas perbezaan. Selain itu, JIL juga bermatlamat untuk mendukung dan menyebarkan gagasan keagamaan yang pluralis, terbuka dan humanis di samping berusaha untuk mencegah apa-apa pandangan keagamaan yang militan dan pro-kekerasan tidak menguasai wacana awam.

Di Malaysia, gerakan Islam liberal sejauh ini tidak mempunyai entiti yang khusus seperti di Indonesia. Ianya lebih banyak digerakkan oleh individu-individu tertentu yang cenderung memperjuangkan fahaman persamaan antara wanita dan lelaki dan juga persamaan antara semua agama. Pegangan mereka banyak diterjemahkan melalui penulisan baik di akhbar-akhbar, buku-buku kecil, membawalah kepada perbincangan dalam kumpulan-kumpulan individu yang cenderung kepada pemikiran yang sama.

Sebuah pergerakan dikenali sebagai Sisters In Islam sejauh ini dilihat oleh banyak pihak sebagai sebagai sebuah pergerakan yang bertujuan untuk menanamkan pemahaman terhadap ajaran Islam berdasarkan prinsip persamaan hak, keadilan, kebebasan dan demokrasi. SIS juga lantang dalam memperjuangkan persamaan hak antara lelaki dan wanita. 

Secara umum, terdapat tiga bidang dalam ajaran Islam yang menjadi sasaran liberalisasi Islam, iaitu;

1.   Liberalisasi akidah melalui penyebaran faham pluralisme agama dengan penekanan bahawa semua agama adalah sama benar dan menjadi jalan menuju kepada Tuhan yang sama.

2.  Liberalisasi syariah dengan melakukan perubahan metodologi ijtihad bertujuan untuk merubah hukum-hukum agama Islam sehingga dapat disesuaikan dengan perkembangan zaman; dan

3.  Liberalisasi konsep wahyu dengan cubaan melakukan dekonstruksi terhadap al-Quran dengan penanaman anggapan  bahawa teks al-Quran yang ada kini tidak sama dengan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad kerana telah terdedah kepada pengubahsuaian yang dilakukan oleh para ulama’. Kumpulan ini malah menyifatkan al-Quran yang ada sebagai ‘perangkap bangsa Quraisy’ bertujuan menunjukkan eksistensinya di tengah-tengah suku-suku Arab yang lain.

Berbanding dengan di Malaysia, gerak kerja kumpulan Islam liberal di Indonesia dibuat secara lebih terancang dan aktif, termasuk melalui penulisan artikel dan buku-buku oleh kalangan intelek di pusat-pusat ilmu dan pengajian tinggi negara.  Hasilnya, terbitlah penulisan-penulisan seperti Tren Pluralisme Agama tulisan Dr. Anis Malik Taha (Perspektif, Jakarta, 2002) yang menganjurkan bahawa semua agama adalah sama dan menuju kepada Tuhan yang sama; Tiga Agama Satu Tuhan tulisan Dr. Nurcholis Madjid (1999) yang mengutarakan pemikiran “Satu Tuhan Banyak Jalan”, dan mendakwa pluralisme adalah suatu urusan Tuhan (Sunnatullah) yang tidak akan berubah, juga tidak mungkin dilawan atau diingkari (Islam dan Doktrin Peradaban, Paramadina, 1995). Di samping dua penulis ini, terdapat beberapa lagi tokoh akademik Indonesia yang cenderung untuk memperkatakan tentang liberalisme agama ini dengan membahaskannya daripada sudut praktikaliti, realiti dan berpandukan logik akal.

Selain itu, beberapa cubaan untuk memperjuangkan persamaan hak antara wanita dan lelaki dan perkahwinan pasangan berlainan agama juga telah turut digembelingkan melalui beberapa karya penulisan. Nuryamin Aini, seorang pensyarah di Universiti Islam Negeri (UIN), Jakarta pernah membuat pernyataan yang menggugat hukum perkahwinan bagi mereka yang berlainan agama dengan berpandangan tegahan tersebut lebih berpunca daripada masalah sosial politik. Dr. Zainun Kamal dari universiti yang sama, lebih jauh, dikatakan malah telah menjadi kadi dalam menikahkan puluhan atau ratusan pasangan yang berbeza agama.

Lebih membimbangkan, di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Semarang, dikatakan telah muncul gerakan yang mengizinkan perkahwinan sejenis (homoseksual) dengan terbitnya buku berjudul “Indahnya Kawin Sejenis.” Buku ini yang memuatkan kumpuan artikel dari jurnal “Justisia” diterbitkan oleh Fakulti Syariah IAIN dalam tahun 2004. Dalam buku ini digariskan beberapa strategi yang perlu dilakukan bagi menghalalkan perkahwinan sejenis di Indonesia. Antaranya ialah mengorganisasikan kaum homoseksual untuk bersatu bagi merebut hak-hak mereka yang dirampas oleh negara, memahamkan masyarakat bahawa apa yang berlaku ke atas kaum hmoseksual adalah sesuatu yang normal dan fitrah, melakukan kritik dan pentafsiran semula kisah Nabi Luth yang didawa tidak memihak kepada kaum homoseksual, dan memperjuangkan perubahan undang-undang perkahwinan bertujuan memberikan definisi perkahwinan bagi sesama kaum sejenis.

Dalam pada itu, liberalisasi konsep wahyu pula digerakkan atas dasar dan pegangan kumpulan-kumpulan yang mendakwa bahawa teks al-Quran yang ada tidak lagi sempurna berikutan wujudnya apa yang didakwa sebagai perdebatan, pertentangan, tipu daya dan rekayasa sepanjang proses penulisannya. Justeru itu, mereka menganjurkan supaya kandungan isi al-Quran diteliti semula secara kreatif dan produktif. Lebih jauh dari itu, suatu strategi halus dalam menyerang al-Quran telah dilakukan dengan memperkenalkan pengajian kritik al-Quran dan pengajian Hermeneutika di Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dengan peranan utama dimainkan oleh tokoh-tokoh terkenal seperti Prof. Dr. Nasr Hamid Abu Zayd dan Mohammad Arkoun. 

Melihat kepada pendedahan-pendedahan di atas, ternyata pemikiran dan gerakan Islam liberal ini boleh mendatangkan bahaya yang besar kepada umat dan agama Islam di rantau ini. Ia berbahaya kerana boleh merosakkan akidah dan menyalahi prinsip-prinsip Islam, termasuk syariah dan akhlak. Ia juga boleh dianggap bidaah yang besar yang bukan sahaja boleh menggugat umat Islam di rantau ini dari segi amalan, tetapi juga pemikiran. Malah, bidaah dalam pemikiran itu lebih merbahaya kerana ia boleh merosakkan akidah dan menggelincirkan umat Islam dari syahdah mereka. Justeru, adalah amat perlu bagi umat Islam untuk berpegang kuat kepada kitab suci al-Quran dan hadis Rasulullah agar tidak mudah terpengaruh dengan aliran pemikiran yang bertunjangkan kepada akal dan nafsu manusia yang sebenarnya tidaklah sempurna dan sehebat mana. 

Dalam al-Quran dan hadis, terdapat beberapa ayat dan sabda Nabi  yang boleh kita gunakan sebagai perisai dalam mendepani gelombang Islam liberal ini. Antaranya ialah;

1. Ayat 19 Surah Ali Imran yang terjemahannya bermaksud; “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.”

2.  Ayat 153 Surah Al An’am yang terjemahannya bermaksud; “Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-jalanku yang lurus, maka ikutlah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan itu akan mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.”

3.   Ayat 36 Surah al-Isra’ yang terjemahannya bermaksud; “janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya”.

Dari sumber hadis pula, antara yang dapat diketengahkan adalah;

1.  “Barang siapa yang menafsirkan al-Qur’an menurut pendapatnya sendiri, hendaklah ia menyiapkan tempat duduknya dari api neraka” (HR Muslim).

2. "Akan muncul di akhir zaman suatu kaum yang berusia muda dan dangkal ilmu dengan berdalih pada al-Quran. Mereka keluar dari Islam seperti keluarnya busur dari anak panah, iman mereka tak sampai ke tenggorokkan mereka.” (HR Bukhari).

***

No comments:

Post a Comment